Wednesday, January 13, 2010

Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz



Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Jan : Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.

“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.

“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya.

Harakahdaily

Anwar's 'qazaf' suit adjourned pending Saiful's application

The Federal Territory Syariah High Court today set Feb 17 for re-mention of Anwar Ibrahim's bid to expedite his qazaf (false accusation) charge against former aide Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Syariah High Court judge Mohd Shukor Sabudin fixed the matter after the respondent's lawyer Zainul Rijal Abu Bakar asked for another date to file a preliminary objection.






Nik Aziz terus kebal depani krisis : Pensyarah

Jimadie Shah Othman
Jan 13, 10 9:53am


kemaskini 1.01pm Walaupun diasak hebat dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan nepotisme, PAS Kelantan dan menteri besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat masih menikmati tanggapan positif rakyat, kata dua penganalisis politik.

"Biar dalam PAS sendiri berpecah, tetapi imej kerajaan Kelantan tidak terjejas. Rakyat (negeri itu) takut bahawa ini semua mainan media.

“Rakyat tidak berasa beliau (Nik Aziz) bersalah," kata Prof Dr Mohd Agus Yusoff, seorang pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, yang berasal dari negeri itu.

"Ia tidak memberikan kesan besar jika hendak dibandingkan dengan penyelewengan lain (dalam negara) yang lebih besar.

"Dakwaan seperti Nik Aziz menerima kek bernilai RM500 ini akhirnya jadi bahan lawak sahaja."

Ahli akademik Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah pula berkata, asakan demi asakan terhadap kerajaan Kelantan tidak menggugat kepercayaan politik orang ramai kepada Nik Aziz apabila beliau masih meraih populariti berbanding pemimpin PAS lain.

Pensyarah kajian media itu juga berkata, data terkini menunjukkan bahawa sokongan terhadap Kelantan meningkat sebanyak 8 hingga 12 peratus (kepada 73.6 peratus) pada November lalu berbanding 63 peratus pada pilihan raya umum 2008.

"Sesetengah media tidak mempunyai data ini dan menunjukkan bahawa sokongan terhadap kerajaan Kelantan merosot," katanya.

"Mereka lupa, krisis adalah bisnes, bisnes adalah tentang tumpuan (masyarakat). Dalam dunia sekarang, perkara ini (tumpuan) mampu mengangkat reputasi dan mampu memberikan kekuatan."

Dr Abu Hassan, yang menjalankan tanggapan politik melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies, membuat kesimpulan tersebut berdasarkan tinjauan berterusan berhubung kepercayaan politik tokoh-tokoh politik yang dijalankan sejak pilihan raya lalu.

Kesimpulan tersebut, tambahnya, berdasarkan data-data terkumpul setakat November tahun lalu, berdasarkan maklum balas lebih 2,000 responden di seluruh.

Fasa kedua kajian tersebut akan bermula bulan depan, katanya.

Dr Mohd Agus dan Dr Abu Hassan diminta mengulas asakan konsisten terhadap kepemimpinan Nik Aziz, terbaru apabila beliau didakwa menerima hadiah kek bernilai RM500 daripada menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan reaksi Abdul Ariffahmi berhubung dakwaan terbaru terhadapnya masih belum berhasil.


Sejak beberapa pertengahan November lalu, Nik Aziz dihimpit dengan pelbagai isu, antaranya melibatkan isu tajaan hajinya daripada seorang ahli perniagaan, pengaruh ahli keluarganya dalam pertadbiran kerajaan negeri dan desakan agar beliau menyediakan pelan peralihan jawatannya.

Isu-isu tersebut, terutamanya berhubung isu Abdul Ariffahmi dan peranan ahli keluarganya – sering disebut 'kabinet dapur' Nik Aziz – turut dipersoalkan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Spekulasi berhubung pengganti Nik Aziz juga hangat dibincangkan di media susulan cadangan exco negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendesak menteri besar menamakan penggantinya.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Dr Abu Hassan bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Agus bahawa, sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, Nik Aziz dan PAS dapat mengekalkan penguasaan mereka di negeri yang telah ditadbir selama 20 tahun itu.

"Kalau buat pilihan raya sekarang pun PAS menang lagi. Sukar untuk Umno menang biarpun Nik Aziz dibebani dengan pelbagai isu.

"Semua ini akhirnya akan mati sendiri. Tunggu masa sahaja," kata Dr Mohd Agus.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno negeri Datuk Md Alwi Che Ahmad berpendapat sebaliknya.

"Dunia akademik ini macam fekah juga. Ada kata harus, ada kata sunat, ada kata wajib ada kata makruh (pelbagai tafsiran agama).

"Tetapi yang jelasnya, Kelantan mengalami masalah. Dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu, dah terbukti (PAS lemah), mereka menang dengan majoriti yang amat tipis," katanya.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat hampir-hampir menewaskan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah apabila tewas dengan majoriti tipis 65 undi.

malaysiakini