Friday, January 22, 2010

PAS “government in waiting”

Pemuda PAS Jalin Hubungan Diplomatik Dengan Kedutaan Amerika Syarikat
20 Januari 2010 – Buat julung-julung kalinya, Pemuda PAS Pusat, melalui Lajnah Antarabangsanya menjalinkan hubungan diplomatik dengan kedutaan Amerika Syarikat.

Hubungan bersejarah tersebut terjalin apabila beberapa orang wakil Pemuda PAS Pusat yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Dr Raja Ahmad Alhiss membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.

Kunjungan hormat tersebut disambut oleh Mr Brian McFeeters, Pegawai Politik Kedutaan Amerika Syarikat di samping Mr Nicholas Papp (Pegawai Kebudayaan), Mr Ravindran Manickam (Pegawai Kanan Politik) dan Mr Riaz Urrahman Sadayan (Pegawai Public Afffair) .

Manakala bagi pihak Pemuda PAS yang diketuai sendiri oleh Pengerusi Lanjah Antarabangsa, Dr Raja Ahmad Alhiss , turut disertai oleh Sdra Afyan Mat Rawi (Setiausaha Lajnah Antarabangsa) dan Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar (AJK Lajnah Antarabangsa).

Kunjungan tersebut amat dialu-alukan oleh pihak kedutaan AS yang selama ini hanya mendapatkan maklumat tentang PAS melalui media arus perdana sahaja..

Dalam kunjungan hormat yang berlangsung kira-kira satu jam tersebut, pelbagai topik yang diperbincangkan di antara kedua-dua pihak berkenaan isu-isu semasa, dasar-dasar luar PAS serta isu-isu antarabangsa dan dasar-dasar luar AS.

Di awal pertemuan, Dr Raja Ahmad menjelaskan tujuan Pemuda PAS untuk menjalinkan hubungan dengan kedutaan-kedutaan asing di Malaysia untuk menerangkan pendirian PAS dalam isu-isu semasa serta sebagai persediaan PAS untuk menjadi kerajaan Malaysia.

Dr Raja Ahmad turut menerangkan pendirian PAS dalam beberapa isu seperti isu kalimah Allah yang turut hangat diperkatakan di peringkat antarabangsa.

Selain daripada itu juga, beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak turut memberi situasi tentang isu politik yang hangat berlaku di Perak.

Dalam masa sama, wakil kedutaan AS turut memberi penerangan beberapa polisi-polisi luar yang baru di bawah pentadbiran Presiden Barrack Obama yang menyentuh tentang kepentingan masyarakat Islam di AS dan antarabangsa.

Pertemuan bersejarah ini merupakan antara agenda Pemuda PAS sesi 2009-2011 dalam mempersiapkan PAS sebagai “government in waiting”, dan akan diikuti dengan kedutaan-kedutaan asing yang lain.

Di akhir pertemuan, kedua-dua pihak mengharapkan agar pertemuan seumpama itu dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang.


Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments:

Post a Comment