Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat, yang tidak berganjak dari tempat duduknya lebih lima jam sejak pukul 10 pagi tadi dan diangkut keluar oleh polis, kembali muncul sebaik sahaja sesi perasmian Dewan berakhir.
Beliau kelihatan tenang dan senyum ketika memasuki DUN kira-kira pukul 4.20 petang tadi.
Kemunculan Sivakumar selepas ditahan di sebuah bilik dalam DUN disambut oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain.
Ketika ditemui pada sidang media bersama Nizar, Sivakumar berkata, beliau telah dilepaskan selepas ditahan kira-kira sejam oleh polis.
"Saya ditahan polis di sebuah bilik dekat sini hampir sejam. Saya cuma ditahan," katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau turut disoal siasat oleh polis, Sivakumar berkata, "tidak."
Pada sidang media itu, Nizar berkata, Pakatan Rakyat masih menganggap Sivakumar sebagai Speaker yang sah.
Terdahulu, suasana DUN kecoh apabila Sivakumar diangkut keluar oleh beberapa anggota polis.
Kekecohan tercetus selepas sidang DUN 'disambung' oleh Speaker 'baru' lantikan BN.
Kira-kira 50 anggota polis memasuki Dewan dan mengelilingi tempat duduk sambil dengan bantuan bentara menarik keluar Sivakumar dan diangkat ke sebuah bilik berhampiran.
Walaupun tindakan membawa beliau keluar telah dihalang oleh anggota DUN Pakatan yang membuat kepungan selama kira-kira 30 minit tetapi Sivakumar telah diangkut keluar dari tempat duduknya kira-kira pukul 2.40 petang oleh tiga anggota polis.
Beliau kelihatan terjatuh semasa diangkut keluar di luar Dewan.
Kerusi yang didudukinya juga dibawa keluar dengan ada yang mengatakan kerana telah mengalami kerosakan.
Kira-kira 50 anggota polis dilihat memasuki DUN sebaik sahaja berlaku pergelutan antara anggota Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.
Pergelutan dan pertikaman lidah tercetus apabila Speaker baru 'dilantik' BN, Datuk R. Ganesan mengambil tempatnya di barisan kedudukan BN, sebelah kiri tempat duduk Speaker untuk mempengerusikan 'sidang DUN'.
Pertikaman lidah itu yang antara lain mendesak Ganesan keluar Dewan atas alasan tindakannya memasuki DUN tidak sah, berubah dengan pergelutan sekali gus membawa kepada kemasukan anggota polis ke dalam Dewan.
Insiden tolak-menolak antara ADUN Pakatan dan polis juga berlaku.
Suasana ini berakhir dengan usaha memaksa membawa keluar Sivakumar yang bertegas tidak akan memulakan sidang DUN selagi 10 ADUN termasuk Menteri Besar dan tiga wakil rakyat Bebas keluar dari Dewan.
Sidang disambung kira-kira pukul 3.17 petang dengan titah diraja perasmian yang disampaikan oleh Raja Muda Raja Nazrin Sultan Azlan Shah.
Baginda sepatutnya menyampaikan titah diraja perasmian pukul 10 pagi tadi.
read more : http://mstar.com.my/