Friday, May 15, 2009

Kes Penayangan CD Kekecohan DUN Perak, Mahkamah Gagal Dakwa Tertuduh, Polis Tak Hadir.. Polis Pergi Mana???

Kes Tayangan CD Sidang DUN: Polis Bertindak Melampaui Bidang Kuasa

Salah seorang daripada dua yang ditahan polis berhubung penayangan CD kekecohan Dewan Undangan Negeri Perak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung pagi tadi untuk di dakwa.

Prem Sumarthry di bawa ke mahkamah pada pukul 9.00 pagi tetapi dakwaan terhadap beliau tidak dapat diteruskan setelah pihak polis gagal hadir di mahkamah.


Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang bertindak sebagai peguam Prem berkata perbuatan polis tersebut amat dikesali dam mencerminkan ketidakcekapan polis menjalankan tugas.

"Pihak polis minta tertuduh datang ke mahkamah dan kalau tidak mereka akan keluarkan waran tangkap tetapi mereka sendiri gagal hadir ke mahkamah. Ini menunjukkan mereka seolah-olah mempermainkan hak tertuduh untuk mendapatkan keadilan," Ngeh berkata ketika dihubungi TV Antara.

Prem bersama seorang lagi berbangsa Cina ditangkap 10 Mei lalu kerana dipercayai menjadi pemilik kepada sistem pembesar suara semasa penayangan CD peristiwa sidang DUN 7 Mei lalu pada majlis makan malam anjuran DAP di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nam Hwa di Kampung Koh, Setiawan.

Kedua-dua mereka kemudiannya di bawa ke Balai Polis Setiawan.

Ngeh dalam laporan polisnya bertarikh 9 Mei berkata syarat Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman yang melarang majlis makan tersebut membuat sebarang tayangan berkaitan insiden kekecohan sidang DUN 7 Mei adalah tidak munasabah malah bertentangan dengan hak kebebasan rakyat yang dijamin dalam perlembagaan.

"Polis sebenarnya telah melanggar undang-undang apabila mereka menyerbu dan merampas alat-alat audio visual kerana tidak ada dalam mana-mana undang yang menyatakan kita tidak boleh menayangkan video mengenai sidang DUN Perak.

"Polis sepatutnya menyoalsiasat saya atau DAP Lumut kerana kitalah pihak yang menganjurkan majlis tersebut bukannya pemuda India tersebut kerana beliau hanya pengendali alat tayang pada majlis iu sahaja," jelas Ngeh yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak.

Dalam laporan beliau Ngeh juga berkata berpuluh-puluh anggota polis yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Shaharuddin Abdullah telah menyerbu masuk ke dalam dewan majlis makan yang mengarahkan supaya majlis bersurai.

Beliau menegaskan dalam laporannya perbuatan polis menceroboh dan membuat kekecohan pada majlis jamuan makan itu merupakan satu kesalahan dan salahguna kuasa pihak polis.

Polis turut merampas 3 projektor LCD, 1 pemain cakera DVD dan 2 skrin bersama kaki skrin selepas baru 3 minit tayangan berlangsung.Ngeh berkata beliau mahu ACP Mohd Jamil dan DSP Shaharuddin di dakwa kerana melanggar undang-undang dan bertindak di luar bidang kuasa mereka.

artikel asal : TVAntara

Politik Wang Dalam Pemilihan PAS, Hanya Mainan Media Untuk Pecah Belah Parti

Tiada politik wang dalam pemilihan PAS

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menafikan berlakunya politik wang dalam pemilihan pimpinan PAS Jun nanti.

Mustafa menegaskan tidak ada sebarang aduan mengenai politik wang diterima.

Isu politik wang, tegas beliau, ditimbulkan hanya bertujuan untuk memecahbelahkan parti.

"Perkara mengenai politik wang ini tidak berbangkit menjelang pemilihan dalam Muktamar PAS Jun nanti.

"Aduan mengenai politik wang juga tidak diterima jadi ia jelas hanya mainan media untuk memecahbelahkan parti," tegas Mustafa.

Mustafa juga meminta ahli-ahli PAS agar tidak terpengaruh dengan mainan media arus perdana yang berniat jahat itu.

Justeru itu, beliau mendesak agar semua pihak berhenti membangkitkan isu politik wang dan tidak membuat kenyataan berdasarkan andaian sahaja.

Isu politik wang menjelang pemilihan pucuk pimpinan PAS menjadi perbualan bila media arus perdana cuba memberikan gambaran PAS turut dijangkiti kegiatan rendah moral itu sama seperti apa yang berlaku dalam Umno.

artikel asal : HarakahDaily

PENANTI : UMNO/BN GENTAR HADAPI PAKATAN RAKYAT ATAU KETANDUSAN CALON BERKALIBER

Umno Serba Salah Di Penanti

Umno kelihatan masih kabur sama ada untuk bertanding atau tidak di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin pertengahan bulan Mac lepas.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak seakan membisu isu di Penanti mungkin memberi sepenuh perhatian pada kemelut di Perak yang telah jadi 'bubur' diperlakukan oleh Najib bersama kuncu-kuncunya setelah mengambil alih sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak mengantikan Tajul Rosli yang melepaskan jawatan ekoran tidak tahan dengan karenah berpuak-puak dalaman Umno.

Penanti merupakan salah satu Dun daripada dua Dun lagi yang ada dalam Parlimen Permatang Pauh yang menjadi milik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila dijulang sebagai Ahli Parlimen baru mengantikan isteri tercinta beliau, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenanginya sejak pilihan raya ke-10 lagi.

Dua Dun lagi ialah Seberang Jaya yang masih menjadi kubu bagi Umno dan Barisan Nasional (BN). Ia di wakil Dato' Arif Shah manakala Dun Permatang Pasir merupakan kerusi PAS ia milik Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Namun begitu, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang diadakan pada bulan Ogos tahun lalu menyaksikan Dun Seberang Jaya tewas kepada Pakatan Rakyat di mana calon yang fasih berbahasa Cina agak kecewa kerana jentera Umno dan BN tidak membantunya sedangkan peruntukan turun mencurah-curah.

Pernah satu ketika kemarahan beliau hampir mencetuskan kontroversi apabila beliau dikatakan di pancing untuk bersama KeADILan untuk mengisi kekosongan Exco jika berlaku percaturan baru oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerusi Penanti sering bertukar tangan antara BN dan Pakatan Rakyat. Pada Pilihan raya Umum tahun 1999 Haji Abdul Rahman Kader menang atas tiket KeADILan waktu itu Pakatan Rakyat di kenali dengan nama Barisan Alternatif (BA) iaitu nama yang diabadikan oleh Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Dato' Fadhil Noor.

Pada pilihan raya ke-11 tahun 2004 iaitu tahun peralihan kuasa antara Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahamad Badawi atau lebih dekat dikenali 'Cucu Tok Guru' berjaya merampas kembali kerusi berkenaan kali ini di menangi oleh BN menerusi calonnya, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid.

Empat tahun kemudian kerusi itu kembali kepada Pakatan Rakyat apabila tokoh muda iaitu seorang pejuang dan pengemar seni silat, Mohamad Fairus Khairudin memenangi dengan mudah menewaskan penyandangnya yang sekali lagi menjadi pilihan BN.

Tetapi, hari ini tiba-tiba Umno menjadi pengecut bagaikan 'Pondan Mengkuang Road' kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu setiap kali berucap di khalayak ramai dalam siri ceramahnya di awal kenyataan Najib yang tidak mahu meletakkan calon di Penanti kerana dikatakan merugikan wang rakyat dan tenaga.

Hakikatnya, bukan kerana merugikan wang rakyat atau tenaga sebaliknya untuk tidak memalukan lagi Umno dan BN setelah kalah 4-1 di tangan Pakatan Rakyat melalui pilhanraya kecil di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. BN cuma mempertahankan Batang Ai di Sarawak sahaja.

BN sebenarnya tiada calon lain melainkan meletakkan Ketua Bahagian, Dato' Abdul Jalil tetapi bimbang tewas sekali lagi ekoran sikapnya tidak turun padang semasa menjadi Wakil Rakyat dahulunya.

Hendak memandatkan Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian pun masalah kerana beliau pernah mencemarkan emej pergerakan itu sendiri dengan skandal tidak bermoral.

Cuma dikhabarkan BN akan meletakkan calon muda mungkin seorang peguam namun bimbang di saman oleh veteran Umno sebelum bertapak di arena politik tanahair khususnya di Pulau Pinang. Melihatkan senario ini Umno dan BN masih kabur untuk meletakan calon atau sebaliknya.

Jika Najib bertegas tidak meletakan calon di situ maka Umno akan di perlekehkan selama-lamanya bukan sahaja oleh orang luar Umno malahan dalaman mereka sendiri.

Jika meletakkan calon siapa pula nama yang hendak dipamerkan untuk mengalas amanah parti kerana yang ada dikatakan bermasalah dan tidak berupaya menonjolkan emej terbaik untuk baik pulih kemelut yang dimainkan oleh BN di Perak.

Dengar kata, BN akan mengumumkan nama calon mereka pada minggu depan. Kita tunggu siapakah nama yang hendak dipertaruhkan.

Hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila dikatakan kelibat Khairy Jamaludin akan kelihatan di Guar Perahu tempat yang didakwa kubu kuat Umno dulunya.

Kini, semuanya telah berubah apabila Pakatan Rakyat hanya kalah di saluran satu di situ serta saluran satu di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Kuala Mengkuang berbanding 10 JDM lain.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Sharizat Jalil telah merayau ke Sungai Lembu dan sekitarnya pagi tadi.

Semua itu dilakukan untuk menilai sendiri sokongan pengundi terutamanya ahli Umno bagaimana reaksi mereka setelah kenyataan Najib yang dianggap dayus bila berhadapan Pakatan Rakyat sekali lagi dalam pilihan raya kecil Penanti sebelum membuat keputusan bertanding atau menyerah bendera putih tanda kalah kepada Pakatan Rakyat.

artikel asal : HarakahDaily

MALAYSIA TELAH DIJANGKITI SELSEMA BABI, MANGSA PERTAMA PELAJAR 21 TAHUN

Kes Pertama Flu H1N1 di Malaysia


Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama dijangkiti wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi yang disahkan di Malaysia hari ini, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada 15 Mei 2009," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ini merupakan kes yang pertama influenza A (H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarga beliau dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Kementerian juga meminta semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut supaya menghubungi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan.

Menurut kenyataan itu lagi, kementeria meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut: batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi tujuan siasatan dan pemerhatian.

Sehingga 15 Mei 2009 jam 8.00 pagi Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu (1) negara baru terjejas dengan influenza A(H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan 1 kes menjadikan jumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah. Kumulatif kes adalah sebanyak 7,457 kes influenza A(H1N1) disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya. Peningkatan ini dilaporkan di enam (6) buah negara iaitu di USA (946), Mexico (387), Kanada (31),
Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1). Dua (2) lagi kematian dilaporkan di Mexico menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5 semenjak 29 April 2009 dan TIDAK menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

artikel asal : malaysiakini

Speaker DUN Perak, V Sivakumar MEMFAIL SAMAN TERHADAP Speaker Haram Lantikan BN, Datuk R. Ganesan

Perak : Speaker lwn Speaker - Pusingan 2
Krisis politik di Perak kini beralih ke mahkamah berhubung kerusi Speaker di mana Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar memohon dua perintah mahkamah berhubung penggantiannya bagi jawatan tersebut.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada kira-kira jam 11.45 pagi ini, Sivakumar memohon perintah mahkamah terhadap Speaker baru yang dilantik oleh BN, Datuk R Ganesan, daripada mengganggu beliau menjalankan tugas.

Sivakumar juga memohon gantirugi terhadap tindakan kekerasan terhadapnya sewaktu sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, di mana beliau diheret keluar dari dewan secara kekerasan oleh anggota polis atas arahan Ganesan.

Sehubungan itu, Sivakumar juga memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan untuk menghalangnya daripada terus bertindak secara kekerasan oleh (Ganesan) dan/atau ejen atau pesuruhnya.

Jika kesemua perintah mahkamah itu berjaya diperolehi, maka Pakatan akan dapat menghalang sidang khas yang dijangka dipanggil oleh BN untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, menteri besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir kemudiannya berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan penghakiman mahkamah tinggi itu.

artikel asal : malaysiakini

KEMELUT POLITIK PERAK : KINI TERSERAH KEPADA SULTAN...

Kini terserah pada Sultan...


Tekanan umum semakin memuncak supaya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihanraya baru untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, yang sudah berlarutan selama tiga bulan.

Dua hari lalu, gabungan 50 NGO di Perak telah membuat rayuan terbuka kepada baginda supaya menggunakan kuasa perlembagaan baginda untuk membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baru dari rakyat untuk menentukan kerajaan negeri pilihan mereka.

Gabungan NGO tersebut - yang menegaskan bahawa mereka tidak menyokong BN ataupun Pakatan Rakyat - berkata apa yang penting ialah kebajikan rakyat Perak.

Menurut gabungan tersebut, mereka mahu menyuburkan semula demokrasi sebenar di negeri Perak.

Malam tadi, Muslimat PAS Perak juga membuat rayuan yang sama kepada baginda sultan supaya campurtangan bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Ketuanya, Bariah Alang Sapri memberitahu Malaysiakini, ia kerana baginda bukan sahaja bijaksana tetapi juga merupakan bekas ketua hakim negara yang pernah membuat penghakiman dalam kes-kes terpenting.

Dengan itu, katanya, rakyat boleh kembali meneruskan kehidupan mereka dan bukannya terus berdepan dengan ketegangan dan kemelut politik yang telah berlarutan sejak Februari lalu.

Bariah juga menuduh BN menyalahgunakan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk mencapai matlamat politiknya untuk kekal mentadbir Perak.

Katanya, Sultan Perak merupakan harapan terakhir rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik di Perak kerana pihaknya telah hilang harapan bahawa BN akan mengadakan pilihanraya baru.

artikel asal : malaysiakini




klip video ehsan : greenboc





klip video ehsan : thestaronline

SILAP MATA POLITIK NAJIB DAPAT DIBACA LAGI

Najib main politik lagi. Kali ini beliau meletakkan dua sasaran untuk menepis serangan politik yang ditujukan kepadanya. Yang pertama, Najib cuba mengalihkan tekanan yang dihadapinya dengan menyatakan beliau dan Barisan Nasional yang dipimpinnya tidak ada halangan untuk berbincang dengan Pakatan Rakyat berhubung cara terbaik menyelesaikan kemelut politik Perak.

Kedua, Najib bertindak lebih berani lagi. Penyelesaian mutlak krisis politik Perak terletak di tangan Sultan Perak katanya. Beliau menegaskan hanya Sultan yang mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri itu dan melorongkan laluan supaya pilihanraya negeri diadakan.


Dalam langkah pertama, Najib mahu mengalihkan perhatian rakyat dan dunia bahawa beliau luhur dan ikhlas menangani krisis politik Perak. Beliau berjiwa besar dan sedia berbincang dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Tujuan beliau berbuat demikian adalah jelas. Najib mahu rakyat tahu bahawa beliau tidak gentar menghadapi cabaran Pakatan Rakyat. Malah sebaliknya Najib mahu memberi isyarat bahawa jika kemelut politik Perak tidak boleh diselesaikan dengan baik dan sopan itu adalah kerana Pakatan Rakyat “tidak mahu atau keberatan” untuk meleraikannya secara bertamadun dan ikhlas.

Langkah politik ini dangkal. Beliau berharap Pakatan Rakyat menolak pelawaan yang bersalut syarat yang tidak munasabah itu,. Najib berkata, perbincangan boleh diadakan dengan Pakatan Rakyat jika pihak lawannya itu bersetuju untuk saling hormat menghormati dan akur kepada undang-undang dan sempadannya.

Amat jelas itu pelawaan Najib tidak ikhlas. Jika ingin berbincang, tidak perlu memberi syarat pihak saingan harus bersopan dan bertamadun. Ini kerana memang satu hakikat dan menjadi lumrah bahawa perbincangan hanya akan berlaku apabila adalah kesediaan untuk bersikap terbuka dan bersantun.

Apa sebenarnya yang cuba dilakukan Najib ialah mencabar Pakatan Rakyat. Dalam perkataan lain Najib mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memang tidak bertamadun dan bersopan santun serta tidak menghormati undang-undang. Bagaimanapun jika kalian ingin duduk semeja dan berbincang dengan Barisan Nasional kalian perlu bertamadun dan hormati undang-undang!

Ini bukan pelawaan tapi herdikan politik! Pada permukaannya, Najib dengan digilap oleh media arus perdananya cuba menonjolkan imej seorang negarawan yang lebih mementingkan kesejahteraan rakyat. Bagaimanapun syarat yang diberikannya sebenarnya mendedahkan kesumat yang bersarang di hatinya.

Najib berharap dengan kenyataan itu, Pakatan Rakyat akan segera menolak usulnya kerana marah dengan sindiran Najib bahawa mereka kurang bertamadun. Sifir politik Najib terlalu mudah untuk menjadi umpan agar rakyat marah dan “meluat” terhadap keengganan Pakatan Rakyat bekerjasama menyelesaikan isu politik Perak.

Selepas perbincangan segera di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim yang memang sudah maklum tahap pemikiran politik Najib, menyambut pelawaan Najib itu dengan meminta Perdana Menteri selama 41 hari itu menentukan bila dan di mana mesyuarat keamanan itu hendak diadakan.

Bagi Anwar membaca Najib tidak sukar. Oleh kerana keterbatasan pengalamannya memimpin, Najib yang selama ini “diampu dan dibelai” kerjaya politiknya oleh individu yang banyak terhutang budi kepada Allahyarham bapanya dan juga “pembodek” profesional, akan pasti mengambil langkah cetek seperti ini. Sekarang Najib perlu nyatakan bila dan di mana. Persoalannya sanggupkah beliau menghadapi kelibat Anwar, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan barisan pemimpin muda berkaliber besar dalam saf Pakatan Rakyat?

Jika kilasan politik Pakatan Rakyat tidak cukup menjerat nafas politik Najib, strategi keduanya untuk mengalihkan tanggungjawab menentukan penyelesaian berkekalan krisis politik Perak ke bahu Sultan, nampaknya lebih menjerut imej dan juga nilai kepemimpinan Najib.

Dalam hal ini semua pemerhati politik faham hanya Sultan berkuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri. Jadi jika atas perkiraan apa jua, Sultan tidak mahu berbuat demikian, itu bukan salah Najib dan Barisan Nasional. Lantas, strategi Najib seterusnya ialah meyakinkan Sultan agar tidak usah bubar dewan!

Apakah Najib berfikir rakyat tidak ingat bagaimana Sultan boleh bersetuju melantik Zambry Kader sebagai Menteri Besar dan pada masa yang sama mengenepikan hakikat bahawa Menteri Besar yang sedia ada, Nizar Jamaluddin belum dan tidak meletak jawatan, selepas diberi “nasihat” oleh Najib?

Congakan Najib ialah jika Dewan tidak dibubarkan ia adalah kerana Sultan. Biarlah rakyat marah pada Sultan asalkan kemarahan itu tidak disasarkan kepada dirinya dan Barisan Nasional.

Apa yang Najib tidak sedar kesilapan yang dilakukannya ialah, dengan mengatakan hanya Sultan yang berkuasa membubarkan Dewan, beliau sebenarnya sudah mengaku bahawa penyelesaian krisis Perak ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Cuma dalam premis pemikiran politiknya ialah, biarlah rakyat salahkan Sultan kerana tidak mahu menyelesaikan krisis ini. Yang tidak mahu bubar Dewan Undangan Negeri bukan beliau dan Barisan Nasional. Maka, Najib berharap tidak timbullah persoalan beliau takut memimpin Barisan Nasional menghadapi pilihanraya negeri Perak walaupun mentor politiknya, Dr Mahathir Mohamad ada menyatakan bahawa Barisan Nasional akan kalah dalam pilihanraya negeri!

Jika Najib jujur dan yakin beliau tidak gentar dengan Pakatan Rakyat, beliau harus membuat kenyataan terbuka untuk menyokong usul dan sembah Nizar (yang memang sudah rasmi diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi sebagai Menteri Besar yang sah) kepada Sultan supaya membubarkan Dewan.

Demi kebaikan kerjaya politiknya, Najib tidak perlu berselindung di sebalik singgahsana Sultan untuk mengalih pandangan rakyat kepada isu sebenar. Najib tidak harus menunggu hingga rakyat bangkit mencari siapa petualang yang menyorok di istana untuk mengkucar-kacirkan kehidupan mereka di Perak Darul Ridzuan. Apabila itu berlaku tidak ada manisnya berpolitik.

artikel asal : TVAntara

PAKATAN RAKYAT SEDIA BERTEMU NAJIB BERHUBUNG PENYELESAIAN KRISIS PERAK

Pakatan Bersedia Temui Najib

Pakatan Rakyat bersedia untuk menemui Perdana Menteri Najib Abdul Razak bagi memecahkan kebuntuan politik dan memulihkan demokrasi di negeri Perak.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian bahawa jalan penyelesaian kepada krisis perlembagaan Perak adalah melalui pilihan raya negeri.

“Pakatan Rakyat bukan mahu bertolak-ansur, tetapi bekerja bersama-sama untuk menghormati Perlembagaan, menghormati Kedaulatan Undang-Undang, dan kemuncaknya kembali kepada rakyat,” kata Anwar.

Beliau yang mewakili Pakatan Rakyat berkata demikian pada sidang akhbar bersama pemimpin lain di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur hari ini. Presiden Pas Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin turut hadir di sidang akhbar itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menegaskan Pakatan Rakyat bersetuju mengadakan pertemuan dengan Najib bersandarkan kepada hasrat Pakatan memulihkan institusi demokrasi yang terhakis disebabkan rampasan kuasa Barisan Nasional.

“Kita akan terus menggunakan tindakan perundangan, walaupun pada masa lalu kita telah menyuarakan kesangsian kita terhadap keberkesanan sistem keadilan yang mengadili kes-kes yang dibawa ke mahkamah,” kata Anwar.

“Dengan mengambil kira langkah-langkah repressive yang telah diambil BN sepanjang krisis ini, kita masih bersabar dan bersedia untuk mencari jalan penyelesaian secara aman, dan tuntas bagi memulihkan konflik ini,” kata Anwar.

Anwar bagaimanapun berkata pertemuan dengan Najib tidak akan memberi menjejaskan pendekatan perundangan yang diambil Pakatan Rakyat berhubung krisis politik ini.

“Kita berpendirian untuk meneruskan pendekatan undang-undang yang telah diambil. Namun begitu, ini adalah krisis politik dan ia tidak boleh diselesaikan di mahkamah atau di istana. Ia harus dipulangkan kepada mahkamah rakyat, kerana akhirnya keputusan terletak di tangan rakyat,” kata Anwar.

artikel asal : TVAntara


klip video ehsan : tvpas09

PESTA BERAHI DI PULAU-PULAU DI NEGERI TERENGGANU MAKIN MENJADI DAN BERLELUASA

Kerajaan Terengganu Gagal Hentikan Pesta Liar Di Pulau-pulau

Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) merasa amat dukacita kerana masalah gejala sosial yang berlaku di negeri Terengganu tidak pernah ‘surut’ dan sesetengah ‘maksiat terancang’ muncul kembali serta berleluasa akhir-akhir ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Setiausaha Dewan tersebut, Wan Mohd Faizul Wan Abas mendedahkan kegiatan maksiat dan tidak bermoral ‘Pesta Berahi’ telah kembali ke pulau-pulau di negeri Terengganu sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Tahun lepas, akhbar yang sama telah melaporkan kejadian pesta seumpama itu yang dianjurkan pihak tertentu.


Pesta liar di pulau dilaporkan menjadi trend masa kini apabila ia dikatakan lebih ‘selamat’ daripada tindakan pihak berkuasa, peserta bebas melakukan apa saja dan penganjur boleh mendapat untung besar.(Gambar)

Seks, arak dan dadah adalah menu utamanya, yang boleh diperolehi dengan mendapatkan tiket berharga RM250 hingga RM700 untuk menyertai parti eksklusif di sebuah pulau.

Oleh yang demikian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung Ustaz Mohd Nor Hamzah telah menegur kerajaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali pertama Mei tahun lepas.

Beliau berkata satu pesta berlaku di Pulau Perhentian dan laporan tersebut menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil kesempatan (tindakan) bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan permasalahan itu.

“Sehingga terdedah, kata-kata dari para pelancong asing yang datang ke Pulau Perhentian,

“mereka berkata, jika disko-disko di bandar masanya terhad dan bimbang diserbu pihak berkuasa tetapi di sini (pulau) saya dapat berpesta sepuas-puasnya,”ujarnya yang kini adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu. (Dengar Ucapan ADUN Bukit Payung)

Tindakbalas dari teguran tersebut, pihak kerajaan negeri telah memberikan jawapan sekadar ‘manis dibibir mulut’ pada sidang DUN yang sama .

ADUN Kuala Besut, Dr. Abdul Rahman Mokhtar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata kerajaan negeri memandang serius gejala maksiat di pulau peranginan bertaraf antarabangsa itu kerana jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan imej negeri di mata umum.

''Kerajaan telah mengeluarkan amaran kepada pemilik chalet terbabit supaya jangan lagi mengulangi perbuatan yang sama,'' katanya

Tanpa pemantauan dan tindakan yang berterusan dari pihak kerajaan, akhirnya gejala buruk tersebut muncul kembali.

Wan Faizul berkata permasalahan gejala sosial tersebut berulang menggambarkan ketidakupayaan kerajaan untuk membendungnya.

Ia adalah kerana, katanya, berpunca dari sikap agensi dan beberapa pihak dalam kerajaan yang bersikap menutup mata dengan gejala tersebut.

Oleh yang demikian, DPPNT mendesak pihak kerajaan segera mengambil tindakan pro aktif bagi menanganinya.

“Kami mendesak pihak kerajaan segera mengambil tindakan pro aktif, kewujudan (semula) gejala ini menggambarkan kepada masyarakat (umum) sikap dan kegagalan Kerajaan BN untuk menyelesaikan masalah tersebut,”tegasnya dalam kenyataan yang diterima melalui e-mel oleh Buletinonline.

Beliau menggesa supaya pihak kerajaan dan pemimpin UMNO/BN benar-benar mengambil perhatian dan cakna bukannya sibuk mengejar kekayaan dan kepentingan diri sehingga berlaku kemelut politik di Terengganu yang tidak akan berkesudahan.

artikel asal : TVAntara

RAKYAT HAKIM TERBAIK SELESAI KRISIS PERAK

Hanya rakyat yang layak menjadi hakim untuk menyelesaikan krisis politik di Perak, tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Hadi menegaskan PAS tetap dengan pendirian mahu Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.


"Hanya rakyat yang boleh menjadi hakim dan membuat keputusan kerajaan mana yang mereka mahukan bukan mahkamah.

"Kerana itu tiada jalan lain untuk menyelesaikan krisis di Perak kecuali Dun dibubarkan.

"Jika krisis ini dibiarkan berterusan ianya akan memusnahkan lagi demokrasi di negara ini," tegas beliau kepada media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dekat sini sebentar tadi.

Mengulas mengenai kenyataan Najib yang sedia untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, Hadi menegaskan PAS tidak akan menolak sebarang rundingan tetapi tetap berpendirian mengesa pembubaran Dun.

PAS, tegas Hadi bersedia mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Perak dilanda kemelut politik BN merampas pentadbiran Pakatan Rakyat secara haram dengan tidak meneghormati pilihan yang telah dibuat rakyat Perak selain tidak menghormati undang-undang tubuh negeri Perak.

Ekoran rampasan kuasa itu Sultan telah meminta Menteri Besar Pakatan, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya melepaskan jawatan menteri besar.

Baginda kemudiannya memperkenankan pelantikan Menteri Besar haram Dato' Seri Zambry Abd Kadir dari BN sebagai menteri besar yang baru.

Bagaimanapun pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Esoknya, Zambry mendapat perintah penangguhan penghakiman tersebut sehingga selesai rayuannya.

Semalam, Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan tersebut, yang akan didengar Isnin ini.

artikel asal : HarakahDaily