Friday, January 22, 2010

Nasib Dr Hasan, Khalid dijangka diketahui hari ini

Dua pemimpin popular PAS, Datuk Dr Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, dipanggil hadir di ibupejabat agung PAS petang ini untuk dimaklumkan mengenai keputusan siasatan jawatankuasa disiplin parti itu terhadap mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi media selepas selesai mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut tadi.

Tuan Ibrahim yang mengetuai jawatankuasa disiplin PAS berkata, pihaknya sedang menunggu mereka kedua-duanya tiba di pejabat agung parti itu.

Selepas itu, katanya, keputusan siasatan tersebut akan diumumkan kepada pihak media.

Dr Hasan, pesuruhjaya PAS Selangor, dan Khalid, bekas timbalannya yang dipecat, dihadapkan kepada jawatankuasa tersebut berhubung dakwaan berkaitan tindak-tanduk kedua-duanya yang boleh merugikan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Siasatan ini dibentuk mulai hujung tahun lalu selepas jawatankuasa pusat PAS menerima desakan hebat dari mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beberapa kerat pemimpinnya dikenakan tindakan kerana terus ingin kerjasama dengan Umno.

Menurut sumber yang rapat dengan PAS Selangor, Dr Hasan sedang dalam perjalanan ke ibupejabat parti itu, manakala Khalid tidak dapat dihubungi.

[Laporan penuh menyusul]

Nik Aziz nafi wujud ‘cah keting’ dalam PAS

“Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata-mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat,”


KOTA BARU, Jan 22 — Selepas seminggu heboh diperkatakan, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan wujud budaya “cah keting” dalam PAS seperti yang dilaporkan oleh media minggu lalu.

Sehubungan itu beliau menyelar penulis akhbar yang menyiarkan laporan Ahad lalu kononnya wujud budaya cantas-mencantas atau “cah keting” dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS itu turut menggesa agar penulis berkenaan memohon maaf ekoran laporan berkenaan.

“Mu (penulis) kena minta maaf, kalau mu tak minta maaf, aku tak maaf pada mu,” kata beliau merujuk kepada pemberita akhbar arus perdana terbabit sebelum memulakan kuliah mingguannya pagi ini.

Nik Aziz (gambar)selepas kuliah mingguannya minggu lalu membacakan doa memohon agar Allah melindunginya dan rakyat daripada orang yang mengamalkan sikap “cah keting”.

Laporan Utusan Malaysia terbitan 17 Jan lalu menyebut, Nik Aziz secara terbuka mengakui wujud budaya “cah keting” atau cantas mencantas dalam PAS ehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Bagaimanapun menurut laporan itu menyebut, beliau tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan “cah keting”.

“Kepincangan tidak hari ini sahaja, sejak anak nabi Adam lagi apabila Qabil bunuh adiknya sendiri, Habil dan sampai sekarang, manusia memuja nafsu dan memuja Allah.

“Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata-mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat,” kata beliau.

MENYUSUL LAGI

PAS “government in waiting”

Pemuda PAS Jalin Hubungan Diplomatik Dengan Kedutaan Amerika Syarikat
20 Januari 2010 – Buat julung-julung kalinya, Pemuda PAS Pusat, melalui Lajnah Antarabangsanya menjalinkan hubungan diplomatik dengan kedutaan Amerika Syarikat.

Hubungan bersejarah tersebut terjalin apabila beberapa orang wakil Pemuda PAS Pusat yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Dr Raja Ahmad Alhiss membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.

Kunjungan hormat tersebut disambut oleh Mr Brian McFeeters, Pegawai Politik Kedutaan Amerika Syarikat di samping Mr Nicholas Papp (Pegawai Kebudayaan), Mr Ravindran Manickam (Pegawai Kanan Politik) dan Mr Riaz Urrahman Sadayan (Pegawai Public Afffair) .

Manakala bagi pihak Pemuda PAS yang diketuai sendiri oleh Pengerusi Lanjah Antarabangsa, Dr Raja Ahmad Alhiss , turut disertai oleh Sdra Afyan Mat Rawi (Setiausaha Lajnah Antarabangsa) dan Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar (AJK Lajnah Antarabangsa).

Kunjungan tersebut amat dialu-alukan oleh pihak kedutaan AS yang selama ini hanya mendapatkan maklumat tentang PAS melalui media arus perdana sahaja..

Dalam kunjungan hormat yang berlangsung kira-kira satu jam tersebut, pelbagai topik yang diperbincangkan di antara kedua-dua pihak berkenaan isu-isu semasa, dasar-dasar luar PAS serta isu-isu antarabangsa dan dasar-dasar luar AS.

Di awal pertemuan, Dr Raja Ahmad menjelaskan tujuan Pemuda PAS untuk menjalinkan hubungan dengan kedutaan-kedutaan asing di Malaysia untuk menerangkan pendirian PAS dalam isu-isu semasa serta sebagai persediaan PAS untuk menjadi kerajaan Malaysia.

Dr Raja Ahmad turut menerangkan pendirian PAS dalam beberapa isu seperti isu kalimah Allah yang turut hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa.

Selain daripada itu juga, beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak turut memberi situasi tentang isu politik yang hangat berlaku di Perak.

Dalam masa sama, wakil kedutaan AS turut memberi penerangan beberapa polisi-polisi luar yang baru di bawah pentadbiran Presiden Barrack Obama yang menyentuh tentang kepentingan masyarakat Islam di AS dan antarabangsa.

Pertemuan bersejarah ini merupakan antara agenda Pemuda PAS sesi 2009-2011 dalam mempersiapkan PAS sebagai “government in waiting”, dan akan diikuti dengan kedutaan-kedutaan asing yang lain.

Di akhir pertemuan, kedua-dua pihak mengharapkan agar pertemuan seumpama itu dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang.


Dewan Pemuda PAS Pusat

Khalid Samad menghadap Sultan Selangor pagi ini

“Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka. Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini,”


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 22 — Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad yang muncul antara personaliti “buruan” ramai dalam isu kontroversi kalimah “Allah” akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini.

Bagaimanapun wakil rakyat yang mempunyai pendiriannya tersendiri dalam isu semasa ini khususnya membabitkan peranan Jais dan Mais, menjelaskan beliau menghadap Sultan Selangor atas permintaannya sendiri.

Malah katanya ia juga tiada kaitan dengan isu kalimah “Allah”.

“Ia tiada kaitan dengan isu semasa ini. Saya sudah lama memohon untuk menghadap Tuanku.

“Jadi saya diberi peluang untuk menghadap, membuat kunjungan hormat sebagai wakil rakyat Shah Alam.

“Sebenarnya sudah lama saya minta untuk menghadap Tuanku,” kata Khalid (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Angggota Lajnah Politik PAS ini menambah, dalam kunjungan hari ini beliau akan mendapatkan wawasan Tuanku berhubung pembangunan Shah Alam.

“Selain itu saya juga akan mendapatkan pandangan baginda tentang peranan yang boleh saya mainkan dalam pembangunan kawasan Shah Alam khususnya,” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat penggal pertama ini menambah sekiranya isu kalimah “Allah” dan peranan Jais dan Mais berbangkit beliau akan memberikan pandangannya.

Kunjungan hormat ini diadakan sehari selepas Khalid menafikan tuduhan 16 pertubuhan bukan kerajaan bahawa beliau memberikan ucapan mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor ketika menyampaikan ceramah pada 12 Jan lalu.

“Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

“Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya.

Tegas Khalid, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan yang berkepentingan, bukan beliau,” katanya.

Pada 18 Jan lalu 16 NGO lagi telah membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isi ucapannya di MPSJ bahawa Khalid telah mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, dan mengheret baginda ke kancah politik.

“Usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik jelas kelihatan apabila demonstrasi diadakan di dalam Masjid Negeri pada 8 Jan.

“Demonstrasi tersebut disebut umum sebagai anjuran Jais dan Mais walaupun dinafikan oleh mereka kemudiannya,” katanya.

Beliau juga mahu kepimpinan dua institusi agama di Selangor — Jais dan Mais — dirombak selaras dengan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni.

Khalid berkata beliau akan membawa syor itu ke peringkat atasan termasuk kepada Sultan Selangor jika mendapat peluang.


Anwar Ibrahim : The Allah Issue




mediarakyat