Tuesday, June 23, 2009

Ketua Wanita PKR vs Ketua Wanita UMNO

PKR cabar Shahrizat martabatkan wanita atau berhenti

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kata dua kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil - tingkatkan perwakilan wanita dalam kerajaan atau letak jawatan.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata BN gagal memberi pengiktirafan sewajarnya kepada wanita sebagai sumber penting dalam pembangunan negara.

Beliau menambah Shahrizat perlu mengotakan janji menjadikan dasar kuota minimum 30 peratus perwakilan wanita di peringkat nasional.

“Umno, sebagai kepada parti utama BN, gagal memberi pengiktirafan sewajarnya kepada wanita. Sebagai seorang menteri, Shahrizat dikehendaki mengotakan janji dengan menjadikan dasar 30 peratus perwakilan wanita suatu kenyataan dalam pentadbiran negara. Ia harus dilakukan dalam tempoh enam bulan mendatang atau beliau meletakkan jawatan,” kata Zuraida.

Beliau berkata demikian di Parlimen hari ini bersama barisan pimpinan kanan Wanita PKR.




Zuraida kesal Shahrizat tidak mampu melakukan apa yang terbaik untuk wanita di Negara ini

“Walaupun tergolong di antara pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional, Shahrizat tidak mampu meningkatkan bilangan menteri wanita dalam Kabinet Umno-BN,”

“Budaya politik yang mencantas ahli-ahli politik berpengalaman mengheret Wanita Umno ke kancah kemerosotan. Sewajarnya pemimpin wanita berkaliber dibawa ke saf pimpinan dan bukan dipinggirkan,” kata Zuraida.

Zuraida juga menyanggah kenyataan Shahrizat yang mendakwa dasar minimum 30 peratus terbit dari dasar rumusan beliau.

Pembohongan ini dilihat sebagai sesuatu yang serius dan Shahrizat digesa untuk tidak mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa di masa akan datang tetapi sebaliknya menumpuksn perhatian kepada tugas menguatkan perwakilan wanita di peringkat nasional.

“Dasar 30 peratus perwakilan wanita diterbitkan dalam Persidangan Wanita Sedunia di Beijing lebih sedekad lalu. Ia kesepakatan yang diterjemahkan dalam Deklarasi Beijing di mana Malaysia menjadi salah-sebuah negara yang menandatanganinya,” jelas Zuraida.

TVA

Kit Siang vs Tee Keat

Ong : Tiada guna bertegang urat dengan Kit Siang

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata tiada gunanya beliau bertegang urat dengan Lim Kit Siang mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kerana mendakwa soalan-soalannya yang dibangkitkan, menunjukkan "pemimpin DAP itu tidak fahamkan isu yang diperkatakan".





Di samping itu, kata beliau yang juga presiden MCA, Lim juga asyik membangkitkan soalan-soalan yang sama setiap hari.

Sehubungan itu, beliau mendakwa Lim cuba menyembunyikan kebenaran dan terus mengelirukan Dewan Rakyat dan orang awam mengenai isu PKFZ.

Menulis dalam blognya hari ini, Ong berkata, Lim telah mengganggu penyampaian kenyataan menteri (Ong) dengan menuduhnya tidak merujuk kepada keputusan kabinet pada 23 Oktober 2002 bahawa tanah di PKFZ dibeli pada harga yang rendah RM10.16 sekaki persegi.

Sebaliknya, kata Ong, apa yang Lim sengaja tidak sebut ialah keputusan pada 23 Oktober itu, telah diganti dengan keputusan kabinet yang bermesyuarat pada 6 November 2002.

Malah, katanya, hansard Parlimen bertarikh 4 September 2007 dengan jelas mencatatkan bahawa keputusan kabinet pada 2 Oktober 2002 untuk membeli tanah terbabit pada harga RM25 sekali persegi, masih sah atas sebab-sebab yang telah disebut dalam kenyataannya di Parlimen.

"Kit Siang tahu mengenainya. Malah, beliau turut menyertai perbahasan pada 4 September 2007. Beliau juga turut menyiarkan petikan dari hansard itu dalam blognya pada hari berikutnya. Dan namun begitu, beliau memilih untuk menyembunyikan fakta penting ini dari pengetahuan umum demi gimik politik untuk menyelamatkan karier politiknya," katanya.

Menurut Ong lagi, beliau telah berusaha supaya keseluruhan laporan mengenai PKFZ diumumkan kepada rakyat serta memperjelaskan isu tersebut melalui media.

Katanya, sebuah lamanweb - www.pkfznews.com.my - juga diwujudkan untuk kemudahan umum, "malah saya sendiri berdiri di Parlimen semalam untuk menjawab semua soalan mengenai PKFZ dan ditambah lagi dengan menyampaikan kenyataan menteri (mengenainya)".

Sebenarnya, kata Ong, bukanlah begitu sukar untuk memahami isu-isu berkaitan dengan PKFZ dan usaha-usaha yang diambil untuk mendapatkan kepakaran bagi memulihkan projek tersebut.

"Walaupun kita mahu mereka yang bersalah dihukum, (tetapi) saya ingin ulangi bahawa PwCAS, pasukan petugas PKA dan saya, tidak boleh menjadi pendakwa, hakim dan pelaksana hukuman.

"Satu laporan telahpun dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Jadi), adalah terlalu awal untuk mengulas mengenai siasatan mengenainya, kecuali berkata kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM," tulis Ong.

malaysiakini

PRK Manek Urai : Dato' Seri Anwar Ibrahim Beri Jaminan PKR Beri Sokongan Padu Kepada PAS





klip video ehsan : tvpas09

Si Muda Jelita Manohara

PerakExpress

Oleh HASMI bin HASHIM

Manohara Pinot yang muda-jelita itu kini mendapat perhatian dan simpati besar di negaranya sejak pulang ke Jakarta. Beliau dilaporkan ‘lolos’ melalui Singapura kira-kira setengah bulan lalu.

Seraya tiba di Bandara (”bandaraya udara”, atau di Malaysia disebut “lapangan terbang”) Seokarno-Hatta petang itu, kelibat Manohara dikerumuni orang ramai. Beliau segera mendapat liputan, baik TV, radio dan koran (surat khabar) di sana. Mantan model 17 tahun yang kini agak tembam pipi dan sosoknya dikatakan membuat pendedahan dan laporan polis mendakwa dirinya dilukai zahir-batin sepanjang berada di “taman larangan Istana.”

Benar atau tidak kenyataan Manohara, tidak dapat terbukti sekarang dan tidak dapat disahkan hanya melalui tegang isang atau perang mulut di media antara Jakarta-Kota Bahru. Satu proses pengadilan terbuka wajar berlangsung demi melihat siapa benar, siapa salah. Namun, simpati terhadap si muda-jelita itu begitu meluas sehingga beliau ditawarkan berlakon sinetron (filem).


Saya sama sekali tidak mengerti bagaimana pemerintah Malaysia, iaitu orang politik yang berkuasa di negara ini, tidak berbuat apa-apa tindakan demi meredakan ketegangan yang timbul di kalangan rakyat kedua negara, termasuk rentetan isu Manohara. Karena dia muda belia, karena kecantekkannya, sudah tentu mudah dia meraih simpati sehingga beliau diajak berkempen dalam Pemilu oleh Yusuf Kalla bersama parti Golkar.

Memang benar mulanya kes Manohara bukan bersangkutan langsung dengan isu dan kepentingan politik pemerintahan kedua negara. Namun simpati rakyat Indonesia diam-diam kini bertukar menjadi kebencian terhadap seluruh “yang Malaysia.” Bukan hanya sekadar kebencian terhadap orang kenamaan dan pemerintah Malaysia, tetapi juga sudah mencetuskan rasa kebencian dan tidak selesa antara rakyat kedua negara.

Oleh itu, adalah wajar dan munasabah agar “isu Manohara” perlu segera ditangani secara “politik” sementara menunggu proses pengadilan kelak.

Cakap-cakap konfrantasi mulai muncul semula. Pekik “ganyang Malaysia” bertempik lantang dalam demontasi di hadapan Kedutaan Malaysia tempohari. Semua itu menandakan bagaimana isu Manohara, yang awalnya dianggap sebagai urusan dalam kain dan hal rumahtangganya bersama Tengku Temenggung Kelantan; perlu disedari yang isu tersebut juga sudah merebak dan muncul sebagai persoalan politik di kalangan massa.

Suhu mendidih ini ditambah dengan tuduhan pesawat tentera Malaysia memasuki ruang udara Ambalat–sehingga menyaksikan demontrasi yang saya sebutkan tadi, yang turut disertai Manohara.

Dalam kata mudah, pimpinan politik wajar mengambil sikap dan peranan yang wajar dan betul. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan beberapa menteri lain, termasuk Menteri Luar sehingga kini hanya memberi kenyataan umum dan ringkas. Meminta rakyat kedua negara bertenang. Selain beberapa penafian kecil-kecilan bahawa tentera udara Malaysia tidak pernah menceroboh mana-mana ruang kedaulatan Indonesia.

Siapakah Hishamuddin untuk meminta rakyat Indonesia bersabar? Beliau bukan menteri dalam negeri Indonesia atau jamaah kabinet di sana. Beliau bukan menang sebagai wakil rakyat di provensi Tulungagung, Jawa Timur! Beliau adalah jemaah menteri Malaysia, yang sewajarnya tahu di mana sempadan negara. Dalam hal yang sekecil ini pun, Hishamuddin gagal untuk bercermin dan menyedari diri…

Apakah terlalu sukar untuk Malaysia segera mengirim menteri atau pasukan pegawai tinggi yang berwibawa ke sana dalam “misi keamanan”?

Apakah terlalu egoisnya kita sehingga terlalu payah untuk menghantar wakil dan mendengar sendiri buah butir daripada Manohara dan ibunya? Juga, bertemu menteri, bahkan presiden Indonesia sendiri (sekiranya perlu) bagi menerangkan dan berbincang tentang isu pencerobohan di Ambalat?

Kalau ada tuduhan bahawa kita sombong, mungkin sahaja benar kalau diukur dengan sikap menteri-menteri kita dan kelakuan kerajaan Malaysia amnya.

Menghantar pasukan dengan “misi keamanan” dan persaudaraan langsung tidak merugikan. Bahkan, kita akan dilihat lebih gentleman. Sikap sombong dan sambil lewa Pemerintah Malaysia, iaitu Kerajaan Barisan Nasional bukan baru, khususnya dalam beberapa sisi peristiwa dan kes yang bersangkutan dengan Indonesia, sangat dikesalkan.

Misalnya, isu undang-undang sebat yang dilihat tidak berperikemanusiaan juga menimbulkan kemarahan dan tersinggungnya rakyat Indonesia. Begitu juga isu lagu “Rasa Sayange”, selain kes wujudnya kezaliman dan penderaan tenaga kerja Indonesia yang melambak-lambak di negara ini. Bahkan, layanan di pusat-pusat tahanan pendatang tanpa izin juga begitu buruk dan mengecewakan.

Ada ulasan sewel yang menyebutkan bahawa kes pendedaraan terhadap pembantuan rumah hanya 0.3 peratus atau kira-kira 1,000 kes berbanding keseluruhan pembantu rumah yang ada di negara ini. Kes dera, sepertimana juga kes bunuh sama sekali tidak boleh diukur bersandarkan statistik.

Apakah kita boleh merelakan rakyat kita didera atau dibunuh seorang-dua!? Tentu tidak. Dan, membawakan perincian statistik adalah cara propagandis pemerintah yang seolah-olah mahu menunjukkan kes penganiayaan dan dera pembantu rumah Indonesia di negara ini adalah kes terpencil.

Di Malaysia, kes jenayah yang banyak dilakukan pendatang dari republik berkenaan juga sukar dinafikan. Namun itu bukan alasan untuk menambah lagi minyak di atas bara atau api yang sudah marak. Kita tidak akan berkompromi dengan siapa sahaja yang melakukan jenayah. Sama ada warganegara kita sendiri, mahupun orang luar. Itu prinsipnya.

Soal pemerintahan bukan hanya soal politik-kekuasaan, tapi juga menyangkut kecekapan mengawal dan mengurus krisis selain aspek “budi-bahasa” agar jelas disamping kita mempertahan prinsip, dalam masa yang sama bijaksana mengawal dan menyelesaikan krisis.

Inilah aspek kemanusiaan yang payah sekali dilihat dimiliki oleh pemimpin yang memerintah Malaysia selama ini. Sikap kepimpinan yang angkuh sebegini cukup merimaskan dan membuat rakyat kita seakan-akan menanggung malu.

Saya pernah dua kali ke Indonesia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya lihat sendiri bagaimana sikap bijaksana Anwar merungkai beberapa kekusutan kedua negara–meski beliau bukan lagi anggota jemaah menteri.

Antara lain, Anwar dengan tegas menolak undang-undang cabuk (sebat) yang diluluskan pemerintah Malaysia bagi menangani isu pendatang asing. Secara prinsipnya, undang-undang itu menurut Anwar adalah undang-undang lapuk dan tidak berperi-kemanusiaan. Beliau turut bercerita tentang pengalamannya melihat nasib banduan yang terhukum secara keterlaluan sewaktu beliau di penjara selama 6 tahun.

Begitu juga dengan isu “Rasa Sayange” di mana Anwar menyarankan agar dapat dikongsi keindahan lagu itu sebagai tradisi rakyat kedua negara. Soal ketulinan asal usul lagu itu bukan lagi persoalan pokok…

“Ya kalau Indonesia mahu mendakwa asal usul lagi “Rasa Sayange” itu dari Indonesia, saya terima saja,” kata Anwar sambil disambut tepukan gemuruh dan senyum para hadirin dalam Program Mengenal 100 tahun kebangkitan semangat nasionalis, di Malang, Jogjakarta tahun lalu.

Kenyataan dan hubungan langsung yang dilakukan Anwar sudah cukup untuk meredakan ketegangan dan rasa tidak selesa kedua pihak berhubungi isu berkaitan. Tentulah sikap dan kebijaksanaan sebegini sukar diharapkan wujud di kalangan pemimpin yang menghunus keris ke muka rakyatnya sendiri.

Lihat sahaja bagaimana cadangan untuk memberhentikan pembantu rumah dari Indonesia–cadangan yang kemudiannya akan merugikan rakyat kedua belah negara.

Betapa mudahkan majikan di negara ini selama ini karena tenaga kerja atau pembantu rumah dari Indonesia sediakala menggunakan bahasa yang serumpun dengan kita. Bayangkan, alangkah sukarnya kalau terpaksa melatih pembantu rumah dari negara lain, misalnya Nepal atau Filipina, akibat bahasa ibuanda yang berbeda.

Tanyakan kepada Hishamuddin, apakah beliau mahu kalau ada gadis dari Indonesia yang secantik Manohara mahu bekerja sebagai pembantu di rumah dia? Agaknya melompat-lompat dan cepat-cepat diambil bekerja!

Apakah beliau tak sedar, tak akan ada sesiapa yang hendak bekerja di rumah majikan yang tidak berbudi-bahasa. Rakyat kita sendiri, walau dari Bote, Tanjung Maling sehingga ke Segamat dan Pontian sekalipun tidak mahu bekerja kalau didera, tidak dibayar gaji dan seolah-olah hanya diperhamba! Kita sendiri tidak mahu bertuankan dengan tuan yang angkuh dan sombong begitu rupa.

Soal siapa benar siapa salah, bukan persoalan yang terpaksa ditanggung di kalangan rakyat–karena yang bersalah, baik di pihak mana pun, wajar mendapat hukuman yang setimpal. Sepertimana kerajaan yang cuai dan penuh dengan kebejatan, wajar ditumbangkan dan dihumban.

Hubungan Malaysia-Indonesia, kemana akhirnya?

www.themalaysianinsider.com

JUN 23 — Awal bulan Jun lalu, saya berada di Jakarta, Indonesia untuk menghadiri sebuah program berkenaan dengan reformasi pilihanraya yang dianjurkan oleh sebuah badan antarabangsa.

Boleh dikatakan saya tidak bernasib baik kerana ke Jakarta ketika isu “Manohara” dan “Ambalat” sedang meletup dinegara tersebut. Di media-media cetak dan elektronik kedua-dua isu tersebut hebat diperdebatkan.

Sebaik saja ke kaunter Imigresen Indonesia, saya dapat merasakan bahang kemarahan “rakyat Indonesia” lebih-lebih lagi kerana mengenakan t-shirt yang mempunyai bendera Malaysia.

Di hotel ketika saya membuka televisyen, stesen-stesen TV Indonesia memberikan liputan yang luas mengenai kedua-dua isu yang sedikit sebanyak telah memburukkan persepsi rakyat di negara tersebut mengenai jiran dekat mereka, Malaysia.

Lebih parah lagi, pada waktu itu, kempen untuk pilihanraya presiden sedang hangat berlangsung. Calon-calon yang bertanding cuba menunjukkan siapa lebih nasionalis diantara satu sama lain bagi memenangi hati rakyat Indonesia.

Ini mengigatkan saya situasi yang berlaku dalam negara dimana pada waktu-waktu tertentu, ahli-ahli politik akan menggunakan sentiment anti Singapura untuk meraih sokongan.

Teman-teman saya di Jakarta tidak ketinggalan untuk bertanyakan kepada saya mengenai kedua-dua isu tersebut. Oleh kerana kami sudah lama kenal, perbincangan dan perbahasan dapat dilakukan tanpa melibatkan emosi dan sifat-sifat nasionalistik.

Kesimpulan yang dapat kami capai melalui perbincangan mengenai isu Manohara dan Ambalat ialah kedua-dua isu tersebut ialah isu yang melibatkan pihak atasan dan tidak ada kena mengena dengan rakyat Malaysia dan Indonesia.


Program yang saya sertai turut dihadiri oleh teman-teman dari negara Asia yang lain seperti Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, Filipina, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan ketinggalan juga rakan dari Mongolia.

Kebanyakan peserta program terkejut apabila melihat saya berbual-bual dengan teman-teman dari Indonesia dengan bahasa tempatan. Mereka bertanyakan apakah Malaysia dan Indonesia mempunyai bahasa yang sama? Untuk memudahkan kefahaman mereka, saya jelaskanlah bahawa bahasa Malaysia dan Indonesia bolehlah diibaratkan seperti bahasa Hindi bagi rakyat India dan bahasa Urdu bagi rakyat Pakistan.

Pertanyaan dari teman-teman tersebut menyebabkan persoalan timbul dibenak hati saya tentang mengapa Malaysia — Indonesia yang mempunyai bahasa dan kebudayaan yang hampir sama seringkali bersengketa?

Sejarah ketegangan Malaysia-Indonesia

Dari segi sejarah, Malaysia pernah berkonforntasi dengan Indonesia oleh kerana Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia yang melibatkan kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Presiden Soekarno menganggap bahawa penubuhan Malaysia adalah satu percubaan kolonial Inggeris untuk meneruskan keuasaaan di Asia Tenggara melancarkan gerakan “Ganyang Malaysia” pada 27 Julai 1963.

16 September 1963 secara rasminya Malaysia ditubuhkan dimana Malaya bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura. Akan tetapi, Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia kurang dari dua tahun selepas itu pada 9 Ogos 1965.

Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung dari 1963 sehingga 1966. Dalam tempoh tersebut banyak peristiwa serang menyerang berlaku diantara tentera kedua-dua negara sehinggalah konfrontasi ditamatkan secara rasminya pada 28 Mei 1966 dalam sebuah persidangan di Bangkok, Thailand dimana pemerintah Malaysia dan Indonesia mengumumkan untuk menyelesaikan konflik tersebut. Peperangan berakhir bulan Jun, dan perjanjian damai ditandatangani pada 11 Ogos 1966.

Hari ini apabila berlakunya kes “Manohara” dan “Ambalat”, sudah pastinya ada rakyat diantara kedua negara yang hidup dizaman konfrontasi akan terkenang kembali sejarah hitam tersebut.

Akan tetapi, perkembangan baik diantara rakyat Malaysia — Indonesia selepas 1966 sehingga hari ini menyukarkan “sesuatu lagi perang” untuk muncul kembali.

11 Jun lalu, sebuah NGO dari republik Indonesia yang dikenali sebagai “Laskar Merah Putih” menganjurkan demonstrasi dihadapan kedutaan Malaysia di Jakarta.

Demonstrasi tersebut dianjurkan untuk menentang pencerobohan Malaysia di Ambalat. Demonstrasi tersebut digemparkan lagi apabila Manohara yang diberi gelaran Cik Puan Temengong Kelantan dengan ditemani oleh ibunya, Daisy Fajarina hadir memberikan ucapan sokongan kepada demonstran.

Terbaru, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Erman Suparno mengumumkan pemberhentian penghantaran “pembantu rumah” dari negara tersebut untuk bekerja di Malaysia.

Pengumuman tersebut dilakukan ekoran dari kes penderaan pembantu rumah rakyat Indonesia oleh majikan Malaysia baru-baru ini. Menurut Erman, sebelum arahan tersebut dikuatkuasakan, beliau akan memanggil satu mesyuarat diantara pihaknya dan wakil dari Malaysia.

Ini sudah pasti akan megeruhkan lagi perhubungan diantara Malaysia–Indonesia.

Hubungan kebudayaan antara rakyat kedua negara

Selain politik dan ekonomi, rakyat Malaysia dan Indonesia dihubungkan melalui pelbagai medium seperti filem dan muzik.

Kris Dayanti, Peterpan, Dewa, Rossa, Melly Goeslow sudah tidak asing bagi rakyat Malaysia.

Manakala di Indonesia pula, Siti Nurhaliza, Iklim dan Search mendapat tempat dikalangan rakyat mereka.

Beberapa tahun lalu, ketika isu Pulau Sipadan dan Ambalat heboh, ada kelompok di Indonesia yang menggeluarkan slogan, “Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza”.

Pada tahun 1990, sebuah filem yang bertajuk Isabella diterbitkan dengan kerjasama Indonesia - Malaysia. Filem ini adalah berdasarkan lagu “Isabella” dari kumpulan Search yang begitu popular dikalangan rakyat kedua-dua negara pada ketika itu.

Filem arahan Boyke Roring itu dibintangi oleh Amy (Search) dan Nia Dzulkarnain sebagai bintang utama begitu popular dan mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh rakyat kedua-dua negara.

Ini membuktikan bahawa aktiviti seni budaya mampu untuk merapatkan hubungan diantara rakyat kedua-dua negara. Jika kedua-dua pihak serius untuk memperbaiki persepsi dan hubungan diantara Malaysia-Indonesia, sesuatu tindakan harus diambil dengan segera sebelum ianya terlambat.

Aktiviti seni dan budaya seperti muzik atau filem bolehlah dijadikan salah satu medium untuk menyampaikan mesej-mesej perdamaian dan persahabatan diantara Malaysia-Indonesia.

Contohnya, konsert diantara penyanyi-penyanyi Indonesia-Malaysia bolehlah dianjurkan sebagai langkah awal untuk membunuh persepsi negatif dan merapatkan jurang perbezaan diantara rakyat kedua-dua negara.

Jika hubungan Malaysia-Indonesia kembali rapat dan akrab, rakyat daripada kedua-dua negara yang akan mendapat keuntungan jangka panjang di rantau Asia Tenggara tambahan pula bahasa yang digunakan oleh rakyat Indonesia dan Malaysia merupakan bahasa yang terbesar digunakan di Asia Tenggara dan telah dicadangkan oleh Prof Shin Yoon Hwan dari Universiti Sogang, Korea Selatan untuk dijadikan bahasa perantara bagi negara-negara Asean.


Waran tangkap untuk MP Kapar

Waran tangkap dikeluarkan terhadap ahli parlimen PKR S Manikavasagam setelah gagal menghadiri siasatan awam berhubung kematian mengejut pelakon K Sujatha.

Waran itu dikeluarkan oleh koroner Mohd Faizi Che Abu pagi ini selepas beliau dimaklumkan bahawa ahli parlimen Kapar itu enggan menerima sapena yang cuba diserahkan semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Manikavasagam berkata beliau enggan menerima sapena itu yang diserahkan di Parlimen dan sewajarnya polis menyerahkan di kediamannya atau bilik operasinya di Kapar.





malaysiakini

JKR Bertanggungjawab?

The Malaysian Insider

Bumbung stadium runtuh : Mampat salahkan JKR

KUALA TERENGGANU, Jun 23 — Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyalahkan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Terengganu sehingga terjadinya kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan.

Sehubungan itu, mereka menyokong cadangan agar satu badan bebas dibentuk untuk menyiasatnya.

Demikian kata pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah dalam sidang medianya semalam bagi mengulas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh secara tiba-tiba pada 2 Jun 2009 lalu.

Mampat adalah sebuah NGO yang aktif di Terengganu dalam memperjuangkan kepentingan rakyat negeri itu.


NGO yang dikaitkan dengan PAS ini banyak terlibat dalam menganjurkan majlis-majlis bagi memperjuangkan hak rakyat khasnya berkaitan dengan petroleum sebelum ini.

NGO ini juga sering terlibat dalam memperjuangkan hak Istana Terengganu dalam politik negeri ini.

Mampat, kata Fauzi, setuju dengan cadangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkenaan penubuhan suatu badan bebas bagi menyiasat punca sebenar terjadinya runtuhan bumbung stadium berkenaan.

Ini mengambil kira JKR adalah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap projek berkenaan kerana ianya adalah projek di bawah selenggaraan JKR.

Katanya, Mampat ragu sekiranya siasatan tersebut dijalankan oleh JKR sendiri, kerana merasakan siasatan tersebut tiada ketelusan dan akan dipertikaikan banyak pihak.

Menurutnya, apa yang menarik untuk Mampat dedahkan adalah bagaimana sebuah projek yang bernilai ratusan juta ringgit ini sepatutnya dipantau dan diawasi oleh JKR dengan baik.

Mampat juga mempertikaikan sejauh manakah penglibatan pihak-pihak perunding yang dilantik di dalam proses pengawasan harian sepenuh masa bagi memastikan kerja-kerja dijalankan dan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang diluluskan dan mengikut terma-termanya.

Yang dimaksudkan adalah samada dari skop strukturnya atau dari skop arkiteknya, kata Fauzi.

Memandangkan banggunan Stadium tersebut adalah sebuah banggunan yang bercirikan “kehebatan dan kecanggihan” bidang pembinaan memerlukan penglibatan penyeliaan dan pembuatan yang sangat pakar dan berpengalaman.

Namun, menurut Mampat, ianya tidak terjadi. Dari segi Pengawasan, apa yang sepatutnya berlaku adalah:

1) Pengawasan projek stadium tersebut adalah di bawah Pengarah JKR Negeri. Kebiasaannya JKR akan melantik Site Officer (SO). Dalam kes ini Pengarah JKR sendiri adalah SO. Selain SO, biasanya dilantik pula wakil SO. Bagaimanapun, dalam kes ini tiada wakil SO yang dilantik.

2) Terdapat ketidakcekapan dari segi struktur pengurusan.

Untuk Itu, Mampat memohon pihak JKR untuk mendedahkan carta organisasi pengawasan dan pengurusan yang lengkap. Senarai tersebut juga haruslah lengkap dengan bidang kuasa-bidang kuasa yang telah dibenarkan, katanya.

Dalam konteks pemilihan kontraktor pakar pula, Mampat, kata Fauzi, berasa amat dukacita kerana JKR sekali lagi dilihat tidak teliti dan professional.

themalaysianinsider.com

Brahim Al-Kataki Melompat

Ibrahim : Pergi jalanlah DAP

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan tindakan seorang pemimpin DAP yang mahu pertubuhan itu diharamkan atas alasan perjuangannya menakutkan orang bukan Melayu.

"Siapa DAP yang mahu Perkasa diharamkan, mereka ingat mereka siapa," kata presidennya Datuk Ibrahim Ali kepada Malaysiakini melalui satu mesej SMS semalam.

"Perkasa tidak pernah melanggar apa jua undang-undang, tidak seperti pertubuhan-pertubuhan lain."

Anggota bebas di Dewan Rakyat itu diminta mengulas kenyataan ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, seorang daripada lima pemimpin Hindraf yang dibebaskan daripada tahanan ISA baru-baru ini.


Dalam satu kenyataan semalam, wakil rakyat DAP itu berkata, kerajaan harus mengharamkan pertubuhan itu kerana ia menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Melayu.

Sehubungan itu, Manoharan bertanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak - yang mengadakan pertemuan dengan Perkasa, 12 Jun lalu - kini bersetuju bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak orang Melayu.

Ibrahim menambah, Perkasa mendukung perlembagaan negara terutama Perkara 153 mengenai hak-hak istimewa orang Melayu.

"Pergi jalanlah dengan DAP, mereka ini tidak sedar di mana langit dijunjung dan di mana bumi dipijak," kata ahli parlimen Pasir Mas.

Dalam pertemuan tersebut, Ibrahim memberitahu media bahawa perdana menteri memberi jaminan bahawa konsep 1 Malaysia akan tetap memperkasa setiap perkara sama ada tersurat atau tersirat dalam perlembagaan

Ibrahim juga dilaporkan berkata jaminan oleh perdana menteri bersesuaian dengan kepentingan kerajaan untuk menjaga kepentingan kaum bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.

Konsep itu yang sedang dipromosi Najib juga, kata Ibrahim, tidak bersangkut-paut dengan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

malaysiakini

Mahfuz tidak tahu tiada poster Hadi

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tidak tahu-menahu tentang ketiadaan poster presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pilihanraya kecil Manek Urai, bulan depan.

"Saya sendiri tidak mendapat maklumat secara rasmi untuk mengatakan bahawa tidak ada poster (Abdul Hadi). Saya sendiri belum mendapat gambaran yang jelas soal gambar ini.

"Bagaimanapun, segala isu yang timbul itu kita akan selesaikan dengan cara terbaik, insya Allah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur tengah hari ini.




Turut hadir, ketua penerangan baru PAS yang menggantikannya Idris Ahmad.

Mahfuz diminta mengulas tindakan PAS Kelantan tidak menaikkan poster Abdul Hadi untuk digandingkan dengan poster Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bahan kempen pada pilihanraya kecil kerusi negeri itu, 6 hingga 14 Julai.

Malaysiakini minggu lepas melaporkan, jentera pilihanraya PAS negeri berhasrat menonjolkan poster calon bersama Nik Aziz, yang juga menteri besar, sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut.

Sementara Harakahdaily pula melaporkan, penasihat jentera PAS bagi DUN tersebut Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata poster Nik Aziz "mempunyai nilai komersil yang tinggi" dan hanya "hanya poster beliau sahaja mempunyai nilai untuk menarik pengundi".

PAS Kelantan bagaimanapun bertegas menafikan ketiadaan poster presiden mereka mempunyai kaitan dengan pergeseran Nik Aziz dan Abdul Hadi berhubung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

Dalam sidang media yang sama, Mahfuz menambah, keputusan tidak menaikkan poster Abdul Hadi bukan dibuat oleh mana-mana ahli jawatankuasa pusat PAS dan berada di luar pengetahuannya.

"(Perkara) itu saya akan dapatkan penjelasan daripada mereka (jawatankuasa pilihanraya PAS Kelantan).

"Saya juga tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan nilai komersil dan sebagainya," katanya, yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang dilaporkan “semakin berlembut” berhubung isu kerajaan perpaduan, Mahfuz berkata, menteri besar Kelantan cuma menerangkan proses membuat keputusan dalam PAS.

“Apabila kita buat keputusan tidak ada (kerajaan perpaduan), tidak adalah,” katanya.

Mahfuz juga kelihatan meragui kesediaan Umno untuk meminta maaf secara terbuka kepada parti Islam itu dan rela melupakan sengketa lama ketika PAS disingkir daripada BN kira-kira 30 tahun lalu.

“Kalau ia hendak minta maaf, lama sudah ia minta maaf. PAS dah 50 tahun dah ikhlas. Dan kalau dia kata itu sengketa lama. Yang sengketa baru ini macam mana?” katanya.

Beliau sebelum itu secara rasmi menyerahkan porfolio penerangan yang dipegangnya kepada Idris Ahmad dalam satu majlis ringkas di situ (foto diatas).

Mengulas pendekatannya selepas ini, Idris berkata, beliau akan mengambil pendekatan “menerang dan menyerang” dalam memimpin jabatan penting PAS itu.

“Menerangkan bermaksud kita bawa dasar PAS untuk tatapan masyarakat kerana mereka merupakan sasaran dalam menyampaikan dasar perjuangan kita.

“Manakala menyerang pula dalam konsep membongkar segala bentuk kepalsuan, segala pengkhianatan yang dilakukan pemimpin Umno dan BN yang telah mengkhianati amanah rakyat selama ini,” katanya.

malaysiakini

Kenyataan Penuh Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."




Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.

malaysiakini

Lupakan Sengketa, Rapatkan Saf, Lawan UMNO/BN - Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat

Dalam satu kenyataan yang membawa mudarat bagi Perdana Menteri Najib Abdul Razak, seluruh pimpinan Pas sepakat menguburkan sama-sekali isu Kerajaan Perpaduan dan membulat tekad melawan Umno-Barisan Nasional.

Selesai mesyuarat khas di Pejabat Agung Pas Kuala Lumpur jam 6.55 petang tadi, Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dalam satu kenyataan berkata Pas tidak lagi mahu terjerumus dalam politik murahan Umno.

“Dalam semangat kekeluargaan menangani permasalahan isu politik semasa yang dibesar-besarkan media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat-suara melupakan perihal salah anggapan yang berlaku antara pimpinan atasan akibat daripada permainan politik murahan Umno,” kata Nik Aziz membacakan kenyataan tersebut.

Pas dilihat menjadi mangsa permainan media perdana yang cuba melaga-lagakan Nik Aziz dan Nasharuddin Isa dalam isu Kerajaan Perpaduan.

Media Umno-Barisan Nasional juga cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat dengan mengadu domba pemimpin gagasan itu juga dalam isu yang sama.

Namun Pakatan Rakyat hari ini mencapai satu keputusan menolak sama-sekali isu Kerajaan Perpaduan.

Nik Aziz berkata dugaan ini tidak melemahkan setiakawan parti aliran Islam itu, sebaliknya menguatkan lagi tekad Pas melawan angkara politik Barisan Nasional.

“Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu untuk terus bersama-sama memperjuang keazaman Pas, lagi mendaulatkan Islam di persada tanahair,” tegas Nik Aziz.

“Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik kerajaan perpaduan di hentikan serta-merta,” katanya lagi.

Menyentuh kata-dua kepada Nasharuddin tempoh hari, Nik Aziz berkata isu antara beliau dan Nasharuddin telah diselesaikan dalam suasana kekeluargaan.

“Saya selaku Mursyidul Am Pas, menarik balik segala kenyataan saya terhadap Ustaz Nasharuddin Mat Isa, dan dengan itu ianya tidak berbangkit lagi,” kata Nik Aziz.





TVA

Tuan Guru Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat Tarik Balik Kenyataan Terhadap Ustaz Nasharuddin Mat Isa

Mursyidul Am Arah Semua Pimpinan PAS Ke Manek Urai

Polemik Kerajaan Perpaduan Tamat - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan semua pimpinan PAS khususnya pimpinan pusat turun ke pilihanraya kecil Manek Urai terutamanya pada hari penamaan calon.

"Pada hari penamaan calon, InsyaAllah, semua pimpinan PAS Pusat akan hadir bersama di (pilihanraya kecil) Manek Urai,"katanya mengakhiri sidang media di pejabat Agung PAS semalam.

Dengan kenyataan pemimpin spiritual PAS itu tamatlah desas-desus yang dikatakan melarang pimpinan PAS penyokong isu kerajaan perpaduan turun berkempen dalam pilihanraya kecil tersebut dan turut menenangkan kegelisahan yang dirasai oleh semua ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat menghadapi ketegangan isu kerajaan perpaduan.

Dalam sidang media yang sama, sebelum itu, beliau telah menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berhubung idea kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, malah pimpinan PAS yang bermesyuarat hari ini bersetuju sebulat suara untuk memberhentikan serta merta polemik kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian saya selaku Mursyidul Am PAS menarik segala kenyataan saya terhadap YB Nasharudin dan dengan itu ianya tidak berbangkit lagi.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Parlimen yang menolak idea kerajaan perpaduan," katanya

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS juga bersetuju untuk melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politIk murahan Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair," katanya membacakan kenyataan dihadapan kesemua pimpinan tertinggi PAS yang turut hadir..

Sehubungan itu, Nasharudin yang ditemui selepas sidang media itu berkata hubungan antara beliau dan Nik Aziz tidak mempunyai masalah.

"Hubungan kami baik dan segalanya sudah selesai...itu sahaja, tiada lagi komen," katanya ringkas.

Klik Untuk Dengar Kenyata Tuan Guru Dato' Mursyidul Am PAS di Buletin Online Radio



BuletinOnline