Monday, December 20, 2010

Tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang diumum Jumaat

KUALA LUMPUR 20 Dis — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008, Jumaat ini.

Difahamkan pilihan raya kecil kali ini akan diadakan minggu ketiga bulan depan. SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya sejak kekosongan wujud.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor pada Jumaat lalu berhubung kekosongan kerusi Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Barisan Nasional (BN).

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan dengan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 24 Disember di Putrajaya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Katanya, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengumumkan mengenai tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian selepas mesyuarat khas itu.

BN dan Pakatan Rakyat sudah mengumumkan akan menurunkan calon masing-masing. BN akan diwakiki Umno manakala Pakatan pula PAS.

Kerusi DUN Tenang kosong setelah Sulaiman meninggal dunia Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dengan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu, Cina 38 peratus dan India 12 peratus.

Ia pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 dan yang pertama diadakan di Johor.

TMI