Thursday, September 30, 2010

Galas : Lantikan Ku Li umpama kata dua, kemenangan awal buat PAS

Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno bagi PRK Galas. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 30 Sept — PAS menyifatkan pelantikan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai “kata dua” kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti kerajaan PAS Kelantan.

PAS memfailkan kes pertikaian royalti minyak 30 Ogos lalu.

Selain itu PAS juga mendakwa keputusan Umno itu, yang diumumkan semalam, jelas menunjukkan satu tindakan terdesak parti dominan Barisan Nasional (BN) tersebut dan kemenangan awal buat PAS.

“Ternyata Umno begitu bergantung harap pada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan lantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Galas.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Sebelum ini, kata beliau, di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed telah dilantik sebagai Pengarah, namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS.

“Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi pengarah pilihan raya DUN Galas walaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Negeri dan menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan,” kata Idris lagi.

“DUN Galas di kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana Umno menumpang pengaruh beliau untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri,” kata beliau.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Allahyarham Che Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

“Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN,” katanya lagi.

Idris menambah, bagi PAS pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas Mac 2008 beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti daripada kerajaan pusat pimpinan BN.

“Malah beliau yang juga mantan pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan kelantan kepada Petronas.

“Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat.

“PAS yakin lantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno,” katanya.

Oleh itu kata Idris, ia umpama kata dua kepada Tengku Razaleigh sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno.

Sehubungan itu, kata Idris, PAS yakin Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan beliau tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan.

“PAS tiada masalah jika beliau menerima pelantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam pilihan raya kecil nanti, isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan?

“Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti,” kata Idris.

TMI

Sebelah kaki Ku Li di Pakatan, kata PAS

Pemimpin tempatan PAS percaya, pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai jentera BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas akan memberi kelebihan kepada PAS untuk memenangi pemilihan tersebut.

Timbalan yang dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamed berkata Umno takut untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin veteran itu walaupun Tengku Razaleigh secara terang-terangan telah mengambil pendirian menentang BN.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat apabila Tengku Razaleigh bertindak mempengerusikan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang ditubuhkan untuk menyiasat isu royalti minyak Kelantan.

Sebaliknya, Tengku Razaleigh dilantik mengetuai jentera pilihan raya memandangkan pengaruhnya masih kuat di kalangan pengundi di situ, kata Zulkefli.

"Tidak pernah berlaku, pengerusi perhubungan negeri (Datuk Seri Mustapa Mohamad) pun jadi timbalan dia (ketuai jentera pilihan raya)," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Seorang lagi pemimpin tempatan Husin Embong berkata, pelantikan itu akan menyebabkan Tengku Razaleigh berada dalam keadaan tersepit.

"Sebelah kaki dia di Pakatan Rakyat, sebelah kaki lagi dalam BN," yang bersetuju bahawa tindakan Umno meletakkan Tengku Razaleigh sebagai 'komander perang' juga merupakan satu kaedah untuk 'mendisiplinkan' putera raja tersebut.

Faktor sokongan Cina, Orang Asli

Perubahan sikap Tengku Razaleigh itu mungkin boleh diperhatikan daripada trend yang ditunjukkan oleh pengundi dalam pilihan raya umum ke-12.

Zulkefli berkata, pengaruh Tengku Razaleigh telahpun semakin pudar di kalangan golongan peniaga, pekerja dan juga Orang Asli berdasarkan keputusan itu.

Jelasnya, PAS berjaya memenangi semua peti undi di kawasan bandar dengan majoriti bukan Melayu termasuk Bandar Baru, Bandar Lama dan Kampung Baru.

"Satu lagi peti undi di Pulai (majoriti bukan Melayu) kita hampir menang juga. Ini menunjukkan masyarakat Cina dan golongan pekerja banyak sokong kita," katanya lagi.

Di kawasan Orang Asli yang dianggarkan lebih 1,600 orang pula, PAS berjaya memperbaiki kedudukannya dalam pilihan raya lalu, kata Zulkedli.

Keadaan ini membolehkannya PAS memecahkan dominasi Umno di parlimen Gua Musang dengan memenangi kerusi DUN tersebut.

"Orang Asli ini dikira sebagai penyokong kuat Ku Li, tapi sudah 20 peratus meningkat sokong kita (dalam pilihan raya umum ke-12).

"Contohnya, kita menang 40 peratus undi di Pos Hau dan 30 peratus di Pos Brooke yang merupakan kawasan penempatan orang Asli paling ramai. Kalau dulu kita hanya boleh dapat paling tinggi pun 11 peratus saja di kawasan ini," katanya lagi.

Isu tanah, golongan peneroka

Zulkifli berkata, beliau tidak melihat banyak isu nasional yang akan timbul. Sebaliknya, isu tempatan melibatkan permohonan tanah oleh golongan peneroka akan mendapat lebih banyak perhatian.

Bagaimanapun, buat masa ini beliau tidak dapat menjangkakan berapakah jumlah peneroka yang masih berdepan dengan masalah untuk mendapatkan geran tanah.

"Tapi kita yakin permohonan mereka ini akan dapat dilihat dan diselesaikan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Mkini

Pas sudah ada calon

Cina Islam 21 Syawal 1431 H

KOTA BHARU – Pas Kelantan sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata, parti itu memilih anak tempatan sebagai calon memandangkan sebelum ini jawatan itu juga disandang oleh wakil tempatan.

“Pas memang pilih calon tempatan. Calon yang meninggal dunia itu pun orang tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 354 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Bharu, di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini parti itu masih belum membahaskan apa-apa usul berhubung siapa calon yang akan mewakili parti itu.

“Fasal calon itu kita belum bahas lagi. Belum tiba masa lagi. Tetapi dalam parti tak ada samar-samar. Calon memang kita belum pilih lagi tetapi sudah dikenal pasti,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan juga berharap pengundi di Gua Musang terutama yang telah mengundi parti itu akan terus mengundi calon yang mewakili parti tersebut.

“Saya harap pada pengundi yang telah mengundi arwah terus mengundi Pas. Pada rakyat Kelantan yang belum mengundi Pas cuba mengundi. Alih rasa sikit.

“Kita juga tidak ketandusan calon. Sekarang kita (mungkin akan) bagi peluang kepada orang Cina dan orang India pula. Calon makin banyak,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan kerana penyandangnya, Chek Hashim Sulaima 46, meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Sinar Harian

PRK DUN Galas ; Ustaz Harun yakin Ku Li sokong calon PAS

KUALA TERENGGANU - Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato' Ustaz Harun Taib tidak menafikan pengaruh Ahli Parlimen Gua Musang sedikit sebanyak akan menjejaskan peluang PAS menawan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurutnya, DUN Galas adalah dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh yang dianggap sebagai kubu kuatnya.

Namun begitu, beliau menjangka Tengku Razaleigh akan akan menyokong calon Pas da pilihan raya kecil DUN terbabit yang bakal diadakan tidak lama lagi.



"Ya, kita tidak nafikan pengaruh Tengku Razaleigh (Hamzah) kerana itu kubu dia, tapi Tengku Razaleigh sendiri pun InsyaAllah, sara rasa dia sendiri pun akan memberi sokongan kepada calon PAS,"katanya dalam sidang media yang diadakan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pas Terengganu, di sini Rabu. 29 September.

Ustaz Harun yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS berkata demikian kerana menurutnya Tengku Razaleigh adalah seorang yang bijak dalam berpolitik.

"Saya rasa Tengku Razaleigh ini seorang yang bijak berpolitik, biasanya dia pandai memandang menurut suasana dan realiti,"jelasnya ketika ditanya pihak media, mengapa beliau yakin Tengku Razaleigh akan menyokong calon PAS.

Selain itu, beliau berkeyakinan demikian kerana menurutnya ramai tokoh-tokoh lama dan veteran Umno telah pun bersama-sama dengan PAS dan akan menyokong PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

"pada umumnya, saya rasa, tokoh-tokoh veteran Umno, orang-orang lama Umno begitu ramai yang telah bersama-sama dengan, khususnya (mereka akan menyokong PAS) dalam pilihanraya akan datang,

"sebab mereka telah hilang keyakinan kepada Umno,"jelasnya.

Kerusi DUN Galas yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang kini kosong selepas penyandangnya Che Hashim Sulaiman meninggal dunia pada Isnin lepas akibat barah usus.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya usama-sama dengan PASmum 2008 setelah apenyandang dari Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

BO