Friday, December 4, 2009

Puluhan ribu rakyat berhimpun sokong Tok Guru

M Faqih

KOTA BHARU, 4 Dis : Pusat bandar Kota Bharu penuh sesak dengan kebanjiran lautan manusia menghadiri perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apa yang jelas ia ratusan kali ganda lebih ramai berbanding demontrasi mendesak Menteri Besar Kelantan meletak jawatan di hadapan Kota Darulnamim Selasa lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.

Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.

Tidak kurang juga kelihatan ramai anggota polis yang terpaksa berkawal di sepanjang jalan.

Medan Ilmu di Jalan Tok Pati menyaksikan sokongan terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah surut.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.

Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India dan Siam turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Ah Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpinan Tok Guru.

“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.

Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.

Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.

“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.

Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.


Harakahdaily

Nik Aziz : Kita doa sampai pecah perut


Jimadie Shah Othman
Dis 4, 09 11:22am


kemaskini 1.32pm Membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa lalu, ribuan penyokong menteri besar itu hari ini mengadakan satu demonstrasi di Kota Bharu.

Perhimpunan itu diadakan di Jalan Dato' Pati bermula jam 10 pagi tadi, sejurus selepas kuliah mingguan tokoh besar PAS itu di depan pejabat perhubungan PAS Kelantan.

Para penyokong Nik Abdul Aziz memakai lilitan kepala warna merah bertulisan putih "We Love Tok Guru" sambil mendengar ucapan beliau, exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, pemimpin Pemuda PAS Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain.

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz antaranya menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata mursyidul am PAS, dengan sorakan para penyokongnya.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Tambahnya, hasil penjelasan itu, semua pihak menyambut baik tindakan kerajaan negeri.

Selasa lalu, ratusan penyokong Umno, yang diketuai seorang pemimpin bahagian Pasir Mas, mengadakan demonstrasi di depan kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ugutan untuk berdoa bala terhadapnya.

Mereka, yang menggunakan nama Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan, juga mendesak menteri besar melepaskan jawatannya.

Nik Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan kerajaan persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar menyerahkan wang ehsan.

Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran "rasa cemas" BN dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

"Dia (BN) hendak tipu budak-budak dengan hantu boleh. Tetapi hendak tipu pengundi Kelantan tidak boleh," katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir para penyokongnya. Tiada sebarang perarakan dibuat, walaupun terdapat ura-ura mengenainya sebelum ini.


Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."

malaysiakini