Monday, February 14, 2011

Taib dijangka bubar DUN Sarawak hujung minggu, temu Gabenor Jumaat


Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Jumaat ini untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri, kata sumber-sumber.

Sumber Astana Sarawak memberitahu The Malaysian Insider, pejabat ketua menteri telah pun menghubungi minggu lalu untuk mendapatkan tarikh pertemuan dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bagi pembubaran, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

Pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 2006.

Satu lagi sumber kerajaan negeri berkata pegawai-pegawai daerah juga telah diminta agar membekukan cuti kakitangan mereka mulai 19 Februari ini iaitu kemungkinan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Jika Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan ini, kemungkinan pilihan raya akan diadakan akhir Mac atau awal April.

Mandat semasa kerajaan negeri sepatutnya berakhir Julai ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari jika pembubaran diputuskan.

The Malaysian Insider semalam membawa laporan bahawa BN dilihat tidak cenderung untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya umum nasional dan negeri Sarawak secara serentak meskipun beberapa pemimpin negeri itu membawa idea tersebut pada mesyuarat perikatan itu Jumaat lalu.

Sehubungan itu, difahamkan pilihan raya negeri Sarawak akan didahulukan dan dijangka berlangsung awal April ini atau kemungkinan akhir Mac.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lalu turut membincangkan beberapa persediaan sebelum parti itu mengadakan Konvensyen BN Sarawak di Kuching pada 5 Mac ini.

Konvensyen itu nanti akan membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Najib juga memberitahu wartawan Taib sudah mendapat “inspirasi” untuk memanggil pilihan raya negeri.

Mengambil kira perkembangan terbaru ini tarikh pilihan raya negeri sudah semakin dekat.

Taib pula akan menyambut ulang tahun ke-30 mengetuai kerajaan negeri pada 26 Mac ini dan kemenangan kali ini akan menjadikan beliau ketua menteri paling lama berkhidmat.

Ada pihak yang beranggapan bahawa beliau mahu melengkapkan tiga dekad itu dengan kemenangan dan mandat baru.

Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden komponen terbesar periktan itu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) terus meletakkan pemerhati-pemerhati politik dalam situasi terus meneka dan membuat spekulasi mengenai tarikh pilihan raya negeri.

Selepas kembali dari menunaikan haji akhir tahun lalu, pemimpin berusia 74 tahun membayangkan bahawa beliau sudah menerima inspirasi bila perlu memanggil pilihan raya.

“Saya sudah ada inspirasi tetapi saya tidak akan memberitahu (tarikhnya),” kata beliau kepada pemberita November lalu.

Taib dikatakan berhadapan dengan tekanan daripada rakan-rakan dalam BN agar berundur ekoran kemerosotan popularitinya di sebalik dakwaan salah guna kuasa.

Kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu Mei lalu - dilihat sebagai referendum ke atas kepimpinan Taib - telah menyebabkan BN mula bimbang mengenai tapak pengaruhnya di Sarawak, negeri yang selama ini dilihat sebagai deposit hayat perikatan itu.

BN Sarawak mempunyai 63 wakil di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi dengan 35 dimenangi PBB, 12 dipegang Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan lapan masing-masing oleh Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif Sarawak.

Daripada baki lama kerusi, DAP mempunyai enam, PKR satu dan Bebas satu.

SPR mengumumkan kesediaan negeri itu mengadakan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa dengan berkata pihaknya sudah lama membuat persediaan.

BN dijangka mengekalkan negeri itu dengan majoriti selesa meskipun ada yang mengatakan DAP kemungkinan boleh memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan-kawasan bandar.

Seorang pemimpin DAP memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka juga mendengar kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri hujung minggu ini dan telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri,” kata seorang pemimpin DAP negeri.

TMI