KUALA LUMPUR, 18 Ogos : Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu sidang meja bulat bagi membincangkan permasalahan sosial yang kian meruncing khususnya isu zina dan buang bayi.
Menurut Timbalan ketuanya Azman Shapawi Abdul Rani, sidang tersebut akan diadakan pada 22 Ogos ini bertempat di Anjung Rahmat, Gombak bermula jam 2 hingga 5.30 petang.
Sidang itu antara lain bagi merungkai punca permasalahan dan mencari penyelesaian terbaik kepada permasalahan yang saban hari berlaku itu.
"Kita akan bincang dari sudut punca berlakunya perkara ini. Pemuda PAS sendiri telah fikir beberapa perkara, dan yang kita nampak perkara ini berpunca daripada misalnya sambutan malam tahun baru, malam kemerdekaan dan hari valentine's yang menyebabkan berlakunya pergalan bebas," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut di sini.
Sidang itu juga katanya turut menjemput semua parti politik, badan bukan kerajaan NGO, ahli akademik, tokoh agama, aktivis sosial serta individu yang prihatin terhadap masalah itu.
Ianya sebagai inisiatif menggerakkan seluruh masyarakat agar memandang serius terhadap fenomena sosial yang sedang melanda negara khususnya serangan akhlak dan moral golongan belia.
"Kita menganggap bukan sahaja kerajaan yang harus menangani isu ini tapi termasuk juga kesedaran masyarakat. Sebab itu kita buat keputusan untuk panggil semua parti politik termasuk pemuda Umno sebagai tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang semakin membarah dalam masyarakat," ujarnya.
Isu buang bayi khususnya semakin menjadi-jadi apabila setiap hari dilaporkan berlaku.
Terbaru seorang bayi lelaki yang masih hidup serta bertali pusat telah ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Kampung Hulu Takir, Kuala Terengganu semalam.
Manakala dalam satu lagi kes serupa, di Bukit Mertajam seorang bayi perempuan berusia tujuh hari ditemui oleh seorang pekerja kilang di hadapan rumahnya di Bukit Minyak di sini, Ahad lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS akan mengadakan Ijtima' Tarbawi (himpunan tahunan )pada 1 hingga 3 Oktober ini.
Himpunan tersebut akan mengumpulkan enam hingga lapan ribu ahli pemuda PAS seluruh negara dalam usaha memperkuat ahli dewan itu berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.