Ranking CPI rendah: "Tangan kita terbelenggu" – Nazri
FMT Wed, Oct 27, 2010KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak berupaya untuk memperbaiki persepsi rakyat berhubung dua kes berprofil tinggi yang mencemar imej negara seperti tercatat dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang didedahkan semalam.
Dua kes berprofil tinggi itu ialah skandal video V K Lingam dan Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Nazri berkata, walaupun beliau kecewa dengan keadaan ini, di mana rating Malaysia jatuh dari 5.4 kepada 4.4, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk memperbaiki persepsi negatif orang awam terhadap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
Menurut menteri undang-undang itu, dua kes tersebut adalah di luar kawalan kerajaan dan "kita tidak boleh berbuat apa-apa."
Semalam, Transparency International Malaysia (TI-M) mendedahkan kerajaan menunjukkan "kemajuan yang lembab" dalam menangani skandal PKFZ dan sikap berdiam diri Peguam Negara dalam isu pelantikan kehakiman yang didakwa dilakukan oleh V K Lingam.
"Saya bersetuju dengan (TI-M) tapi semua persepsi buruk tentang PKFZ, adalah di luar kawalan kami. Kes ini sudah berada dalam mahkamah dan saya yakin ini merupakan salah satu sebab persepsi negatif terhadap kami dan tidak ada apa-apa yang boleh kami lakukan," katanya.
Berhubung kes Lingam, beliau berkata perkara ini telah dibawa untuk pengetahuan Peguam Negara dan berada di luar kawalan kerajaan. Lagi pun, beliau berpendapat tiada sebab untuk mendakwa peguam tersohor itu.
Peguam Negara bertindak bebas
"Oleh kerana Peguam Negara bertindak secara bebas. Tapi sudah tentu, bagi pendapat saya, tidak ada kes untuk mendakwa Lingam.
Sebab, saya fikir perbualan tersebut tidak mempengaruhi pelantikan hakim-hakim tertentu.
"Dan tidak ada elemen rasuah kerana beliau bukan ditahan dengan wang. Jadi tidak ada bukti (untuk mendakwa beliau). Jadi apa boleh buat…….nasib Malaysialah," katanya.
Berdasarkan hal ini, Nazri menegaskan bahawa kerajaan tidak semestinya perlu campur tangan dalam sesetengah kes, hanya kerana untuk memperbaiki rating.
"Kita tidak boleh mendakwa seseorang dengan sewenang-wenangnya apabila tidak ada kesalahan yang dilakukan. Kita tidak boleh mendakwa Lingam dengan mudah, hanya untuk meninggikan dengan .1 atau .2 dalam mata rating.
"Kita tidak boleh berbuat apa-apa tentang PKFZ kerana kes ini berada dalam tangan kehakiman. Dan campur tangan dalam sistem kehakiman akan memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kerajaan," terang beliau.
"Saya tidak buat hanya untuk meningkatkan rating itu. Saya tidak akan campur tangan dalam kes pendengaran PKFZ. Kes itu harus dibiar mengambil masanya kerana perbicaraan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan keputusan yang tidak adil.
Nazri sokong tender terbuka
Sungguhpun "tangan kerajaan terbelenggu" dalam kedua-dua kes ini, Nazri masih menaruh harapan dengan menyatakan beliau akan menyokong sistem tender terbuka untuk pemberian kontrak-kontrak kerajaan, seperti yang disarankan oleh TI-M.
"Saya pasti akan menimbulkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet atau melalui Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) supaya kita dapat melaksanakan tender terbuka dengan seberapa segera dan mana-mana projek rundingan terus hendaklah diberhentikan segera.
Beliau bagaimanapun, cepat mempertahankan Perdana Menteri Najib Tun Razak, yang baru-baru ini menyatakan bahawa tidak semua projek mega kerajaan boleh diberi menerusi tender terbuka.
"Sudah tentu PM mempunyai alasannya. Mungkin, kita hendak mempercepatkan projek itu tapi saya fikir kita perlu mengatasi masalah ini dengan membuat proses pembelian secara telus.
"Sebagai contoh, dengan menghebahkan kepada orang ramai mengenai sebab sebenar, amaun kontrak yang ditawarkan kepada orang yang mendapat kontrak itu, supaya rekod pencapaiannya dapat diakses orang ramai.
"Ini merupakan salah satu cara kita dapat mengatasi (rasuah)," tambah beliau.
Dr Asri : 'Hantu' mana curi wang zakat kita?
Mkini Okt 27, 10 3:13pm Kongsi Ekoran laporan audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan eset Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa 'mengesahkan' wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.
Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) berkata, laporan Jabatan Audit Negara - antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik - memerlukan penjelasan dan jawapan sejauh mana ketepatannya.
"Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan.
"Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
"Ke mana pergi segala peruntukan ini?" soal pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan.
Miskin terus merempat
Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.
Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki.
Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.
"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban?
"Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.
Sehubungan itu, tokoh ulama yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, fungsi zakat perlu dimuhasabah semula sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.
Ambil kesempatan asnaf amilin
"Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu (yang) didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.
"Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud di pelbagai negeri, sementara kemewahan PUZ (Pusat Urus Zakat) juga ternyata (berlaku) di pelbagai negeri.
"Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf amilin (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan," kata Dr Mohd Asri.
Menurut beliau, kewujudan kes seperti itu mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti "institusi-institusi yang berjenama agama".
"Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan," katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berpendapat, perubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan tersebut.
"Itu pun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang," tambahnya lagi.