Saturday, October 24, 2009

Inkues Teoh bazir wang rakyat : POLIS Era Najib Altantuya Lindungi SPRM?

"Jangan bazirkan wang rakyat, keluarga dan juga pegawai-pegawai, kerajaan pusat harus tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini"


Teoh dibunuh : Exco lapor polis, mahu suruhanjaya diraja

SERI KEMBANGAN, 24 Okt : Exco Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah hari ini membuat satu laporan polis berikutan pendedahan terbaru mengesahkan 80 peratus pembantunya mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh bukan terjatuh.

Laporan dibuat di balai polis Seri Kembangan pagi ini mendesak pihak polis menyiasat kes ini dari sudut kes pembunuhan bukannya bunuh diri atau mati mengejut.

"saya berasa sangat kecewa, pihak polis menyiasat kes ini daripada sudut bunuh diri sejak awal. Sudut ini telah menghadkan skop siasatan polis dan telah melepaskan peluang emas untuk mencari bukti. Adakah pihak polis sengaja mahu melindungi SPRM pada hari pertama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan.

Beliau juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera dan menghentikan Inkues yang didakwa tidak telus dan membazirkan wang rakyat.

"Jangan bazirkan wang rakyat, keluarga dan juga pegawai-pegawai, kerajaan pusat harus tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini.

"Saya lihat inkues ini berjalan dengan tidak baik, dan tidak telus, mereka hanya menyiasat berdasarkan laporan polis dan patologi tempatan, itu telah mengecewakan rakyat." katanya lagi

Beliau turut mendakwa terdapat sesetengah pihak cuba untuk menyembunyikan kisah sebenar disebalik kematian Teoh ini.

Rakyat Malaysia katanya mahu melihat keadilan ditegakkan dan Teoh tidak boleh mati sia-sia sahaja.
"Ini peluang untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh menjalankan tugas dengan profesional dan bebas," katanya lagi.

Patologi terkenal antarabangsa dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand Rabu lalu telah memberi keterangan sebagai saksi pakar di Inkues mengenai kematian Teoh dan membuat kesimpulan kematian mendiang disebabkan dibunuh.

Ianya berikutan tanda bulat di leher Teoh dipercayai dicekik, retakan pada tengkorak mendiang bukan akibat terjatuh dan kecederaan pada dubur Teoh juga akibat dicucuk dengan objek sebelum terjatuh.

Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam dipercayai jatuh daripada tingkat 14 bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, pada 16 Julai 2009, jam 1.30 tengah hari selepas menjalani soal siasat.

Mendiang adalah setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah

harakahdaily

Muktamar khas PAS pecat Hadi?

Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.


"Bila mesyuarat agung (Jun lalu) tidak mahu tukar presiden (Abdul Hadi), misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

"Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

"Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?" tulis menteri besar Kelantan dalam blognya malam tadi.

Mengulas perkembangan beberapa mesyuarat agung khas yang dikendalikan oleh PKR, Umno dan MCA tahun ini, Nik Aziz berkata:

"Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.

"Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui kongres khas mereka. Maka kita?

"Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

"Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu."

Tokoh popular PAS itu berkata, muktamar tersebut penting bagi mengelakkan "ghok-ghak" atau kekacauaan dalam parti Islam itu sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Orang boleh terima atau tidak boleh terima, bawa ke muktamar khaslah, senang cerita. Biar tentu sah, hendak ikut yang mana. Kita hendak kekal yang mana dan buang yang mana," kata Nik Aziz lagi.

"Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat."

Beliau mengulas analisis ahli akademik Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor – dipercayai, antaranya, kontroversi melibatkan Hassan berhubung isu jualan alkohol dan isu siasatan awal jawatankuasa khas DUN negeri itu.

Malah, profesor undang-undang terkenal itu juga mengkritik Abdul Hadi yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu melibatkan Hassan itu sehingga menyimpulkan sikap sedemikian dengan perwatakan negatif bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menulis di Sinar Harian awal minggu ini, Dr Aziz berpendapat, sudah sampai masanya PAS "membuat langkah drastik dengan mendisiplinkan atau menyingkirkan Hassan" daripada parti itu.

Bagaimanapun, tambah pensyarah itu lagi, usaha itu sukar kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Abdul Hadi dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Menulis di blog Tok Guru.com, Nik Aziz juga berkata, beliau bersetuju dengan sebahagian kritikan keras Dr Aziz itu

Dalam muktamar khas yang dicadangkan itu, Nik Aziz menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.

Muktamar tersebut boleh mengambil masa sehari atau dua hari, tambahnya.

Nik Aziz berkata, walaupun beliau "jarang tidak sedap hari sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam", teguran terpaksa disuarakan "kerana dalam keadaan-keadaan tertentu, ia bersifat wajib".

"Hati saya pernah bergolak di zaman bekas presiden PAS yang mahsyur, allahyarham Datuk Mohamad Asri.

"Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya, sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjudul Kemuncup dalam Perjuangan," katanya.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mustafa enggan mengulas kenyataan tokoh PAS ini.

sumber : malaysiakini