Saturday, July 11, 2009

Momentum 2008 dijangka kekal di Manek Urai - Timbalan Presiden

KUALA KRAI, 11 Julai (Hrkh) - PAS melihat momentum pilihan raya kecil pasca 2008 akan berulang di Manek Urai berdasar kepada perkembangan semasa yang berlaku.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, setiap kali menyertai pilihan raya kecil atau besar PAS mengharapkan kepada kemenangan.

"Kita InsyaAllah mampu menambah majoriti dengan mengambil kira keputusan pilihan raya kecil sebelum ini yang bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang akan turut memberi kesan di Manek Urai.

"Cuma tinggal dua hari lagi pilihan raya akan berlangsung. Kita melihat isu-isu tempatan sudah banyak dijelaskan oleh agensi kerajaan pusat dan negeri.

"Selain itu sudah banyak penjelasan yang dibuat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri," katanya ketika ditemui media selepas program solat sunat dhuha di perkarangan Masjid Kampung Peria di sini, hari ini.

Ribuan penduduk tempatan hadir menunaikan solat dhuha yang diimamkan Menteri Besar. Ia diadakan sempena program Bulan Sembahyang sekarang.

Menurut Nasharuddin isu royalti minyak biar pun kurang difahami penduduk tempatan namun melalui penjelasan yang dibuat boleh memberi kefahaman kepada mereka.

Sebaliknya kata beliau ia juga boleh memberi justifikasi kepada pemimpin Umno.

Ditanya ketidakhadiran pada awal kempen di Manek Urai katanya, beliau menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Serdang Khamis lepas.

"Saya menghadapi masalah usus dan keadaan badan saya masih lagi lemah. Namun alhamudillah saya dapat hadir sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini. Sebelum ini saya janji mahu berada di Manek Urai hari Sabtu dan hari ini saya tunaikan," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada keputusan dibuat Badan Perhubungan Negeri kurang memberi ruang kepadanya pada kempen hanya pada peringkat awal sahaja.

"Tetapi selepas melihat kepada perkembangan yang berlaku di peringkat bawah dan selepas Presiden pun ada di sini didapati banyak andaian-andaian sebelumnya tidak tepat. Saya telah diminta oleh Presiden dan Mursyidul am PAS supaya datang ke sini.

"Saya tidak dapat hadir pada hari penamaan calon disebabkan oleh masalah kesihatan. Dan alhamdulillah selepas operation saya boleh hadir ke sini," ujarnya.

Beliau juga berkata tidak berbanngkit isu-isu pada muktamar lepas pada pilihan raya kecil ini kerana ia lebih terarah kepada isu-isu tempatan.

Beliau juga memberitahu akan membuat penjelasan mengenai apa yang berlaku sebelum ini selepas pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, beliau mengambil sikap tidak menjawab segala isu yang timbul sebelum ini apabila mengambil kira media di Malaysia tidak bebas.

Beliau juga berkata, terdapat cabaran baru dalam perjuangan PAS sekarang apabila ada kemungkinan terkeluar sedikit daripada kerangka Islam ekoran tindak tanduk sesetengah pihak.

"Alhamdulillah dengan umur PAS yang sudah masuk 56 tahun sudah cukup matang untuk menangani isu-isu yang berlaku sekarang. Prinsip tidak akan berubah dan yang berubah ialah prinsip dan metodologi.

"Saya melihat mereka tidak ada isu sehingga ada pemimpin Umno yang mahu mencabar saya. saya tidak perlu jemputan kepada Umno untuk hadir berceramah. Organisasi PAS sudah cukup untuk mengatur segala program untuk saya," katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata, banyak usaha yang telah dilakukan arwah Paksu Wil di Manek Urai.

Begitu juga usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan melaksanakan pelbagai program.

"Jadi kita lakukan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh Paksu Wil," katanya.

Nasharuddin juga berkata, penduduk di Manek Urai berharap kepada penyelesaian kes-kes berkaitan kehidupan harian mereka sebagaimana dilakukan Allahyarham Paksu Wil.

"Personaliti yang ada pada Abe Uji boleh menjadi tarikan kepada pengundi," katanya.



HarakahDaily

Ahli Parlimen PAS akan lawat kawasan pelantar

Dato' Husam Musa memaklumkan perkembangan isu tuntutan royalti kepada media di Kg Laloh selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemborong Ikan Negeri Kelantan Cawangan Kuala Krai semalam.





klip video ehsan : jiwokelate2009

Royalti : Dato' Husam Musa ajak Mustapa debat

KUALA KRAI, 11 Julai (Hrkh) - Nampaknya pemimpin Umno sah terperangkap dengan isu royalti apabila cuba mengalihkan pula kepada Petronas bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat Kelantan.

Petronas seakan-akan menjadi kambing hitam memikul tanggungjawab tersebut. Sedangkan segala keputusan terpikul di atas bahu Perdana Menteri.

Maka mengambil kira polemik tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa mencabar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed berdebat mengenai isu royalti.

"Setakat yang kita dapati hujah undang-undang dan dokumen menyebelahi Kelantan.

"Sebab itulah kita cadangkan diadakan satu forum (debat) di Manek Urai, di mana Dato' Mustapa Mohamed mewakili kerajaan Malaysia dan Petronas dan saya mewakili kerajaan Kelantan," katanya ketika ditemui pada program Cakna Keluarga di sini petang tadi.


Husam juga berkata, pada 3 Ogos depan beliau akan menganjurkan lawatan bersama anggota parlimen Pakatan Rakyat meninjau kawasan pelantar Cekerawala.

Katanya, kita telah menempah bot laut dalam yang boleh memuatkan ramai penumpang dan ramai anggota parlimen Pakatan Rakyat akan dijemput.

"Saya juga hendak jemput Mustapa dan Khairy Jamaluddin bersama dalam tinjauan tersebut . Jadi kalau mereka bersungguh-sungguh hendak bersatu hendaklah mereka membayar royalti kepada kerajaan Kelantan.

"Ada masa lima enam jam di atas kapal itu kita boleh bincang masalah tersebut," katanya.

Beliau berkata, biar pun diminta Petronas menjawab tetapi beliau yakin kerajaan masih lagi mempunyai kuasa politik untuk mempengaruhi Petronas memberi jawapan politik.

"Jadi kita berharap Petronas tidak memberi jawapan politik dan memberi jawapan yang berasaskan undang-undang dan keadilan.

"Jadi tekanan politik adalah mustahak biar rakyat tahu dengan maklumat-maklumat dan mereka tidak boleh lagi menyembunyikan hak rakyat Kelantan," katanya.

Surat kepada Perdana Menteri bagi menuntut royalti dihantar sebulan lalu dan tiga bulan lepas Menteri Besar juga menghantar surat kepada Tan Sri Hassan Merican bagi mencadangkan pendaratan gas dari PM301 ke Bachok.

Lokasi yang dituntut ialah kawasan bersama Thailand - Malaysia dan tuntutan bersama itu ada di bawah satu akta yang diluluskan Parlimen pada 1990.

HarakahDaily

Ustaz Nasha berkempen di Manek Urai mulai hari ini

Akhirnya, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa muncul juga di Manek Urai dan berkempen membantu calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mulai hari ini.

Beliau tiba di Kelantan jam 9 pagi tadi dan turut serta dalam solat Dhuha bersama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Majlis sembahyang solat Dhuha itu diadakan di Sungai Peria, Manek Urai.

Nasharuddin dijadual menghadiri taklimat mengenai kempen pilihanraya di markas induk PAS Manek Urai pada jam 3 petang tadi.

Malam tadi, dalam ceramahnya, Hadi berkata timbalannya itu "uzur" dan tidak dapat datang membantu kempen calon parti itu di Manek Urai.

"Itu (disebabkan) uzur. Kalau dijemput pun (beliau) tidak boleh hadir, uzur," kata Abdul Hadi yang pertama kali turun berceramah di Manek Urai.

Presiden PAS itu diminta mengulas misteri "kehilangan" Nasharuddin setelah kempen pilihanraya masuk hari kelima.

Semalam, terdapat ura-ura Nasharuddin - yang ditegur Nik Aziz berhubung isu kerajaan perpaduan - telah tiba ke Kelantan.

Beliau dijadual menghadiri perhimpunan bantahan peraih dan pemborong ikan di Pasar Laloh (foto) bersama Nik Aziz petang semalam.

Bagaimanapun, sehingga program berakhir lewat petang semalam, timbalan presiden PAS itu tidak kelihatan.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Hadi berkata, timbalannya akan turun padang mulai hari ini dan enggan berehat walaupun baru lepas menjalani pembedahan usus semalam.

"Beliau tidak mahu berehat, mahu turun ke padang," katanya.


Cabaran Umno

Sementara itu, ditanya soal cabaran Umno supaya PAS membuktikan parti Melayu itu tidak Islam, Abdul Hadi berkata: "kita tidak boleh menentukan akidah seseorang".

"Apa yang penting, sikap dan tindakan (mereka) mestilah bersifat Islam. Kita berhadap saudara-saudara kita daripada Umno kembali ke pangkal jalan.

"Kita adalah satu bangsa, satu agama ... Kita mestilah melaksanakan Islam sebagaimana (diperintahkan) dalam al-Quran dan Hadis.

Dalam ucapannya sebelum itu, Abdul Hadi yakin PAS akan sekali lagi menang di kerusi DUN Manek Urai - yang dipegangnya sejak tahun 1959 dan hanya kalah sekali kepada BN pada tahun 2004 sahaja.

"Semua pilihanraya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka ini tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi tempat yang pakai molek,undi PAS," katanya.

Hadir sama berceramah ialah ahli jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu di Chucoh Puteri.

Mohamad dalam ceramahnya sebelum itu yakin, sokongan padu terhadap calon PAS daripada pengundi yang menetap di luar akan memastikan PAS mendapat lebih daripada 2,000 majoriti kali ini.

malaysiakini

Pemborong, penjual ikan kerja mulia dari 'kerja' rasuah amalan pemimpin UMNO

Tuan Guru Dato Seri Nik Aziz Nik Mat di Majlis Himpunan Pemborong dan Penajaja Ikan Negeri Kelantan, Laloh semalam.





BuletinOnline

Mana baik berniaga ikan atau rasuah?

MANEK URAI – Bagi seorang anak muda Abdul Rahim Jusoh, 38, kata-kata pemimpin UMNO yang memperlekehkan profesyen ‘Tok Peraih Ikan’ adalah dianggap ‘hodoh’.

Beliau yang telah menjadi ‘Tok Peraih Ikan’ sejak 10 tahun lalu di pasar Gunong, Bachok berkata tidak patut perkataan-perkataan seperti itu keluar dari mulut pemimpin parti yang dikatakan mengutamakan rakyat.

”Kita boleh hidup, boleh ‘pelihara’ anak dan bini dengan menjual ikan, tidak patut pemimpin UMNO merendah-rendahkan calon PAS ‘Ab Uji’ seorang pemborong ikan,”katanya yang ditemui selepas majlis Himpunan Pemborong dan Penajaja Ikan Negeri Kelantan di pasar Laloh disini petang semalam.

(Gambar kiri - Abe Uji terharu, seluruh pemborong dan penjaja ikan negeri Kelantan memberikan sokongan moral kepadanya)

Rakan sekerjanya Mat Kori Mat Ghani yang juga dari pasar yang sama turut hadir sebagai menyatakan bantahan kepada kenyataan pemimpin UMNO yang mengatakan seolah-olah Abe Uji tidak layak untuk menyaingi calon UMNO dalam pilihanraya kecil Manek Urai.


Mat Kori berkata, beliau berumahtanggga dan kini memunyai empat orang cahayamata adalah hasil dari perniagaan ikan yang diceburinya sejak 15 tahun lalu. (Gambar kanan - Rahim Jusoh dan Mat Kori)


Manakala Husin Hamid, 48, (gambar bawah) peniaga ikan dari pasar Tok Jembal, Kota Bharu berakat beliau ‘kecil hati’ apabila pemimpin UMNO melontarkan kata-kata yang dianggapnya sebagai ‘menghina’.


”Saya sudah berniaga, menjaja ikan sejak 25 tahun lalu, enaam anak saya besarkan dengan titik peluh hasil menjual ikan,

”tiga anak saya menjejeakkan kaki ke universiti dan saya dapat membina rumah sendiri dengan pendapatan menjual ikan, apa hinanya seorang ‘Tok Peraih’?,”soal beliau.

Sebelum itu, dalam majlis yang sama, Pengerusi Peniaga Ikan negeri Kedah, Zulifli Bidin tidak setuju dengan anggapan bahawa Abe Uji tidak layak menyaingi calon UMNO dalam pilihanraya kecil Manek Urai.

Beliau dan tiga rakannya datang memberikan sokongan moral apabila membaca berita seorang pemborong ikan telah diberikan amanah oleh pemimpin PAS untuk menjadi calon dan bertanding dalam pilihanraya.

”Saya telah berniaga ikan sejak kecil, saya tidak bersetuju dengan anggapan pemimpin UMNO, ia tidak adil dan tidak sepatutnya pemimpin UMNO berkata demikian,”jelasnya.

Turut berucap dalam Majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Azizi Nik Mat yang berkata, kerja menjual ikan adalah lebih baik dari kerja ‘rasuah’ yang menjadi amalan pemimpin UMNO.

Beliau berkata demikian sebagai resepon kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memperkecil-kecilkan profesyen calon PAS Abe Uji.

“Mana baik jual ikan dengan terima rasuah ? Parti dia (Muhyidin) ni sah terima rasuah, mana baik tetrima rasuah dengan menjual ikan ?

”Jual ikan ni halal, rasuah Islam pun kutuk, demokrasi pun kutuk, dia tak kata apa ketana dia berasa bangga dengan terima rasuah,”katanya.

BuletinOnline

Istana Khir : Madey mahu penjelasan!


Dr M : Isu Banglo Khir Boleh Jejas Moral Umno, BN

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kontroversi banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, boleh menjejaskan moral Umno dan BN.

Sehubungan itu beliau menggesa Dr Mohd Khir supaya menjelaskan punca pembiayaan rumah beliau yang dikatakan bernilai RM24 juta itu.

"Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak bolehlah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya," katanya.


Sebelum ini, ADUN DAP Sekincan, Ng Suee Lim membangkitkan isu pembelian dua lot tanah serta sebuah banglo mewah di Seksyen 7, Shah Alam oleh Dr Mohd Khir Toyo yang didakwanya berharga RM24 juta.

Media memetik Ng mendakwa jumlah itu tidak mungkin mampu dibiayai Dr Mohd Khir melalui pendapatannya selama lapan tahun menjadi menteri besar.

Bekas menteri besar Selangor itu, ketika diminta mengulas mengenainya, mengakui membeli dua lot tanah berserta sebuah banglo mewah terbabit tetapi dengan harga RM3.5 juta dan bukan RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ng.

100 hari pentadbiran Najib

Dalam pada itu mantan perdana menteri keempat itu yang menyambut ulang tahun ke-84 kelahiran beliau hari ini sempat berkongsi harapan:

"Hajat saya ialah melihat Malaysia di mana rakyatnya berfikir bahawa mereka adalah warga Malaysia dan tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat lain."

Sementara itu Bernama melaporkan, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas menjelang genap 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melahirkan rasa syukur kerana kepimpinan Najib semakin diterima oleh rakyat.

"Alhamdulillah kerana sokongan yang diberikan kepadanya semakin bertambah daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah kepada 65 peratus (berdasarkan kepada kaji selidik Merdeka Centre iaitu sebuah pusat penyelidikan tempatan).

"Ini bermakna beliau berjaya memimpin negara dengan dasar-dasar yang diumumkan olehnya dari semasa ke semasa.

"Selepas ini dasar-dasar tersebut akan mendapat perhatian rakyat dari segi pelaksanaannya, saya harap ia akan dapat dipertahankan," katanya.

TVA

Ahli, penyokong PAS diminta puasa sunat, solat hajat, 12 Julai

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli, penyokong parti serta mereka yang bersimpati dengan perjuangan Islam agar melakukan puasa sunat pada hari Ahad, 19 Rejab bersamaan 12 Julai nanti.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, dalam satu kenyataannya kepada Harakah, berkata puasa sunat bersempena pilihan raya kecil Manek Urai yang bakal berlangsung pada 14 Julai ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, pada sebelah malamnya diminta semua ahli PAS solat hajat dan bermunajat untuk memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan yang cemerlang kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Semua ahli PAS diminta melaksana arahan daripada Mursyidul Am dan Presiden itu.

"Kerjasama dan komitmen semua pihak bagi memastikan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil itu didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Khathira," ujarnya.



HarakahDaily