Monday, August 16, 2010

Ambil alih tempat Umno : PAS perlu lebih proaktif

Bagi menggantikan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini, maka PAS perlu lebih proaktif bagi mengambil alih kepimpinan tersebut. Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, PAS bukannya sebuah parti kecil lagi, malah merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua rakyat yang memerlukan pembelaan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks An-Nadhoh, Penanti, Bukit Mertajam tengahari semalam.

Salahuddin juga berkata, PAS harus memandang ke hadapan bagi menerajui kepimpinan bersama dengan PKR dan DAP yang berganding dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Bagi mencapai realiti ini, maka kepimpinan dan juga ahli PAS perlu mendokong konsep yang diamalkan iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatanah yang merupakan ciri-ciri penting bagi menuju ke arah kejayaan tersebut."

Beliau berkata lagi, "PAS telah meletakkan dirinya sebagai sebuah parti Islam yang lebih inovatif dalam membawa produk baru yang mampu dimanfaatkan kepada semua golongan masyarakat dalam negara ini."

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, untuk menjadikan hasrat melangkah ke Putrajaya satu realiti, maka reformasi dalam perjuangan PAS adalah salah satu perkara utama yang perlu mendapat keutamaan semua ahli dan pendokong PAS.

Beliau juga menyokong kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ingin menerapkan nilai-nilai murni dalam kepimpinan yang berteraskan konsep perjuangan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Beliau berkata, Lim Guan Eng sepatutnya diberi peluang dan ruang untuk merealisasikan hasrat beliau menjadikan sistem pentadbiran Khalifah Umar sebagai satu perkara yang akan membawa kejayaan dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Guan Eng perlu mengambil pendekatan untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa DAP mampu untuk menganjak paradigma yang lebih baik di bawah kepimpinan beliau jika dibandingkan dengan kepimpinan Lim Kit Siang."

"Sekiranya beliau mampu untuk membuktikan bahawa kepimpinan yang ingin diterapkan berdasarkan kepada kepimpinan yang telah dibawa oleh Khalifah Umar itu adalah satu sistem yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat, maka barulah DAP dapat keluar dari kerangka dan persepsi negatif sesetengah pihak," katanya lagi.

Mujahid:

Manakala Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya menyarankan kepada ahli PAS supaya membuang persepsi negatif bahawa PAS adalah pembangkang di Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang khususnya, kita walaupun mempunyai satu kerusi tetapi PAS adalah bersama-sama dengan kerajaan negeri menerajui Pulau Pinang. Oleh kerana itu persepsi yang seolah-olah mengatakan kita adalah pembangkang harus dibuang jauh," kata Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri).

"Dalam banyak isu UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba menjadikan isu masyarakat Melayu sebagai modal politik mereka bagi mengaut simpati masyarakat Melayu yang sememangnya semakin tipis menyokong mereka," katanya.

Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, isu tanah perkuburan di Jelutong yang selama ini telah 15 tahun tidak dapat diselesikan oleh UMNO dan BN.

Namun begitu dalam tempoh Kerajaan PR memerintah Pulau Pinang, PAS telah mengorak langkah bagi mengatasi masalah ini bagi manfaat masyarakat Melayu dan umat Islam khususnya dalam kawasan tersebut.

Beliau juga berkata antara kejayaan yang telah berjaya dilakukan oleh PAS di Jelutong ialah menyatukan dua puak yang bertelagah dalam isu Kampung Pokok Assam yang suatu ketika telah diarahkan pindah oleh pemaju bagi projek pembangunan dikawasan tersebut.

"Hasil dari perbincangan yang telah dilakukan maka kita meminta supaya pihak kerajaan negeri menekankan kepada pemaju dasar untuk menempatkan semula penduduk di kampung yang terlibat dengan projek pembangunan. Sekiranya ini dapat dilakukan maka persepsi bahawa kerajaan negeri mengusir masyarakat Melayu dapat ditangkis," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah kepimpinan Pemuda, Muslimat dan PAS Negeri Pulau Pinang.