KUALA LUMPUR, 2 Nov – Sambil mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih “relevan”, pemimpin-pemimpin muda PKR membidas Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu berundur daripada arena politik, sambil menyifatkan bekas mufti Perlis itu sebagai “tidak realisitik”.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd (gambar) berkata, kenyatan Asri semalam, yang mencadangkan agar Anwar bersara daripada politik, kononnya kerana “rentak tari politik yang makin tidak seimbang” adalah satu kenyataan pelik dan tidak berpijak pada realiti politik tanah air semasa.
Sehubungan itu, Shamsul Iskandar mempersoalkan apakah Asri lupa bahawa tercetusnya gelombang perubahan di kalangan rakyat sebenarnya adalah melalui Anwar yang juga penasihat PKR.
“Apakah beliau tidak sedar berlakunya impak kepada Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 adalah kerana gelombang rakyat melalui muafakat Pakatan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Katanya, AMK tidak apologetik dan kekal menegaskan, kepimpinan Anwar adalah relevan sehingga kini dan masih diperlukan berikutan pengalaman serta kredibiliti kepimpinannya yang jelas berjaya memperkukuh PR di sebalik pelbagai usaha Umno-BN untuk merincih kefahaman dan keyakinan rakyat ke atas perikatan itu.
“Di saat beliau menyarankan politik idea dan politik nilai dibudayakan, cadangan beliau seolah-olah satu bentuk perlindungan kepada Umno-BN yang jelas kelihatan tandus idea untuk mengekang kemaraan rakyat melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar dan kesepakatan kepimpinan PKR-PAS-DAP di bawah panji Pakatan.
“Sekiranya benar beliau menjunjung politik idea dan politik nilai, maka sewajarnya Asri menyarankan agar Umno-BN bersikap jantan dan gentleman untuk menjunjung semangat federalisme dan tidak mengawal instrumen kerajaan termasuklah sistem kehakiman yang saban hari semakin menjelekkan, khususnya di dalam mengendalikan kes konspirasi kedua ke atas Datuk Seri Anwar,” kata beliau lagi.
Shamsul Iskandar juga berkata, AMK berminat untuk menyarankan agar Asri menasihati idola beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad agar insaf dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tertindas selama hampir 23 tahun di bawah hegemoni Mahathirisme yang jelas membunuh semangat demokrasi dan berterusan memanipulasi instrumen kerajaan demi memperkukuh cengkaman Umno-BN kepada rakyat.
“Jika ini gagal dilakukan Asri, terbuktilah kenyataan Asri sebelum ini adalah satu kenyataan politik yang hendak dijadikan remedi oleh Umno-BN.
“AMK mendoakan agar Asri terhindar daripada diperguna oleh Umno-BN yang gagal menerima hakikat bahawa rakyat telah membuka mata dan bersedia menolak Umno-BN yang tebal dengan rasisme dan unsur penyelewengan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pula berkata, Asri bebas memberi pendapat tetapi hanya rakyat dan ahli yang menentukan sama ada Anwar bersara atau tidak.
Namun anak sulung Anwar ini berkata, nasihat Asri itu tidak akan mematahkan semangan Ketua Umum PR itu untuk membawa PR menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.
“Prinsip Datuk Seri Anwar untuk lawan tetap lawan sama ada ada jawatan politik atau tak seperti dalam penjara dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Asri memberi nasihat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kepemimpin Umno yang lain sekiranya ikhlas memperjuangkan hak rakyat.
“Saya harap Asri juga akan minta Najib dan semua (kepemimpinan) Umno bersara untuk sejahterakan rakyat.
“Dia juga patut komen tentang kelemahan Bajet 2011 kalau memang berjuang untuk rakyat (kerana) lebih ramai seperti Asri patut bersuara untuk rakyat,” ujar Nurul Izzah yang turut mempersoal motif Ahli Parlimen California, Charles S. DeVore mengaitkan Anwar dengan kumpulan pengganas di Amerika Syarikat.
Menurut beliau, rancangan DeVore mengaitkan Anwar dengan pertubuhan tidak berdaftar Ikhwanul Muslimin beralasankan Anwar pernah berpartisipasi dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) adalah tidak munasabah.
Dalam pada itu anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Saharin juga berpendapat kenyataan Asri sebagai gesaan yang tidak wajar dan tidak dapat diterima.
“Alasan yang menggatakan bahawa rentak politik Anwar Ibrahim tidak seimbangan dan penggundurannya akan memberi ruangan kepada politik baru tidak tepat.
“Hakikat sebenarnya, politik Malaysia sedang mengalami anjakan yang besar dari sudut kesedaran dan kepekaan terhadap politik,” kata beliau yang juga Ketua PKR Rembau.
Badrul Hisham juga berkata, penglibatan rakyat Malaysia sebagai suara pengimbang kuasa politik adalah nafas-nafas baru yang telah wujud dan Anwar merupakan faktor utama penyumbang perubahan tersebut.
“Politik Malaysia bergolak kerana rakyat khususnya golongan muda menuntut perubahan dari situasi politik berbudaya usang yang ada pada BN.
“Kuasa politik mutlak yang mahu dipegang oleh BN hari ini tercabar dengan kebangkitan anak muda dalam mempersoalkan khususnya isu-isu berkenaan dengan demokrasi dan keadilan.
“Anwar dilihat sebagai kuasa penyatu dalam politik yang dapat mencabar tindakan-tindakan kerakusan politik BN dan Umno khususnya.
“Usaha menyatukan suara-suara pembangkang bagi tujuan mendesak kerajaan memerintah dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh Anwar,” kata beliau sambil menambah, rakyat perlu ingat bahawa usaha menyatukan perjuangan pembangkang wujud sejak dahulu lagi – sewaktu timbulnya Gagasan Rakyat yang merupakan kalobrasi DAP, PAS dan Semangat 46 serta Angkatan Perpaduan Ummah yang dibentuk oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha mengimbangkan dominasi BN dan Umno dalam memegang kuasa di negara ini.
“Usaha Tengku Razaleigh tidak berjaya sebagaimana berjayanya Anwar sebagai faktor penyatu dalam Pakatan Rakyat yang telah berjaya mencabar monopoli politik yang ada pada BN khususnya Umno,” kata beliau.
Malah katanya, ia merungsingkan BN-Umno sehingga pelbagai usaha dibuat untuk mematikan imej dan karier politik beliau.
“Kita lihat hari ini tindakan-tindakan terdesak kerajaan memerintah terhadap Anwar wujud kerana beliau berjaya memberi kesedaran baru, politik baru dan harapan baru kepada rakyat Malaysia.
“Ini dilihat sebagai satu ancaman kepada politik BN-Umno yang sedia ada,” katanya.
Oleh itu tambah beliau, kemantapan PR sebagai satu alternatif kepada BN adalah politik nafas baru yang sebenarnya.
“Kehadiran Anwar dalam menyatukan parti-parti ini bagi menguatkan suara rakyat adalah satu kejayaan.
“Faktor kehadiran Anwar dalam politik tanah air amat kritikal dalam kita membawa harapan baru untuk rakyat Malaysia.
“Sekiranya Anwar gagal kita percaya BN dan Umno tidak akan melakukan usaha terdesak mereka untuk melenyapkan partisipasi Anwar dalam politik,” katanya.
Malah kata beliau, generasi baru melihat Anwar sebagai ikon penyatuan yang akan menjadi suara baru dalam perjuangan rakyat.
Justeru, katanya, Asri perlu realistik dalam menuntut Anwar, Ahli Parlimen Permatang Paut, berundur dari politik.
“Alasan beliau tidak tepat dan ini juga mampu dilihat sebagai satu usaha untuk menggagalkan usaha reformasi yang dilakukan demi membebaskan rakyat dari terus ditipu oleh kerajaan memerintah.
“Anwar telah berjaya menggerakkan barisan pembangkang yang mantap dan semakin diterima rakyat Malaysia.
“Asri sepatutnya lebih kritikal dalam memberi pendapat dan tidak terikat dalam pandangan sealiran dengan BN yang telah banyak melakukan manipulasi kuasa semata-mata mahu terus menipu rakyat Malaysia,” katanya.
Oleh G Manimaran dan Dzulfikar Mashoor TMI