Sunday, May 24, 2009

UMNO Parti Bertaraf Parti Bebas, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.

"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.

Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.

"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.

"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.

Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.

"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.

"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.

"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.

"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

artikel asal : TVAntara

Rakyat Keliru Keputusan Mahkamah, Krisis Perak Berterusan

Keyakinan rakyat yang semakin pulih kepada Institusi Kehakiman, kita menjadi sebaliknya apabila mahkamah membuat keputusan yang berubah-ubah dan bertentangan dengan keputusan mahkamah lain.

Rakyat kini semakin keliru dengan Institusi tersebut apabila keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin terlalu jauh berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya, malah keputusan kelmarin telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi silap dalam memberi keputusan.


Ketua Dewan Ulama’ PAS yang baru, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes siapa Menteri Besar Perak yang sah, kelmarin.

“Keputusan ini menimbulkan persoalan kepada rakyat, adakah undang-undang yang digunakan di Mahkamah Tinggi (sebelumnya), berbeza dengan undang-undang yang digunakan dalam Mahkamah Rayuan?,”soal beliau.

Katanya beliau tidak faham bagaimana Mahkamah Rayuan boleh memutuskan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak sedangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini membuat keputusan berbeza yang memihak kepada Dato’ Seri Nizar Jamaludin.

Beliau yang juga Timblan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, keputusan yang mengejutkan itu juga tidak akan meredakan krisis politik negri Perak kecuali dibubarkan DUN Perak dan diadakan semuala pilihanyara negeri yang baru.

artikel asal : BuletinOnline

Pakatan Rakyat Perak Lancar Puasa Sunat/Mogok Lapar Tiga Hari Mulai Selasa Depan

Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan mogok lapar selama tiga hari berturut-turut mulai Isnin depan dalam usaha gerakan rakyat untuk mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri secepat mungkin.

Apatah lagi tekanan rakyat untuk dikembalikan mandat kepada mereka akan bertambah mendesak berikutan keputusan Mahkamah Rayuan memperbaharui lesen Umno dan Barisan Nasional untuk terus menduduki tampuk kerajaan negeri secara tidak sah.

Mogok lapar itu dijangka akan disertai rakyat teramai termasuk umat Islam yang akan mengerjakan puasa sunat bersama-sama demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kho Ming di Pejabat DAP Ipoh pagi semalam.

Nga berkata mogok itu akan bermula pada jam 10.00 pagi hari Selasa 26 Mei dan berakhir pada hari Khamis, 28 Mei pada waktu maghrib di Pejabat PAS Perak. Mereka yang menyertai program itu dibenarkan minum selama setiap 6 jam dan tidak dibenarkan makan dalam tempoh itu sementara bagi umat Islam peraturan puasa akan dipatuhi.

Menteri Besar Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddindan Speaker V. Sivakumar dijangka melancarkan mogok lapar/puasa itu di Ipoh dan turut serta dalam program tersebut.

"Ia akan disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Perak dan pertubuhan bukan kerajaan yang berminat. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami (sekretariat)," kata beliau.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, mogok lapar yang diadakan adalah "untuk mendapatkan kembali hak rakyat".

Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.



artikel asal : TVAntara

Husam: Rampasan Kuasa Umno-BN Di Perak Ala Lanun Somalia

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa meletakkan kesalahan ke atas Umno dan Barisan Nasional berhubung krisis politik terburuk dalam sejarah negeri Perak moden.

Dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mei kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beloiau berkata tercetusnya kemelut politik Perak adalah kerana Umno dan Barisan telah membelakangi prinsip-prinsip perundangan dan demokrasi demi meragut kuasa daripada sebuah kerajaan pilihan rakyat yang sah.

Surat beliau itu dihantar sebagai menjawab kenyataan Datuk Seri Najib di bawah tajuk "Perak Sultan Should Not Be Blamed" oleh Bernama dan "Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib" oleh Utusan Malaysia.

Berikut disiarkan surat Datuk Husam kepada Perdana Menteri:


YAB Dato’ Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya
YAB Dato’ Seri,

UMNO Lantik Menteri Besar Perak Sebelum MB Nizar Digugurkan Secara Yang Sah

Saya telah membaca kenyataan panjang lebar YAB Dato’ Seri di bawah tajuk: Perak Sultan Should Not Be Blamed: Najib,

laporan yang dikeluarkan BERNAMA juga dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini di bawah tajuk: Sultan Perak Bukan Punca Kemelut Politik – Najib.

Penjelasan YAB Dato’ Seri ternyata menunjukkan YAB Dato’ Seri mengalami kekeliruan yang amat asas dalam isu krisis di Negeri Perak sekarang.

Bukan Sultan Perak yang dipersalahkan oleh orang ramai. UMNO dan secara khususnya, YAB Dato’ Seri lah yang dipersalahkan kerana telah mengesyorkan perlantikan Zambry Abdul Kadir untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada waktu Menteri Besar yang dilantik secara sah belum lagi digugurkan sebagai Menteri Besar!

Dari situ, timbul istilah dua Menteri Besar! Itulah yang dikatakan rampasan kuasa membelakangkan undang-undang khususnya undang-undang tubuh Negeri Perak yang menyatakan dengan jelas Menteri Besar yang telah dilantik hanya boleh gugur dengan empat cara iaitu;

a. Meletakkan jawatan.
b. Meninggal dunia.
c. Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
d. Melalui undi tidak percaya oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Di dalam kes di Perak, keempat-empat perkara di atas tidak berlaku. Nizar masih lagi Menteri Besar Perak pada waktu Zambry mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Inilah asas yang digunakan oleh Mahkamah Tinggi ketika mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah sepanjang masa material, baru-baru ini.

Atas prinsip yang sama, penaung YAB Dato’ Seri, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa UMNO gopoh dalam pelantikan Zambry.

Pemimpin UMNO yang lain, YBM Tengku Razaleigh Hamzah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa perlantikan itu tidak sah kerana membelakangkan prosedur undang-undang berkaitan.

Betul Barisan Nasional melalui tiga wakil bebas yang bersama BN mempunyai lebih majoriti. Tetapi BN tidak boleh menggunakan kelebihan majoriti mudah ini sama seperti keadaan Menteri Besar belum terlantik selepas pilihanraya baru diadakan. Pada waktu itu, Menteri Besar belum ada. Sekarang, Menteri Besar sudah ada.

Undang-undang mengkehendaki Menteri Besar yang sah dihilangkan jawatannya melalui undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri secara rasmi dan bukan sekadar membilang berapa bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membuat pengakuan bersama BN di luar Dewan.

Ini pernah berlaku di Kelantan dalam peristiwa turn about about turn pada tahun 1968 di mana UMNO telah menculik dan mengugut empat orang ADUN PAS dan mereka telah membuat pengakuan menyokong UMNO/Perikatan untuk menggulingkan kerajaan PAS pada waktu itu, di luar dewan.

Oleh kerana Speaker yang dilantik oleh PAS juga telah berpaling tadah pada UMNO/Perikatan, beliau memanggil satu sidang Dewan Negeri Kelantan untuk tujuan itu. Malangnya, bila usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dibawa, ADUN yang tadinya mengaku akan menyokong usul itu telah berpaling tadah sekali lagi dan usul tidak percaya itu dapat dipatahkan.

Itulah proses yang digunakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada waktu itu. Pegawai-pegawai YAB Dato’ Seri boleh menyemak rekod ini untuk tujuan perbandingan. Proses yang sama mesti digunakan oleh UMNO/BN di Perak tetapi itu tidak dilakukan.

Dewan Undangan Negeri Perak di bawah YB Sivakumar selaku Speaker, tidak menggantung Sultan Perak atau mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa kecaman kepada Tuanku Sultan Perak kerana mereka tahu Tuanku tidak bersalah.

Yang bersalah ialah ADUN-ADUN berkenaan yang telah mengangkat nama mereka kepada Tuanku untuk angkat sumpah ahli-ahli Exco Negeri pada hal mereka semua tahu ia bertentangan dengan kehendak undang-undang tubuh Negeri Perak.

Mereka digantung kerana melanggar undang-undang tubuh Negeri Perak, bukan kerana Pakatan Rakyat mahu mengurangkan majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri.

Zambry pula bersalah kerana bersetuju untuk mengangkat sumpah sedangkan jawatan Menteri Besar belum dikosongkan.

Jika sekiranya UMNO/BN menggunakan proses yang dikehendaki oleh undang-undang dan satu usul tidak percaya telah diluluskan ke atas Nizar, mengikut undang-undang, Nizar boleh mengadap Sultan Perak untuk mendapat perkenan membubarkan DUN Perak atas prinsip mengembalikan hak menentukan kerajaan mana yang rakyat kehendaki untuk memerintah Perak melalui pilihanraya semula.

Ini kerana, rakyat telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Perak. Tiga ADUN yang melompat bertindak demikian bertentangan dengan pilihan rakyat dan ia adalah ambil alih kuasa menerusi pintu belakang. Sebab itu, penyelesaian terbaik ialah memulangkan semula kuasa itu kepada rakyat.

Pemimpin komponen BN sendiri semakin ramai yang menyuarakan hal ini secara terbuka.

Adalah amat malang bagi negara ini mempunyai Perdana Menteri yang tidak memahami prinsip undang-undang dalam isu ini dan juga prinsip-prinsip demokrasi. Apa lagi untuk menghormatinya.

Negara akan berhadapan dengan lebih banyak krisis jika sikap ini berterusan.

Segala-galanya bermula dari ketamakan untuk mendapat kuasa memerintah melalui jalan belakang. Jika ia berpunca dari ketamakan politik, penawarnya ialah politik juga iaitu UMNO dan BN bersama PR mengadap Sultan Perak untuk mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Tidak ada rompakan ala lanun Somalia tetapi kepatuhan kepada undang-undang dan hasrat rakyat. Ini selari dengan kehendak Islam yang memberikan hak kepada yang berhak dan Islam sama sekali tidak mengizinkan pencabulan dan pemerkosaan hak rakyat.

Sekian Terima Kasih


Husam Musa
Naib Presiden PAS
21 Jumadal Ula 1430H
Bersamaan 16 Mei 2009

EDISI KHAS DR MANSOR OTHMAN



klip video ehsan : greenboc

Tiada Pemisah Antara Profesional - Ulama, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tiada pemisahan di antara golongan ulama dan profesional di dalam PAS.

Demikian tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika perasmian penutup Sambutan Jubli Perak Ulama' di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak semalam.

"Semua pihak harus berusaha untuk memastikan usaha ke arah menggembelengkan tenaga ulama' dan profesional bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan ALlah kepada kita," katanya.

Baliau yang juga ahli parlimen Marang mengingatkan para peserta yang hadir agar mengelakkan hubungan antara kedua-dua golongan ini agar tiada pihak boleh mengambil kesempatan untuk mewujudkan kekacauan.

"Jika hubungan ini renggang, ianya akan dikacau oleh pihak tertentu sepertimana pihak media yang sering cuba untuk memperdayakan kita dengan maklumat yang salah," ujarnya.

Ustaz Hadi juga mengharapkan agar para perwakilan yang mengundi pada pemilihan nanti dapat

Sementara itu, program sehari anjuran Dewan Ulama PAS Pusat itu turut menggariskan beberapa resolusi.

Antaranya ialah berusaha untuk memperkukuhkan kepimpinan ulama serta memastikan kesinambungannya terpelihara.

Di samping itu, turut digariskan juga adalah kepimpinan secara jamaie juga merangkumi kepelbagaian tokoh dan bidang bagi menerajui parti selain memperteguhkan prinsip syura dalam membuat keputusan.

Dalam majlis yang sama, empat orang dianugerahkan sebagai tokoh sempena sambutan jubli perak dewan ulama PAS.

Mereka terdiri daripada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, DAto' Mustafa Ali; bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hasan Shukri dan kolumnis Harakah, Subky Latif.

Kira-kira empat kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari yang dihadiri kepimpinan di peringkat tertinggi sehingga ke kawasan.

artikel asal : HarakahDaily



klip video ehsan : jiwokelate2009

Tuntut Pilihanraya Baru - Mogok Lapar Tiga Hari

Perjuangan menuntut hak mengembalikan demokrasi diteruskan di Perak dengan tindakan 'mogok lapar' yang akan diketuai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V. Sivakumar.

Kempen terbaru itu adalah untuk menuntut satu pilihanraya baru diadakan dinegeri Perak bagi mengembalikan hak untuk menentukan kerajaan kepada rakyat negeri Perak.

ADUN Pantai Remis Ngah Kor Ming yang ditemui TVPas berkata mogok lapar itu akan diadakan bermula minggu depan sehinggalah DUN di bubarkan

Manakala Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi media mengesahkan tindakan tersebut akan diadakan.

"Ya, ya... kami akan adakan (mogok lapar) mulai 26 Mei (hari Selasa)," katanya yang menambah bahwa, langkah itu telah lama diputuskan dan tidak ada kena mengena dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

"Ia akan disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Perak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat... mereka yang berminat boleh menghubungi kami (sekretariat) dan mendaftarkan diri mereka," kata beliau

Namun katanya, tidak dapat di pastikan berapa ramai yang menyertai kempen selama tiga hari itu..

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, pihaknya mengadakan mogok lapar "untuk mendapatkan kembali hak rakyat."

Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.

Lapan wakil rakyat dikatakan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

artikel asal : BuletinOnline