Thursday, January 14, 2010

Mahkamah Rayuan belum putus siapa MB Perak yang sah

Harakahdaily

IPOH, 14 Jan : Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menafikan Mahkamah Rayuan telah mengumumkan siapa Menteri Besar (MB) Perak yang sah.

Setiausahanya, Drs Khalil Idham Lim berkata, walaupun pendengaran kes di hadapan lima hakim pada 5 November 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam di pihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kini Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan.

“Oleh itu, isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.


Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Menteri Besar (MB) Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti di bawah:

Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.

Namun begitu, pendengaran kes di hadapan lima hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam di pihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu, isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.

Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum di mana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim Mahkamah Rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.

Selain itu, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Nizar.

Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Dun Perak.

Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merealisasikan hasrat parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.

Firma peguam Herald dipecah masuk, lagi gereja ‘diserang’

PETALING JAYA, Jan 14 — Firma guaman yang mewakili akhbar Katolik Herald dalam kes penggunaan kalimah “Allah” dipecah masuk manakala sebuah lagi gereja disimbah dengan cat merah, kedua-duanya awal pagi ini.

Gereja kesembilan yang menjadi sasaran serangan ialah gereja Katolik St Elizabeth di Kota Kecil, Johor.

Serangan ke atas gereja itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Osman Mohamed Sebot.

Serangan ke atas gereja-gereja bermula awal pagi Jumaat lalu.

Dalam pada itu, firma guaman Fernandez dan Selvarajah yang terletak di Jalan Yong Shook Lin di sini, lokasinya bertentangan dengan Pusat Sivik PJ dan berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, dipercayai dipecah masuk awal pagi ini.

Derek Fernandez, salah seorang daripada tiga rakan kongsi, menyedari premisnya dipecah masuk ketika tiba di pejabatnya kira-kira 8.15 pagi tadi.

Beliau kemudian membuat laporan polis.


MENYUSUL LAGI

Nik Aziz : Politik suku agama suku punca Melayu lemah

“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,”


Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Jan 13 – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengulangi pendiriannya amalan agama suku politik suku menjadi punca kekuatan orang Melayu terhakis, sekali gus menyebabkan banyak kecelaruan di kalangan masyarakat dalam negara.

“Dasar, ataupun prinsip itu ternyata bercanggah dengan apa yang dilakukan Nabi. Bercanggah dengan al-Quran dan bercanggah juga dengan sirah Nabi Muhammad SAW.

“Disebabkan percanggahan-percanggahan sedemikianlah timbulnya pelbagai kecelaruan. Dan kecelaruan itu sebenarnya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri, orang Melayu yang memperlekehkan agamanya sendiri.

“Masyarakat sebenarnya celaru dengan apa yang dikatakan agama suku dan politik suku ini... bahkan disebabkan itu juga orang beragama lain cuba mencuri peluang untuk mencelarukan kita,” kata beliau di sini hari ini.

Mursyidul Am PAS ini mengulas ancaman gejala sosial di kalangan masyarakat yang sanggup bertindak ganas membakar gereja ekoran kontroversi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penerbitan akhbar mingguan Herald.

Padah ajaran agama suku politik suku, Nik Aziz mengingatkan kembali salah seorang pemimpin kerajaan sanggup berkata Islam sesuai dan munasabah pada zaman unta.

“Seolah-olah baginya Islam sudah tidak sesuai pada zaman ini. Ini juga satu kecelaruan.

“Jadi apa peliknya kalau orang lain pun cuba untuk mencelarukan kerana kelemahan kita sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald, Nik Aziz sebaliknya bertanya “kenapa tidak ambil Islam terus?”

“Pada asasnya saya telah jawab. Perkataan itu boleh digunakan tapi oleh kerana ada mainan di belakang, usul fekah menyebut, benda harus melibatkan perkara bahaya ia hendaklah disekat. Benda harus juga, tapi kalau ada manfaatnya, wajib.

“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,” jelasnya.

themalaysianinsider