Friday, May 29, 2009

"Macam-macam benda haram di Perak, mufti kata puasa sunat pun haram, pakaian hitam pun haram, nak bersalam pun haram di Perak", Ustaz Ahmad Awang

Qardawi sokong, kesal Mufti berfatwa tanpa periksa

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang melahirkan rasa sedih dan kesal dengan kenyataan Mufti Perak Dato' Harussani yang mengeluarkan fatwa mengenai mogok lapar dan puasa sunat anjuran Pakaran Rakyat Negeri Perak tanpa terlebih dahulu mendapat maklumat yang sebenarnya.

Menurutnya program tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat Perak, tetapi ianya telah ditohmah dengan berbagai putar belit yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk media arus perdana.

"Saya sedih bila mufti tanpa tahu hujung pangkal mengeluarkan pandangan dan fatwanya, ini menyalahi peraturan dalam mengeluarkan fatwa, katanya dalam majlis taklimat di hadapan Pejabat PAS Perak semalam.

Sebagai seorang yang berilmu sewajarnya mufti tidak terus mengeluarkan pandangannya tanpa mendapat maklumat yang tepat dan sahih kerana kedudukan mufti amat dihormati oleh masyarakat Islam, tetapi apabila kenyataannya tidak berdasarkan matlumnat yang tepat menyebabkan pandangannya tidak dihormati.

Beliau turut mendedahkan Mufti Perak itu pernah bertugas di Bukit Aman sebelum berpindah ke Pulau Pinang dan menjawat jawatan di Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Beliau turut bersetuju dengan saranan Dewan Pemuda PAS Perak yang meminta mufti Perak meletakkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya.

"Beliau boleh bertanding di Kuala Kurau, Titi Serong, atau di parlimen Parit Buntar. Kalau di Bagan Serai saya boleh lawan dia," ujarnya.

Mogok lapar yang diadakan tidak mendatangkan mudarat kepada yang mengikutnya, orang Islam melakukan puasa pada awal bulan yang ada dalam hukum Islam dan mustahil mufti tidak mengetahuinya..

Beliau juga mengesahkan kebanyakan kawasan PAS di seluruh Perak pada 28 Mei lalu mengadakan majlis berbuka di markaz.

Menurut beliau Yusuf Qardawi dalam blognya semasa meminta umat Islam di seluruh dunia untuk menyokong orang Palestin yang dipenjara melakukan mogok lapar.

"Apa penting bukan berapa ramai yang ikut serta lebih penting publisiti media menyebabkan apa yang kita lakukan ini sampai kepada rakyat di seluruh dunia," katanya.

Beliau juga mendedahkan dalam majalah Melennium keluaran Mei, mufti menuduhnya punca kemelut politik di Perak.

"Saya dihubungi oleh penerbit majalah itu dan saya akan jawab kerana banyak fakta diberi palsu dan tidak betul," Katanya.

"Macam-macam benda haram di Perak termasuk mufti kata puasa sunat pun haram, pakaian hitam pun haram. Hendak bersalam pun haram di Perak ,"katanya.

HarakahDaily

Anak-anak pondok Penanti bersedialah....

Mukanya bersih, cerah dan tenang. Sesekali tersenyum menampakan keramahan dan kesantunan. Begitulah sekali imbas kelibat anak-anak didik sekolah pondok di Penanti yang berada di dalam masjid tatkala menunggu azan maghrib berkumandang.

Sesekali terfikir, kasihan melihat masa depan mereka ketika berada di 'luar' sana. Bukan kerana tidak ada masa depan dan ilmu yang ditatang tidak boleh dijadikan panduan. Tetapi cabaran, asakan bertubi-tubi dan godaan maha dasyat menanti penuh bahaya di luar 'dunia' mereka.

Di Penanti, di pondok-pondok sana sini, mereka masih 'selamat'. Mungkin dua tahun atau paling lama lima tahun. Itu jaminan yang ada namun setelah menjejak kaki ke luar, dari pelbagai penjuru 'musibah' menunggu.

Tidak hairanlah, ketika Anwar Ibrahim menyampai tazkirah di masjid Penanti 23 Mei lalu di hadapan anak-anak pondok Penanti yang taat mendengar, beliau mengingatkan golongan muda supaya menguatkan keimanan dan mohon dilindungi Allah SWT agar terpelihara daripada sebarang bentuk kezaliman dan godaan nafsu syaitan, seiring petunjuk yang dianjurkan al-Quran dalam Surah al-Kahfi.

"Pemuda-pemuda kuatkan iman dan aqidah. Tuhan pasti akan melindungi anda seperti kisah pemuda yang diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman kerajaan pada masa itu," nasihat Anwar sambil imam muda Ustaz Shamsul Firdaus Al-hafiz mengangguk setuju.

Ustaz Shamsul adalah imam yang telah pecat daripada Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara kerana 'menasihati' kerajaan supaya berlaku adil dan kelantangannya menentang kezaliman. Terlucut jawatan, awal bulan ini. Heboh seluruh negara.

Ya, anak-anak pondok Penanti...itulah antara harga yang perlu dibayar, apabila apa yang dipelajari di pondok-pondok, diterjemahkan di luar sana. Itu hanya secubit saja.

Luar sana, tidak sama seperti di pondok. Pondok tertib dan ada aturannya. Bangun sebelum subuh, baca surah-surah sampai solat fardu. Kemudian baca-baca lagi, hafal apa yang patut. Kemudian makan pagi. Lepas itu kuliah sampai Zohor. Lepas makan dalam talam, tidur sekejap - sunat. Sambung balik belajar sampailah malam. Itulah rentasan masa selama lima tahun di pondok. Ilmu dapat, pahala juga dapat. Mudah dan tiada gangguan.

Kalau lebih berdikari dan berjimat, terpaksa masak sendiri. Tidur dalam pondok yang muat-muat lunjur dua tiga orang. Makan dalam talam penuh selera walaupun seekor ikan kembung berkongsi empat dan nasi menimbun umpama 'mamat Bangladesh' menjamu selera selepas penat bertukang buruh.

Dulu, ketika sempat melintasi pelajaran pondok di selatan tanahair Maahad Itibba As-Sunnah namanya, kembang anak tekak saya ketika mula-mula diajak makan dalam talam. Mereka ketawakan saya. Sebenarnya itu sunnah dan menguatkan kasih sayang serta ukhuwah. Tak percaya...cubalah!

Tetapi kini, itulah antara kenangan paling bermakna dalam hidup saya. Berselera sungguh makan dalam talam. Nikmat yang tak terkata selagi, tidak mencuba. Walaupun uzur lauk pauk, tetapi kenyang berkat.

Oh, ya...bagi sesiapa yang makan dalam talam ketika itu, jika sesiapa yang 'cop' kepala ikan untuk diratah, maka 'harga' yang perlu dibayar ialah mencuci talam itu. Itu antara hiburan anak-anak pondok saat itu.

Bila malam, saya yang lebih nakal daripada yang lain, menyusup kampung mencari ayam berkeliaran untuk disembelih. Dengan bantuan rakan yang lebih pantas, dan cekap, ayam seekor dapat ditangkap. Sebelum sembelih, saya pekup kuat-kuat mulut (paruh) ayam itu supaya ianya tidak 'menjerit' meminta tolong. Kemudian ceritanya 'happy ending after'...ayam tadi dibuat sup dan kami sama-sama meratah, kerana terlalu lapar.

Itu 'hiburan' dan kenakalan usia anak-anak pondok tetapi masih 'selamat.' Tidak di luar sana. Cukup hebat sampai hancur-berkecai ilmu yang dibajai.

Sujud di kaki sejadah, tersungkur di kaki betina

Sewaktu menghirup udara nyaman dan membuat liputan di Penanti, saya dan sahabat Wan Nordin terasa sayu melihat masa depan mereka yang mungkin belum lagi teruji dengan asakan keduniaan yang cukup 'menyesatkan'. Bukan semua tetapi cukup untuk melunturkan iman. Bukan bermakna kami sudah diuji atau berjaya mengatasi malah kami juga sedang melintasi ranjau duri kehidupan duniawi.

Adakalanya istiqamah, 'maintain'. Ada masa culas. Ada masa malas. Ada masa kami mundur dan ada ketikanya kami bangkit balik. Sentiasa pasang surut dan melawan. Kami masih diuji dan banyak kali juga kami 'fail'.

Di dunia luar, tidak mungkin selalu ada makanan dalam talam. Mungkin sepahan ganja, rochee dan syabu jadi hidangan. Mungkin, gedik-gedik santai perempuan jadi teman sembang tengah malam.Bukan lagi solat dan sujud di kaki sejadah.

Bukan untuk memburukkan, menakutkan atau menggalakkan. Tetapi ada realitinya di sana. Ada yang tersungkur di kaki betina dan muntah arak.

Ya bukan semua, tetapi hati-hati jika terleka. Bukan saya maksum tetapi berkata-kata dari hujung pengalaman derita dan kawan-kawan yang mempermainkan ayat-ayat Allah Ta-ala.

Mereka ini ada yang jauh lebih tingginya ilmu agama daripada saya yang sepicing ini, tetapi berani menjadi 'free thinker', melawan tuhan dan melayan nafsu sebuasnya.

Ya, adakalanya mereka terkejut benar, 'dunia' pondok mereka amat berbeza dengan dunia sebenar. Wang, kuasa dan wanita jadi hajat dicita ulam mendatang.

Jika ada yang kuat semangat, kemudian kuat berdakwah lalu kuat mengkritik maka tidak semena-mena anda tidak ke mana. Mungkin dipecat jawatan atau jauh lebih hebat berteleku di katil penjara, seperti Anwar atau seperti Nizar, dihalau, dirampas kuasa dan difitnah merata.


Bercakap benar begitu mahal harganya.
Bercakap benar bercampur nista, mungkin dapat hidup selesa di 'singgahsana'.

Jika anda lemah semangat, sangat senang merasuah, dirasuah, mudah 'meratah' nafsu serakah dan ribut kuasa serta harta, barangkali sebelah kaki sudah ditempah di neraka. Oleh itu pilihlah.

Saya juga hampir 'terbungkus' di tengah jalan, tetapi 'diselamatkan' Allah lalu ditempatkan di Harakah. Itu juga belum tentu terjamin. Barangkali ujiannya juga tak tertanggung.

Buat anak-anak pondok Penanti, sebenarnya pilihan raya kecil esok lusa ini, adalah 'Universiti' terbaik untuk menilai watak manusia dan pancaroba. Watak-watak lakonan atau yang berjurus ikhlas berjuang semuanya sudah 'berkampung' di depan mata anak-anak pondok Penanti.

Yang berjanji dan menyanyi lagu-lagu dendang hati rakyat serta peluru tabur fitnah sengketa, menjadi halua telinga buat anak-anak pondok Penanti. Perhati dan nilaikanlah.

Semaklah kitab, buku, al-Quran dan Hadis atau nasihat kuliah ustaz. Sebenarnya, apa yang yang dipelajari, semuanya terpampang di Penanti menjelang tempoh mengundi.

Bukalah mata, bukalah hati.

Itu semua adalah watak-watak, susuk-susuk tubuh dan aksi-aksi yang pernah disebut Tuhan di dalam al-Quran. Sebenarnya itu hanya secebis. Dunia luar sana lagi maha hebat. Umpama halilintar menembus iman. Berhati-hatilah.

Maka bersedialah anak-anak pondok Penanti...


Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

(Lalu tepat jam 1.00 pagi 23 Mei lalu, kami pulang memandu laju menuju destinasi yang dituju, untuk terus menghadapi kehidupan mendatang dengan serba macam rencam dan ujian. Di belakang, Ahmad Lutfi terlena, di buai mimpi kerja yang tidak pernah habis...) - azm

(Sebarang semburan, hamburan dan pandangan, sila majukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )


HarakahDaily

Che'GuBard Ke IPD Bukit Mertajam Beri Keterangan Berhubung Dakwaan Hasutan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shahrin menghadirkan diri di ibupejabat kontinjen polis (IPK) Bukit Mertajam di Bandar Baru Perda pukul 3.30 petang tadi untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan terdapat beberapa laporan polis terhadap ucapan beliau semasa kempen pilihan raya kecil N12 Penanti baru-baru ini.

Semalam beliau yang lebih dikenali sebagai Che'GuBard dihubungi oleh seorang yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Penyiasat Kanan IPD Seberang Perai Utara yang memberikan arahan supaya hadir memberikan kenyataan di IPD Bukit Mertajam secepat mungkin.

Tengahari semalam kira kira pukul 2.30 petang sekumpulan anggota polis dikatakan telah pergi ke rumah beliau di Bangi dan Seremban.

Adik ipar beliau juga memberitahu polis telah menyampaikan amaran pada pukul 7 malam supaya Che'GuBard pergi ke IPD Bukit Mertajam kerana akan didakewa esok.

Beliau didakwa melanggar undang-undang yang disabitkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 500 (1)(b) Kanun Keseksaan.

TVAntara

AGONG BOLEH PECAT NAJIB, DAN KEMUDIAN?

Puas dan seronok baca kolum Mohd Hanipa Maidin, Prima facie, dalam Harakah keluaran lalu, bertajuk "Mahkamah Rayuan ketepikan doktrin Raja Berperlembagaan" .

Puas dan seronok bukan sebab boleh baca dan khayalkan yang Najib Tun Razak akan dilucutkan jawatannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada awal Januari 2010. Tetapi puas dan seronok sebab tulisan yang seperti itu ditulis oleh seorang peguam yang mahir dalam selok belok undang-undang negara. Bukan oleh sebarang penulis yang saja suka-suka mengkhayalkan sesuatu mengikut sedap hatinya, berdasarkan rasa marah dan emosi yang tak terkawal.

Maka tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Hanipa Maidin. Seperti katanya dalam tulisan itu, episod cerita rekaannya itu adalah "cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini".

Betul, rakyat biasa sudah macam tak boleh faham lagi apa yang sedang berlaku pada kerajaan negeri Perak. Kedudukan dan jawatan Menteri Besar, serta peristiwa dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang melihat Speaker dipaksa keluar dan dikurung dalam stor, dan Speaker baru dilantik secara tidak mengikut peraturan, semuanya itu tiba-tiba menjadi seperti cerita budak-budak main pondok-pondok.

Maka ramai orang mencadangkan kepada saya supaya mencipta sebuah skrip teater berdasarkan kepada peristiwa pelik tetapi benar itu, dan kemudian mementaskannya, dengan tujuan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai akan apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Memang tidak susah sebenarnya untuk mengolah semula peristiwa tersebut ke dalam bentuk skrip teater mahupun skrip filem, sekiranya kita mempunyai niat yang jelas dan didorong oleh keazaman tertentu. Tetapi entah kenapa, saya tidak begitu ghairah untuk melakukannya. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Saya fikir ini bukan masa yang sesuai.

Dalam keadaan begitu tiba-tiba saya membaca tulisan Hanipa Maidin yang berkenaan. Wah, memang tepat sekali, dan sangat sesuai. Seorang peguam yang terlibat dalam kes itu sendiri menulis dan menerangkannya secara yang sangat kreatif dan menarik. Itulah implikasinya dari penghakiman tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 22 Mei yang sangat mengejutkan itu.

Seorang peguam yang cerdik dan kreatif telah bertindak balas sesuai dengan "semangat teater" yang sedang ditunjukkan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam kemelut undang-undang dan Perlembagaan di negeri Perak sekarang.

Memang rakyat semakin tak faham apa yang berlaku. Semuanya seperti suatu permainan, seperti sebuah teater yang didalangi oleh tangan-tangan ghaib dan misteri. Mereka itu semua seperti sedang beraksi dengan suatu "semangat teater" yang tiba-tiba menguasai mereka, hingga mereka yang pakar dan mahir dalam hal undang-undang dan Perlemba-gaan pun seperti tidak lagi mempedulikan undang-undang dan Perlembagaan.

Yang peliknya ialah kerana ia melibatkan instisusi istana dan institusi kehakiman. Sepatutnya dua institusi ini berperanan mengawal kesejahteraan hidup rakyat dengan berpandukan kepada agama, adat dan undang-undang. Tetapi tiba-tiba dua institusi ini pula yang membuat celaru. Maka rakyat pun bertambahlah bercelaru dan bengong.

Tepat, memang tepatlah kiasan yang dibawa oleh Hanipa Maidin itu. Teater politik itu telah dimainkan, maka mainkanlah terus, ya! Main sampai ke hujungnya. "Mari kita lihat siapa yang kena!" kata P Ramlee.

Hanipa Maidin hanya berkias sahaja. Tetapi kiasnya bukan sebarang kias. Kiasnya berpandukan lunas undang-undang dan penghakiman yang baru sahaja dibuat oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan. Dan kiasnya melibatkan dua tokoh tertinggi dalam politik dan Perlembagaan negara. Agong menulis surat melucutkan jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh Najib, dan baginda meminta Najib dan isterinya keluar dari kediaman rasmi PM.

Kiasan hanya. Tetapi itulah makna dan implikasinya. Samada akan terjadi begitu atau boleh terjadi begitu atau tidak, itu perkara lain. Yang pentingnya sekarang bagaimana rakyat harus memahami akan hakikat sebenar apa yang berlaku.

Memang sukar hendak memahaminya. Ia bukan sahaja di luar dari kebiasaan, tetapi ia juga di luar dari kemungkinan yang dibenarkan oleh adat, agama dan undang-undang. Bahkan ia juga di luar dari kefahaman rakyat mengenai peranan institusi istana dan institusi kehakiman.

Apakah akan berlaku perubahan kepada institusi istana, daripada doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) kepada doktrin Raja Mutlak (Absolute Monarchy), seperti yang disebut oleh Hanipa Maidin itu? Apakah rakyat akan menjadi lebih merdeka, berdaulat dan sejahtera di bawah sistem Raja Mutlak, berbanding dengan sistem Raja Berperlembagaan?

Dan apakah ini penyelesaian yang diharapkan oleh rakyat, walaupun peguam yang cerdik dan kreatif seperti Hanipa Maidin telah membayangkan kemungkinan Agong akan memecat PM Najib Razak?

Apa pun, semua itu hanyalah kemungkinan-kemungkinan. Mungkin akan berlaku apa yang kita bayangkan itu, dan mungkin juga akan berlaku sesuatu yang tidak kita bayangkan. Tetapi kalaulah doktrin Raja Mutlak yang akan kembali berperanan, seperti kata Hanipa Maidin itu .... Oh tidak, saya tak mahu bayangkan kemungkinan itu, dan saya tak percaya pada kemungkinan itu.

Saya percaya rakyat Malaysia hari ini semakin matang dan semakin cerdik. Apa-apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah sebahagian daripada proses yang sedang menuju kepada kematangan dan kecerdikan itu.

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau SMS 0136362408

HarakahDaily

Ekonomi Gawat Sebab Najib Lambat Bertindak

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim menyelar Perdana Menteri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan I kerana lambat mengambil tindakan segera menangani kegawatan ekonomi.

Najib yang dituduh berada dalam sindrom penafian seringkali diasak oleh Pakatan Rakyat di Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat berhubung Bajet 2009 dan dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan namun beliau dilihat tidak mempunyai kebolehan memimpin usaha mengatasi masalah ekonomi yang mula menunjukkan tanda-tanda kegawatan sejak tahun lalu.

Semasa berucap kepada rakyat Guar Jering dalam siri kempen pilihan raya kecil DUN Penanti semalam, Anwar berkata penguncupan ekonomi sebanyak 6.2 peratus adalah amat membimbangkan kerana negara kini secsra rasmi dilanda kemelesetan ekonomi.

"Pentas semalam memberi ruang buat saya mengungkapkan antaranya pengumuman Bank Negara berhubung penguncupan 6.2% ekonomi Malaysia buat suku pertama tahun ini. Angka ini ternyata membimbangkan, malahan ianya lebih teruk jika dibandingkan dengan kedudukan terburuk negara iaitu pada suku keempat tahun 1998. Secara teknikalnya negara kita sedang mengalami kemelesetan.

"Antara perkara yang merunsingkan saya apabila melihat lagak pentadbiran kewangan sekarang ialah kurangnya ketelusan menjawab persoalan yang dilontarkan ketika menghadapi krisis. Sewajarnya pengalaman melalui tempoh sukar kurang lebih sepuluh tahun lalu mengajar kita untuk pantas bertindak dan telus kepada rakyat.

"Tatkala membahaskan belanjawan dan juga rancangan ransangan ekonomi saya tegaskan mengapa lambat mengakui negara sedang melalui saat-saat sukar walhal ianya memberi dampak besar kepada psikologi rakyat.

"Sayangnya oleh kerana menteri kewangan memilih pada ketika yang paling lewat untuk mendedahkan kepada umum makanya rakyat dan ekonomi lambat untuk siap siaga berhadapan dengan krisis berbanding dengan negara jiran seperti Singapura.

Adakah akan ada pakej ransangan yang ketiga? (walaupun yang pertama tidak dilakukan menurut aturan Parlimen) Apa sudah jadi dengan RM60bilion yang diwar warkan dahulu. Bukankah jumlah tersebut untuk tempoh sepanjang dua tahun?

"Telahpun kami secara tuntas menyatakan jika pengurusan ekonomi masih ditakuk lama; membenarkan penyelewengan berleluasa dan sekiranya dana yang ada diseleweng buat mencipta kekayaan kroni, alamat negara akan terjerumus ke kedudukan yang menakutkan," jelas beliau secara panjang lebar mengenai keadaan ekonomi negara.

TVAntara

PENGERUSI SPR MAKAN GAJI BUTA

Setelah Barisan kalah di kesemua empat pilihan kecil di Semenanjung Malaysia membabitkan tiga kawasan Parlimen dan satu kawasan Dewan Undangan Negeri, terbit daripada mulut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Aziz Yusof harapan beliau agar tidak ada lagi wakil rakyat yang meninggal dunia selepas ini.

Kenyataan yang agak mengejutkan, lucu dan cetek ini besar kemungkinan lahir daripada perasaan ikhlas beliau yang tidak mahu melihat bosnya iaitu Umno dan BN terus dirundung malang demi malang di peti undi rakyat.

Ramai pihak yang mengutuk kenyataan bodoh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri itu yang dilihat tidak secucuk dengan tahap ilmu pengetahuan beliau yang tinggi dalam selok belok pentadbiran negera dan pengalaman lama sebagai bekas pegawai tinggi kerajaan berstatus gaji JUSA.

Namun Abdul Aziz dilantik ke jawatan pengerusi SPR oleh kerajaan BN dan kesetiaan beliau sudah tentunya kepada tangan yang menyuap rezeki kepada beliau walaupun sebagai badan yang ditubuhkan di bawah akta lulusan Parlimen ia sepatutnya bebas dan mengamalkan prinsip adil dan telus dalam setiap aspek pengurusan pilihan raya di negera ini, termasuklah pengerusinya sendiri.

Bagi orang yang berpegang kepada nilai-nilai beragama sudah tentu apa yang dicakap oleh Abdul Aziz semalam ketika memgumumkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi bagi DUN Manek Urai adalah bercanggah dengan konsep ketentuan qada dan qadar.

Bagi orang politik pula kenyataan beliau itu berbaur politiklah dan mencerminkan ketakutan yang menyelubungi BN yang takut kalah untuk sekian kalinya pada pilihan raya yang mendatang di Penanti dan yang menunggu di Manek Urai.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata sepatutnya pengerusi SPR itu harus menakutkan sikap ceria dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya dan bukannya makan gaji buta.

"Orang kata tugas pengerusi SPR makan gaji buta selama lima tahun kerana pilihan raya umum diadakan lima tahun sekali. Jadi dalam tempoh itu beliau boleh dikatakan tidak buat apa-apa.

"Bila sudah tidak ada banyak kerja dan bila ada sahaja pilihan raya kecil seolah-olah dia hendak lari dari tugas," kata Khalid semasa rakaman rancangan Kanta Media oleh Tv Antara di Shah Alam semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shahrin pada rancangan yang sama juga berkata BN kini amat takut berhadapan dengan pilihan raya kecil Manek Urai Julai nanti atau mana-mana pilihan raya kerana mereka sedar rakyat sudah bulat menolak BN.

"Itu sebabnya kita mendengar kenyataan-kenyataan tidak cerdik daripada pengerusi SPR kerana itulah realiti. SPR sudah tidak sanggup menguruskan pilihan raya yang mereka tahu Umno dan BN akan kalah teruk walau apa pun kekangan dan peraturan tidak munasabah yang diada-adakan setiap kali diadakan pilihan raya.

"Nasihat saya untuk SPR ialah apa pun taktik yang digunakan untuk menghalang kemaraan rakyat untuk menumbang pemerintahan zalim BN ia tetap akan berlaku dan SPR tidak mampu menghalang kuasa rakyat," kata Badrul Hisham atau Chegu Bard lagi.

TVAntara

PDRM ke PRDM?

POLIS RAJA DI MALAYSIA…. SATU INSTITUSI YANG MALFUNCTION DAN KOMPIUS

Elok-elok dipanggil Polis Di Raja Malaysia…… udah kena gelor di orang, Polis Raja Di Malaysia. Mengapa orang mengelor demer dengan nama itu….. sebab tindak-tanduk polis yang berlagak macam raja. Demer boleh buat apa demer suka. Mentang-mentang ler ada kuasa….. guna kuasa sewenang-wenang nyer untuk menekan rakyat khusus nyer yang tal sehaluan dengan UBN.

Demer ni, sepatut nyer menjaga keselamatan rakyat dan negara….. tapi habuk pun tarak. Rakyat dijadikan musuh…. jenayah berleluasa.!!!! Yang deme jaga kepentingan kuasa UBN. Sebab itu sekarang ni, rakyat tengok demer getik ajer….. maka jadi ler demer sasaran sumpah seranah rakyat jelata.!!!

Weh… weh…… Apa yang demer buat, udah macam lembu giler!!! Kerja nyer….. giler nak menanduk rakyat jer. Serba tak kena rakyat dibuat nyer…. Suasana alam dah tak jadi ceria dah.
Ater…. mana nak ceria nyer, sesiapa yang pakai pakaian berwarna orange…. kuning…. hitam…. habisss demer tanduk….. pejabat orang demer serbu, ikut suka demer…. orang berimpun, demer kejor….. demer serbu…… cahaya lilin sensitif di mata demer……. Apa ler nasib komer….diperlembu sedemikian ruper dan malang nyer….. diri merelakan pulak tu!!!

Warna….. cahaya….. orang perseorangan…… orang beramai-ramai……. hantu…. DUN Perak….. pokok….. dan semua yang UBN takut ler…. so, demer ler jadi barua yang tukang kejor dan tukang tanduk nyer!!! Kalor bab tu, demer ni memang cekap dan cepat…… tapi kalor bab-bab lain, hampeh!!!

Komer tengok jer…. kes-kes yang belum demer selesaikan….. sapa bunuh adik Nurin, sapa culik Sharlinie…. Awie…. ke mana pergi nyer…… si Bala….. di mana Hilmi…. ke mana menghilang nyer…… kes Kugan, senyap jer…. kes altantunya cicai buncai jer kerja demer dan jadi tanda tanya……. kes mata lebam Anwar berkurun baru dapat tahu culprit sebenor nyer….. kes Lingam correct…. correct….corect…. entah apa-apa jadi nyer, senyap ajer….

Jadi …. KPI PDRM, oooopppss… Polis Raja di Malaysia, dalam konteks mendahulukan rakyat….. kita boleh bagi ‘F’ sebab tak nampak yang demer ni polis rakyat tapi polis UBN….. obviuos sesangat!!!

Kalor kes yang ada kepentingan UBN, tengok demer punya ligan…. buat kerja ruper lipas OKU. Di mana Raja Petra berada…. sekelip mata dah tau and siap mintak bantuan interpol lagi nak heret kawan tu balik ke Malaysia!!! Kes Sayfoool, cepat jer bertindak… tangkap orang tu….. dakwa orang ni….. sekat itu dan ini….. kena syarat macam tu macam ni….. Siapa mangsa demer?? Para pemimpin dan para penyokong Pakatan Rakyat ler……!!! Demer tahu nak mengenakan kita jer…… Kalor pihak UBN……. bukan setakat tutup sebelah mata tapi dua-dua mata sengaja dibutakan!!!

Sekarang tengah hot ceriter pasal bapak polis dan Mr Gunitahil….. Ada orang yang bernama Mat Zain kan……. telah buat dakwaan tau, dakwaan terhadap dua orang kepala balaci UBN ni…. Dakwaan sensasi you…….. dan lagi, dijagka pasti akan meletop!!! Itu pun kalor dia tak dilarikan hantu kopek ler….. Takut dia jadi macam si Bala ler, buat ceriter gempaq sensasi….. BOOOM!!!! Lepas tu…. lesap entah ke mana. Sampai la ni, polis tak dapat cari!!! Tak dapat cari atau disembunyi…. wallahu’alam. So, Mat Zain, hang hati-hati……

Tapi, teman nak tegaskan di sini…. bukan semua polis yang kompius, ada yang baik dan yang jujur….. tapi apa nak kata…. akibat nila setitik, lingkup susu sebelanga. kekadang demer tak boleh nak buat apa-apa….. terpaksa ler ikut arahan ‘kepala’ di atas. Apa nak buat, kalau kepala nyer dah malfunction…… itu yang membuatkan anak buah di bawah kompius…….!!!!

Aha….. berbalik kepada isu Mat Zain dalam drama Mata Lebam Anwar, kita….. sama-sama ler tunggu dan lihat perkembangan gossip sensasi ini…..

PerakExpress

SELAGI ZAMBRY MENGELAK, MASA DEPAN BN PERAK KIAN PARAH

TRAGEDI tangkapan lapan wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak termasuk Speaker Dun V Sivakumar, bersama 11 yang lain, pagi Selasa, 26 Mei atas dakwaan menghadiri perhimpunan haram di depan Wisma DAP, Ipoh, mengesahkan lagi bahawa bahang krisis politik semakin membara dan tidak mudah dipadamkan melalui keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas.

Enam Adun lain yang ditahan ialah Keshwinder Singh (Malim Nawar), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Chah Lih Kang (Teja), Leong Mee Meng (Jalong), Thomas Su (Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (Menglembu). Turut ditahan, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Polis diperalatkan

Pihak polis nyata diperalatkan apabila pelancaran mogok lapar dan puasa sunat bagi mendesak pembubaran Dun Perak itu dihadapi secara kekerasan. Begitu ramai anggota keselamatan dikerahkan, termasuk pasukan FRU dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh - selain polis berpakaian biasa - bagi memastikan sebarang perhimpunan berbaju hitam untuk menggesa Dun dibubarkan, dicantas lebih awal.

Seawal jam 6.30 pagi, lima pekerja syarikat pengurusan acara yang memasang khemah dan belon udara besar dengan tulisan "Bubar DUn" ditahan lebih awal. Belon tersebut turut dirampas. Kanopi itu juga diruntuhkan.

Tidak jelas apa alasan keselamatan pihak polis melakukan tindakan agresif dan provokatif itu, jika bukan diarahkan pihak berkepentingan Umno-BN. Ia diadakan di premis persendirian, dan langsung tidak menganggu ketenteraman awam, alasan lazim yang digunakan polis untuk mewajarkan tindakan represif mereka.

Walaupun Wisma DAP - dan tidak jauh dari itu Pejabat Perhubungan PAS Perak - terletak di hadapan Bangunan SUK, namun lokasinya langsung tidak menyebabkan lalu-lintas terhalang. Tidak tahulah kalau ada pihak yang sakit mata memandang aksi protes pemimpin Pakatan Rakyat itu.

Rampasan kuasa

Jika diukur jumlah kehadiran, ia tidaklah seramai mana, mungkin hanya sekitar 50 orang, namun Umno-BN yang melakukan rampasan kuasa awal Februari lalu terbukti takut dengan bayang-bayang sendiri. Meskipun didesak dari segenap penjuru agar Dr Zamry Abdul Kadir menghadap Sultan mohon dibubarkan Dun, mereka tetap berdegil.

Senario ini mudah difahami. BN begitu gentar untuk mendapatkan semula mandat baru rakyat kerana yakin mereka pasti ditolak, bahkan mungkin lebih teruk berbanding keputusan pilihan raya umum April 2008.

Pelancaran mogok lapar itu, yang sepatutnya disempurnakan di bawah khemah khas, terpaksa dipindah ke tingkat satu Wisma DAP. Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin juga dihalang pihak polis daripada bersalaman dengan orang ramai yang hadir.

Ya, aneh dan pelik ... pakai baju hitam (dalam himpunan Bersih dulu, baju kuning) salah, dirikan kanopi salah, nyalakan lilin salah, berkumpul salah, bergambar depan jurufota media salah, berjabat salam pun tidak dibenarkan juga!

Kes pecat ketua kampung

Lebih menjolok mata apabila tangkapan dibuat, bermula dengan Sivakumar, ketika pemimpin-pemimpin Pakatan secara beramai-ramai berjalan menuju ke kereta masing-masing, selepas turun dari pejabat DAP, difahamkan untuk ke mahkamah tinggi bagi menyaksikan satu saman yang difailkan terhadap kerajaan BN yang memecat ketua-ketua kampung.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai walaupun setelah diberi amaran beberapa kali. Mudahnya pihak polis melakukan tangkapan walaupun mereka menghadapi kesukaran berbuat demikian untuk menangani kes jenayah tegar yang lain!

Pada sebelah malamnya, di lokasi sama, sekitar jam 8.45, dua lagi ditahan kerana menghadiri perhimpunan candlelight vigil, yang menandakan "demokrasi sudah mati dan dikuburkan oleh Umno-BN". Nizar bersama dua pemimpin kanan DAP, Nga Kor Ming dan Ngeh Khoo Ham, serta 30 yang lain hadir.

Episod seumpama ini dijangka akan berterusan dan melebar ke seluruh negara. Amarah rakyat sukar dibendung. Mereka yang menyaksikan dari dekat peristiwa hitam yang mencacatkan amalan demokrasi di negara ini tentu tidak duduk diam.

Apa jadi kes rasuah dua bekas Exco?

Di Penanti misalnya, isu rampasan kuasa ini tetap menjadi tumpuan. Bermula dengan "penculikan" dua bekas Adun KeADILan, Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi - yang sebelumnya dituduh rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM10 juta - juga "kehilangan" penuh misteri Adun Bota yang menyertai KeADILan, Nasaruddin Hashim, yang kemudiannya tiba-tiba mereka muncul dalam sidang akhbar di Putrajaya bersama Najib Razak, rakyat diperingatkan tentang kisah sebenar yang mendasari konflik di Perak.

Kesahihan SPR yang memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi Dun Changkat Jering dan Behrang, walaupun diputuskan sebaliknya oleh Speaker V Sivakumar, juga masih tergantung di mahkamah. Ada proses yang belum diselesaikan di sana. Misteri (begitu banyaknya misteri) dakwaan rasuah ke atas Osman dan Jamaluddin pun belum terongkai.

Tepat seperti kata Nizar, dalam keadaan mahkamah sudah memutuskan Zamry adalah menteri besar yang sah, justeru untuk menunjukkan ketelusan dan keikhlasannya, maka Adun Pangkor itu harus berani mendapatkan semula mandat rakyat dengan menghadap sultan bagi memohon Dun dibubarkan. Jangan jadikan alasan ia di bawah bidang kuasa raja memandangkan sultan tidak mampu memulakan tindakan membubarkan Dun selagi mana tidak dimulai oleh inisiatif menteri besar.

Jalan keluar sudah terang dan nyata. Umno-BN hanya akan dilabelkan "bacul dan pengecut", apabila berselindung di sebalik mahkamah dan istana, serta memperalatkan pasukan keselamatan, jika terus berdalih mengelak dari berusaha membubarkan Dun.

HarakahDaily

Lagi Cerita Kak Min Ronggeng : UMNO memang ringan tangan, bawak pengundi makan angin, tolong gantung poster, buat ceramah tapi tak bertanding...

Aminah dakwa dapat sokongan ahli Wanita Umno

Calon bebas dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Aminah Abdullah mendakwa ahli Wanita Umno turut memberi sokongan kepadanya.

"Mereka kata, mereka sokong kak Min tetapi tak tahulah sama ada mereka akan mengundi Kak Min," katanya yang menggunakan lambang kunci.

Aminah juga mendakwa, ahli-ahli Wanita Umno gembira kerana beliau bertanding menentang calon PKR dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Ada yang mengucapkan selamat berjaya kepada saya dalam pilihanraya kecil itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.


Bagaimanapun, katanya, ada segelintir penyokong PKR yang tidak boleh menerimanya walaupun beliau bertanding atas tiket bebas.

Aminah yang juga bekas ketua Wanita PKR negeri berkata, ada antara mereka yang mendakwa tidak mengenalinya dan tidak mahu menerima risalah kempen yang diedarkan.

Diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang menggelar dirinya Minah Ronggeng, Aminah berkata :

"Kak Min sedikit pun tidak kecil hati kerana Azmin sendiri yang mengajar supaya kita tidak membantai orang lain.

"Saya terima dengan senang hati, sedikitpun tidak kecil hati," katanya.

Minta SPRM umum segera

Sementara itu, Aminah Abdullah meminta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan segera hasil siasatan berhubung dakwaannya cuba disogok wang tunai dan jawatan timbalan ketua menteri oleh PKR.

"Kalau umum lepas pilihanraya, kena buat pilihanraya sekali lagi.

"Nak buat piliharaya baru, kena duit lagi, jadi eloklah keputusan diumumkan sebelum hari mengundi Ahad ini," katanya.

Isnin lalu, beliau mendakwa ditawarkan ganjaran wang tunai RM80,000 serta jawatan timbalan ketua menteri (TKM) I Pulau Pinang oleh PKR.

Beliau mendakwa PKR menawarkan jawatan TKM I jika menang pilihanraya berkenaan pada 31 Mei ini, dan kembali menyertai parti itu.

Aminah turut mengemukakan bukti berbentuk rakaman audio cakera padat untuk menyokong dakwaannya.

Beliau berkata, SPRM telah selesai mengambil kenyataan darinya.

malaysiakini

AMK Perlis : Hashim dapat perkuat PKR Perlis

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis turut mengalu-alukan hasrat bekas ketua penerangan Umno negeri itu, Datuk Hashim Suboh untuk berhijrah menyertai PKR.

Ketua Penerangan AMK Perlis, Nizam Abd Jalil berkata, kemasukan Hashim dinanti-nantikan untuk memperkuat dan memantapkan jentera PKR di negeri itu.

Katanya, ia bagi menghadapi gelombang perubahan rakyat yang lebih besar yang mahukan harapan baru untuk Perlis dalam pilihanraya umum yang dijangka dalam tempoh setahun lagi.

"AMK Perlis turut merasakan penghijrahan Datuk Hashim (foto) yang juga bekas timbalan ketua Umno bahagian Kangar bersama-sama dengan PKR, khususnya dan Pakatan Rakyat amnya, amat signifikan.

"Ini kerana beliau adalah seorang pemimpin belia yang berpengalaman luas, di samping mempunyai kredibiliti dan kelayakan untuk diketengahkan sebagai pemimpin PKR Perlis di masa akan datang," kata Nizam dalam satu kenyataan.

"Kami percaya kemasukan beliau serta rakan-rakan dalam Umno dan BN yang lain ke dalam PKR, akan mengundang implikasi dan tsunami yang lebih besar kepada politik negeri Perlis." tambahnya.

Menurut Nizam lagi, politik negeri Perlis sekarang tidak mengalami sebarang perubahan yang ketara walaupun sudah lebih setahun ditadbir oleh seorang menteri besar baru.

"Apa yang ketara hanyalah bercambahnya billboard dan sepanduk yang memuji-memuja pemimpin yang menimbulkan persoalan adakah ianya melibatkan wang cukai daripada rakyat!" tegasnya.

Hashim sebelum ini menyatakan kesediaannya menyertai pembangkang ekoran kecewa dengan layanan pemimpin Umno Perlis terhadap penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau dilaporkan berkata, pemimpin pembangkang sudah banyak kali menghubunginya supaya menyertai parti mereka.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini beliau sedang melihat perkembangan terbaru dalam Umno sebelum membuat keputusan muktamad.

malaysiakini

Bagaimana Dalam Zaman Canggih ICT, Mufti Dan Bekas Mufti Tidak Dapat Maklumat Yang Betul?

Kenyataan kedua-dua mereka terhadap isu mogok lapar adalah kerana maklumat yang disampaikan kepada mereka tidak betul dan tepat.

Keputusan mogok lapar adalah cadangan DAP yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat, tetapi mogok lapar hanya kepada orang-orang bukan Islam yang ingin menyertainya.

Manakala PAS dan PKR pula menganjurkan Puasa Sunat & Solat Hajat untuk orang-orang Islam, Pakatan Rakyat juga menyetujui cadangan tersebut.

Mogok Lapar yang dianjurkan tidaklah sampai ke peringkat membawa mudarat, mereka masih boleh minum setiap 5 - 6 jam, yang tidak mampu meneruskan lapar boleh diganti oleh orang lain pada hari berikutnya.

(Gambar-Nizar dipakaikan ikat lengan Bubar DUN oleh Dato' Ngeh, selepas merasmikan Program Puasa & Mogok Lapar 26 Mei lalu)

Pasukan perubatan pula ditugaskan untuk bersedia memberi bantuan kecemasan.

Tujuan Mogok Lapar adalah sebagai tanda protes terhadap pencabulan demokrasi dan isyarat rakyat memohon perkenan Tuanku supaya DUN dibubarkan.

Mogok Lapar hanya diadakan tiga hari berturut, samada tuntutan dipenuhi atau tidak mogok lapar akan berakhir selepas tempoh yang dianjurkan.

Manakala Puasa Sunat & Sunat Hajat dianjurkan kepada yang Islam, mereka boleh berpuasa sunat hari-hari tersebut tetapi berbuka bila tiba waktu berbuka.

Sebelah malamnya menunaikan Solat Hajat. Kebetulan Puasa Sunat diadakan pada hari-hari yang disunatkan puasa, iaitu pada 1 - 3 Jamadilakhir, dan boleh dikerjakan setiap masa.

Tujuan Puasa Sunat dan Solat Hajat adalah sebagai pengaduan dan doa kepada Allah swt. supaya perjuangan Pakatan Rakyat diberi kemenangan oleh Allah swt.

Amalan puasa masih boleh diteruskan pada hari-hari lain yang sunat berpuasa.

Mogok Lapar disertai oleh bukan Islam sebagai tanda protes pencabulan demokrasi dan menuntut DUN dibubarkan.

Puasa Sunat dikerjakan oleh orang Islam sebagai satu jalan memohon pertolonngan Allah swt. supaya memberi kemenangan kepada perjuangan rakyat yang menuntut DUN dibubarkan.

Saya percaya maklumat ini tidak sampai kepada Mufti Perak yang berada di Tanah Suci dan juga bekas Mufti Perlis yang kini berada di London.

Sepatutnya sebagai golongan agama, kedua-dua mereka mendapat maklumat terlebih dahulu dari sumber yang sebenar iaitu penganjur sebelum buat kenyataan.

Sedangkan dalam al Quran diajar kepada orang-orang yang beriman supaya menyelidiki terlebih dahulu setiap berita yang dikhabarkan kepada mereka lebih-lebih lagi berita dari orang-orang fasik.

Adalah sangat tidak adil, seorang yang bergelar ulama memberi pandangan hanya berdasarkan sumber dari sebelah pihak sahaja, yang akibatnya pandangan yang diberikan tidak betul.

Misbahul Munir Hj Masduki
Ketua Penerangan PAS Perak.

Najib digesa batalkan lawatan sambut ulangtahun hubungan Malaysia-China - Dato' Kamarudin Jaffar

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak digesa membatalkan lawatan ke China minggu depan sempena sambutan 35 tahun kerjasama Malaysia-China, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar.

Ini kerana ia 'bertentangan' dengan penegasan kerajaan Malaysia yang menghalang tokoh komunis, Chin Peng dari kembali semula ke Malaysia, katanya.

'Dalam satu hal Malaysia menolak komunis, tetapi dalam satu hal pula seolah meraikan kerajaan (China) yang dahulu dikuasai komunis yang pernah membiayai pergerakan komunis, ini semua kita tahu," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Ini amat bertentangan, dan kerajaan Malaysia harus menyelesaikan pertentangan ini dengan segera membatalkan lawatan Perdana Menteri yang dijadualkan minggu depan ke China, kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat.

Sementara itu sumber menyatakan, Wisma Putra telah mengarahkan kenyataan berhubung lawatan Najib ke China yang bermula 2 hingga 5 Jun ini tidak dilaporkan akhbar.

Baru-baru ini kerajaan menyatakan tidak akan membenarkan Chin Peng kembali semula negara ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap waris mereka yang terkorban semasa darurat dahulu.

Perdana menteri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Putrajaya 27 Mei.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.

Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.

Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.

Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, saranan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut membantah ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee yang dilaporkan berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan.

HarakahDaily

Bawa Balik Balasubramaniam, Siasat Semula Akuan Bersumpah !

Angkatan Muda KeADILan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara.

Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.

Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sebaliknya dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.

"Kita juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia.

"Isu ini ditimbulkan hanya strategi politik 'desperado' sesetengah pihak Umno/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan, keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali Umno/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataannya.

Beliau berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini.

"Semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dari sokongan rakyat.

"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya.

HarakahDaily

Mat Zain Dakwa Konspirasi Terhadap Beliau, Akan Dedah Kebenaran Berhubung Kes Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Mat Zain Ibrahim, pegawai polis yang menyiasat insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, mendakwa menjadi mangsa konspirasi peringkat tertinggi yang menggunakan notis bankrap untuk memusnahkan kredibilitinya sebulan sebelum bermulanya perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang bermula dari 1 hingga 24 Julai depan.

Bernama melaporkan Rabu lalu bahawa Mat Zain telah diisytiharkan bankrap pada 21 April 2009 kerana gagal melangsaikan pinjaman berjumlah RM250,000 dan notos mengenainya telah diserahkan kepada beliau 26 Mei lalu. Berita mengenainya telah disiarkan oleh beberapa penerbitan tempatan termasuk The Malaysian Insider yang melanggan perkhidmatan Bernama.

"Saya menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa terdapat pengaruh-pengaruh yang amat berkuasa yang mahukan perkara ini berlaku. Ini kerana mereka mahu memusnahkan kredibiliti saya dan/atau melumpuhkan keupayaan saya untuk memberi keterangan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa memalsukan bukti berhubung kes mata lebam 1998 yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Mat Zain dalam satu kenyataan beliau.

Mat Zain yang bersara awal pada 2001 sebagai Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur berkata beliau percaya notis bankrap yang diterimanya ada hubungkait dengan rayuan yang dibuatnya kepada Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membersihkan namanya selepas SPRM memutuskan hanya Gani dan Musa didapati tidak terlibat dalam tuduhan kesalahan jenayah berhubung isu memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar.

"Saya mempunyai alsan untuk mempercayai bahawa pihak pendakwa menjangka Anwar akan menimbulkan isu pemalsuan bukti dalam kes mata lebam tersebut pada satu ketika dalam perbicaraannya kelak. Keterangan saya saya akan amat penting ketika itu. Opsyen yang ada pada mereka adalah untuk menjahanamkan kredibiliti saya.

"Walaupun kenyataan ini akan menyebabkan sedikit keresahan kepada saya dan keluarga saya namun saya menganggapnya sebagai satu rahmat dan ia hanya akan menguatkan lagi iltizam saya untuk mendedahkan segala kebenaran berhubung episod mata lebam ini.

"Percayalah, ini bukanlah satu-satunya kes di mana kedua-dua individu ini mempunyai peranan campur tangan. Terdapat banyak lagi kes yang sama tahap sensasinya. Kebenaran akhirnya akan timbul," kata Mat Zain.

Beliau mendakwa telah menyiasat kes mata lebam tersebut tanpa ragu atau takut dan kenyataan beliau telah dicatatkan sebanyak lima kali oleh agensi terdahulu daripada SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) apabila Anwar membuat laporan pada 1 Julai 2008 bahawa Gani, Musa dan Dr Abdul Rahman Yusof telah memalsukan laporan perubatan berhubung kes tersebut.

Walau bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mengumumkan pada 3 Mach bahawa tiga orang ahli panel bebas yang diketuai oleh Peguamcara Negara telah meneliti kertas siasatan dan mendapati Gani dan Musa tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan berhubung kes tersebut, lantas menyebabkan Mat Zain membuat rayuan terhadap keputusan panel itu.

"Saya bagaimanapun mempunyai alasan kukuh bahawa Perdana Menteri tidak diberi keterangan yang sebenarnya dan juga keseluruhan fakta mengenai isu ini. Sekiranya kebenaran didedahkan saya percaya Perdana Menteri akan bertindak dengan sewajarnya," kata Mat Zain lagi.

Mat Zain berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk meneliti isu bankrap tersebut kerana beliau mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis bagi mendengar saman yang difail pada 10 Ogos 2004 terhadap beliau oleh ahli perniagaan, Yap Thoong Choan, 72, dari Damansara Heights yang sepatutnya didengar di Mahkamah seksyen Bandar Baru Bangi bagi menuntut baki sebanyak RM250,000 daripada jumlah pinjaman yang gagal dilangsaikan.

Ahli perniagaan tersebut dalam kenyataannya berkata Mat Zain, 60, telah mengambil pinjaman berjumlah RM500,000 melalui perjanjian yang ditandatangani pada 22 Februari 2002 dan dipersetujui dalam perjanjian tersebut untuk membayar balik kesemua hutang pada atau sebelum 21 Ogos 2002.

Yap berkata setakat ini Mat Zain hanya membayar sebanyak RM250,000 daripada pinjaman tersebut. Surat tuntutan bagi baki RM250,000 bertarikh 14 Julai 2004 telah dihantar kepada Mat Zain tetapi gagal menjelaskan baki hutang tersebut.

Mahkamah Tinggi Shah Alam 21 April lalu mengeluarkan notis bankrap terhadap Mat Zain mengarahkan beliau membayar RM250,000 berserta bunga dan kos berjumlah RM288,824.92.

TVAntara

WAJAH SEBENAR CIF INSPEKTOR AZILAH HADRI

Inilah wajah sebenar Cif Inspektor Azilah Hadri yang menutup wajahnya gaya ala ninja sepanjang tempoh 159 hari perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Gambar yang disairkan dalam sebuah akhbar tempatan bertarikh 28 Mei 2009 menunjukkan muka beliau dari bahagian tepi kiri.

Azilah, 33. bersama rakannya, Koperal Sirul Azhar Umar, 37, di hukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam 9 April lalu apabila didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Altantuya.

Sebelum ini kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Oktober tahun lepas, penganalisis politik dan penasihat kanan Perdana Menteri Najib Razak itu dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Azilah dan Sirul Azhar telahpun memfailkan notis rayuan beberapa hari setelah keputusan Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan mereka mencatat beberapa rekod termasuk tempoh perbicaraan paling panjang membabitkan sejumlah 84 saksi.

Azilah direman di Penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar selama 895 hari.

TVAntara

HUKUM NAJIB, POTONG GAJI RM10.00 SEBAB TIPU RAKYAT

KDNK menguncup: Mahfuz tempelak Najib

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menempelak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan 1 negara kerana berbohong kepada rakyat.

Najib, tegas Mahfuz, telah berbohong kepada rakyat bila sebelum ini membuat kenyataan negara tidak akan terkena tempias krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.

Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat PAS kawasan Pokok Sena beliau mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz mengusulkan kepada parlimen yang akan bersidang pada 15 Jun nanti supaya menghukum Najib dengan memotong gaji Perdana Menteri itu sebanyak RM10.00.

"Parlimen perlu menghukum Najib yang telah berbohong kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara.

"Dato' Nazri yang menjaga hal ehwal parlimen perlu membawa usul tersebut bila Dewan Rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas Mahfuz.

Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal bila Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun ini.

Malah, tegas Mahfuz, Perdana Menteri telah mengakui KDNK negara akan mengalami pengucupan sebanyak 4 hingga 5 peratus sepanjang tahun ini.

Sebelum ini Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan teknikal.

Keadaan ini jelas beliau membuktikan slogan Satu Malaysia Najib gagal kerana pencapaian negara telah meleset.

Mahfuz juga mendesak supaya kerajaan menyediakan satu kertas putih untuk dibahaskan di Parlimen mengenai keadaan ekonomi negara kerana apa yang dijelas oleh Najib hari ini tidak dibahaskan secara khusus.

Mengulas kenyataan Najib yang mengatakan KDNK negara akan mengalami peningkatan pada suku terakhir tahun ini, Mahfuz menegaskan perkara tersebut mustahil akan berlaku.

"Bagaimana ia akan pulih jika suka pertama dan kedua sudah mengalami pengucupan yang teruk?" soal Mahfuz.

Mahfuz juga bersetuju jika ada cadangan supaya menteri kewangan ditukar.

Beliau menegaskan perlunya seorang menteri kewangan yang bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan pihak lain.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan agar tidak mengharapkan ekonomi dunia pulih sebaliknya perlu berusaha sendiri bagi mengatasi masalah ini.

HarakahDaily

Kegagalan Mahkamah Rayuan Kemuka Ulasan Bertulis, Bukti Konspirasi Badan Kehakiman

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kegagalan tiga hakim Mahkamah Rayuan sehingga kini untuk mengemukakan ulasan bertulis berhubung keputusan yang dicapai mereka 22 Mei lalu yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai penyandang jawatan yang sah membuktikan konspirasi dalam badan kehakiman menafikan hak beliau.

Berucap pada majlis penutup program puasa sunat dan mogok lapar di Pejabat PAS Negeri Perak di Ipoh yang berakhir petang semalam beliau bagaimanapun yakin keadilan di cari akan didapat diperolehi di Mahkamah Persekutuan nanti apabila rayuan dibuat.

"Kita tidak mahu berpegang kepada kuasa yang diberikan mahkamah namun kita ke istana untuk mohon bubarkankan. Begitu juga sila Zambry ke Istana jumpa Tuanku untuk bubar DUN.

"Dalam tempoh sekarang, akhir-akhir ini dengan karenah UMNO dan BN saya pun jadi marah, sampai mengigau saya marahkan kepada Speaker (Haram) Ganesan dalam tidur," kata beliau secara berseloroh.

Datuk Seri Nizar berkata rakan sejawatnya dari Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isteri turut meraikan mereka yang berpuasa malah seluruh rakyat Pulau Pinang menyokong perjuangan Pakatan Pakyat di Perak.

Beliau juga mengumumkan Ketua Menteri itu akan melakukan perubahan kepada Jalan Tun Perak di Pulau Pinang sebagai peringatan untuk mengabdikan perjuanganrakyat di Perak.

"Sebelum ini rakyat tidak merasa kehidupan rakyat pelbagai bangsa berlaku di Perak tetapi setelah kita memerintah Perak, ini yang UMNO cukup cemburu.

"Saya teringat sebelum ini saya dapati Dato' Ngeh cakap Bahasa Melayu pun tidak lancar, selepas bersama kita dalam Pakatan Rakyat dibuktikan malam ini dia bercakap dengan baik, kalau puluh tahun akan datang dia akan boleh hafal Quran dan hadith," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sambil tersenyum.

Menteri Besar juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan dakyah Umno dan Barisan Nasional yang mengaitkan DAP dengan fahaman komunis.

"Kita kena berjaga-jaga dengan tohmahan DAP sebagai komunis, jangan termakan tohmahan ini. Kita ada prinsip dalam Pakatan Rakyat" ini.

"Mudah-mudahan untuk menuntut pembubaran DUN Perak merebak ke seluruh dunia sehingga kepada pelajar-pelajar kita di Timur Tengah menghantar memorandum supaya dibubarkanDUN.

"Semua pihak bersetuju, yang tidak setuju cuma UMNO kerana mereka tahu mereka akan kalah teruk," tegas beliau kepada hadirin.

TVAntara

Waran Tangkap !!!

Seperti dimaklumkan semalam che’GuBard dihubungi oleh seorang yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Penyiasat Kanan IPD Seberang Perai Utara. Memberikan ‘arahan’ untuk hadir memberikan kenyataan di IPD Bukit Mertajam secepat mungkin kerana wujud ‘beberapa’ laporan polis terhadap ucapan che’GuBard.

Kemudian telah memaklumkan kepadanya che’GuBard akan hadir hari Jumaat. Oleh kerana semalam berada di Perak untuk berceramah dan selepas di Perak akan terus ke Kuala Lumpur.

Pagi ini terus ke pejabat sebelum tengahari dan petang bersama menjayakan program rakaman forum untuk TvSelangor dan TvAntara.

Namun kira kira 2.30 petang dimaklumkan sekumpulan anggota Polis telah hadir di rumah che’GuBard di Bangi dan Seremban. Kira jam 7 malam pula dimaklumkan oleh adik ipar Polis telah hadir dengan meminta disampaikan amaran supaya che’GuBard hadir esok juga ke IPD Bukit Mertajam kerana akan didakwa esok.

Kehadiran anggota polis beruniform dan lebih dari sekali mungkin untuk menakutkan dan mengganggu.

Disabitkan seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan seksyen 500 (1)(b) Kanun Keseksaan.

Tidak gentar dengan ‘ugutan’ regim yang berselindung disebalik polis maka esok che’GuBard akan hadir pada (Jumaat/ 29Mei) 3.30 petang.

Bn tidak bertanding tetapi terliur hendak masuk gelanggang. Masih ingat beberapa siri Pilihanraya Kecil yang lepas jika PAS bertanding maka keADILan akan dihalang buat program, tetapi di Penanti kali ini jelas PDRM/SPRM berat sebelah Umno diberikan permit buat program dan ceramah, malam tadi Umno buat program di Guar Perahu.

PerakExpress

Zambry Ikut Pakatan Rakyat Puasa Sunat

Mungkin tidak mahu ketinggalan dalam meraih pahala dan manfaat daripada kempen amalan puasa sunat anjuran Pakatan Rakyat, "Menteri Besar Mahkamah", Dr Zambry Abd Kadir juga terpanggil untuk menyahut seruan pemimpin Pakatan Rakyat yang menganjurkan supaya umat Islam Perak berpuasa sunat sejak hari Selasa.

Pakatan Rakyat juga menganjurkan mogok lapar bagi rakyat Perak bukan Islam dan kempen tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin di Wisma DAP di Ipoh dua hari lalu.

Dalam nada yang sama Dr Zambry juga mengesyorkan pegawai-pegawai awam di negeri Perak untuk bersama-sama berpuasa sunat seperti yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan satu majlis berbuka puasa juga diadakan di kediaman beliau petang tadi.

Namun menurut Dr Zambry amalan puasa anjuran beliau dibuat secara senyap-senyap berbanding dengan program puasa/mogok lapar Pakatan Rakyat.

Tidak pula beliau nyatakan fadhilat berpuasa dan berbuka secara senyap-senyap bersama-sama pegawai kerajaan di rumahnya berbanding pendekatan berpuasa sunat ala Pakatan Rakyat.

Walaupun amalan puasa sunat adalah satu usaha yang digalakkan bagi umat Islam untuk beribadah dan menyucikan jiwa mereka namun niat mengadakan puasa itu juga adalah penting.

Pakatan Rakyat menganjurkan kempen tersebut sebagai usaha rohaniah bagi merealisasikan doa rakyat Perak agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan secepat mungkin.

Untuk itu kempen tersebut telah menerima pelbagai tekanan pihak polis termasuk menangkap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, memunggah khemah perasmian kempen, menghalang serta mengugut penyokong Pakatan Rakyat daripada menghadiri acara yang berkaitan kempen tersebut.

Dr Zambry dan mereka yang turut berpuasa atas anjuran beliau mampu menikmati juadah berbuka puasa di ruang kediaman beliau dalam keadaan selesa, aman dan bebas daripada ancaman pihak polis; walaupun senyap tetapi tetap mewah.

Itulah yang membezakan amalan puasa sunat anjuran Pakatan Rakyat dan puasa sunat anjuran seorang "Menteri Besar Mahkamah".

Walau bagaimanapun sekiranya Dr Zambry sudah bersetuju dengan program puasa sunat/mogok lapar Pakatan Rakyat mungkin beliau secara "senyap-senyap" juga bersetuju dengan objektif Pakatan Rakyat iaitu membubarkan DUN Perak.

TvAntara