Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Galas bakal menyaksikan satu lawan satu manakala pertandingan tiga penjuru di PRK parlimen Batu Sapi
Di Gua Musang, calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusof yang paling awal tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang.
Beliau tiba di pusat penamaan pada 9.05 pagi, diiringi oleh Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Naib Presiden MCA Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Turut mengiringi beliau ialah Naib Presiden Ahmad Zaid Hamidi, ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom, Ketua Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad tiba jam 9.30 pagi, di iringi di antara lain, oleh Presiden parti Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Mahfuz Omar, Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PKR Azmin Ali.
Para penyokong berkumpul di sepanjang jalan ke pusat penamaan calon seawal jam 7.30 pagi, membawa bendera dan sepanduk parti, untuk menyokong calon masing-masing.
Kedua-dua penyokong BN dan PAS dipisahkan oleh zon keselamatan 100 meter di luar pusat penamaan calon.
PRK Galas terpaksa di adakan semula berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat penyakit barah usus pada 27 September lalu.
Terdapat 11,553 pengundi berdaftar di Galas, meliputi 7,125 Melayu, 2,317 Cina, 185 India, 10 Siam dan 1,889 Orang Asli.
Pertandingan tiga penjuru
Sementara itu di Sandakan, proses penamaan calon untuk kawasan parlimen Batu Sapi juga bermula jam 9.00 pagi di Dewan Komuniti Sandakan.
Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengetuai para penyokong BN ke tempat penamaan calon manakala PKR diketuai oleh Presiden Wan Azizah Wan Ismail.
Para penyokong parti pembangkang Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP) diketuai oleh presiden parti dan juga bekas ketua menteri Yong Teck Lee, yang juga merupakan calon pilihan raya kecil ini.
BN menamakan Linda Tsen Thau Lin, 54, balu mendiang ahli parlimen Batu Sapi Edmund Chong, sebagai calonnya manakala PKR memilih peguam Ansari Abdullah, 56, sebagai calonnya.
Cuaca di pusat penamaan calon adalah baik dengan para penyokong calon masing-masing berkumpul seawal terbitnya matahari dan tiba di pusat itu jam 8.30 pagi.
Sekumpulan anggota polis dikerahkan untuk mengawal trafik dan memastikan tidak berlaku insiden yang tidak diingini di sekitar jalan pantai yang sempit menuju ke pusat penamaan calon.
Kerusi parlimen Batu Sapi menjadi kosong berikutan kematian Edmund Chong, wakil rakyat dua penggal kawasan itu kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.
Chong memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dengan majoriti 3,708 undi, menewaskan calon bebas Dr Chung Kong Wing. Chong mendapat 9,479 undi berbanding Dr Chung mendapat 5,771 undi. Beliau memenangi kerusi yang sama tanpa bertanding pada PRU 2004.
Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi berdaftar dan dari jumlah itu, seramai 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos.
Sejumlah 15,099 atau 59.02 peratus pengundi adalah Bumiputera Muslim, 689 Bumiputera bukan Muslim (2.7%), 9,737 Cina (38%) dan lain-lain (0.22%).
Hari mengundi di kedua-dua tempat, Galas dan Batu Sapi diadakan serentak, hari Khamis 4 November depan.
FMT