Wednesday, March 3, 2010

Teka-teki pengganti Taib masih belum terjawab – Dr Jeniri Amir

Siapakah yang berani menentang arus, lebih-lebih lagi menyedari kuasa dan pengaruh Taib yang begitu kuat? Bersuara menuntut beliau berundur hanya mengundang padah dan sukar diampunkan.

MAC 3 – Selepas menerajui parti dan Sarawak selama 29 tahun, memang masuk akal jika ahli parti dan rakyat bertanya, bilakah lagi Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi laluan kepada pemimpin pelapis untuk mengambil alih jawatan keramat itu dan seterusnya menjadi Ketua Menteri Sarawak?

Tetapi, jawatan itu dan jawatan kanan lain tidak dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung PBB yang sedang berlangsung, atas nama kestabilan dan kesinambungan kepemimpinan parti. Walaupun 275,455 ahli dan pemimpin kanan dalam parti tidak mungkin berani bersuara secara terus terang atas alasan yang mudah dimengerti, hakikat bahawa untuk seseorang terus memimpin bagi tempoh melebihi tiga dekad, tentu sesuatu yang banyak menimbulkan pertanyaan.

Pemimpin kanan dalam parti sudah pasti akan mahu dilihat terus menyokong kepemimpinan beliau.

Siapakah yang berani menentang arus, lebih-lebih lagi menyedari kuasa dan pengaruh Taib yang begitu kuat? Bersuara menuntut beliau berundur hanya mengundang padah dan sukar diampunkan.

Banyak soldadu Taib akan segera bangkit bagai harimau dan singa lapar untuk menerkam jika ada percubaan untuk dilihat menggugat dan mengancam Taib. Usia kepemimpinan Taib mengingatkan kita akan kepemimpinan Suharto, Presiden Indonesia dan juga Ferdinand Marcos, Presiden Filipina – setidak-tidaknya dari segi pemimpin paling lama memerintah di rantau ini.

Malah kita tidak boleh membandingkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Mahathir pun memerintah selama 22 tahun.

Pertanyaan yang sering dibincangkan rakyat, termasuk di kedai kopi sekarang ialah tidak ada langsungkah pemimpin yang layak menggantikan pemimpin Melanau berusia 74 tahun itu? Atau Taib tidak yakin dan percaya kepada keupayaan semua pemimpin berkenaan kerana pada anggapan beliau, mereka belum lagi dapat menyaingi tahap kepintaran dan keupayaan beliau?

Satu persatu pemimpin pelapis yang pernah ‘dijual’ nama mereka sejak pertengahan dekad 1990-an untuk menjadi pengganti beliau, lenyap daripada radar politik. Nama seperti Datuk Seri Effendi Norwawi, yang pernah dianggap sebagai bintang politik yang menyinar suatu ketika dulu, sudah malap. Effendi dikatakan tidak lagi berminat untuk menyertai politik, walaupun beliau boleh saja dibawa masuk pada bila-bila masa.

Datuk Amar Adenan Satem, yang hanya satu langkah lagi untuk menduduki kerusi Taib beberapa tahun lalu, kempunan kerana ternyata Taib akhirnya tidak mahu melepaskan kerusi yang diserahkan kepada beliau oleh bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’akub pada 1981.

Dua nama paling atas sebagai pengganti ialah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dan Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. Kedua-duanya mempunyai kelebihan. Johari cemerlang sebagai menteri dan wakil rakyat, manakala Awang Tengah orang kepercayaan Taib dari segi pentadbiran dan politik negeri.

Untuk mengatakan bahawa tidak ada langsung pemimpin yang layak menggantikan beliau, adalah sesuatu yang keterlaluan dan tidak logik – meskipun hujah inilah yang sering digunakan oleh penyokong beliau untuk mempertahankan Taib supaya terus berkuasa.

Hakikatnya, terimalah kenyataan bahawa suatu hari – yang belum pasti bila akan menjelma – Taib akhirnya akan berundur atau terpaksa berundur, walaupun penyokongnya mahu supaya beliau dapat meneruskan kepemimpinannya untuk memberi sinar cahaya kepada 2.4 juta rakyat Sarawak ke dekad yang seterusnya.

Kepemimpinan Taib tidak lagi pernah dicabar secara langsung selepas peristiwa Ming Court yang menyaksikan Abdul Rahman, bapa saudara beliau, yang sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri melancarkan serangan terhadapnya pada pilihan raya mengejut 1987. Puak Abdul Rahman terpaksa mengaku kalah apabila Kumpulan Maju pimpinannya hanya memenangi 20 kerusi, manakala Barisan Nasional memenangi 28 kerusi dalam pilihan raya paling sengit pernah disaksikan di Sarawak.

Sesungguhnya, Taib banyak membawa transformasi dari segi politik, sosial, ekonomi dan pembangunan prasarana di negeri seluas Semenanjung. Taib berjaya mengubah landskap dan geografi Sarawak. Tidak mudah untuk memimpin negeri yang merangkumi sekitar 30 etnik bertaburan di merata tempat. Tetapi Taib berjaya menyatupadukan penduduk dan ini adalah satu daripada legasi beliau sehingga Sarawak dinobatkan sebagai negeri contoh di bawah gagasan 1 Malaysia.

Kepintaran, kewibawaan dan kebijaksanaan Taib sukar dipertikaikan, tetapi Taib tetap ada kekurangannya. Pembangkang sering mengeksploitasikan isu kepemimpinan beliau dan penyalahgunaan kuasa dalam setiap pilihan raya. Dijangka isu ini akan terus menggelegak dalam pilihan raya akan datang, selain isu berkaitan Tanah Adat Bumiputera (NCR) – yang turut dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, sekarang.

Di tengah-tengah kesibukan menghadiri perhimpunan, 5,000 perwakilan yakin bahawa, Taib akhirnya akan memberi laluan kepada pemimpin kepercayaan beliau selepas pilihan raya yang akan datang. Justeru, soal peralihan kuasa dalam PBB seharusnya lebih jelas dan konkrit dalam minda perwakilan dan rakyat Sarawak selepas perhimpunan kali ini.

Bagaimanapun, melepaskan jawatan itu sebelum pilihan raya akan datang – dijangka seawal Jun dan selewat-lewatnya April tahun depan – hanya akan mengundang masalah. Dari segi strategi dan demi kestabilan politik, Taib dijangka akan berundur sekitar 2012. Yang menjadi teka-teki ialah siapa pengganti beliau? Jawapannya pasti mendebarkan pemerhati politik dan rakyat untuk melihat siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri kelima Sarawak. – Berita Harian

Penulis ialah penganalisis politik yang kini menjadi pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

* This article is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.



RM300 juta Untuk Menggodam Blog dan Lamanweb Pro-PR

“Mereka yang diupah mempunyai kepakaran menggodam sistem komputer dan laman web. Tugas mereka diklasifikasikan sebagai ‘top secret’ dan di bawah pengawasan terus pejabat Perdana Menteri. Kumpulan ini akan digembleng sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 bagi merosakkan sistem perisian yang dipakai oleh Pakatan Rakyat,”

Posted by rakyat marhaen

Sebagai langkah untuk mengekang pengaliran maklumat dari blog dan laman web pro-Pakatan Rakyat, Umno dipercayai mengguna lebih RM300 juta dana awam untuk mengupah sekumpulan 300 penggodam komputer yang dibawa khas dari India.

Chennai dikenali sebagai pusat teknologi maklumat terkenal di India yang menempatkan banyak syarikat antarabangsa termasuk yang berhubung kait dalam pembangunan perisian berteknologi tinggi.

Sumber-sumber memberitahu bahawa gerombolan penggodam komputer dari India akan dibayar elaun khidmat kepakaran yang mencecah lebih RM100,000 setiap orang, perumahan dan kereta percuma.

“Mereka yang diupah mempunyai kepakaran menggodam sistem komputer dan laman web. Tugas mereka diklasifikasikan sebagai ‘top secret’ dan di bawah pengawasan terus pejabat Perdana Menteri.

“Kumpulan ini akan digembleng sepenuhnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 bagi merosakkan sistem perisian yang dipakai oleh Pakatan Rakyat,” kata sumber.

Langkah mengawal blog dan laman web pro-Pakatan Rakyat telah digerakkan dengan lebih serius sejak kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-12, dua tahun lalu.

Antara langkah awal termasuk mengupah lebih 300 blogger yang berkhidmat di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas, satu unit propaganda di bawah kelolaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Setiap blogger dibayar elaun sebanyak RM3,000 sebulan, yang antara lain memantau blog dan laman web Pakatan Rakyat di samping menyebarkan bahan berita berunsur propaganda dan fitnah untuk memburuk-burukkan imej pemimpin KEADILAN, PAS dan DAP.

Di samping itu, Umno juga mendapatkan khidmat blogger pro-Umno untuk menulis pelbagai propaganda terutamanya berhubung isu- isu berkaitan agama dan kaum.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama untuk memantau beberapa blog dan laman web yang menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.

Bagaimanapun timbul persoalan mengapa pihak KDN dan SKMM berdiam diri atau menutup sebelah mata terhadap puluhan blog dan laman web pro-Umno yang secara terang menimbulkan isu sensitif bersabit agama dan perkauman.

Royalti Minyak,YB Husyam Sanggah Hujjah Umno




ijoks2009