Monday, January 4, 2010

Cadangan 6 Garis Panduan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Muslim

dari mStarOnline Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA : Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mencadangkan enam perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Beliau terpanggil untuk mengulas untuk tentang isu kalimah Allah dan memberi enam garis panduan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald Catholic Weekly menggunakan "Allah" dalam penerbitannya.

Kata beliau, jika keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah hendak dipakai, garis panduan dan peraturan hendaklah dibuat.

"Elakkan perbalahan kaum tanpa melihat kepada penyelesaian terlebih dahulu. Penggunakan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu diteliti dengan serius walaupun menurutnya Allah merupakan tuhan sebenar kepada semua manusia.

"Kebenaran tersebut perlu disertakan dengan beberapa syarat khusus bagi memelihara kesucian nama Allah serta mengelakkan perbalahan antara kaum," jelas beliau ketika menghubungi mStar Online sebentar tadi.

Dr Mohd. Asri pernah mengulas isu yang sama dalam sebuah artikel yang ditulisnya pada tahun 2007 bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah”, namun katanya lagi isu kalimah Allah yang sedang hebat diperdebatkan sekarang ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam.

Beliau juga berharap kenyataan yang dibuatnya ini akan dibaca bersama dengan artikel tersebut.


"Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkan-Nya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya," kata Dr Asri.

Cadangan kedua kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu ialah, manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar.

Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu.

Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Namun kata beliau lagi, jika penganut agama lain akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.

"Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.

"Bukan muslim juga tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain," jelas Dr Asri.

Dr Mohd. Asri juga berpendapat, menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah member rezeki kepada kamu” adalah diizinkan.

"Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”, " kata beliau.

Dr Mohd. Asri juga berharap cadangan garis panduan yang diutarakan dapat dijadikan panduan agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

Nik Aziz bimbang perkataan Allah disalahguna

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jan : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Menteri Besar Kelantan itu melahirkan rasa bimbang kalimah Allah kemungkinan disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, biar pun penggunaan kalimah Allah mengikut hukum bagi pengamal agama Samawi, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Namun saya takut ia disalahgunakan, itu yang menjadi kebimbangan sebenarnya,” katanya selepas majlis perasmian pejabat Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di Jalan Telipot, hari ini,

Khamis lalu Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh penerbitan akhbar mingguan Herald – The Catolic weekly.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Ekoran keputusan itu menyebabkan timbul bantahan di kalangan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Baharom pula dilaporkan akan merayu keputusan kes terbabit ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan kesucian agama Islam kekal terpelihara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap pihak berwajib seperti persatuan ulama menganjurkan dialog bersama pemimpin agama Kristian bagi mencari penyelesaian isu tersebut.

“Melalui perbincangan terbabit diharap dapat meredakan kekeliruan masyarakat. Selain itu falsafah Islam dapat dikembangkan melalui majlis-majlis seumpama itu,” katanya.

Beliau juga tidak menolak hadir pada majlis seumpama itu sekiranya ada jemputan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai Islam.



PAS adakan mesyuarat khas bincang isu nama Allah

Harakahdaily