Tuesday, April 19, 2011

S’wak : PAS intai peluang kerusi Parlimen


Ini memandangkan sokongan masyarakat tempatan di lima kawasan Dun yang ditandinginya minggu lalu semakin meningkat.
PETALING JAYA : PAS tekad mahu meletakkan lebih ramai calon untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Sarawak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun tewas kesemua lima kerusi semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Sabtu lalu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, PAS akan melihat peluang kerusi Parlimen di lima kawasan Dun yang ditandinginya semasa PRN Sarawak minggu lalu memandangkan sokongan masyarakat tempatan di kawasan itu semakin meningkat.

Kerusi Parlimen tersebut adalah kawasan Mas Gading (P192), Kota Samarahan (P197), Batang Sadong (P200), serta Batang Lupar (P201).

Salahuddin berkata, lima kawasan tersebut akan menjadi fokus utama PAS mengukuhkan sokongannya di Sarawak berdasarkan pencapaian jumlah undi yang diterimanya semakin meningkat sejak ‘kehadiran’ parti itu di Sarawak 10 tahun lalu.

Ini kerana menurutnya selain tidak seorang pun daripada calonnya hilang deposit pertaruhan, jumlah undi majoriti PAS di Dun Beting Maro meningkat kepada 391 undi berbanding 895 undi pada tahun 2006.

Begitu juga dengan kerusi Dun Muara Tuang, Sebuyau, dan Tanjung Datu apabila jumlah undi yang diterima calon PAS meningkat jika dibandingkan dengan calon PKR yang bertanding di kawasan sama semasa pilihan raya Sarawak tahun 2006.

Umno tidak boleh masuk Sarawak

“Pencapaian ini sungguh menakjubkan. Ideologi PAS semakin diterima baik masyarakat jika hendak dibandingkan dengan Umno yang sendiri pun sampai sekarang tak boleh masuk Sarawak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun sedikit terkilan namun PAS tidak merasa kecewa dengan kekalahan tersebut malah akan terus meletakkan harapan tinggi agar dapat menembusi cengkaman BN dengan menguatkan jentera dan barisan kepimpinannya di Sarawak.

Walaupun yakin dengan peluang lima kerusi tersebut untuk PRU akan datang, namun Salahuddin berkata keputusan itu terletak kepada suara pemimpin PAS tertinggi serta rundingan dalam Pakatan Rakyat.

“Mungkin lebih, mungkin PAS akan bertanding kerusi Parlimen yang lain. Semuanya terpulang kepada keputusan rundingan Pakatan Rakyat nanti,” katanya.

Semasa PRU12, PAS juga pernah bertanding merebut kerusi Parlimen Batang Lupar meletakkan calon Ketua Pemuda PAS Sarawak Abang Eddy Alyanni Abang Fauzi, namun tewas ditangan BN Datuk Ruhani Karim.

Buat pertama kalinya PRN Sarawak, PAS bertanding di lima kerusi Dun berbanding hanya sebuah kerusi pada tahun 2006 manakala tiga kerusi pada tahun 2001.

Lima kerusi tersebut adalah Beting Maro, Muara Tuang, Sebuyau, Sadong Jaya dan Tanjung Datu.

Berdasarkan keputusan rasmi malam Sabtu lalu, jumlah undi yang diterima calon PAS Noraini Hamzah merebut kerusi Dun Muara Tuang adalah sebanyak 3,196, manakala Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Beting Maro-2,678 undi), Adam Ahid (Sebuyau-1,769 undi), Abang Eddy Allyanny (Sadong Jaya-1,074 undi), dan Nani Sahari (Tanjong Datu-1,002 undi).

Namun baik kawasan Dun mahu pun Parlimen, PAS belum pernah berjaya menguasai mana-mana kerusi di Sarawak.

BN kelmarin diisytiharkan menang majoriti dua pertiga dengan 55 dari 71 kerusi Dun Sarawak, manakala Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi (DAP-12, PKR-3, PAS-0), dan Bebas satu kerusi sahaja.

Namun jika dibandingkan dengan tahun 2006, kemenangan BN dilihat merosot daripada 62.92 peratus kepada 55.24 peratus apabila menang 62 daripada 71 kerusi.

Tun MAHAthir nyanyuk

DAP Sarawak : Tun M ‘tidak sedar apa beliau kata’
KUCHING, 19 April — DAP Sarawak hari ini menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu telah menyuntik “virus perkauman” di negeri itu, yang mana menurut bekas perdana menteri itu pendekatan sedemikian akan memecahkan negara kepada dua puak.

“Ia (pandangan) sampah (semata-mata). Ini menunjukkan Dr M (Mahathir) sudah nyanyuk dan tidak sedar apa yang beliau kata. Semasa semua ceramah ketika berkempen, kami hanya bertanya soal kesamarataan kaum dan ia ada dalam manifesto kami,” kata Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Rakannya, Violet Yong, turut memberikan pandangan yang serupa.

“Saya tidak bersetuju dengan apa yang Dr Mahathir katakan sebab DAP adalah parti berbilang kaum.

“Bagi beliau yang pernah menjadi perdana menteri bertahun-tahun dan kata begitu, beliau sedikit nyanyuk,” kata Bendahari DAP ini kepada The Malaysian Insider.

Tetapi Yong, wakil rakyat dua penggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending menghargai sumbangan Dr Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

Justeru, beliau juga mengingatkan Dr Mahathir yang sudah mencecah 85 tahun bahawa sebenarnya Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan politik perkauman.

Yong merujuk kepada tiga parti utama dalam 13 perikatan BN yang masih dipisahkan mengikut kaum.

“Anda lihat MIC, hanya untuk kaum India. MCA, hanya kaum Cina boleh masuk. Umno, hanya untuk Melayu dan Bumiputera Islam Melanau sahaja. Jadi siapa yang mengamalkan perkauman,” katanya.

“Beliau (Dr Mahathir) hanya bercakap dari luar sahaja,” katanya.

Dr Mahathir juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Peguam itu turut menggesa pemimpin veteren tersebut agar mengambil langkah untuk menyertai DAP.

“Kenapa tidak sertai DAP dan lihat sama ada kami lakukan perkara yang sama seperti beliau,” cadangkan Yong.

Sehubungan itu beliau juga mengakui kemenangan 12 kerusi DAP pada pilihan raya negeri Sabtu lalu adalah kerana kelamahan polisi BN yang tidak adil dan berat sebelah.

“Kenapa kaum Cina di sini menyertai DAP? Kerana mereka rasa diketepikan, jadi mereka memberikan mesej ini,” katanya.

Dalam tulisan di blognya semalam, Dr Mahathir mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR), yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka negeri itu.

Bekas perdana menteri itu menuduh DAP memusnahkan formula kongsi-kuasa yang telah diamalkan BN sejak sekian lama.

Dalam nada sindir, Dr Mahathir menulis, “saya mengucapkan tahniah kepada DAP yang membawa masuk politik rasis ke Sarawak.”

“Sebelum ini kesemua kaum bekerjasama antara satu sama lain bagi kebaikan Sarawak. Sekarang, kita boleh lihat dengan jelas bahawa komuniti Cina telah menolak multirasialisme,” katanya.

“Mereka telah dijangkiti virus rasisme Cina yang menjadi prinsip DAP,” kata Dr Mahathir.

BN kekal berkuasa di Sarawak dengan majoriti lebih dua pertiga tetapi jumlah kerusi dimenangi menurun daripada 62 pada 2006 kepada 55 kali ini dengan undi popular pun mengalami penurunan.

Radio Free Sarawak




lancerhammer