Tuesday, April 13, 2010

APCO : Laporan polis serentak seluruh negara esok

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 April : Pemuda Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis serentak jam 3 petang esok di semua ibu pejabat kontijen Polis seluruh negara berhubung isu APCO.

Mereka daripada Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan meminta siasatan dijalankan terhadap firma perunding APCO Worldwide dan pembabitannya dengan kerajaan Malaysia kerana bimbangkan pembocoran maklumat negara kepada pihak asing.

"Penglibatan APCO bagi kita memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

"Kita akan minta pihak polis siasat dan mengambil tindakan segera agar keselamatan dan kedaulatan negara terjamin," kata ketua DPP, Nasruddin Hassan ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, satu himpunan aman akan diadakan di masjid-masjid negeri di seluruh negara pada hari jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap penglibatan firma perunding yang didakwa ada kaitan langsung dengan Zionis Israel itu.

"Kita juga akan adakan demonstrasi serentak di masjid-masjid negeri 16 April ini sejurus solat jumaat," tambahnya lagi.

Sebelum ini beberapa laporan polis telah dibuat berkait isu sama di seluruh negara.

Antaranya dibuat Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Mariah Mahmood (Kota Raja) dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.