Thursday, November 12, 2009

Tidak akan hadir esok, tidak tahu menahu - Dr Asri

Azamin Amin

Kemaskini jam 1.00 petang KUALA LUMPUR, 12 Nov : Bekas Mufti Perlis menyelar tindakan pihak JAIS yang menghebahkan kepada media bahawa akan di dakwa di mahkamah syariah esok sedangkan tiada sebarang surat rasmi atau makluman dokumen kepada beliau sendiri yang tidak tahu menahu pendakwaan tersebut.

"Sehingga kini saya tidak ada sesiapa yang menghubungi, hantar surat atau sebarang dokumen untuk meminta saya hadir di mahkamah syariah.

"Saya tidak akan hadir dan tidak boleh hadir kerana ianya tidak ikut prosedur yang betul. Kenapa dia hebahkan kepada media sedangkan mereka perlu maklumkan kepada saya terlebih dahulu.

"Saya sendiri tidak tahu menahu," katanya ringkas ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.


Beliau yang kesal dengan sikap JAIS yang bertindak 'melangkaui' bidang kuasa dengan menjadi penghebah, penangkap, penguatkuasa, pendakwa dan penghukum dalam masa yang sama.

"Sikap dan tindakan melampau inilah yang menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap kewibawaan pihak institusi agama seperti JAIS yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka," katanya

Semalam, menurut laporan portal berita beliau dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur Jumaat ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah, kata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Penolong Pengarah Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".

Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.

Mohd Hidayat berkata, JAIS akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'.

"Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.

Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu.

Harakahdaily

PAS dedah hasil siasatan 'bai'ah talak' esok

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Nov : Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan hasil siasatannya berhubung dakwaan wujud bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga dalam PAS esok.

Pendedahan itu akan dibuat pada satu sidang media yang akan diadakan di bangunan PAS, Jalan Raja Laut jam 11.00 pagi.




Beliau sebelum ini telah diarah oleh Presiden Parti, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyiasat dakwaan terbaru itu setelah beberapa media perdana dan laman blog membangkitkan perkara tersebut.

Perkara itu didakwa timbul selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan beberapa blogger.

Kemudiannya mendapat liputan meluas sehingga PAS diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

Selain Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz serta Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub turut menafikan dakwaan tersebut.

Ianya kerana Majlis Syura Ulama tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar yang menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah sedemikian.

Mereka juga berpendapat, isu ini hanya sengaja dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan PAS.

video ehsan : tvpas09

JAIS menangkap Dr Mohd Asri seolah-olah `menangkap penjenayah besar yang mengganas` - Tun Dr. Mahathir

“Seramai 30 anggota polis dan 20 lebih anggota Jais telah melakukan tangkapan ini.

Ternampak seolah-olah Asri ini seorang penjenayah besar yang mungkin mengganas apabila ditangkap.

“Tetapi beliau tidak pula memberontak. Sebaliknya beliau turut sahaja tanpa bantahan yang keras,”



Asri bukan penjenayah besar yang ganas : Dr Mahathir

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang seolah-olah `menangkap penjenayah besar yang mengganas`.

Katanya, beliau berdebar apabila membaca berita penangkapan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu yang kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

“Seramai 30 anggota polis dan 20 lebih anggota Jais telah melakukan tangkapan ini. Ternampak seolah-olah Asri ini seorang penjenayah besar yang mungkin mengganas apabila ditangkap.

“Tetapi beliau tidak pula memberontak. Sebaliknya beliau turut sahaja tanpa bantahan yang keras,” katanya dipetik dari laman blognya, semalam.

Asri ditahan Jais kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang 1 November lalu.

Katanya, beliau turut difahamkan bahawa masih tiada sebarang pertuduhan dikenakan oleh Jais terhadap Asri.

“Apakah tidak ada ‘due process’ dalam penguatkuasaan undang-undang Islam di negara ini. Apakah mereka yang diberi kuasa dalam melaksanakan hukum Islam boleh dengan sewenang-wenangnya menangkap sesiapa sahaja. Saya tidak nafi ajaran sesat al-Arqam, Ayah Pin dan Rasul Melayu perlu diawasi dan disekat,” katanya.

Menurutnya, penguasa agama juga jangan terlalu ghairah mengharamkan syarahan agama oleh orang yang tidak sebulu dengan mereka tanpa membuktikan ajaran itu memang bertentangan dengan Islam.

“Janganlah terlalu cepat nak tangkap orang,” katanya.

Beliau juga keliru apabila membaca tulisan seorang pengkritik yang mengaitkan kesalahan ceramah Asri yang hanya berpandu kepada al-Quran dan hadis, tidak kepada ijmak ulama Sunnah Wal Jamaah.

“Kita diberitahu ulama adalah pewaris Nabi tetapi mereka bukanlah Nabi. Mereka hanya manusia biasa walaupun terpelajar dalam agama Islam. Manusia biasa boleh membuat kesalahan termasuk kesalahan mentafsir.

“Sebab itulah terdapat banyak tafsiran yang amat berbeza antara mereka sehingga berlaku permusuhan dan peperangan antara pengikut mereka. Ini bermakna ada diantara tafsiran mereka yang mungkin tidak betul,” katanya.

Menurutnya, di negara ini terdapat banyak perbezaan pendapat walaupun menerima fahaman Sunnah Wal Jamaah yang dibawa oleh Imam Syafie.

“Di antara sembilan negara dan satu wilayah di Malaysia terdapat banyak perbezaan dari hukum dan ajaran Islam. Hendak tentukan Hari Raya pun terdapat perbezaan pendapat,” katanya.

Menurutnya, beliau pernah dikecam apabila menulis di bawah tajuk ‘Hukum Allah’ berkenaan apabila sesuatu yang didakwa adalah hukum Allah sama ada benar ia adalah hukum Allah.

“Nampaknya agama Islam di Malaysia ini tidak boleh disoal barang sedikit pun, walaupun untuk mendapat penjelasan.

“Teringat saya akan ’Islam Hadhari’ yang saya dimaklum adalah Islam yang sesuai untuk zaman ini, iaitu Islam moden. Apakah ia sebahagian daripada kepercayaan ahli Sunah wal-Jemaah?

“Jika ya, orang Islam di Malaysia kena masuk Islam Hadhari. Jika tidak apakah tindakan yang perlu diambil oleh penguasa agama Islam terhadap ajaran Islam Hadhari?” katanya.

SinarHarian

Budget Era Zambry Lanun - Budget Perak Budget Penyamun!

Batu Gajah 09 November 2009 - Dalam ceramah umumnya disini Isnin lepas, Dato' Haji Mahfuz Bin Omarr, Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan Belanjawan Kerajaan Negeri Perak untuk tahun 2010 adalah sebagai Belanjawan Penyamun. Budget yang dibentang dalam masa 20 minit dan diluluskan terus tanpa pembahasan itu dikatakan seolah-olah seperti ketika penyamun yang diserbu polis.

Menurutnya lagi, Belanjawan Negara 2010 yang dibentangkan oleh PM Malaysia, mengambil masa lebih kurang 20 hari untuk dibahaskan sebelum diluluskan. Manakala di negeri Kelantan, sesi pembentangan belanjawan dan pembahasan mengambil masa sehingga 4 hari sebelum diluluskan seperti yang berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.

Namun akibat masalah yang timbul selepas krisis rampasan kuasa, pihak kerajaan negeri Perak yang ada sekarang seolah-olah mengambil mudah tentang mengenai belanjawan ini dan dia menyatakan kekesalan terhadap apa yang berlaku di negeri Perak.





sumber : daristesyenmaya, PerakExpress

Bersama Intifadah Mempertahankan Baitul Maqdis


PAS melihat masyarakat hari ini sudah kurang kepekaan terhadap permasalahan umat Islam, khususnya isu yang melibatkan Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis. Sedangkan, isu ini sewajarnya menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga tanah suci Baitul Maqdis yang di atasnya terletak Masjidil Aqsa yang berkat.




Thursday, 12 November 2009 01:39 Editor

- Kenyataan Media Lajnah Pendidikan Pas Pusat
Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPP) melihat masyarakat hari ini sudah kurang kepekaan terhadap permasalahan umat Islam, khususnya isu yang melibatkan Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis. Sedangkan, isu ini sewajarnya menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga tanah suci Baitul Maqdis yang di atasnya terletak Masjidil Aqsa yang berkat.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Isra’, ayat 1, yang bermaksud:
“Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”


1. Peristiwa meletakkan replika Haikal Sulaiman di kawasan Masjidil Aqsa merupakan suatu penghinaan besar kepada Umat Islam.

2. Serangan ke atas Ghaza dan kepungan yang dilakukan dengan kerjasama Amerika dan Mesir turut menjadi suatu tragedi yang sangat menyayat hati. Sehingga banyak kes kelaparan dan kebuluran melanda. Bekalan ubat-ubatan juga disekat.

3. Mahmoud Abbas dan FATAH bersekongkol untuk ‘menjual’ Palestin bagi memuaskan nafsu dan kuasa mereka. Tindakan mereka itu sama sekali tidak menghormati Islam dan rakyat Palestin.

4. Sikap membisu OIC dan negara Islam lainnya menambah lagi duka saudara kita di Palestin.

Program yang dinamakan “Bersama Intifadah Mempertahankan Baitul Maqdis” ini secara objektifnya adalah:

Sebagai suatu cara LPPP mendidik rakyat meneruskan rasa tanggungjawab mereka terhadap isu di Palestin.

Melihat semangat Palestin untuk dibawa dalam kehidupan seharian terutamanya dalam melahirkan semangat berkorban dan menyumbang.

Bersama-sama NGO yang sama-sama prihatin kepada Palestin menggembeling tenaga sokongan.

Menunjukkan sikap PAS sebagai sebuah jemaah Islam yang sentiasa prihatin dengan permasalahan umat Islam.

Antara program yang dirancang sepanjang program ini adalah

1. Ceramah Kesedaran ke seluruh negara.

2. Persidangan Meja Bulat NGO-NGO di Malaysia untuk bersama Intifadah

3. Demonstrasi Aman

4. Memungut derma sokongan


Sempena pelancaran, suatu ceramah pelancaran akan diadakan pada 13 November ini di Masjid Rusila, jam 9.00 malam. Penceramah terdiri daripada :

1. YB. Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS,

2. Ustaz Hj. Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,

3. Bapak Ferry Nur, Ketua Komite Indonesia Untuk Solidaritas Palestina (KISPA),

4. Naji Za al-Farhi, Hamas Representative at Malaysia.

Sehubungan itu, LPPP berharap semua pihak dapat menghebahkan program ini seterusnya menjadi amal kita yang dinilai oleh Allah swt atas sifat kita yang prohatin sesama umat. Wallahua’lam.

Dato’ Abu Bakar bin Chik,
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat


BuletinOnline