Friday, December 18, 2009

Ekonomi terbuka Najib dikritik Jomo

Izzati Yaacob

PETALING JAYA, 18 Dis : Ahli ekonomi terkemuka KS jomo secara tidak langsung mengkritik dasar ekonomi terbuka yang mula diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jomo yang kini bertugas sebagai penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata dasar ekonomi terbuka yang membolehkan liberalisasi kewangan negara tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kini.

Sebaliknya beliau menjelaskan dasar ekonomi tersebut hanya menyumbang kepada peningkatan harga pasaran saham dan hartanah yang boleh melambung tinggi dan kemudiannya merudum secara tiba-tiba.

Jomo (gambar) berkata sedemikian semasa memberi syarahan yang bertajuk “adakah malaysia menggambil iktibar dari kesan krisis ekonomi yang lepas”, yang berlangsung di Hotel Singgahsana di sini malam semalam.


Program tersebut dianggarkan dihadiri seramai 200 orang. Ia dianjurkan oleh Gerak Budaya dan Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD). Penganjur bersama adalah Youth4 Change.

Jomo berkata dasar tersebut mungkin disokong oleh golongan berpendapatan kelas pertengahan yang melabur di dalam pasaran saham tetapi menurutnya dasar tersebut tidak menyumbang kepada “ekonomi sebenar”.

Beliau memberi contoh kejayaan syarikat-syarikat tempatan dalam memproses minyak sawit mentah kepada minyak sawit yang telah ditapis sebagai satu kejayaan yang menyumbang kepada ekonomi sebenar negara ini.

Katanya lagi, minyak sawit untuk kegunaan memasak keluaran Malaysia kini tidak “menyebabkan siling dapur berjelaga”.

“Inilah contoh-contoh kejayaan kejuruteraan Malaysia membawa perubahan kepada ekonomi (sebenar),” tambahnya lagi.

Jomo berkata perubahan ke arah dasar ekonomi terbuka kini adalah hasil kerja para pelobi yang bergerak aktif diperingkat antarabangsa.

Katanya usaha-usaha tersebut amat giat dijalankan sehingga dasar-dasar yang bertujuan untuk melindungi kepentingan negara seperti yang telah diamalkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “dicampak begitu sahaja”.

“Perkara-perkara seperti ini jarang-jarang sekali didebatkan di parlimen,”katanya.

Jomo juga membangkitkan kecenderungan kerajaan di bawah pimpinan Najib untuk bergantung kepada pengunaan dan perbelanjaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi sebagai “satu strategik yang tidak ampuh”.

Katanya kecenderungan tersebut akan menjadikan impian negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan terpaksa ditangguh “sekurang-kurangnya selama satu dekad lagi”.

Di antara perubahan dasar ekonomi yang diperkenalkan Najib adalah liberalisasi 27 subsektor dan sektor kewangan, pengeluaran lesen bank-bank komersil baharu untuk rakyat asing menyertai sektor kewangan negara, pertumbuhan kewangan Islam, serta memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) membabitkan ekuiti Bumiputera.

Dasar ekonomi terbukanya juga dijangka mengurangkan pemilikan ekuiti bumiputra dari paras 18 peratus sekarang kepada sekitar hanya 12 peratus.

Sementara itu pemilikan ekuiti di kalangan pihak asing dijangka meninggkat sehingga 70 peratus.

Harakahdaily

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat esok

Harakahdaily

SHAH ALAM, 18 Dis : Esok, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.


(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga.