Tuesday, May 26, 2009

1Malaysia – Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaludin Nizar Gesa Najib Mendahulukan Kehendak Rakyat Perak

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato’ Seri Nizar Jamaludin menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak mendahulukan kehendak rakyat sebagaimana dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata kehendak seluruh rakyat negeri Perak kini adalah mahukan satu pilihanraya bagi memilih kerajaan yang baru.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak (mahu) mendahulukan kehendak rakyat, sebagaimana di uar-uarkan 1Malaysia, rakyat didahulukan,

“maka kehendak rakyat negeri Perak melalui kajian yang kita buat, semuanya menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak mahukan hak mereka diberi untuk memilih kerajaan baru,”katanya ketika merasmikan program ‘Puasa dan Mogok Lapar’ Pakatan Rakyat Perak, di Ibu Pejabat DAP, disini, hari ini.

Katanya, mahkamah bukan institusi untuk menentukan siapa kerajaan, siapa Menteri Besar, tetapi ia adalah saluran untuk mentafsirkan undang-undang.

Tetapi penentu mutlak, katanya, adalah rakyat yang akhirnnya yang akan menjadi yang mahkamah sebenar.

Oleh itu, beliau berkata biarlah rakyat yang memilih kerajaan yang adil.

Menyentuh tentang program puasa ataupun mogok lapar yang dianjurkan, beliau berkata, apa jua nama yang diberikan kepada program itu adalah terpulang kepada tatacara, budaya dan agama serta bangsa masing-masing.

“Terpulang kepada peraturan, tatacara, budaya, agama dan bangsa masing-masing, tidak ada paksaan,

“bagi saya sebagai pemimpin PAS, menggalakkan orang-orang Islam berpuasa oleh kerana hari ini adalah 1hb Jamad-Al-Akhir, (dimana) pada 1hb disetiap bulan disunatkan kita berpuasa puasa sunat mutlak,”jelasnya.

Menurutnya dengan melaksanakan puasa sunat dan solat hajat serta berdoa memohon keredhaan Allah, membuka hati-hati manusia dan ditunjukkan kebenaran, semoga rakyat diberikan hak untuk memilih kerajaan yang baru.

Dalam majlis yang sama, Nizar mewakili Pakatan Rakyat negeri Perak menerima sumbangan kewangan sebanyak RM200,000.00 daripada Ir. (B) Koon Yew Yin, pesara Lembaga Air Perak bagi meneruskan perjuangan menghadapi persiapan pilihanraya yang akan datang.

artikel asal : BuletinOnline

Speaker V. Sivakumar Antara 19 Yang Ditahan, Sedang Siasat Di IPK Ipoh

Speaker V. Sivakumar adalah antara 19 orang yang ditahan oleh pihak polis ketika pelancaran mogok lapar di Wisma DAP jam 11.00 pagi tadi.


Selain itu turut ditahan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat MP M Kulasegaran dan enam wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Keshwinder Singh (DAP-Malim Nawar), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Chang Lih Kang (PKR-Teja), Leong Mee Meng (DAP-Jalong), Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (DAP-Menglembu).

Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim memaklumkan dalam blognya bahawa kesemua yang ditahan kini berada di IPK Ipoh untuk soal siasat.

"Saya menemui ADUN Sungkai Sivanesan sebentar tadi dan dia memaklumkan dia telah cuba memohon dan merayu kepada pengawal pintu masuk IPK Ipoh untuk masuk menghantar ubat kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat,Kulsegaran namun tidak dibenarkan.

"Difahamkan YB. Kula sejak beberapa hari ini mengalami masalah kesihatan. Bayangkan untuk masuk menghantar ubat juga tidak dibenarkan," katanya

Sebelum ini, lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini jam 7 pagi tadi.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelancaran tersebut dan ditulis dengan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN' .

HarakahDaily

Blog Parti Komunis Malaya (PKM) Jawab Balas Rais Yatim

Blog bekas gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi sasaran kecaman Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam menjawab balas kenyataan keras menteri penerangan hari ini.

Penulis blog tersebut yang memperkenalkan dirinya Mat Amin menyifatkan usaha menghalang penyebaran sejarah perjuangan bersenjata mereka sebagai "tidak demokratik" dan "tidak profesional."

Mat Amin - yang mendakwa bekas gerila Rejimen ke-10, seksyen tentera Melayu PKM - menjelaskan sumbangan, suka dua dan perkembangan pasukannya itu termasuk di kampung perdamaian di Sukhirin di selatan Thailand.

Selain mempertikaikan kenyataan Dr Rais yang ingin membawa penyebaran positif sejarah komunis ke jemaah menteri esok, blog yang sama memuatkan beberapa foto pertemuan pemimpin besar rejimen tersebut beberapa tokoh negara, termasuk Sultan Perak.

Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah dilihat bergambar dalam dua keping foto - masing-masing dengan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar dan bekas menteri luar bandar Datuk Aziz Samsuddin pada Disember 2007 di satu majlis.


Sekeping lagi memuatkan gambar rombongan Abdullah diterima menghadap Sultan Azlan Shah pada Disember 1998.

Selain ingin membangkitkan isu blog komunis dalam mesyuarat kabinet, Dr Rais juga menggesa orang ramai agar tidak "terburu-buru mengikuti dan meminati penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme."

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," beliau dipetik berkata.

Dr Rais juga berkata "tiada tempat untuk golongan komunis di negara ini" sewaktu mengulas seruan agar kerajaan membenarkan pemimpin utama PKM Chin Peng kembali ke Malaysia.

Mat Amin sendiri tidak menduga blognya akan mendapat perhatian besar dan menjadi topik hangat. Akhbar Utusan Malaysia hari ini menjadikan kenyataan menteri itu laporan utamanya.

"Dengan tidak diduga, blog Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam telah menjadi topik panas saat ini," katanya.

"Bahan-bahan yang kami paparkan adalah bahan asli yang tidak diputar belit. Apakah ini salah?

"Dalam zaman moden dan demokratik ini, rakyat patut diberi hak untuk mendapat atau menerima maklumat dari perspektif-perspektif yang berlainan malah bertentangan supaya mereka boleh membuat tafsiran-tafsiran yang lebih seimbang serta objektif."

Menurutnya lagi, dalam proses perjanjian damai PKM pada 1989, kerajaan Malaysia pernah menyatakan "ia mengakui sumbangan PKM untuk kemerdekaan, tetapi tidak boleh membuat kenyataan tersebut secara terbuka, biar ahli-ahli sejarah memberi penilaian masing-masing, kerajaan tidak sekat."

"Usaha-usaha yang menghalang mana-mana pihak menceritakan perjuangannya yang sebenar adalah tidak profesional, tidak demokratik dan tidak jujur serta tidak adil," coretnya lagi.

artikel asal : malaysiakini

Mogok Lapar: 8 MP, ADUN Ditahan

Lapan wakil rakyat pembangkang termasuk ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran ditahan polis selepas perasmian mogok lapar Pakatan Rakyat untuk mendesak DUN dibubarkan.

Mereka antara 14 orang yang ditahan pagi ini, termasuk lima pekerja syarikat pengurusan acara yang sedang menyiapkan khemah untuk acara tersebut.


Kelima-lima ditangkap di depan Wisma DAP di Ipoh selepas jam 6 pagi ini. Tiada maklumat lengkap diperolehi tentang status mereka, setakat ini.

Belon udara besar dengan tulisan 'Bubar DUN' turut dirampas. Difahamkan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh cuba meruntuh khemah untuk majlis pelancaran tetapi tidak meneruskan niat mereka.

Sekurang-kurangnya 50 anggota polis termasuk yang berpakaian biasa dan pasukan pencegah rusuhan kelihatan di sekitar ibu pejabat DAP negeri itu.

Pakatan Rakyat melancarkan mogok lapar selama 72 jam di ibu pejabat DAP itu mulai 11 pagi bagi mendesak dewan dibubarkan untuk memboleh satu pilihanraya negeri dipanggil sebagai langkah penyelesaian kemelut politik yang berlarutan sejak Februari lalu.

Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar dijadual melancarkan dan menyertai mogok tersebut.

Beberapa ADUN Pakatan dan penyokong DAP, PAS dan PKR dijangka menyertainya sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa BN.

Mogok lapar ini akan berakhir di pejabat PAS Perak petang Khamis ini.

Empat Calon UMNO Rebut Tempat Di DUN Manek Urai

Biar pun tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai belum ditetapkan, namun suasana 'panas' mulai melanda Umno.

Usaha-usaha melobi untuk menjadi calon sudah mulai kelihatan secara jelas sekarang.

Malah, ada di antara mereka yang sudah bergerak keluar masuk kampung sejak mendengar berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub jatuh sakit.

Dan pergerakan mereka menjadi semakin rancak selepas kematian Paksu Mail pada Jumaat lepas.

Penduduk memberitahu bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar sudah bergerak di banyak tempat menemui orang ramai. Tempat menjadi pilihannya di kedai-kedai kopi.

Sabtu lalu perjumpaan diadakan di Kampung Budi.

Selain itu, Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Mamat juga disebut-sebut bakal dicalonkan memandangkan beliau orang tempatan yang tinggal di Kampung Manek Urai Lama.

Beliau dikatakan mempunyai peluang lebih cerah berbanding Zulkifli yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan di Bahagian Umno Kuala Krai.

Selepas gagal memenangi jawatan Naib Ketua bahagian tersebut pada mesyuarat agung Umno tahun lepas, Zulkifli tidak dilantik memegang sebarang jawatan, biar pun beliau bekas Ketua Pemuda Umno.

Menurut sumber peluang Rohani lebih terbuka memandangkan adiknya, Hanafi Mamat baru dilantik sebagai Bendahari Perhubungan Umno Kelantan.

"Seorang lagi yang disebut-sebut iaitu Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Dato' Ramzi Abdul Rahman.

"Beliau sudah beberapa kali datang ke Manek Urai termasuk membawa Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed ke rumah Paksu Mail kelmarin," katanya di sini.

Selain itu, Naib Ketua Umno bahagian, Abdul Jalal Che Muda juga turut disenaraikan.

Kehadiran Rohani tentunya menggugat gerak kerja sudah dilakukan Zulkifli yang mana sebelum ini berpotensi untuk dicalonkan semula.

Sementara itu, PAS kini sudah menggerakkan jentera pilihan raya, di mana bilik gerakan Majlis Tindakan Dun (MTD) Manek Urai sudah beroperasi sepenuhnya.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, mesyuarat MTD Manek Urai diadakan malam kelmarin di Kampung Manek Urai lama yang dihadiri semua jawatankuasa dan petugas.

"Jentera-jentera di peringkat peti undi juga sudah diarahkan mengadakan mesyuarat bagi menyusun gerak kerja," katanya yang mengetuai jentera pilihan raya tersebut.

Menurutnya juga penyokong di peringkat akar umbi tidak sabar-sabar lagi membuka pos-pos di kampung masing-masing.

Kata beliau setiap hari ada yang datang menanyakan bila pos boleh dibuka untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut tidak lama lagi.

Dun Manek Urai mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu Temalir, Sungai Perial, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.

Pada pilihan raya lepas PAS menang dengan majoriti 1,352 undi dan pilihan raya sebelum itu BN mengatasi PAS dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi.

HarakahDaily

DULU TANPA SEGAN SILU BUAT OPEN STATEMENT NAK LOMPAT, SEKARANG LABEL ORANG HIPOKRIT!

Layakkah Ibrahim Ali label Pakatan hipokrit?

Tiba-tiba saja bersipongang di serata negara seruan agar semua pihak akur dan menghormati keputusan mahkamah. Semua pihak diharapkan dapat menerima hakikat yang diputuskan institusi kehakiman itu, sama ada memihak kepada mereka atau sebaliknya.

Serentak itu juga pihak yang tidak menang diingatkan agar jangan terus berusaha memanjangkan isu yang mereka anggap telah selesai. Kata mereka, rakyat sudah bosan melihat pertikaian ini. Kini, akhirnya telah terbukti dan telah sah siapa betul dan siapa salah.

Itulah gambaran betapa hipokritnya mereka ini, bukan? Isu dimaksudkan ialah pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah. Mereka itu pula ialah para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN).

Kenyataan mereka dalam nada itu hanya tingkah-meningkah setelah keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat (22 Mei) memihak kepada BN.

Sedangkan seruan dan sikap serupa tidak mereka pamerkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu. Mengapa ketika itu tidak dikatakan kebenaran telah terbukti dan semua pihak jangan lagi memanjangkan itu tersebut?

Sebaliknya, BN selaku pihak yang kalah tidak bertangguh untuk membantah keputusan tersebut. Mereka tidak mengambil masa walau 24 jam untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalang pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hanya sempat beberapa jam menyambung tugas rasminya sebagai Menteri Besar, Nizar terus diperintahkan meninggalkan pejabatnya.

Dalam kenyataannya menyambut keputusan Mahkamah Tinggi, Nizar bertekad menghadap Sultan Perak bagi mempersembahkan permohonan perkenan Baginda agar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan. Perjuangan Pakatan Rakyat, jelasnya, tidak akan selesai hanya setakat keputusan mahkamah. Kemelut politik Perak hanya dapat diakhiri dengan memulangkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyatnya.

Malangnya, hasrat yang disuara dan didambakan pelbagai pihak itu gagal dihayati BN. Mereka tidak bersdia menerima penyelesaian itu. Sebaliknya terbukti mereka lah yang memanjangkan pertikaian tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lalu memutuskan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Ia sekali gus menidakkan segala hujah dan pandangan Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim yang memihak Nizar.

Kini, apabila Nizar dan pasukan peguamnya berura-ura memfailkan rayuan atas keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan, ada pula pihak yang menuduh mereka sengaja memanjangkan isu tersebut. Mereka mendakwa isu telah selesai dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Kata mereka, Nizar dan Pakatan Rakyat perlu akur bahawa BN memang berhak ke atas kerajaan Perak.

Di masa sama ada pula pihak yang melabelkan Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai hipokrit. Orang itu tidak lain daripada Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang menang atas tiket PAS, tetapi kini secara terbuka 'melompat' ke pangkuan BN.

"Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang," katanya, sepertimana dipetik akhbar mingguan, Ahad (24 Mei).

Tadi sudah dijelaskan bahawa sikap dan pendirian Pakatan Rakyat dalam mendesak Dun Perak dibubarkan bukan satu hipokrasi. Ia telah disuarakan sedari awal krisis politik negeri itu dicetuskan BN, awal Februari lalu. Sikap dan pendirian itu juga kekal dipegang Pakatan Rakyat hingga ke saat ini. Justeru, apa yang hipokritnya pada desakan itu?

Sedangkan yang lebih layak disifatkan hipokrit ialah BN dan Ibrahim sendiri. Selain sikap yang ketara berbeza dalam menerima keputusan dua mahkamah, mereka juga tidak konsisten dengan keyakinan terhadap sokongan rakyat.

Mereka mendakwa kononnya rakyat sudah bosan dengan karenah dan sikap gila kuasa Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan kononnya rakyat sudah bulat dan sepakat di belakang BN. Malangnya, apabila didesak memberi peluang kepada rakyat menentukan hakikat itu, mereka bermati-matian pula mengelaknya. Bukankah itu juga hipokrit?

Ibrahim Ali sendiri memang diketahui sangat takut untuk berhadapan dengan perhitungan rakyat Pasir Mas. Beliau telah dicabar mengenai perkara itu dan telah menzahirkan sifat hipokritnya. Apakah layak orang seumpama itu melabelkan orang lain sebagai hipokrit?

SEORANG MUFTI SEPATUTNYA TIDAK LACUH MENGELUARKAN KENYATAAN YANG BERSIFAT MEMIHAK

Mufti Perak memihak, tidak 'menjernihkan'

Meski pun ada pihak yang beriya-iya mendakwa isu pertikaian politik di Perak sudah berakhir ekoran keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Jumaat lalu, satu pihak lain pula menganggap keputusan itu makin merumitkan kemelut tersebut.

Kenyataan dan ulasan dari kedua-dua kumpulan parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, saling tingkah-meningkah.

Masing-masing cuba meyakinkan khalayak umum bahawa kebenaran berada di pihak mereka. Hujah dan alasan yang mereka kemukakan terdedah kepada nilaian dan pengadilan rakyat.

Namun suatu yang agak janggal dan menjengkelkan ialah apabila pihak yang sepatutnya menyisih diri dari terlibat dalam pertikaian ini seakan ikut masuk campur.

"Kenapa hendak datangkan masalah? Kalau menang belah dia tidak apa, tetapi apabila kalah hendak bangkang,? kata Mufti Perak, sepertimana dipetik Akhbar mingguan Ahad (24 Mei).

Beliau tumpang mengulas hasrat para pemimpin Pakatan Rakyat Perak mengadakan mogor lapar bagi menunjukkan tanda tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah sama membenarkan rayuan Zambry bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS sebagai Menetri Besar Perak yang sah.

Sukar difikirkan apa perlunya Mufti Perak turut mengeluarkan kenyataan dalam pertikaian antara dua pihak dalam politik. Apatah lagi komen dikeluarkannya itu sedikit tersasar dari konteks isu yang diperbahaskan, lalu ia bukan bertindak menjernihkan kekeruhan yang sudah pun terlalu lama berlarutan, malah makin merumitkan usaha menjernihkannya.

Selaku orang agama yang berada pada posisi yang bertanggungjawab terhadap semua pihak, seorang mufti sepatutnya tidak lacuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat memihak. Jangan lah disebabkan terlalu ghairah mempertahankan sesuatu pihak, maka kedudukan yang sepatutnya bersifat neutral itu dijadikan posisi menghentam satu pihak dan memberikan imej serta moral positif kepada satu pihak lain.

Namun itulah nampaknya kecenderungan yang makin dizahirkannya. Mufti Perak nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada isu yang hangat diperkatakan bulan lalu, ekoran kenyataannya yang dinilai banyak pihak sebagai sangat sembrono, tidak teliti dan gagal mengambilkira persepsi politik dan dakwah Islam.

Isu itu bermula dari ucapan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan alasan oleh para pendokong BN kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu, beberapa pihak sealiran dengan BN mengemukakan bantahan. Ada yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu.

Beberapa tokoh agama, termasuk Mufti Perak, juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Mufti Perak malah mempersoalkan, apa hak pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan bertentangan antara dua golongan ulama dan pemimpin, kita berhak dijelaskan apakah pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip dakwah Islam?

Cuba kenal Islam, dihalang

Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau "hukuman sembrono", terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu perkembangan yang berlaku.

Lagi pun, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?

Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu? Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja.

Ertinya, jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran, bahkan ramai pemimpin politik Islam sendiri layak dipertikaikan.

Kemudian dipersoalkan juga, jika bukan Islam dihalang dari membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam, serta mendekati Islam?

Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang atau membaca kitab suci itu?

"Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang," akhbar memetik ulasan Kor Ming, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan itu.

Isu tersebut tidak memulihkan imej dan reputasi Mufti Perak yang sebelum itu telah pun dilanda pertikaian ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar BN. Imej dan maruahnya tidak juga bertambah baik dengan komen beliau berkenaan isu mogok lapar tadi. Kesemua itu sebaliknya membuatkan orang dapat melihat pendirian politiknya lebih jelas dan ketara.

HarakahDaily

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Tidak Rebut Naib Presiden PAS


Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sah menarik diri daripada persaingan jawatan naib presiden PAS, sementara Nasrudin Hassan menang tanpa bertanding ketua Pemuda.

Daripada 16 yang dicalonkan untuk tiga jawatan kanan tersebut, hanya lima tokoh PAS bersaing.

Ketua Pemuda sekarang Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan bertanding.

Seperti diduga, jawatan timbalan presiden menyaksikan perebutan tiga penjuru antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Bagi Pemuda PAS, dua lagi jawatan kanan turut dimenangi tanpa bertanding - masing-masing Azman Shapawi Abd Rani sebagai timbalan ketua dan Ahmad Sabki Yusof (naib ketua).

Jawatan ketua Dewan Muslimat menyaksikan persaingan dua penjuru, antara penyandang Nuridah Salleh dengan pencabarnya Dr Asiah Ali.

Datuk Harun Taib menguasai kembali ketua Dewan Ulama tanpa bertanding seperti dua lagi jawatan kanan - timbalannya kini Datuk Ahmad Yaakob dan naib ketua Datuk Mahfodz Mohamed.

Senarai penuh calon-calon barisan pemimpin PAS diumumkan dalam satu sidang media khas di ibu pejabat parti, Kuala Lumpur pagi ini.

Mogok Lapar Untuk Bukan Islam, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang

Pesuruhjaya PAS Perak menafikan pemimpinnya bermogok lapar - dianggap bertentangan dengan ajaran Islam - seperti didakwa sesetengah pihak.

"Banyak pihak tidak mengambil maklumat yang betul. Sebenarnya, mogok lapar ini untuk kawan-kawan yang bukan Islam. Yang , (mereka) berpuasa sunat," kata Ahmad Awang pagi ini.

"Hari ini 1 Jamadil Akhir. Menurut takwim hijrah, dari 1 hingga 3 hari bulan, (orang Islam) memang sunat berpuasa.

"Dalam Islam pun, memang digalakkan berpuasa sunat dahulu sebelum memohon sebarang hajat yang besar."

Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan kepada PAS - yang bergabung dalam Pakatan Rakyat - apabila menganjurkan mogok lapar selama 72 jam mulai hari ini untuk mendesak pembubaran DUN.

Tokoh agama terkenal Johor, Datuk Noh Gadut semalam dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan al-Quran dan sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Ahmad juga menjelaskan, Pakatan di Perak tidak mengabaikan aspek kesihatan dalam mogok tersebut apabila perkhidmatan doktor disediakan kepada mereka yang terlibat, termasuk beberapa ADUN.

Menteri besar mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker gabungan pembangkang itu V Sivakumar melancarkan dan menyertai mogok tersebut.

Mogok lapar yang bermula di ibu pejabat DAP Perak di Ipoh pagi ini akan berakhir di pejabat PAS negeri petang Khamis dengan solat hajat.

BALAS DENDAM, UMNO/BN GUNA TAKTIK BOIKOT PRK PENANTI

Umno buat rombongan 31 Mei, elak keluar mengundi?

Umno Bahagian Permatang Pauh dipercayai mengadakan rombongan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan tujuan melarikan sebahagian besar ahlinya pada 31 Mei ini.

Kegiatan tersebut dipercayai semata-mata menghalang ahlinya daripada menyertai pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) iaitu tiga bebas dan seorang calon Pakatan Rakyat.

Harakahdaily dimaklumkan oleh sumber, bas disediakan di semua cawangan dan terpulang kepada ahlinya untuk turut serta atau sebaliknya.

"Kepada mereka yang tidak kesempatan menyertai rombongan tersebut mereka dinasihatkan memboikot pilihan raya berkenaan bagi mengurangkan peratus jumlah keluar mengundi," kata sumber terbabit.

Pada pendapat mereka, kata sumber itu jika peratus jumlah keluar mengundi turun tidak mustahil calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman kalah dan menyukarkan pentadbiran Kerajaan Negeri untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 yang tinggalkan penyandangnya sebelum ini Mohamad Fairus Khairudin.

Tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu bukan sahaja menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri bahkan boleh mencetuskan salah faham dan perpecahan sesama parti gabungan Pakatan Rakyat.

Ini merupakan peluang untuk Umno dan BN membalas dendam kekalahan bertubi-tubi mereka ketika berhadapan dengan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini.

Namun kata sumber itu, bagi mengatasi perkara ini daripada berlaku jentera Pakatan Rakyat harus melipat gandakan gerakan penerangan kepada rakyat betapa pentingnya pilihan raya kecil ini diadakan untuk melincinkan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang jelas berjaya memperkenalkan beberapa strategi pembangunan serta membantu golongan miskin tegar walaupun baru memerintah setahun berbanding Umno dan BN.

HarakahDaily

MOGOK LAPAR : LIMA DITAHAN DI WISMA DAP

Lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini pagi ini.

Mereka ditahan kira-kira 7 pagi. Acara itu sepatutnya dijadual dirasmikan pukul 10 pagi ini.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelancaran tersebut dan ditulis dengan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN' .

Setakat ini, tiada wakil rakyat Pakatan yang berada di Wisma tersebut ketika penahanan dan rampasan itu berlaku.

Namun sehingga 9.15 pagi tadi, sepasukan polis termasuk 20 FRU kelihatan berada di pejabat DAP terbabit.

Pelancaran mogok lapar ini adalah bertujuan untuk meminta Sultan Perak untuk membubarkan DUN negeri itu dan dijangka akan dirasmikan jam 10 pagi ini oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker V Sivakumar.

Aminah Digesa Balik Tarik Balik Tuduhan, Saifudin Nasution Ismail

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan menyerahkan semua tuduhan calon bebas, Aminah Abdullah kepada pihak peguam kononnya terdapat bukti mendapat sogokan dan tawaran oleh dua orang kepimpinan KeADILan .

Pengarah Pilihanraya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi menyebut, apa yang disuarakan oleh Puan Aminah belum terbukti kesahihan dan jika sekiranya tidak betul maka parti tidak teragak-agak meminta pihak peguam mengantar surat supaya beliau meminta maat atau tarik balik tuduhan tersebut.

"KeADILan tidak teragak-agak mengambil tindakan saman sekiranya apa dipertuduhkan tidak sahih dan kabur. KeADILan tidak mahu ia dijadikan isu kerana lebih mementingkan agenda memperkenalkan calon dan agenda perjuanganya bilamana memenangani pilihan raya nanti, " tegasnya.

Bukan masanya KeADILan melayan kerenah bekas ahlinya yang telah pun mengistiharkan keluar parti tetapi lebih menumpukan pada soal penerangan kepada pengundi.

Semasa sidang media pagi tadi, Aminah mendedahkan beliau didatangi dua orang wakil KeADILan iaitu Pegawai Khas kepada Exco dan salah seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan untuk membincangkan beberapa tawaran jawatan dan gantirugi serta menceritakan masalah dalaman parti.

Perkembangan lain Saifudin yang juga Ahli Parlimen Machang memberitahu, KeADILan telah mengatur 15 program sehari termasuk satu program perdana untuk calon N12 Penanti, Dr Mansor Othman turut padang berjumpa semua lapisan masyarakat.

Masa sekarang bukan memperbincangkan soal peribadi sebaliknya isu semasa yang boleh mempamerkan kejituan kerjasama di samping menerangkan kepentingan pilihanraya kecil ini.

"Jika menang di Penanti kita dapat meneruskan agenda yang telah di atur bersama Kerajaan Negeri. Dr Mansor yang akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 pasti memperkasakan apa yang menjadi agenda yang dekat di hatinya, " jelas beliau.

artikel asal : HarakahDaily

DEBAT NIZAR - ZAMBRY? YANG NI AKU SETUJU, NAK TENGOK MUGABE BERDEBAT! DEBATE OF THE CENTURY..

NIZAR vs ZAMBRY : NAK BERDEBAT PULAK

Siri Debat Agendadaily kembali...Nizar vs Zambry


Proses perundangan dalam mencari penyelesaian kemelut politik Perak, semakin hampir kepada kemuncaknya. Ini kerana proses mahkamah untuk menentukan tuntutan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa beliau masih Menteri Besar yang sah hanya tinggal di peringkat Mahkamah Persekutuan jika beliau ingin terus merayu.

Agendadaily menerima banyak panggilan meminta siri Debat Agendadaily diadakan di antara Nizar dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sehubungan itu, pihak kami telah menghubungi Dr Zambry mengajukan soalan sama ada beliau sedia atau tidak untuk berdebat dengan Nizar berhubung dengan kemelut politik negeri Perak itu.

Menurut Dr Zambry, beliau pada prinsipnya tidak ada halangan dan sedia untuk berhujah mengenai isu kemelut politik Perak melalui program debat yang hendak dianjurkan.

“Saya tiada ada halangan. Pada prinsipnya saya setuju,” kata beliau.

Hari Sabtu semasa dalam perjalanan ke Penanti bagi membuat liputan penamaan calon pilihan raya kecil DUN Penanti, Agendadaily kebetulan bertemu dengan Nizar di kawasan rehat Bukit Merah, Lebuhraya Utara Selatan.

Kesempatan bertemu itu tidak dilepaskan dengan terus memberitahunya bahawa Agendadaily bercadang untuk mengajurkan debat berhubung dengan isu politik negeri Perak dan Dr Zambry pada prinsipnya telah menyatakan persetujuan beliau.

“Baguslah macam tu. Kalau beliau setuju saya pun tidak ada halangan, baik sangat cadangan itu,” katanya sambil meminta agar debat itu diadakan selepas Muktamar PAS awal Jun ini kerana beliau sibuk dengan persiapan untuk muktamar parti berkenaan.

Sekiranya debat ini menjadi, ia adalah siri ketiga yang dianjurkan oleh Agendadaily setelah hampir setahun lalu, debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Chek ketika itu dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan.

Kemudiannya siri debat Agendadaily mempertemukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri sekrang, Lim Guan Eng dalam isu tanah di Pulau Pinang.

Kedua-dua siri debat yang dianjurkan tersebut telah disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.

Bagi debat antara Dr Zambry dan Nizar, pihak Agendadaily sedang mengadakan rundingan dengan stesen televisyen. Sekiranya mendapat kelulusan, debat berkenaan direncana akan diadakan penghujung bulan Jun 2009.

Bagi Agendadaily, tujuan debat ini dianjurkan ialah bagi membolehkan kedua-dua pihak memberikan penjelasan berhubung kemelut politik Perak secara objektif dan tidak diselubungi dengan sentimen serta emosi politik.

Malah format debat yang akan diadakan sama dengan siri debat yang lalu di mana kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama bagi mengemukakan hujah masing-masing. Pada akhirnya rakyat dapat membuat kesimpulan tentang isu sebenar yang berlaku.

artikel asal : BIAQPILA

Krisis UMNO Perlis : Penyokong 'rasa tertipu' Mainan Umno

Bekas ketua penerangan Umno Perlis mendakwa ramai ahli parti itu termasuk di kalangan Pemuda bersedia meninggalkan parti itu jika beliau berbuat demikian.

"Respons awal ialah mereka akan meneliti perkara itu dan sedia bersama saya.

"Mereka berkata kalau Datuk Hashim lompat, mereka akan lompat juga," kata Datuk Hashim Suboh hari ini.

Beliau mendakwa, kebanyakan mereka juga "berasa tertipu" dengan permainan politik Perlis sekarang bawah barisan kepemimpinan baru sejak Mac tahun lalu.

Beliau juga mendakwa, ketua penerangan Umno negeri yang baru Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad "tidak pandai menjalin hubungan dengan orang lain".

Katanya, keadaan ini boleh menjejaskan imej parti terutama ada kumpulan yang tidak senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

"Umno Perlis menjadi kacau bilau kerana tindakan-tindakan bekas setiausaha agung Umno itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Radzi di sebuah akhbar hari ini yang menganggap laporan di internet bahawa ramai ahli Umno Perlis menyertai pembangkang adalah "gimik politik murahan demi meraih populariti peribadi sebagai membantah kepemimpinan Umno negeri".

Hashim berkata, perkara ini akan menjadi lebih besar jika ia tidak diselesaikan dengan segera.

Orang kanan bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga kecewa dengan dakwaan Radzi bahawa laporan media bahawa ramai ahli Umno Perlis telah dan akan menyertai pembangkang "didalangi oleh individu tertentu yang mensabotaj parti ketika kempen pilihan raya umum tahun lalu".

Hashim menambah, untuk membuktikan dakwaan tersebut benar atau tidak, ahli parlimen Kangar perlu bertemu dengan mereka yang berpaling tadah.

"Tanya mereka sendiri mengapakah mereka keluar Umno. Jawabannya, kerana (mereka) meluat dengan Radzi," katanya.

artikel asal : TVAntara

SPR 'pak turut' UMNO/BN

SPR Mahu Ambil Tindakan Sesiapa Perleceh Maruah Umno-BN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar serius mahu menjalankan tugasnya di pilihan raya kecil N12 Penanti.

Banyak amaran telah dikeluarkan supaya parti-parti yang bertanding mematuhi setiap peraturan dan garis panduan semasa berkempen dalalm PRK ini.

Sebelum ini parti-parti politik dalam PRK Penanti tidak dibenarkan mendirikan pondok panas dan jumlah penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan juga dihadkan kepada 5,000 sahaja. Kedua-dua peraturan ini dipatuh dengan baik oleh semua pihak. Ini tentu sekali menyenangkan hati SPR dan juga menyenangkan tugasnya.

Hari ini pula SPR mengeluarkan satu lagi amaran akan mengambil tindakan terhadap parti dan calon yang memburukkan parti yang tidak bertanding dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Parti yang tidak bertanding dalam PRK ini ialah Barisan Nasional yakni Umno jadi amaran SPR itu sudah tentu ditujukan bagi sesiapa yang mengkritik atau menghamun BN kempen pilihan raya.

Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar,berkata perbuatan menjatuhkan maruah parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya adalah tindakan yang tidak beretika dan boleh dikenakan hukuman kerana melanggar Akta Keselamatan Pilihan Raya.

Persoalan yang ingin diajukan kepada SPR bagaimana sekiranya parti yang tidak bertanding berlagak seperti ia parti yang bertanding.

Daripada maklumat yang diterima walaupun UMNO-BN tidak meletakkan calonnya di Penanti lagaknya bagai ia bertanding.

Parti itu dikatakan sejak sehari dua ini sudah mula menganjurkan ceramah politik berhampiran Penanti. Umno juga telah siapkan banyak khemah untuk memuatkan ribuan orang tetapi malangnya jumlah yang hadir tidak lebih daripada 50 orang sahaja.

Di beberapa Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) ada pihak tertentu diberitakan menganjurkan makan angin ke Padang Besar dengan tujuan membawa lari pengundi daripada menjalankan hak dan tanggungjawab mereka.

Sasaran pihak tertentu ini adalah pengundi-pengundi Pakatan Rakyat dan mereka ditawarkan makan angin percuma ke Padang Besar dan diberi duit belanja pula.

Sekiranya dakwaan ini benar adakah SPR sebagai badan yang "telus", "bebas" dan "profesional" akan mengambil tindakan ke atas Umno dan BN dan melarang mereka bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kecil atau besar?

Beranikah SPR berbuat demikian atau SPR hanya menjadi pen-SURUH-anjaya kepada Umno dan BN dan me-PILIH-an-milih tindakan kepada pihak yang tidak sebulu dengan pen-SURUH-annya?

Bagaimana SPR hendak mepertahankan maruah Umno-BN bila mereka sudah tidak ada lagi maruah yang ingin dipertahankan?

Mungkin sebelum SPR senang-senang memberi amaran kepada mana-mana pihak elok-eloklah mencermin dirinya sendiri dahulu.

artikel asal : TVAntara

BERBALOIKAH AHMAD SAID TANGGUNG PROJEK IDRIS JUSOH?

Hampir RM 1 bilion projek-projek yang dicurahkan ke dalam daerah Besut semasa pemerintahan bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh, kini menjadi beban kewangan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut telah di dedahkan oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said semasa sesi dialog selama sejam dengan pihak media, sempena genap setahun beliau menjadi Menteri Besar, April lalu.

“(Perbelanjaan) projek sambung (dalam) bajet tahun 2009, kalau saya tidak sambung projek itu, ia akan terhenti,

“Saya kena belanja bajet (kerajaan negeri sebanyak) RM500 hingga RM600 juta untuk meneruskan projek itu,”katanya ketika menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Ahmad telah mengenepikan daerah Besut dalam rancangan pembangunan negeri Terengganu.

Katanya, projek pembinaan Universiti Darul Iman (UDM) sebanyak RM 250 juta, Taman Ilmu sebanyak RM410 juta, Sekolah Menengah Imtiaz RM145 juta, pasar Jerteh Souq RM75 juta.

Perbelanjaan tersebut katanya belum termasuk kos-kos tambahan yang timbul seperti projek Taman Ilmu yang akan ditambah lagi sebanyak RM160 juta.

“(Pembinaan) Taman Ilmu (kos) RM250 juta sedang berjalan dan tambah, ia tak cukup tambah lagi sebanyak RM160 juta, adalah nak suruh saya ‘stop’ (hentikan) projek itu,

“saya boleh ‘stop’, tapi kalau ‘stop’, cerita lain (pula jadinya), Masjid Hdhari berapa juta (pula) yang diperlukan untuk tambahan”jelasnya.

Beliau mencabar pihak media membuat perbandingan projek-projek yang dilaksanakan dalam daerah Kemaman, Bahagian yang diketuainya.

“Bandingkan dengan Kemaman, apa saya buat (di) Kemaman, berapa juta saya belanja, mana projek Kemaman?,”soal beliau.

Pertelingkahan antara Ahmad Said dan Idris Jusoh begitu nyata sehingga Ahmad dituduh takut untuk ‘turun’ ke daerah Besut.

“Tak takut apa, apa benda saya nak takut, saya tak perlu takut, takut apa, ‘you’ aja yang kata saya takut atau orang Besut,”tegas Ahmad yang berkata, bagaimana beliau boleh hadir ke daerah Besut sekiranya tidak ada program yang diaturkan untuk beliau.

Pada 1 April, 2009, Ahmad dan Exconya telah bermesyuarat dan mengadakan beberapa program di daerah Besut, bagi meredakan pertelingkahan diantara kumpulan yang menyokong Idris dan kumpulan yang menyokongnya.

Namun, program tersebut ternyata tidak menurunkan ‘amarah’ kedua-dua kumpulan tersebut.

Dua minggu selepas itu, pada 14 April, Dato’ Rosol mengetuai 10 ADUN lain dari kumpulan yang menyokong Idris telah memboikot yang sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Rosol terus-terang dalam sidang media yang diadakan pada hari itu mendesak supaya Ahmad meletakkan jawatan !

artikel asal : BuletinOnline

ZAMBRY MARAH DIGELAR "Menteri Besar Mahkamah"

Dr Zambry Abd Kadir marah apabila Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat memberi gelaran "Menteri Besar Mahkamah" kepada beliau.

Sebaliknya beliau mahu gelaran tersebut diberikan kepada Nizar Jamaluddin yang menurutnya orang yang memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Nik Aziz) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.

"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Zambry yang dipetik Bernama.

Sabtu lepas Nik Aziz berkata Dr Zambry adalah Menteri Besar Mahkamah kerana tidak mewakili seluruh rakyat Perak.

Beliau menduduki kerusi Mneteri Besar selepas Mahkamah Rayuan pada 22 Mei lalu mengisytiharkannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.

Dr Zambry juga menolak kemungkinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai jalan penyelesaian kemelut politik di negeri itu.

"Sekarang ini kita berpandukan kepada apa yang telahpun diputuskan oleh mahkamah.Meskipun kita mempunyai peruntukan-peruntukan yang diberikan tetapi proses yang berlaku sekarang ini ialah proses perundangan.

"Jadi biarlah proses perundangan itu mengambil tempatnya dan kita mengharapkan semuanya akan berjalan seperti biasa," katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa langkah itu merupakan pilihan terbuka kepada BN tetapi tidak semestinya ia satusatunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti.

Gelaran yang diberikan kepada beliau mungkin bersesuaian melihat kepada ketidaksanggupan beliau mengadakan undi tidak percaya terhadap Ni zar dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan enggan membubarkan DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya baru negeri.

Sikap Dr Zambry yang mahu terus memegang jawatan tersebut hasil pekutusan mahkamah menyakinkan lagi rakyat bahawa gelaran yang diberikan oleh Nik Aziz kepada beliau tepat dan benar.

artikel asal : TVAntara