Monday, June 15, 2009

Dewan Rakyat : Sidang Media Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin (Video Part II)

Sidang media Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin yang diarah keluar Dewan selepas mengangkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi permulaan Dewan Rakyat hari ini 15 Jun 2009




klip video ehsan : jiwokelate2009

Dewan Rakyat : Sidang Media Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin (Video Part I)

Sidang media Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin yang diarah keluar Dewan selepas mengangkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi permulaan Dewan Rakyat hari ini 15 Jun 2009




klip video ehsan : jiwokelate2009

Dewan Rakyat : Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin (Video)

Dato' Seri Mohd. Nizar Jamaluddin mengangkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang di sesi permulaan Dewan Rakyat hari ini 15 Jun 2009.




klip video ehsan : jiwokelate2009

PANDIKAR memang betul-betul... PENDEKAR!

Speaker Tolak Usul Pakatan Untuk Bahas Skandal PKFZ

Speaker Parlimen pilihan Barisan Nasional hari ini menolak usul untuk membahaskan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang membabitkan pemimpin-pemimpin kanan Umno- MCA dan wakil-wakil rakyat BN.

Usul dari Ahli Parlimen Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur) membincangkan skandal RM12.5 bilion itu ditolak Pandikar Amin Mulia.

Menjelaskan kepentingan isu ini dibahaskan, Kit Siang berkata penjelasan dari Menteri Pengangkutan Ong Tee Keat amat penting kerana laporan audit PriceWaterhouseCoopers (PwC) ke atas PKFZ tidak memuaskan.

Tegas Kit Siang, isu terpenting skandal ini tidak disentuh kerana laporan PWC itu tidak menjelaskan bagaimana kos RM1.1 bilion projek itu melonjak kepada RM12.5 bilion.

Bagaimanpun Pandikar menolak usul itu daripada dibahaskan kerana kononnya “bukan menjadi satu isu yang perlu disegerakan.”


Keputusan Pandikar itu senada dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semalam, bahawa isu PKFZ kononnya tidak perlu di bahas di Parlimen kerana BN telah mengambil segala tindakan yang perlu.

Alasan Pandikar dan Khairy itu cetek kerana isu PKFZ membabitkan dana awam dan Parlimen adalah forum untuk memastikan semua pihak telus dalam menangani isu itu.

TVA

Tinjauan : 80% Tolak Chin Peng Balik

Lapan puluh peratus dari 10,000 responden kaji selidik berkumpulan Jabatan Penerangan Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan pulang atau diberi kerakyatan.

Ketua pengarah jabatan tersebut Datuk Abdullah Morad berkata, kaji selidik itu dilakukan di kalangan pelbagai kaum di seluruh negara setelah timbul cadangan pihak tertentu yang bersetuju membenarkan bekas pemimpin atasan Parti Komunis Malaysia (PKM) itu pulang atas aspek kemanusiaan, lapor Bernama.

"Kajian mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai kemerdekaan," beliau dipetik berkata selepas merasmikan Program Sepakat Bestari di Kampung Singkir Laut dekat Yan hari ini.


Katanya, kenyataan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Chin Peng dibenar pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air "hanya akan menimbulkan kekeliruan".

"Negara boleh menjadi porak peranda dan rakyat akan terkeliru jika isu Chin Peng terus dimainkan oleh pemimpin politik pembangkang sebagai modal meraih simpati.

"Walaupun rakyat menolak hasrat kepulangan Chin Peng, tetapi masih ada pihak tertentu terutama pemimpin politik menjadikan ia sebagai isu," kata Abdullah seperti dilaporkan.

Tambahnya, rakyat dari semua kaum yang cintakan negara ini haruslah menghormati Rukun Negara dan keputusan kerajaan tidak membenarkan Chin Peng pulang.

malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Desak Mohamad Hasan Jelaskan Isu Sumbangan Wang Pada SPRM

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohd Omar, membidas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan berikutan kenyataan Mohamad Hasan di dalam akhbar Sinar Harian, 13 Jun, bahawa kerajaan Negeri cuma memberikan RM5,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Negeri Sembilan.

Sebelum ini pada 12 Jun, dalam sebuah sidang akhbar di Seremban, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan bahawa Mohamad Hasan telah memberikan RM20,000 dalam bentuk cek dan memasukkan ke akaun Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan.

Zulkefly berkata, "Isunya di sini bukannya berapakah jumlah wang yang diberikan kepada SPRM, tetapi tindakan Mohamad Hasan jelas telah melanggar etika dan peraturan kakitangan kerajaan.


"Peraturannya ialah sumbangan dari kerajaan negeri mestilah melalui Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK)," katanya.

Menurut Zulkefly, tindakan Mohamad Hasan jelas telah melanggar peraturan dan ini akan mencetuskan satu situasi yang tidak sihat di mana akan berlaku pertindihan kepentingan.

"Tindakan Mohamad Hasan ini akan menjurus kepada kepentingan peribadi dan agenda tersirat.

"Bagaimanakah SPRM Negeri Sembilan akan bertegas dalam sesuatu penyiasatan membabitkan kerajaan Negeri Sembilan, sedangkan pada masa yang sama mereka terhutang budi kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan?" tegas Zulkefly.

Zulkefly juga mempertikai kewajaran Mohamad Hasan memberi sumbangan kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan berbanding banyak lagi pihak termasuk sekolah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih memerlukan bantuan.

"Kenyataan Mohamad Hasan bahawa ia bukan duit beliau tetapi duit kerajaan negeri adalah kenyataan kebudak-budakkan dalam usaha melepaskan diri.

"Memang ia bukan duit sendiri dia, tetapi dia diamanahkan sebagai Menteri Besar untuk menjaga dan mentadbir wang rakyat," kata Zulkefly lagi.

Beliau menyifatkan kenyataan Mohamad Hasan itu mengambarkan seolah-olah beliau cuba lari dari bertanggungjawab dalam isu ini.

Sehubungan itu, Zulkefly mendesak agar Mohamad Hasan menjelaskan kepada rakyat dengan segera bagaimana hal sedemikian boleh berlaku.

HarakahDaily

Manohara : Luka di dada akibat pisau cukur kening

Manohara Odelia Pinot mendedahkan lebih terperinci bagaimana kesan-kesan luka di dadanya muncul yang didakwa dilakukan oleh suaminya sendiri, Tengku Temenggong Kelantan.

Bekas model muda itu, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, berkata kejadian itu berlaku April lalu menggunakan pisau pencukur kening tetapi beliau "tidak mampu bergerak atau menjerit," lapor harian Jakarta Globe minggu lepas.

"Perkara yang paling sukar tentang (kejadian) ini adalah saya sedar ia terjadi, saya boleh rasa, tetapi saya tidak mampu bergerak atau menjerit. I saya tidak tahu apakah yang beliau berikan kepada saya," katanya.

"Saya boleh nampak, mendengar beliau, menghibu bau beliau, merasai beliau. Saya boleh rasa kesan luka di badan saya. Ia menyakitkan. Dengan kesakitan fizikal itu, saya tidak begitu kisah."

Apabila ditanya lagi tentang jawapannya itu, Manohara mendakwa suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra melakukan sebanyak tiga kali.

"Buat kali pertama ia mengguris saya adalah satu tanda kecil X di kawasan dada saya. Dan paling teruk mengenainya (perbuatannya) adalah beliau tidak menorehnya dengan pantas atau apa-apa.

"[Beliau] hanya mengambil masanya, (buat begitu) perlahan-lahan. Beliau kelihatan tenang seperti biasa.

"Ia seperti anda memberi seseorang sebatang berus cat dan memberitahunya agar melukiskan sekuntum bunga.

"Ia mengambil masa lebih 20 minit," jelas wanita 17 tahun itu dalam wawancara eksklusif dengan akhbar itu, Jumaat lalu.


Tengku Muhammad Fakhry minggu lalu menafikan dakwaan mendera isterinya dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Manohara dan ibu mertuanya Daisy Fajarina yang membuat dakwaan tersebut, sejak April lalu.

Kenalan dekat putera raja itu Mohd Soberi Shafii selama ini sering menafikan tuduhan-tuduhan terhadap Tengku Muhammad Fakhry.

Peguamnya Mohd Haaziq Pillay enggan memberikan sebarang ulasan kepada Jakarta Globe, dengan berkata aduan polis telah difailkan berhubung dakwaan-dakwaan tersebut.

Dalam wawancara yang sama, Manohara mengakui Tengku Muhammad Fakhry sangat baik kepadanya, "seorang yang sangat manis dan budiman" sehingga sanggup menerima undangannya ke Malaysia bagi kali pertama - sebelum perkahwinan - walaupun mendakwa pernah diperlakukan secara negatif oleh putera Sultan Kelantan itu sebelumnya.

Diminta mengulas sama ada kerabat istana Kelantan bertindak menindas, wanita muda itu juga berkata Sultan Kelantan "seorang yang sangat baik" dan kebanyakan mereka pernah membantunya dan sangat mesra terhadapnya.

Manohara bagaimanapun mendakwa beliau rasa "terperangkap" dalam perkahwinannya tetapi, secara psikologi, cuba menafikannya.

Katanya lagi, beliau mula menyedari sikap suaminya apabila menyuruhnya tidur di atas lantai kerana enggan melayannya pada malam pertama dengan alasan beliau tidak menganggap dirinya sebagai seorang isteri.

Ditanya sama ada semua tuduhannya kepada putera raja itu sebahagian taktiknya untuk mencari publisiti bagi menaikkan namanya dalam industri hiburan, Manohara berkata:

"Kalau begitu, ini bererti [kerabat istana Kelantan] sebahagian perancangan itu.

"Kami tidak boleh ke (istana) Kelantan dan berkata 'hey, bolehkah anda menculik saya, dan berpura-pura mendera saya, dan kemudian bebaskan saya?' Saya tidak nampak (tuduhan dalam soalan) itu masuk akal."

Tambahnya, beliau mempunyai bukti berhubung dakwaannya didera dan doktor juga mengesahkannya.

"Saya ada parut di merata badan, dan kesan jarum di bahagian belakang saya. Ini semua bukti tetapi (masih ada) orang tidak mempercayainya," Manohara dipetik berkata.

malaysiakini

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Nafi Kenyataan Perbelanjaan RM 8 Juta PBT

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Daily yang mendakwa Pihak Berkuasa Selangor membelanjakan RM8 juta kepada Pakatan Rakyat.

Dipetik dari Selangor Daily, ia dilakukan untuk menampung kos elaun pejabat, gaji kakitangan, kos utiliti untuk setiap ahli majlis dan elaun bulanan yang digunakan untuk melancarkan kempen parti-parti dalam Pakatan seperti PAS, PKR dan DAP.

Jelas Menteri Besar Selangor, perkara yang sama juga turut dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah negeri ini, malah mereka mengggunakan dana ini bukan untuk rakyat tetapi bagi membuat lawatan ke luar negara.

Katanya, perbuatan menggunakan perbelanjaan untuk tujuan itu dikurangkan kerana tidak mahu berlaku pembaziran wang rakyat dengan melakukan lawatan ke tempat yang tidak berkaitan dengan dengan urusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.


Sebelum Mac 2008, katanya, ahli majlis juga dibayar elaun dan ini hendaklah tunjukkan supaya perbezaan ketika era pemerintahan BN dahulu hanya terdapat orang politik sahaja dipilih menjadi ahli majlis.

"Tetapi sekarang, 30 peratus daripada ahli majlis merupakan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan dari orang politik. Tidak semestinya kerajaan negeri mengatakan tiada perbelanjaan, bayangkan ahli majlis yang berkerja begitu kuat. Takkan kita kita tidak boleh bagi dia elaun RM700 hingga RM800 sebulan, gaji buruh pun lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan dalam Dewan Undangan negeri Taman Medan.

Turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan (Adun), Taman Medan, Haniza Talha; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Batu Caves, Amirudin Shari; Adun Sijangkang, Dr. Yunus Hairi dan Adun Teratai, Jenice Lee.

"Sebanyak RM3 hingga RM5 juta setahun diperuntukkan untuk seluruh negeri yang merangkumi semua aspek termasuk pengurusan, aktiviti pembangunan belia di Selangor dan saya berharap, idea mengilhamkan dataran ini perlu disokong dan dikembangkan di seluruh negeri ini.

"Saya menjangkakan banyak aktiviti bakal diadakan untuk remaja dan belia selain daripada forum atau ceramah, usahawan, pameran kereta serta jualan kereta terpakai. Program ini juga sesuai dengan pembangunan belia negeri ini dan diuruskan oleh tiga Adun, Dr. Yunus Hairi, Amirudin Shari dan Jenice Lee yang juga merupakan belia," katanya.

HarakahDaily

Sekretariat Pakatan Rakyat Perlu Ditubuhkan Segera - Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan berpendapat, Pakatan Rakyat perlu menyegerakan penubuhan sekretariat tetap bagi menangani segera isu berbangkit di kalangan anggotanya.

Menurutnya, dengan adanya sekretariat tetap beliau percaya ia akan dapat memantapkan dan meningkat hubungan dua hala antara parti gabungan serta menjadi pusat pengumpulan maklumat terkini sebelum disalur dengan lebih cepat kepada kepimpinan parti tanpa menunggu lama.

Menurutnya, serangan gerak saraf pihak lawan terhadap mana-mana anggota Pakatan Rakyat mampu ditangkis dengan cepat oleh sekretariat berkenaan.


Beliau memberi contoh bagaimana serangan bertubi-tubi lawan terhadap PAS dalam isu Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya isu berkenaan dapat ditangani dengan mudah jika Pakatan Rakyat mempunyai sekretariat tetap yang dibekalkan dengan maklumat lengkap isu berkaitan untuk dirujuk oleh semua pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul lagi isu kenyataan bercanggah para pemimpin ketika mengulas sesuatu isu kerana maklumat lengkap telah disedia pihak sekretariat," katanya.

Tuan Ibrahim berkata beliau kesal kerana ada di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat mengulas seuatu isu berkaitan tanpa mendapatkan maklumat lengkap sehingga bercanggah dengan hakikat sebenar.

"Kita tahu agenda utama media arus perdana ialah untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat, justeru jika pihak media bertanya sesuatu soalan ia harus dijawab dengan cermat dan teliti supaya tidak terperangkap dengan agenda Umno-BN," ujarnya.

HarakahDaily

Turut Digantung 2 Hari Dari Sidang Dewan : Dr Hatta Ramli dan Dr Dzulkefly Ahmad

Nizar, 6 lagi digantung sidang parlimen

kemaskini 2.09pm Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN".

Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.

Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar".

Mereka juga didakwa "melanggar etika berpakaian" apabila mengenakan kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.

Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai).




Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.

Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen tersebut dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.

malaysiakini

Isu AP Sarawak Dalam Dewan Rakyat : Wan Junaidi Tidak Akan Mohon Maaf

Wan Junaidi tidak akan minta maaf dalam isu AP S’wak kurang lantang

KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat menegaskan beliau tidak akan memohon maaf andai terdapat Ahli Parlimen (AP) Sarawak yang tersinggung berikutan kenyataannya menyebut AP negeri ini kurang lantang bersuara di dewan kerana ia adalah berlandaskan fakta.

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, permintaan supaya beliau memohon maaf juga dilihat keterlaluan kerana menganggap ia adalah teguran ikhlas.

“Kenyataan bahawa AP Sarawak kurang lantang dalam menyuarakan pendapat berhubung sebarang isu berbangkit di Dewan Rakyat bukan berniat untuk memperlekehkan AP negeri ini, cuma saya mahukan penyertaan yang seimbang antara wakil rakyat negeri ini dengan rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Kepada mereka (AP) yang tersinggung… pintu pejabat saya sentiasa terbuka,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.


Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu, keseimbangan pembabitan AP Sarawak dalam perbahasan di Dewan Rakyat penting untuk menangkis persepsi rakyat bahawa cuma pembangkang yang lantang bersuara di Parlimen.

Menurutnya, kenyataan yang disiarkan oleh media berhubung tegurannya itu hanya sekadar untuk menjawab pertanyaan pemberita yang ingin tahu sejauh mana penyertaan AP Sarawak di Parlimen.

Khamis lalu, Wan Junaidi memberitahu peranan AP bukan sekadar menghadiri persidangan untuk memenuhi kerusi dewan tetapi perlu turut serta dalam memberi pandangan untuk kepentingan rakyat.

“AP dari Sarawak kurang lantang dan agresif dalam persidangan berbanding AP dari Semenanjung Malaysia dan Sabah… kalau hanya duduk dan mendengar buat apa?,” kata Wan Junaidi dipetik sebagai berkata dalam laporan sebelum ini.

Dalam pada itu, peristiwa paling dikesali Wan Junaidi ialah pernah suatu ketika apabila pembangkang memperkatakan sesuatu tentang Ketua Menteri (Pehin Sri Taib Mahmud) dalam dewan, tiada AP negeri ini yang tampil untuk mempertahankan.

“Dalam hal sebegini, AP Sarawak perlu bangkit mempertahankan cercaan pembangkang lebih-lebih lagi ia membabitkan pemimpin yang kita sanjung dan hormati, bukan keluar dari dewan,” tambahnya.

TheBorneoPost

Digantung 2 Hari Dari Menghadiri Sidang Dewan : Dato' Seri Mohammad Nizar, Dato' Ngeh Khoo Ham, Nga Kor Ming, N.Gobalakrishnan Dan Dato' Mahfuz Omar

Nizar, 4 MP digantung sidang parlimen

Lima ahli parlimen pembangkang, termasuk Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) yang baru mengangkat sumpah pagi ini, diperintah meninggalkan Dewan Rakyat selepas mendesak DUN Perak dibubarkan.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan kelima-limanya meninggalkan bilik persidangan parlimen atas dakwaan "berkelakuan kasar".

Mereka berlima juga digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.




Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) and Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

Nga dan Ngeh - kedua-duanya exco kerajaan Pakatan Perak sebelum rampasan kuasa BN, Februari lalu - juga memakai kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.

Tiga pemimpin Pakatan Rakyat di negeri itu antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut kembali kerajaan yang mereka kuasai tidak sampai setahun sejak Mac tahun lalu.

malaysiakini

DEWAN RAKYAT : "BUBAR DUN PERAK"

Gara-gara lilitan Bubar DUN, Nizar diarah keluar Dewan Rakyat

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media di lobi Parlimen bersama sebahagian ahli Parlimen Pakatan Rakyat selepas diarah keluar dari Dewan oleh Speaker kerana ingkat arahan supaya menanggalkan lilitan 'Bubar DUN'--fotoTHE STAR oleh Raja Faisal Hishan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar Dewan Rakyat tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan "bubar Dewan Undangan Negeri" sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan ingkar arahan supaya menanggalkan lilitan "BUBAR DUN" Perak.

Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang.

Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".

Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut.

Turut diarah keluar ialah beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang enggan mematuhi arahan Speaker supaya tidak memakai lilitan itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) serta N. Gobalakrishnan (Padang Serai).

Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "BUBAR DUN".


Insiden itu menyebabkan sesi soal jawab soalan lisan tertangguh 15 minit.

mStarOnline

Dewan Rakyat : Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin Diperintah Speaker Keluar Dewan

Nizar, 4 rakan diarah keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, dan beberapa rakan Pembangkang lain diperintah keluar Dewan Rakyat selepas ingkar arahan Speaker supaya tidak memakai pelilit kepala bertulis "Bubar Dun".

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan demikian selepas mereka enggan mematuhi arahannya supaya membuka pelilit kepala berkenaan.


Sebelum itu, Nizar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

BeritaHarian

KES PERBICARAAN 2 PENGKHIANAT

Jamaludin, Osman hadir untuk perbicaraan rasuah

IPOH : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaludin Md Radzi; Adun Changkat Jering, Osman Jailu; dan tiga lagi individu tiba di Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan tuduhan rasuah membabitkan projek perumahan RM180 juta di Perak tengah.


BeritaHarian

LAGI PENDEDAHAN ISTERI PM.. SIAPA ROSMAH? (Part II)





Ahli Parlimen Sarawak Hanya Duduk Hadiri Dewan Rakyat?

AP Sarawak Terguris Dengan Kenyataan Wan Junaidi

KUCHING: Perasaan beberapa Ahli Parlimen dari Sarawak terguris berikutan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan mereka sekadar berdiam diri ketika hadir ke Persidangan Dewan Rakyat.

Antara yang kecewa dengan kenyataan itu ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

Nancy berkata, tindakan Wan Junaidi itu mungkin mendatangkan persepsi negatif di kalangan orang ramai, terutama penduduk dari kawasan yang diwakili mereka.

“Kami (Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak) akan membincangkan bentuk tindakan yang akan diambil.

“Kami tidak akan berdiam diri. Anda akan tahu apa yang bakal berlaku selepas ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis mengenai kecantikan di sini, semalam.

Menurut Nancy, Wan Junaidi dalam kenyataan yang disiarkan akhbar pada Jumaat lepas, seolah-olah memberi pujian kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen daripada parti pembangkang.

“Kami wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) juga melaksanakan peranan seperti yang sepatutnya,” ujarnya yang enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai perjumpaan para Ahli Parlimen itu kelak.

Tarikh perbincangan masih belum diputuskan lagi kerana mereka cuba mencari masa yang sesuai untuk mempertemukan Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak.

Ditemui pemberita selepas satu majlis pada Khamis lepas, Wan Junaidi berkata peranan Ahli Parlimen bukan sekadar menghadiri persidangan untuk memenuhi kerusi dewan tetapi turut serta dalam memberi pandangan untuk kepentingan rakyat.

“Ahli Parlimen dari Sarawak kurang lantang dan agresif dalam persidangan berbanding Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Selaku wakil rakyat anda seharusnya turut serta dalam membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Dewan. Kalau hanya duduk dan mendengar buat apa?,” kata Wan Junaidi dipetik sebagai berkata dalam laporan sebelum ini.


Dalam nada mempertahankan diri, Nancy berkata lagi, beliau tidak pernah ketinggalan berucap dalam Persidangan Dewan Rakyat.

Menurut beliau, orang ramai mungkin percaya dengan kenyataan Wan Junaidi memandangkan ucapan atau perbahasan mereka tidak disiarkan dalam televisyen atau dilaporkan dalam akhbar.

Suara Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak ketika berucap menurut beliau mungkin tidak selantang dan seagresif seperti rakan-rakan dari Sabah.

Ini memungkin kehadiran mereka dalam Dewan kurang disedari dan tidak menarik perhatian media.

“Kami ada cara tersendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya Ahli-ahli Parlimen dari Sabah.

“Dengan cara tersendiri (tidak lantang dan agresif) intipati perkara yang hendak disampaikan masih juga dapat didengar,” katanya.

Masalah penduduk di kawasan yang diwakili mereka katanya tidak pernah diabaikan pada Persidangan Dewan Rakyat.

Malah beliau mengakui kehadiran utama mereka di Dewan Rakyat adalah untuk menyuarakan masalah rakyat agar sampai ke perhatian kerajaan dan seterusnya tindakan selanjutnya dilaksanakan.

“Setahu saya penduduk di kawasan yang saya wakili mendapat peruntukan tambahan. Saya gembira (dengan peranan yang dilaksanakan demi penduduk),” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata beliau tidak selesa apabila Wan Junaidi muncul dengan kenyataan sedemikian.

“Kami (Ahli Parlimen dari Sarawak) juga terbabit dalam perbahasan dan ada kala mencelah terutama apabila per-bincangan menyentuh mengenai Sarawak.

“Tetapi jika peluang untuk berbahas tidak ada bagaimana hendak berucap dalam persidangan. Ahli Parlimen yang hadir dalam persidangan bukan sedikit tetapi lebih 100 orang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai liputan media, beliau berkata lazimnya wartawan lebih tertarik dengan isu-isu hangat seperti kritikan terhadap kerajaan.

Media menurut beliau kurang tertarik, jika sekadar menyentuh isu pembangunan yang diperlukan sesebuah kawasan.

“Memang kadang-kadang ada berita mengenai pembangunan yang dibawa saya ke Parlimen disiar dalam akhbar,” jelas beliau.

Sependapat dengan Nancy, beliau berkata Ahli Parlimen dari Sarawak tidak perlu terikut-ikut dengan Ahli Parlimen dari Sabah yang begitu lantang dan agresif.

“Kita tidak dapat mengikut tempo seperti yang digunakan oleh mereka dari Sabah. Kita yakin dengan diri sendiri dalam meluahkan permasalahan rakyat,” katanya.

Mengenai rancangan Nancy untuk mengambil tindakan terhadap Wan Junaidi, beliau berkata beliau enggan memanjangkan isu berkenaan.

“Saya lebih gemar melihat perkara ini dari perspektif yang positif iaitu sebagai proses untuk memperbaiki diri dan kehadiran saya dalam Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata kenyataan itu mungkin boleh disalah tafsir oleh orang ramai.

Malah lebih buruk lagi jika pembangkang sengaja membesar-besarkan isu berkenaan untuk meraih sokongan politik terutama menjelang pilihan raya kelak.

“Apa yang lebih merisaukan ialah apabila orang ramai menganggap kami sebagai wakil rakyat BN tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengundi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau belum dimaklumkan mengenai pertemuan para Ahli Parlimen dari Sarawak seperti yang dirancang Nancy.

TheBorneoPost

Apabila 'Tembaga' Hendak Mengambil 'Anak Emas' Di Manek Urai

Oleh: WFAUZDIN NS

SUNGGUH Menggelikan hati apabila Umno/Bn berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai `anak emas' kepada mereka jika Bn menang di dalam PRK di kawasan tersebut nanti. Saya tidak tahu sebelum ini entah berapa banyak Umno/Bn melahirkan `anak-anak emas' mereka setiap kali pilihanraya diadakan. Jelasnya, sebelum ini Umno/Bn mungkin beranggapan kawasan-kawasan tersebut cuma `anak tiri atau anak tembaga' sahaja. Biasalah, kalau tidak berjanji bukan Umno namanya.


Cuma terfikir juga oleh saya, jika Umno/Bn hendak mengambil kawasan-kawasan tersebut sebagai `anak emas' mereka, adakah mereka sendiri juga dari kumpulan `emas' atau lebih dari itu? Tetapi jika Umno/Bn sendiri pun kini rakyat umpamakan seperti `besi buruk' , masuk akalkah parti tersebut berjanji untuk `menganak emaskan' mana-mana kawasan? Bukanlah lucu sangat tapi pelik sedikit.

Namun demikian, penduduk-penduduk di Manek Urai tentunya bertuah sekarang kerana sudah ada pasukan sukarela yang sanggup masuk kebun dan ladang getah mereka. Tidak beberapa hari lagi, Puteri Umno atau wanitanya akan datang juga untuk menolong rakyat di Manek Urai di dalam kerja-kerja membasuk kain, menyapu sampah atau pun kerja-kerja dapor. Memang Umno sungguh baik dan berjiwa rakyat. Itulah perubahan besar di bawah Presiden Umno Najib yang baru. Program-program melucukan ini sudah tentu idea Ketua Penerangan Umno yang baru dan tabik spring buat beliau kerana berani mencuba `hati dan iman' orang-orang Kelantan. Manalah tahu, orang-orang Kelantan ini boleh diubah minda mereka menjadi seperti orang-orang Sabah dan Sarawak. Bukankah Umno/Bn kuat di sana?

Biarlah berapa banyak `anak-anak emas' yang Umno/Bn ingin wujudkan. Bila sudah jadi `emas' jangan lupa kita gadaikan ke pajak gadai Pas. Beri ambil, pangkah Pas. Ibrahim Alkataki tentu setuju dengan saya, pasal beliau sendiri pernah mengajar orang-orang Pasir Mas bersikap bijak sedemikian. Malangnya, beliau pula menjadi dungu sekarang ini. /wfauzdin.blogspot.com


SIS : Penjelasan Khalid Samad (Video)

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, mereka tidak berniat menggalakkan penggunaan kuasa untuk berdakwah "pihak yang berbeza pandangan dengan aliran Islam arus perdana", seperti Sisters in Islam (SIS).

"Memang banyak pendirian SIS yang kita tidak senangi, tidak setuju dan kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri. Tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu, supaya tindakan diambil dan diperbetulkan.

"Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Beliau mengulas usul yang dicadang PAS kawasan itu dalam muktamar PAS lalu yang meminta kerajaan menyiasat dan mengharamkan SIS sekiranya aliran dan pandangannya bertentangan dengan syariat Islam.


Usul PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas oleh muktamar ke-55 PAS minggu lalu. Usul itu berbunyi, antara lain:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

Dapat bantahan meluas

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan - PKR dan DAP - serta sejumlah NGO dan individu.

Khalid berkata, Islam menggariskan beberapa panduan berdakwah, seperti disebut dalam al-Quran, antaranya, menggunakan pendekatan berhikmat, memberi nasihat dam berhujah dengan cara yang baik dan menarik.

Beliau berkata, kaedah dan pendekatan tersebut telah digunapakai sejak lama dahulu, termasuk oleh tokoh besar Islam Imam al-Ghazali.

Katanya, usul itu asalnya dicadangkan Dewan Muslimat PAS kawasan itu, tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat kawasan pada 19 April lalu, sebaliknya dibawa ke mesyuarat khas pada 23 April.

Khalid berkata, dalam mesyuarat itu, PAS Shah Alam bersetuju mengubah beberapa perkataan dalam usul itu yang boleh menimbulkan salah faham seperti perkataaan "mengharamkan" dan "pemulihan".

Selepas itu, tambah Khalid, ia diserahkan kembali kepada Dewan Muslimat bagi membetulkannya.

'Saya terlepas pandang'

"Tetapi oleh kerana sibuk dengan pilihanraya kecil Penanti ketika itu dan sibuk merasmikan mesyuarat agung menjelang muktamar, saya terlepas pandang," tambahnya.

PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS pusat pada hari ini atau esok, bagi menerangkan pendirian mereka serta melampirkan kronologi kejadian tersebut, katanya.

Bagaimanapun, bekas ahli biro politik PAS itu berkata, mereka tidak perlu meminta maaf kepada SIS.

"Kalau perlu saya akan minta maaf kepada PAS terlebih dahulu. Kalau ikut ayat ini, kita tidak kata apa-apa. Tetapi imej buruk ini bukan kena kepada SIS tetapi PAS. Ia mengukuhkan persepsi salah kepada kaedah dan pendekatan PAS itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, tidak timbul juga isu menariknya balik kerana ia bukan usul sebenar yang telah dipinda, dan sepatutnya kepada ibupejabat.

Walaupun menafikan beliau disabotak pihak-pihak tertentu, Khalid mengakui usul tersebut telah mencalarkan sedikit imej PAS.

malaysiakini

Sudah tiga bulan Najib jadi PM, ada yang tidak kena!

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap Perdana Menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena."

Demikian pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu wawancara bersama Harakah baru-baru ini.

Menurutnya, ukuran Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru boleh dilihat berdasarkan sambutan masyarakat terhadapnya termasuk dunia luar.

"Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena,"jelasnya.

Tambah Nik Aziz, jika diselidik,sudah pasti pergolakan bukan sahaja dalam komponen Barisan Nasional (BN) malah isu dalaman Umno sendiri boleh dianggap sebagai punca pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak diterima dengan baik.


"Apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai.

"Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai,"jelasnya lagi.

Nik Aziz juga menerangkan, bukan sahaja satu atau dua perkara tetapi ia juga melibatkan hampir seluruh negara seperti,"di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat.

"Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator. Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib."

Dalam pada itiu katanya, desakan oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar Najib diuji di parlimen untuk melihat wujud sokongan atau tidak juga antara indikasi bahawa kepimpinan Najib benar-benar bermasalah.

"Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'.

"Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini,"tegasnya.

HarakahDaily

TV Islam, BN Cuba Pancing Undi Melayu

Umno dan Barisan Nasional (BN) cuba menarik sokongan undi orang Melayu dengan mengadakan saluran TV Islam sebagai persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, tegas Ketua Penerangan PAS yang baru, Ustaz Idris Ahmad.

Tegas beliau, sudah menjadi trend setiap Perdana Menteri yang baru dilantik akan membina imej untuk menarik sokongan dan saluran TV Islam merupakan strategi Dato' Seri Najib Razak Tun Razak untuk dilihat Islamik.

Malah perkara ini pernah dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir Muhamad dalam buku 'The Malay Dilema' yang mengaitkan usaha kerajaan Perikatan membuat program untuk menarik sokongan orang Melayu.

"Ini merupakan cara Umno/BN untuk menarik sokongan orang Melayu terutama di luar bandar. Usaha seperti ini perlu dilakukan untuk membina imej seorang Perdana Menteri yang baru dilantik bagi mendapatkan sokongan.


"Ia bukan perkara baru kerana di zaman Tunku Abdul Rahman dianjurkan musabaqah membaca al-Quran untuk dilihat Islamik dan menarik sokongan orang Melayu," tegas beliau.

Dalam pada itu, Idris berharap jika saluran ini diadakan, dakwah yang dilakukan hendaklah mengikut versi Nabi Muhammad s.a.w. bukan dakwah versi Umno. Jika dakwah versi Umno dimuatkan dalam setiap program saluran tersebut, ia dibimbangi tidak akan mencapai matlamatnya.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan sebuah lagi saluran televisyen baru yang dikhaskan untuk televisyan Islam. Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.

HarakahDaily

Datuk Seri Anwar Ibrahim Bangkitkan Isu Kekecohan DUN Perak Dalam Parlimen

Sidang Dewan Rakyat yang bermula pukul 10.00 pagi ini dijangka panas apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membangkitkan isu kerakusan polis dalam Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei lalu.

Isu tersebut dimasukkan dalam soalan kedua pada persidangan Parlimen.

Sebelum ini Datuk Seri Anwar telah meminta polis memberi alasan dan pengimbangan berkenaan tindakan mereka berdasarkan undang-undang samada wajar untuk polis menceroboh masuk DUN yang mulia dan mengheret keluar Speaker yang sah.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

TVA

Projek 'mee segera', UMNO Mula Menarah Manek Urai

'Jentera BN akan gempur Manek Urai', 'Puteri akan bantu BN tawan Dun Manek Urai'.

Ungkapan seperti ini sering kali kedengaran setiap kali menjelang pilihan raya. Malah istilah Umno yakin tawan Kelantan diucap beberapa perdana menteri.

Bermula Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang pula Dato' Seri Najib Razak.

Istilah 'tawan' tidak pernah serik diucap pemimpin Umno, biar pun sehingga kini belum menjelma menjadi realiti di Kelantan. Dan menjelang pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai depan, istilah itu pastinya akan diulang tayang kembali. RTM dan TV3 sedia memberi khidmat demi negara.

Tengoklah nanti. Ini kerana dalam diari perjuangan Umno tidak ada resepi lain lagi bagi memujuk penyokong supaya bekerja. Sedangkan semua orang tahu istilah bekerja dalam teori Umno mesti berlapik upah. Tanpa upah poster tidak akan melekat di batang pokok.


Lebih menarik lagi poster yang telah dipasang diragut kembali, kalau upah tidak memenuhi poket. Sebaliknya agenda upah belum membudayakan dalam PAS. Ini kerana konsep pahala dan dosa sudah lama menyerap ke dalam jiwa raga ahli dan penyokong perjuangan Islam.

Maka tidak hairanlah pesta memasang bendera di Manek Urai menjadi tidak seimbang sekarang. Petugas Umno di sebuah kampung agak malu ketika dirakam gambarnya sedang memasang poster dacing. Sebaliknya penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sudah lama berpeluh ketika melekat lambang parti di batang pokok.

Tidak kurang juga yang sanggup memanjat pokok kelapa untuk menjulang lambang bulan purnama. Upah soal kedua, apa yang dinekadkan PAS perlu di hadapan. Maka tidak hairanlah biar pun tanpa kemudahan asas seperti di tempat lain, penduduk di Kampung Chatel, Lata Rek tidak mudah lebur dengan janji orang politik.

Ratusan penduduk di beberapa kampung termasuk Bukit Budu, Jelekeh, Chatel Damai dan Chatel Luar masih menggunakan air bukit bagi keperluan harian mereka. Air yang ditandak dari puncak bukit mengalir terus ke dalam besen dan kolah rumah mereka. Kemudahan tersebut biar pun terdedah dengan kotoran dan pelbagai pencemaran lain, namun penduduk sudah bersyukur. Sekadar mengeluarkan wang saku RM1 sebulan mereka boleh menggunakan air sebanyak mungkin.

Seorang penduduk, Mohd Zain Latiff, 55 berkata, bayaran tersebut digunakan bagi membaiki kerosakan apabila berlaku paip pecah atau aliran air tersumbat di atas bukit.

"Bayaran yang dipungut setiap bulan akan digunakan untuk membayar upah penduduk yang ditugaskan membaiki kerosakan tersebut. Biar pun sumber air belum terjamin bersih, namun kemudahan tersebut seperti juga terdapat di tempat-tempat lain. Kelebihan di sini tidak perlulah membayar bil air.

"Tidak pula berdepan dengan risiko paip air dipotong kerana tidak menjelaskan tunggakan bil," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mereka juga bernasib baik kerana tidak perlu mengeluarkan belanja besar bagi membeli paip. Ini kerana kemudahan tersebut disediakan Pejabat Kesihatan Daerah di bawah peruntukan luar bandar.

Haji Shafei Zakaria, 64, turut berbangga dengan kemudahan prasarana yang ada sekarang. Menurutnya penduduk tidak menuntut projek mega seperti di negeri lain.

"Kalau sekadar ada jalan yang tidak berselut ketika hujan, tidak berdebu di musim kemarau, ada elektrik dan paip air, kami penduduk yang tinggal di pedalaman sudah banyak berterima kasih," katanya.

Che Hussin Mustapa, 50 yang tinggal di Jelekeh Luar berkata, muafakat di kalangan penduduk masih utuh di Lata Rek. Katanya, penduduk tidak mudah terpengaruh dengan janji pembangunan.

"Sekarang musim orang politik datang membawa pelbagai janji pembangunan. Setiap hari ada orang datang membawa angan-angan baru kepada penduduk di sini," katanya.

Kalau ada projek pun sekadar melepas batuk di tangga. Lihatlah jalan di sebuah lorong di Manek Urai Lama masih elok ditarkan kembali. Ini kerana di situ terdapat rumah seorang pemimpin cawangan Umno.

Biar apa pun penduduk di Chatel, Lata Rek sudah mampu berbangga apabila kerajaan negeri membina jalan, jambatan dan menyalur peruntukan membaiki madrasah dan masjid bagi kemudahan mereka.

Sekiranya pegangan seperti penduduk di Kampung Chatel, Lata Rek menjangkiti pengundi di Kampung Manek Urai Lama dan Manjor, Umno berdepan dengan lorong gelap pada 14 Julai depan. Biar apa pun tanpa kerja keras, kemenangan yang ada mudah terlodeh.

Ini kerana ramai yang berselera merantah mee maggie biar pun perut hanya kenyang sekejap.

HarakahDaily

Dewan Rakyat : Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Angkat Sumpah Ahli Parlimen Bukit Gantang Hari Ini

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan mengangkat sumpah secara rasmi sebagai anggota Dewan Rakyat pada persidangan yang bermula hari ini setelah memenangi kerusi tersebut 7 April lalu.

Upacara angkat sumpah jawatan beliau dihadapan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menjadi agenda pertama sesi sidang Parlimen yang bermula pukul 10.00 pagi.


Sehubungan itu sekumpulan wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak serta penyokong akan berada di Parlimen bagi memberi semangat serta sokongan moral kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat itu.

Kumpulan tersebut akan berangkat dari Ipoh dan dijangka berada di Parlimen pukul 9.00 pagi.

Datuk Seri Nizar memenangi kerusi P059 itu mengalahkan calon Barisan Nasional Ismail Saffian dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris dengan peningkatan majoriti sebanyak 2,789 undi.

Beliau meraih 21,860 undi, manakala, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi, dan Kamarul Ramizu Idris hanya 62 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang, Roslan Shahrom daripada Pas pada 9 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi mengalahkan M Murganan (Bebas) dan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi (BN).

TVA

PAS Mahu Majlis Fatwa siasat SIS!

PAS tetap bertegas supaya Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan penyiasatan terperinci ke atas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) dan mengharamkannya jika bertentangan dengan syariat Islam.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, SIS bukannya NGO Islam malah ahlinya juga tidak mampu untuk memperkata atau membahaskan isu-isu mengenai Islam berdasarkan ilmu.

Beliau menegaskan, PAS pernah berunding dan menegur pandangan SIS yang bercanggah dengan Islam tetapi usaha itu tidak dipedulikan.

"Kita telah menghantar (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) Dr Mariah Mahmood menyertai majlis anjuran SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam. Tetapi mereka sentiasa beri pandangan bukan daripada ilmu mereka.

"Adalah tak wajar seorang yang bukan nelayan cakap mengenai nelayan, orang dari Somalia kita suruh cakap tentang angkasa lepas, nak cakap mengenai angkasa lepas mestilah orang dari NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan), kalau tanya tentang lanun dan rompakan bolehlah dia jawab," katanya.


Beliau menyatakan demikian kepada media sejurus selepas tamatnya Mesyuarat Jawatan Kuasa PAS Pusat kali pertama bagi penggal 2009-2011, di Pejabat Agung PAS, dekat sini baru-baru ini.

Muktamar PAS Ke-55 baru-baru ini, telah menerima tanpa bahas usul PAS Kawasan Shah Alam supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Ditanya adakah pendirian itu akan 'mencederakan' persepsi masyarakat bukan Islam kepada PAS, Abdul Hadi menegaskan: "Yang 'mencederakan' ialah SIS sendiri, orang tahu dia bercakap tanpa ilmu."

"Itu saya tidak tahu, yang saya beritahu adalah pandangan PAS," tegas beliau ketika memberi reaksi pakatan pembangkang yang dikatakan kurang bersetuju dengan usul yang telah diluluskan itu.

Ustaz Hadi menjelaskan, usul yang dihantar kepada jawatankuasa usul parti itu 'bukanlah versi terakhir tetapi yang belum dipinda'.

Usul itu, katanya, datang dari Dewan Muslimat PAS kawasan. Tetapi oleh kerana kesuntukan masa dan tergesa-gesa, ia tidak dibahaskan dalam mesyuarat kawasan dan terus dihantar ke Pusat.

HarakahDaily

PRK Manek Urai : Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan Minta Penyokong Kerajaan Perpaduan Jangan Berkempen

Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, supaya tidak menyertai kempen parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai ini.

Timbalan Presidennya, Yap Kok Seng berkata ini kerana penglibatan sesetengah pemimpin itu hanya akan mengelirukan pengundi dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan, lapor Bernama.

"Kami Kelab Penyokong PAS tidak mahu pemimpin yang bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan itu turut berkempen dalam pilihanraya DUN Manik Urai kerana ia boleh mengelirukan rakyat, khasnya pengundi PAS kawasan itu jika mereka memperkatakan isu itu.

"Jadi, lebih baik mereka jangan datang berkempen dalam masa kempen pilihanraya DUN Manik Urai kali ini," katanya.


Khamis lalu, Nik Aziz membidas pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno.

Laporan minggu lalu itu turut memetik Nik Aziz sebagai berkata, isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh presiden PAS, bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya dalam laporan tersebut.

malaysiakini

Penyokong Kerajaan Perpaduan Belakangi Nasihat Mursyidul Am...

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata pihak yang berkeras menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai tidak mendengar nasihat dan cuba membelakangkan kuasa beliau sebagai Mursyidul Am PAS.

"Bagaimanapun sebagai pemimpin parti, saya akan terus menasihatkan ahli, walaupun ada yang tidak mendengarnya," katanya dalam laporan Bernama.

"Isteri boleh jadi buat salah kepada suami, dan suami boleh jadi buat salah kepada isteri, anak boleh jadi buat salah kepada ibu bapa. Begitu jugalah dalam politik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew, di pejabatnya di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.

Katanya, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa mereka yang mempertahankan idea pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disarankan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai “boneka Umno”.


Khamis lalu, Nik Aziz membidas pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno.

Laporan minggu lalu itu turut memetik Nik Aziz sebagai berkata, isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh presiden PAS, bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya dalam laporan tersebut.

malaysiakini

Banyak Pihak Pertahan Pendirian Tegas Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mungkinkah perpaduan di antara PAS dan Umno boleh diumpamakan seperti persaudaraan di antara kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar ketika zaman awal kebangkitan Islam.

Sedangkan persaudaraan di antara kaum terbabit di atas dasar sama-sama mendokong penubuhan negara Islam Madinah. Sebaliknya Umno tidak pernah berhasrat melaksanakan Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, kenyataan Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Apandi Yusof yang menyifatkan PAS dan Umno seumpama Aus dan Khazraj tersasar jauh.

Semalam Apandi menyelar kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan golongan yang bersekutu dengan idea kerajaan perpaduan sebagai 'boneka Umno'.

Malah menurutnya di awal penghijrahan Rasulullah saw ke Madinah baginda mempersaudarakan di antara golongan Muhajirin dan Ansar tanpa sebarang syarat.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, sekiranya Umno benar-benar mahu menegakkan Islam mereka boleh melaksanakannya sekarang kerana sudah memiliki kuasa.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang Umno secara jelas menolak Islam.

"Hakikatnya Umno tidak pernah berhasrat melaksanakan Islam. Bahkan Islam Hadhari yang diuar-uarkan di era Tun Abdullah sudah berkubur dan sekarang timbul pula mazhab One Malaysia.


Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, Pemuda Umno tidak perlu mencampuri urusan keluarga Pakatan Rakyat kerana parti itu mempunyai mekanisma tersendiri bagi menyelesaikan perkara berbangkit.

Katanya, Pemuda Umno tidak perlu menjadi 'tikus yang mendakwa arif membaiki labu'.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, lebih Mohd Apandi yang berkelulusan dalam bidang agama menumpukan usaha membersihkan Umno dari segala korupsi dan salah guna kuasa.

Hisham yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Tanah Merah menyokong penuh pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menolak idea kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Persatuan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) turut menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.

Presidennya, Che Ariffin Che Mahmood berkata, sekiranya ada usaha-usaha yang cuba menzahirkan kerajaan perpaduan, Perakan akan menolak dengan tegas.

Katanya, idea kerajaan perpaduan secara jelas membelakangi rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat dan melukakan perasaan masyarakat bukan Islam yang telah menolak Umno dan BN.

"Usaha mewujudkan kerajaan perpaduan seolah-olah membenarkan Umno merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

"Malah banyak kerja-kerja jahat didalangi Umno seperti peristiwa Memali dan darurat di Kelantan pada 1978," ujarnya.

Beliau juga berkata, Umno sekarang berada dalam keadaan bercelaru dan hampir jatuh, tiba-tiba ada pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba menghulur bantuan.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kelantan, Yeap Kok Seng turut menyokong pendirian tegas Mursyidul Am PAS menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Jika ada pemimpin yang ingin meneruskan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan saya mencadangkan mereka elok masuk Umno," katanya.

Beliau juga berharap pemimpin terbabit tidak datang berkempen pada pilihan raya kecil di Manek Urai kerana khuatir boleh mengelirukan pengundi.

Pemimpin masyarakat India Kelantan, Musa Amin turut menolak usaha mewujudkan kerajaan perpaduan kerana ia boleh menjejaskan sokongan masyarakat India terhadap PAS.

HarakahDaily

Ngeh Bawa Usul Pecat Musa Hassan Dalam Parlimen

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham akan membentangkan satu usul pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dipecat daripada jawatannya kerana melanggar undang-undang.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak dalam satu kenyataan akhbar hari ini usul yang akan di bentangnya adalah ekoran kegagalan kerajaan Barisan Nasional bertindak dengan tegas ke atas salah laku polis terutamanya sewaktu berlakunya krisis politik Perak.

"Saya sangat kesat dan kecewa terhadap kerajaan BN , terutamanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah gagal mengambil sebarang tindakan terhadap beberapa salah laku pasukan polis sewaktu berlakunya krisis politik negeri Perak.

Ngeh berkata Menteri Dalam Negeri pernah menyuarakan bahawa tiada siapa yang berada di atas undang-undang termasuk dirinya sendiri.


"Rakyat mengharapkan undang-undang negara dipatuhi.Rakyat dikehendaki mematuhi undang-undang, begitu juga polis sebagai penguatkuasa undang-undang juga mesti berbuat perkara yang sama.Melainkan tindakan tegas diambil terhadap polis yang melanggar undang-undang, rasa hormat rakyat kepada institusi polis akan terhakis.

Beliau dalam usulnya telah menyenaraikan lebih daripada dua belas kesalahan yang dilakukan oleh polis tetapi malangnya tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pesalah.

"Demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis and kepatuahn undang-undang, saya menyeru agar semua Ahli Parlimen tidak kira daripada parti politik mana sekali pun supaya menyokong usul ini.

"Disebabkan hak kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabul oleh pihak polis, adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Dewan Rakyat supaya menyokong usul ini dan kegagalan mereka berbuat demikian bermakna mereka telah menodai amanat sumpah jawatan yang diambil," tegas Ngeh lagi.

TVA

Kebangkitan PAS Turut Menarik Perhatian Lee Kuan Yew

Kebangkitan PAS yang semakin hampir menggantikan Umno bagi mendominasikan kuasa politik negara turut mendapat perhatian menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini, hari ini bekas Perdana Menteri Singapura itu mengunjungi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim.

Menteri Besar berkata, pada pertemuan itu Kuan Yew ingin mengetahui hubungan PAS dengan Singapura seandainya suatu hari nanti parti tersebut menguasai politik negara.

Menjelaskan perkara itu katanya, PAS mementingkan keharmonian kehidupan dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

"Masyarakat minoriti di negeri ini seperti kaum Cina dan India diberi layanan yang serupa sehingga mereka dapat hidup dalam suasana harmonis," katanya ditemui pemberita selepas menerima kunjungan tersebut.


Menurutnya, menteri mentor negara jiran itu juga memberitahu Kelantan semakin pesat membangun dan bukannya sebagaimana dilaporkan sesetengah media sebelum ini.

Katanya, beliau mendapati bandar Kota Bharu begitu bersih, bukan sebagaimana yang digambarkan sebelum ini. Di samping kehidupan rakyat juga berada dalam suasana aman.

"Allah mencipta orang Melayu, Allah juga cipta orang Cina, India dan sebagainya. Oleh kerana itu saya pandang semua rakyat di negeri ini sama sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

"Sesiapa yang berpegang teguh kepada jalan Allah akan mendapat balasan syurga tanpa mengira bangsa atau kedudukan, sebaliknya kalau dia bersalah dengan Allah walaupun keturunan Arab akan mendapat balasan neraka," ujarnya.

Pada pertemuan singkat yang penuh bermakna itu, Kuan Yew memberitahu antara tujuannya bertemu dengan Mursyidul Am PAS untuk meninjau perkembangan politik di Kelantan.

Beliau juga berkesempatan melawat rumah ibadat masyarakat Buddha, dan menemui pemimpin pelbagai agama termasuk Kristian di sini.

"Saya pula menceritakan kepadanya antara negara pertama yang dilawati sewaktu mula-mula menjadi Menteri Besar ialah negara China. Ini kerana negara tersebut menerima Islam lebih awal berbanding Tanah Melayu.

"Saya juga menjelaskan Islam sejak awal lagi memberi kebebasan seperti hak beragama, beribadat, ekonomi dan berbagai lagi sejak awal lagi dan bukannya selepas PBB diwujudkan pada 1948," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, PBB yang bertopengkan hak asasi manusia sebenarnya hanya dikuasai lima negara kuasa besar dengan diketuai Amerika Syarikat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, beliau berbangga menerima kunjungan hormat bekas pemimpin yang bukan sahaja dikenali di peringkat ASEAN, sebaliknya peringkat antarabangsa.

Pada pertemuan terbabit Kuan Yew juga menjemput Menteri Besar Kelantan mengadakan lawatan ke Singapura.

Pertemuan hampir sejam itu turut dihadiri Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pelajaran, Ng Eng Hen dan beberapa pegawai kedutaan Singapura.

Manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz ditemani Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Dato' Husam Musa, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Dato' Mohd Amar Abdullah.

HarakahDaily

PAS Tiada Niat SIS Diharamkan - Khalid Samad

PAS hari ini menjelaskan parti itu tidak berniat menggesa kerajaan bertindak tegas dengan Sisters In Islam (SIS) sehingga mengharamkan pertubuhan itu.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata tanggapan itu berpunca daripada salah faham dan kegagalan pihaknya menggunakan istilah lebih tepat berhubung isu berkenaan.

"Saya akui wujud kesilapan... kesilapan menggunakan perkataan yang sesuai sebelum dihantar kepada PAS pusat (untuk diterima ke muktamar)," katanya selepas mesyuarat PAS Shah Alam pagi tadi.

Khalid menjelaskan, beliau telah menyedari kesilapan menggunakan perkataan yang "agak keras" dalam usul tersebut.


Usul PAS Shah Alam itu yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke- 55 minggu lalu menjadi kontroversi apabila banyak pihak mempertikaikan pendirian parti itu.

"Niat kami bukan meminta agensi kerajaan mengambil tindakan seperti mengharamkan, memenjarakan, menahan atau menangkap ahli-ahli SIS," kata beliau pada sidang media untuk menjelaskan keadaan sebenar di sebalik penerimaan usul berkenaan, di pejabatnya di sini sebentar tadi.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah meminta Dewan Muslimat Shah Alam yang mengemukakan usul berkenaan supaya memperbaiki dengan menggunakan perkataan yang lebih lembut dari sudut "politik".

TVA

Rakyat Tuntut Janji MB, Dimana Agenda ‘Rakyat Di Dahulukan’?

Penduduk Pantai Kuala Ibai, menuntut kerajaan negeri memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru sebagaimana janji Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said

Majoriti penduduk terbabit adalah mangsa kejadian banjir air laut dan diancam ombak besar sejak beberapa tahun lalu melahirkan rasa kesal kerana sehingga ini kerajaan masih gagal mengotakan janji.

Pada 7 Disember 2008, ketika saat hampir menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Said telah berkunjung ke kawasan berkenaan dan berjanji akan memindahkan penduduk ke penempatan baru di Lot Perpindahan Tok Adis (gambar kiri) pada Februari lalu.

Antara 89 penduduk terbabit adalah warga emas Wook Salleh, 63, yang berasa hairan kerana menurutnya kediaman di Lot Perpindahan Tok Adis telah siap dibina pada tahun lalu, namun sehingga hari ini pihak terbabit belum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebelum pilihan raya, kami pernah dipanggil mengadakan mesyuarat dan penduduk dijemput menyertai cabutan nombor rumah. Kami dijanjikan untuk berpindah ke kawasan penempatan baru pada Febuari dan dibenarkan tinggal selama enam bulan “Malangnya, kami mendapat nombor rumah sahaja sedangkan sehingga sekarang pihak berkenaan langsung tidak memberi apa-apa maklumat dan mengambil tindakan untuk membenarkan kami tinggal di situ,” katanya.


Menurut Wook, penduduk memerlukan kunci rumah secepat mungkin, walaupun rumah tersebut masih belum dilengkapi kemudahan fasiliti seperti elektrik dan air, namun mereka bersedia untuk membiayai sendiri kemudahan itu.

Katanya, penduduk memerlukan kediaman lebih selesa untuk didiami memandangkan rumah setinggan yang diduduki sekarang sudah tidak selamat kerana terlalu uzur dan boleh mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Ramai penduduk di sini terpaksa mencari inisiatif untuk berpindah ke kawasan lain. Ada di antara mereka menyewa dan ada juga terpaksa menumpang di rumah keluarga lain sementara menunggu kebenaran untuk tinggal di Lot Perpindahan Tok Adis.

“Jadi, sampai bila kami harus hidup berpindah randah dan menumpang? Kerajaan sepatutnya melaksanakan agenda di mana ‘rakyat didahulukan’. Mengapa perkara itu tidak dibuktikan?” Katanya.

Seorang lagi penduduk, Midah Musa, 40, berkata, dia terlalu mengharapkan pihak kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana sehingga hari ini, dia sekeluarga terpaksa bergadai nyawa tinggal di rumah uzur dan hampir roboh.

“Saya merayu agar kerajaan selesaikan masalah ini. Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak. Cuba bayangkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan setiap hari. Jika angin kencang, kami hanya mampu berdoa semoga diselamatkan. Jika hujan, rumah kami dipenuhi air kerana atap semua sudah bocor,” katanya tidak mampu menanggung kos berkaitan.

BuletinOnline

Lawatan Lee Kuan Yew Diragui

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Dato' A. Kadir Jasin meragui kunjungan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew ke Malaysia minggu lalu.

Sambil menyifatkan kunjungan tersebut seperti lawatan seorang Maharaja China yang diberi sambutan istimewa, beliau menyifatkan kunjungan Kuan Yew bukan hanya sekadar untuk bernostalgia dan mengubati rindu.

Sebaliknya kata beliau, kunjungan Menteri Mentor Singapura itu mempunyai mempunyai motif tertentu.


"Singapura bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia, khasnya kelemahan Umno dan Barisan Nasional dan kemungkinan kemunculan PAS sebagai parti induk politik Malaysia. Singapura bimbang sokongan orang bukan Melayu, khasnya pengundi Cina, kepada Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan kedudukan dan peranan PAS," tulis beliau menerusi blognya.

Selain itu beliau juga berpendapat Kuan Yew mahu mempengaruhi masyarakat Cina Malaysia supaya kembali menyokong BN kerana Malaysia yang stabil adalah penting kepada kestabilan politik dan ekonomi Singapura.

Singapura, kata Kadir, memerlukan jiran-jiran yang baik dalam keadaan ekonominya yang lemah.

"Kuan Yew sedar pembatalan rundingan isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara seperti Perjanjian Bekalan Air, Tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Singapura dan simpanan rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura akan menjejaskan perhubungan jangka panjang," tulis beliau lagi.

Seterusnya Kadir menjelaskan, Singapura menaruh harapan yang Malaysia pada suatu hari nanti bersedia memulakan semula penjualan pasir kepadanya dan membuka ruang udaranya kepada kapal terbang tenteranya.

Justeru kata beliau, lawatan Lee Kuan Yew bukanlah lawatan nostalgia sebaliknya lawatan mencari maklumat dan risikan, untuk mengenali dan mengukur kepintaran para pembesar Malaysia dan untuk mengajar anak buahnya mengenali barisan baru kepemimpinan Malaysia.

HarakahDaily

Zaid Ibrahim, Pemimpin Melayu Yang Disenangi Kaum Cina, Penyokong MCA Sertai PKR?

Penyertaan Zaid Ke PKR Mungkin Tarik Penyokong MCA Sertai Parti Itu

Keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyertai PKR semalam dijangka di susuli dengan kemasukkan beberapa tokoh MCA ke dalam parti itu, menurut laporan Malaysian Insider.

Seorang bekas senator dan bekas menteri dari parti Barisan Nasional itu dilapor sedang menimbang untuk menyusul langkah Zaid menyertai PKR.

Zaid dilihat sebagai seorang pemimpin Melayu yang disenangi oleh kaum Cina dan kemasukan beliau dalam PKR akan membantu imej parti pembangkang itu, menurut laporan berkenaan.


Zaid dipecat dari UMNO tahun lalu setelah melepaskan jawatannya dalam Kabinet kerana membantah langkah BN menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri terhadap beberapa orang termasuk wartawan.

MCA telah dibelenggui dengan masalah dalaman setelah parti itu kalah teruk pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Presiden MCA Ong Tee Keat dilihat sebagai gagal untuk meraih kembali sokongan kaum Cina dan kini terbabit dalam percakaran terbuka dengan timbalannya Chua Soi Lek.

Sokongan kaum Cina untuk MCA dikatakan merosot kepada hanya sekitar 15 peratus berbanding 30 peratus pada pilihanraya umum lalu.

Satu undian dalam laman web Ong menyaksikan purata tiga daripada empat orang yang menyusuri laman itu mahukan parti itu keluar daripada Barisan Nasional.

Ini kerana masyarakat Cina mempunyai tanggapan negatif yang semakin menebal terhadap UMNO.

Kemasukan Zaid dalam PKR juga dilihat akan membantu meleraikan syak wasangka orang Cina terhadap Pakatan Rakyat berikutan pemilihan pucuk pimpinan PAS minggu lalu yang membariskan ramai ulamak.

Zaid dihormati sebagai pemimpin Melayu bersikap sederhana dan sentiasa menganjurkan sifat kerjasama dan toleransi antara pelbagai kaum di negara ini.

Zaid memberitahu pemberita semalam bahawa beliau berhasrat membantu memperkukuhan Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebuah kerajaan alternatif yang berupaya menggalas amanah rakyat.

TVA