Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengolah pendirian PAS untuk kekal bersama Pakatan Rakyat dalam perjuangan politiknya, sementara menyalahkan UMNO-Barisan Nasional kerana memberi kefahaman Islam yang salah kepada masyarakat bukan Islam, malah menuduh UMNO cuba membodohkan penyokong Melayu Islam dengan politik wang.
Sambil memberi jaminan bahawa PAS tidak akan mengubah matlamat perjuangan partinya, Hadi Awang (gambar kanan) berkali-kali menekankan bahawa PAS akan membawa agenda perubahan dalam masyarakat majmuk di Malaysia bersama Pakatan Rakyat, dengan dasar bersama yang dirangka seperti yang termaktub dalam Buku Jingga.
"Di sepanjang perjalanan beberapa dekad dan generasi, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan di peringkat negeri, menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan kita juga melaksanakan tahaluf siyasi."
"Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS ini, telah menjadi sebahagian daripada Feqah Politik Islam yang wajib dipelajari oleh pimpinan PAS dan diperkenalkannya kepada masyarakat supaya mereka memahami perbezaan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala' antara UMNO dalam BN, yang mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar."
"Kita menjadi parti yang hidup berkembang dalam semua pengalaman tersebut. Di sepanjang masa jentera kita bergerak dan tetap istiqamah di atas landasan Islam. Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini," jamin Hadi Awang.
Banyak persamaan walaupun ada perbezaan
"Walaupun mungkin adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk. Walaupun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan seperti rasuah dan sebagainya. Inilah kerjasama yang menuntut kita untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi membawa agenda perubahan ini."
Demikianlah kata-katanya dalam ucapan dasar Presiden bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan" dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57, di Taman Melewar Gombak. Pemilihan parti bakal dijalankan dalam Muktamar kali ini, dan Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan kedudukannya selaku Presiden tanpa bertanding.
Beliau meneruskan, "PAS memilih pendekatan demokrasi kerana bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka di mana sahaja ruang yang ada. Bagi melaksanakan pendekatan ini, maka uslub yang menarik adalah penting bagi tujuan mengembalikan umat Islam khususnya masyarakat Melayu yang digulakan dengan semangat perkauman sempit dan tidak berpijak kepada dasar Islam yang sebenar."
Sambil mengkritik amalan kronisme, yang menjurus kepada "harta itu berkisar di kalangan orang kaya tertentu bersama pemimpin negara", Hadi mengungkit semula konsep "Negara Kebajikan", iaitu manifesto PAS dalam PRU ke-12 pada tahun 2008.
"Dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata. Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan."
Beliau berkata, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan. "Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat," katanya.
Didik, bukan takutkan rakyat
Hadi Awang menjelaskan, "Negara berkebajikan juga melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman. Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat."
"Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-berlumba mendapat pahala. UMNO-BN telah melemah dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat."
Hadi Awang meneruskan, "Bagi melaksanakan tujuan tema ini, maka PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati utama iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus-tadbir ekonomi, dan seterusnya memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan. Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa."
UMNO gagal bersihkan politik yang dikotorkan
Hadi Awang juga mengambil kesempatan untuk menyiku UMNO ketika mengaitkan senario politik tanahair. "Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita. Politik seperti ini perlu dimurnikan, dan sudah tentunya UMNO/BN akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri."
"Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya," katanya.
Presiden PAS meneruskan, "Dalam pentas politik negara kita ini, UMNO adalah merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi telah dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama. Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini."
Malah beliau mempertanggungjawabkan kesalahan ini kepada UMNO dalam hal ini, "Umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini."
"Di masa yang sama, UMNO sekadar mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam, kerana Melayu UMNO tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, UMNO telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka."
Beliau berkata, "Maka menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik UMNO bahawa mereka sahaja boleh memerintah."
Beliau menyeru, "Marilah kita memurni dan membersihkan Siyasah atau Politik sebagai satu bidang dan juzu’ penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan UMNO/BN di waktu ini. PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik 'Matlamat Menghalalkan Cara' seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah SWT."
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Lim Hong Siang
No comments:
Post a Comment