Thursday, May 28, 2009

Pengundi Sasaran Sudah Melebihi, Piagam Calon Dilancarkan

Pengarah Pilihanraya PKR Saifudin Nasution berkata pihaknya telah pun melepasi sasaran jumlah pengundi yang diperlukan untuk menang dalam pilihanraya kecil N12 Dewan Undangan Negeri Penanti.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pusat Media Yayasan Aman disini, petang ini.

“Kempen berjalan seperti biasa, kita telah melepasi sasaran pengundi untuk menang dalam pilihanraya ini,”katanya dalam sidang itu yang turut disertai calon PKR bagi DUN Penanti Dr. Mansor Othman.

Beliau turut melancarkan Piagam Calon PKR yang mengandungi 11 perkara berbentuk tindakan yang akan diambil oleh Dr.Mansor Othman sekiranya beliau dipilih menjadi wakil rakyat Penanti.

Ketika menerangkan Piagam tersebut, Dr. Mansor berkata ia adalah tindakan yang boleh diukur dan dinilai oleh rakyat.

Katanya ia juga merupakan janji yang akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada beliau.

Piagam 11 perkara tersebut adalah seperti di bawah ;

Mengadakan pusat khidmat rakyat dalam tempoh 48 jam selepas diumumkan sebagai wakil rakyat DUN Penanti. Pusat ini akan berfungsi sebagai ‘one stop center’ yang membolehkan rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang mendapatkan perkhidmatan daripada wakil rakyat. Pusat ini akan dilengkapi kemudahan telekomunikasi dan internet.


Mengadakan talian ‘hotline’ dan email aduan untuk membolehkan rakyat berhubung dan berurusan 24 jam sehari dengan wakil rakyat.


Mempraktikkan amalan turun padang bertujuan mendengar sendiri punca masalah rakyat dalam DUN Penanti


Mendahulukan program kebajikan rakyat terutama kelompok ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas supaya keperluan dan kebajikan mereka terjaga


Mengadakan program tuisyen dan bimbingan pelajaran percuma kepada anak-anak cemerlang terutama dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.


Membina jaringan dengan kumpulan ‘civil societies’ , NGO’s dan institusi pendidikan sekaligus memanfaatkan pengalaman dan kepakaran mereka untuk pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan dalam DUN Penanti


Menggerakkan program ‘empowerment’ untuk ‘local opinion leaders’ dengan fokus utama kepada imam, jawatankuasa masjid, JKKK, pimpinan dan jawatankuasa rumah ibadat.


Mewujudkan klinik komuniti untuk kemudahan rakyat Penanti


Menwujudkan Bazar Rakyat untuk menjadi platform aktiviti kelompok peniaga kecil dan tarikan perlancongan setempat


Mempertingkatkan kemudahan prasarana termasuk aktiviti pengindahan kawasan pasar Penanti, tanah perkuburan dan tempatt-tempat rekreasi


Mewujudkan dewan komuniti untuk aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, forum rakyat dan sambutan hari kebesaran

BuletinOnline

Dato' Mahfuz Omar Minta Muhyiddin Kaji Semula Keputusan Had Ambil Subjek SPM

Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan mengehadkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek maksimum mulai tahun depan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi mengulas isu tersebut.

Beliau mengharapkan kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula kesan negatif terhadap keputusan itu.

"Pertamanya mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa, berapa kerat sangat mereka yang ambil subjek sehingga 20, dan berapa ramai sangat yang dapat 20, tahun ini hanya Nik Nurmadihah seorang sahaja yang dapat 20 A," katanya.

Keputusan kerajaan ini lebih dilihat bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran, katanya.

"Ramai pelajar sekolah agama yang mengambil lebih 10 mata pelajaran kerana subjek teras dan subjek elektif (agama) yang mesti mereka ambil menghampiri jumlah 10, dan untuk membuka peluang mereka menerokai kerjaya lain selain dari bidang agama, mereka perlu mengambil subjek elektif lain seperti Fizik, Kimia dan sebagainya," katanya.

Sudah terbukti, pelajar-pelajar keluaran sekolah agama berjaya mendapatkan keputusan yang baik walaupun mengambil lebih 10 subjek, katanya.

"Saya bimbang pertimbangan ini hanya kerana masalah biasiswa dan lebih parah lagi jika ada muslihat politik sebaliknya.

"Kita lihat sahaja keputusan kerajaan menarik kembali bantuan perkapita SAR ketika kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, akhirnya hanya kerana alasan SAR sarang pembangkang, ini satu helah yang kita akan lihat selepas ini buktinya, ini persepsi yang tak dapat dihalang," ujar Mahfuz.

Justeru beliau mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut demi masa depan dan kecemerlangan pelajar.

Muhyiddin dalam satu kenyataanya hari ini berkata, beberapa perubahan akan dilakukan terhadap sistem pengredan SPM.

"Ia akan mempunyai banyak implikasi positif, satu yang pasti adalah para guru akan berupaya memberi lebih tumpuan terhadap bilangan mata pelajaran utama dan guru juga akan lebih khusus," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks Pendidikan, Bandar Enstek di Nilai hari ini, lapor Bernama.

Muhyidin, yang juga menteri pelajaran berkata, daripada setengah juta pelajar yang mengambil SPM sebelum ini, kira-kira 48,000 pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek.

HarakahDaily

UMNO SANGGUP LARIKAN PENGUNDI DAN BERI DUIT POKET KE PADANG BESAR

Umno Penanti Bawa Lari Pengundi Ke Padang Besar


Walau pun Umno-Barisan Nasional tidak meletak calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri N12 Penanti namun aktiviti pun menjurus seolah-olah ia terbabit secara langsung dalam PRK tersebut.

Antara dakwaan yang dilemparkan terhadap Umno dan BN ialah mengadakan siri ceramah politik sama ada berhampiran Penanti atau dalam kawasan DUN tersebut secata terang-terangan.

Umno juga dituduh membawa lari pengundi terutamanya penyokong Pakatan Rakyat ke destinasi pelancongan supaya mereka tidak membuang undi Ahad nanti.

Salah seorang penduduk Kubang Semang mendakwa semua cawangan Umno dalam Penanti telah menganjurkan rombongan ke Padang Besar secara percuma dan setiap ahli rombongan pula diberikan duit poket sebanyak RM100.00 seorang.

Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya mendabik dada macam king kong untuk memastikan setiap calon dan parti parti yang bertanding mematuhi segala peraturan SPR semasa kempen PRK Penanti, inilah masanya untuk membuktikan ia serius dengan apa yang dilaungkan dan menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap Umno.

Jangan hanya menindas Pakatan Rakyat tetapi berlembut dan tunduk kepada segala tindak tanduk Umno yang berlawanan dengan undang-undang pilihan raya.

TVAntara



klip video ehsan : greenboc

PENANTI : SURUHANJAYA PILIHAN RAYA TURUNKAN 13 BENDERA DAP

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertindak menurunkan 13 bendera DAP di kawasan DUN Penanti kerana calon parti itu tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

"Setakat ini tiada tindakan diambil. Cuma kita turunkan bendera parti itu dan serahkan bendera itu kepada parti terbabit," kata Timbalan Pengarah SPR Pulau Pinang, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin, lapor Bernama.

Katanya, parti politik yang tidak bertanding dalam pilihanraya kecil itu pada 31 Mei ini, tidak dibenarkan memasang bendera dan poster parti mereka di kawasan itu.

selanjutnya : http://www.malaysiakini.com/

Keluar Beramai-ramai Dan Undi Calon Pakatan Rakyat - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Musyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak semua rakyat di Penanti sekali lagi memberikan sokongan penuh pada calon Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) N12, Dr Mansor Othman kerana kemenangan begitu penting demi kemajuan negeri.

Tanpa kemenangan sukar calon yang diamanah meneruskan agena yang menjadi prinsipnya sewaktu berkempen dan membantu Ketua Menteri dalam urusan pentadbiran serta memperkenakan beberapa strategi membantu meningkatkan hasil negeri.

"Marilah kita bersama-sama keluar tidak kira PAS, KeADILan, DAP, Umno dan lain-lain parti atau orang yang tidak berparti beri sokongan pada Dr Mansor. Biar Pakatan Rakyat menang untuk membolehkan pentadbiran berjalan dengan sempurna," katanya semasa berceramah di Kampung Guar Jering, Bukit Mertajam semalam.


Jangan sekali-kali terjerat dengan dakwaan mengatakan ridak payah turun mengundi berikutan sudah menang tanpa cabaran Barisan Nasional (BN) sebaliknya bertekad daripada hari ini lagi untuk terus menjatuhkan BN, katanya.

Kezaliman BN katanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja kerana ia masih mengekalkan akta yang menjadi pelindung pada mereka.

"Buatlah keputusan dengan mengekalkan sokongan pada Pakatan Rakyat. Jangan ubah atau keliru dengan serangan halus BN supaya rakyat tidak turun mengundi. Bila kita ikut pasti kita kalah," terangnya dalam program anjuran Jentera Daerah Mengundi (JDM) Guar Perahu.

Dato' Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyeru mana-mana parti supaya bersama Pakatan Rakyat asalkan mempunyai titik persamaan dalam sesuatu isu.

Sejak kebelakangan ini keretakan berlaku pada BN di mana banyak parti komponen telah berani bersuara terutama di era kepimpinan Tun Abdullah berbanding Tun Mahathir dan kini Dato' Seri Najib terpaksa membendung daripada parah.

Pertikaman lidah berkaitan kemelut di Perak katanya, juga terdapat perbalahan apabila MCA dan Gerakan mahukan ia diselesaikan dengan menyerah mandat pada rakyat semula tetapi Umno tidak setuju bimbang rakyat menghukum parti tersebut.

Begitu juga dengan PPP yang kini berpecah dua dan mempunyai dua Presiden. Perpecahan itu menyaksikan perebutan kuasa antara yang haram dan sah, katanya.

Turut berceramah dalam program berkenaan ialah Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Inrahim.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ramai lagi.

HarakahDaily

Nasihat Tidak Mengundi, Seruan Khairy Menghasut - Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli

Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menasihatkan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi Ahad ini dianggap keterlaluan dan bersifat menghasut.

Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata seruan Khairy itu jelas menyalahi sistem demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk mengundi sekaligus memilih pemimpin mereka sendiri.

"Dia kata tidak mahu memperlekehkan institusi demokrasi negara ini tetapi seruannya jelas membuktikan, dia sendiri yang memperlekehkan sampai sanggup mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan itu.

Katanya sifat pengecut Umno itu sudah terbawa-bawa sehingga ke tahap 'bahaya' apabila cuba menasihatkan para pengundi yang sudah matang dan bijak berfikir setelah menyertai 12 pilihan raya umum dan kecil untuk tidak keluar mengundi.

"Saya minta pihak berkuasa, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kenyataan Khairy yang dilihat berbahaya, tidak demokratik dan tidak galakkan rakyat meneruskan amalan demokrasi yang sudah diguna pakai sejak sekian lama dan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khairy di sebuah akhbar hari ini yang menasihatkan pengundi tidak keluar mengundi kerana menyifatkan pilihan raya kecil yang diadakan di Penanti memperlekehkan institusi demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Dr Hatta berkata, belum ada mana-mana pihak yang pernah memberi saranan seumpama itu sekaligus membuktikan Ketua Pemuda Umno itu sudah ketandusan idea untuk meraih sokongan sebaliknya mengunakan kaedah yang bertentangan dengan semangat demokrasi yang di dukung oleh semua rakyat dan Pakatan Rakyat.

Katanya situasinya pasti berbeza jika pihak Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu dan sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas.

"Saya bimbang jika tidak dihalang dan tidak diambil sebarang tindakan, ianya akan berlanjutan sehingga ada pihak akan membuat ancaman ugutan pula kepada para pengundi.

"Kita tidak terkejut dengan tingkah laku parti yang cukup tertekan dan 'desperate' untuk melakukan apa saja untuk memastikan kekalahan Pakatan Rakyat yang kini mendapat tempat di hati seluruh rakyat di Malaysia ," katanya.

Sebelum itu, di Penanti 23 Mei lalu Dr Hatta menasihatkan sudah tiba masanya untuk rakyat dan penduduk Penanti 'bercerai susu' daripada Barisan Nasional (BN) dan tidak bergantung harap kepada parti yang sudah goyah dan tidak dapat menunaikan tanggungajawab kepada rakyat.

"Rupanya, tanpa BN di Penanti, kita menjadi lebih aman dan tenang. Sudah tiba masanya bercerai susu dengan BN yang tidak memberi manfaat pada rakyat.

"Kalau begitu tidak perlulah BN menyertai mana-mana pilihan raya supaya dapat mewujudkan suasana yang ada pada hari ini," katanya sambil disambut sorak sorai ribuan hadirin pada ceramah malam itu di Kubang Semang.

Pilihan raya Ahad ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina,-

HarakahDaily

Ideologi Komunis, Nasionalis Perlu Ditolak Rakyat, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sebarang ideologi yang jelas bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh diterima rakyat di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata, fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam termasuk komunis dan nasionalisme perlu ditolak.

"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman.

"Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam.

"Orang nasionalis tolak hukum Islam dan ambil separuh sahaja," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan Imam Al-Ghazali kepada 100 pelajar miskin di Dewan Teratai petang semalam.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menjelaskan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Ching Peng kembali ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Sebelum ini Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato' Dr Teng Hock Nan dilaporkan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.

Ketika negara dilanda darurat pada 1948 hingga 1960 kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh angkara komunis.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menolak cadangan untuk membawa pulang bekas pemimpin komunis terbabit.

"Jangankan komunis perjuangan nasionalis pun saya tidak suka," katanya.

Menurut beliau kesengsaraan rakyat negara ini di zaman penjajah dan era keganasan komunis bukannya perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, rakyat negara ini sudah serik dengan tindakan komunis ketika zaman darurat dahulu kerana telah menyulitkan rakyat.

Kata beliau isu terbabit tidak usah diperbesarkan kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan termasuk krisis politik di Perak dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman semakin terhakis.

"Kini rakyat didedahkan dengan pelbagai isu melalui blog-blog dan seharusnya mereka diberi peluang untuk berfikir secara matang kerana sejarah kezaliman komunis diketahui semua rakyat," katanya.

Ketika diminta mengulas cadangan supaya wakil rakyat PAS mengisytiharkan harta, khususnya calon-calon yang bakal bertanding pada muktamar tidak lama lagi Menteri Besar berkata, ia boleh dilakukan.

Namun beliau berkata, ia terpulang kepada mereka untuk melakukannya dan setahunya orang PAS bukannya kaya raya.

"Orang PAS ni mana ada harta sangat," ujarnya.

Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, terdapat tiga nama calon PAS yang telah disenaraikan pendekkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.

Katanya, tiga nama tersebut kini diserah kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk dipertimbangkan PAS Pusat.

"PAS Kuala Krai akan akur terhadap siapa sahaja yang menjadi calon nanti. Apa yang penting kita perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi tersebut," katanya.

HarakahDaily

APA SEBENARNYA BERLAKU DISEBALIK HUJAH TV9

"Saya antara mereka yang kecewa apabila PAS tidak boleh hadir dalam Program Hujah TV9 untuk berhujah berkaitan politik Wang. Saya sebenarnya merasa terpanggil untuk menyatakan pandangan ini setelah Ketua Dewan Ulama Ust Mohd Daud membuat kenyataan bahawa wujud politik wang dan isu ini seolah-olah cuba di tutup oleh sesetengah pimpinan PAS.

Ezam Mohd Noor hadir dan berhasrat menjadikan PAS sebagai sasarannya dalam isu ini. Husam sepatutnya hadir dan mempertahankan PAS dalam situasi sebegini.

Saya tak berhujah panjang, tapi cukuplah katakan kami kecewa dengan ketidak hadiran Husam dan ramai dikalangan masyarat atas pagar menerai demikian.

Suka saya bawa artikel Penulis bukan PAS yang selalu bersama PAS memberikan komen. Tulisan Mohd Sayuti adalah antara yang terbaik dalam mengulas isu ini.

Cerita Sebenarnya di Studio TV9

SEBANGKIT dari tidur sore, saya menerima call dari dua orang yang berada di studio TV9 di Seri Pentas malam tadi yang mengikuti dan terlibat secara langsung dengan rancangan Hujah.

Kedua mereka menelefon saya setelah membaca apa yang saya ulas mengenai hujah yang tidak jadi itu dalam blog saya – perihal Naib Presiden Pas, Husam Musa dan Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid hamidi yang takut untuk berhujah antara satu sama lain.

Kedua pemanggil itu menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Mereka mungkin merasakan perlu memberi gambaran keadaan sebenarnya memandangkan apa yang saya tulis dalam blog itu tidak memberi latar yang berlaku di studio malam tadi. Laporan mereka itu melengkapkan insiden 'lawak bodoh' yang berlaku malam semalam.

Menurut pemanggil pertama, Husam bin Musa memang hadir di studio malam tadi. Dia masuk dalam studio dan sempat bersalam dengan Ezam Mohd Noor. Kehadiran Husam itu menggembirakan pihak penerbit kerana mengira dia akan menyertai rancangan itu.

Bagaimana pun apa yang berlaku sebaliknya, dia enggan berhujah dengan Ezam Mohamad Noor yang mengganti tempat Zahid dan mahukan kepada Zahid juga.

"Saya merasa pelik dengan Husam, dia hadir tetapi tidak mahu berhujah, dia tunggu Zahid juga,” kata pemanggil itu hairan dengan sikap Husam. Cara pemanggil ini mengadu seolah dia mahukan penjelasan daripada saya mengenai sikap si baju petak-petak merah ini. Dia merasakan ada kejanilan yang amat sangat dengan telatah Husam.

Kata pemanggil itu Husam enggan berhujah dengan Ezam kerana Ezam tidak setanding dan setaraf dengannya. Apa yang beliau hairan ialah kenapa beliau enggan berhadapan dengan Ezam... tetapi datang ke studio. "Ini yang memelikkan dan membingungkan,” katanya.

"Apakah dia nak tunjuk yang dia berani?" soal pemanggil itu lagi.

Manakala seorang lagi pemanggil yang terlibat dalam mengaturkan rancangan itu turut melahirkan rasa kesal dan dukacita yang amat sangat dengan telatah Husam malam tadi. "Saya tidak pernah berhadapan dengan suasana seperti ini, saya sungguh malu,” kata pemanggil itu.

”Kalau you adalah, you akan cengkik dia....” ujarnya geram dan tidak dapat menyembunyikan perasaan marahnya. Menurutnya juga selama ini dia hormati Husam sebagai seroang pemimpin tetapi dengan perangai yang ditunjuki malam tadi, rasa hormat itu sudah hilang, musnah!

"Dia berdalih, katanya dia tidak tahu menahu mengenai pembatalan Zahid itu. Itu bohong sebab dua hari sebelum itu kita sudah pun memaklumkan kepadanya. Kita pastikan samada dia hendak datang atau tidak, sebab kalau dia tak nak kita nak panggil Mat Sabu...” ceritanya lagi.

Anihnya dia kata dia bersedia untuk berhujah dengan Ezam, sebab itu kita buat persediaan. Dan promo mengenai rancangan ini dibuat sebanyak 10 kali di tv3 di mana panelnya dia dengan Ezam. Jadi kata pemanggil itu tidak timbul kalau hal itu dia tidak tahu. Bohong...

Lagipun menurut pemanggil itu lagi dia (Husam) sendiri sudah hantar surat kepada Zahid agar datang dan memberi tempoh hingga pukul 7:35 malam. Apabila Zahid tidak respon bermakna Zahid tidak mahu hadir, jadi tidak payahlah beliau hadir kalau setakat hendak menunjukkan keberanian tetapi penakut untuk masuk gelanggang.

Menurut pemanggil itu lagi apa yang ganjil dan anihnya Husam datang membawa Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Yunus dan minta agar Nazree berhujah dengan Zahid. Dia buat TV9 macam TvPas sahaja boleh ubah prgoram ikut suka hati. "Apakah dia benar-benar profesional ke?" tanya pemanggil itu.

Katanya dia kesian kepada Nazree datang dengan mengempit diari untuk berhujah tetapi dimainkan Husam. Dia cuba nak dijadikan bidan terjun oleh Husam. Mungkin tujuannya nak malukan Ezam kerana Nazree adalah anak buah Ezam sendiri.

Apabila strateginya itu tidak menjadi dia tinggalkan Nazree begtu saja, tanpa dipedulikan, kata pemanggil itu.

Pemanggil itu menyimpulkan dan simpulan ini tentulah kurang menyenangkan; katanya dengan sikap ditunjukkan Husam itu menyebabkan Pas juga tercemar. Orang akan mula menilai apakah begitu rupanya pemimpin parti Islam.

"Kalau saya menjadi ahli Pas saya tidak akan memberi laluan kepada Husam dia tidak layak untuk jadi pemimpin dan perangainya lebih teruk dari budak-budak," kata pemanggil itu.

Apapun pemanggil itu memberi ucapan tahniah dan syabas kepada Ezam dan Muhammad Agus Yusuf kerana dapat meneruskan juga rancangan hujah malam tadi walaupun ianya seperti mahu disabotajkan oleh Husam. Sedikit sebanyak rancangan Hujah yang berwibawa sebelum ini terjejas imejnya dengan politik murahan orang baju petak-petak merah ini. [jln pahang 10:45 pm 28/05/09]


DetikDaily

KERAJAAN LARANG CHIN PENG PULANG

Kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali semula negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, ini kerana ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap waris mereka yang terkorban semasa darurat dahulu.

Perdana menteri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.

Teng dilaporkan berkata, bekas setiausa agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.

Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.

Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, saranan tersebut dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut membantah ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee yang dilaporkan berkata kekejaman PKM di bawah pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan.

Manakala Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata walaupun kerajaan kini mengamalkan sikap terbuka dan bertimbang rasa serta dasar yang agak liberal, namun cadangan sebegitu hendaklah diteliti serta dikaji implikasi yang bakal timbul.

Timbalan Presiden Majlis Muafakat Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun pula berkata Pewaris menolak dengan lantang permintaan tersebut kerana ia seolah-olah melupakan peristiwa pahit yang pernah dilakar ketika penentangan komunis di negara ini.

TVAntara

PILIHANRAYA MANEK URAI 14 JULAI

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan akan diadakan pada 14 Julai 2009, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Julai 2009.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu pejabat SPR, sebentar tadi.

Malaysiakini : Permohonan Taib Mahmud Ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya dibuang perenggan-perenggan tertentu dalam kenyataan membela diri Malaysiakini.

Hakim Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan tersebut dalam kamarnya pagi ini.

Katanya, perenggan-perenggan berkenaan dalam kenyataan bela diri itu - yang dipohon oleh Taib supaya dibuang - mengandungi fakta-fakta penting yang relevan dan menyokong justifikasi pembelaan tersebut.

Oleh itu, Zabariah menolak permohonan Taib dengan kos.

Malaysiakini diwakili oleh peguam Fahri Azzat dan Farah Mohd Afizah, manakala Yee Mei Ken mewakili Taib.

Berikutan itu, kes tersebut akan dibicarakan kecuali Taib memfailkan rayuan terhadap keputusan rmahkamah hari ini.

Ketua menteri Sarawak itu telah memfail saman fitnah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Mei 2007.

Ia ekoran satu siri artikel yang disiarkan oleh portal berita itu yang mendakwa pembabitan Taib dalam skandal balak, berdasarkan artikel-artikel yang sebelumnya disiarkan oleh media Jepun seperti Japan Times dan Kyodo News.

Malaysiakini telah memfailkan kenyataan membela diri terhadap saman fitnah oleh Taib itu.

Bagaimanapun, Taib telah memfail permohonan pada awal November 2007 supaya dibuang beberapa perenggan dalam kenyataan tersebut yang didakwanya 'tidak relevan' dengan saman fitnahnya itu.

malaysiakini

Lagi Cerita Minah Ronggeng!

Ganjaran Wang : Aminah dakwa terima ugutan

Calon Bebas, Aminah Abdullah mengakui beliau menerima beberapa ugutan melalui telefon daripada pihak yang tidak dikenali ekoran pendedahan berhubung bukti beliau ditawarkan ganjaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Aminah berkata melalui panggilan telefon tersebut beliau menerima cacian dan kata-kata kesat yang meminta supaya menarik balik kenyataan dan pendedahan yang dibuatnya sebelum ini.

"Kak Min (Aminah) ada menerima satu, dua panggilan ugutan...biasalah, tak perlu layan," katanya dalam sidang media di Simpang Tiga Kubang Ulu hari ini.

Isnin lalu Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR iaitu seorang Pegawai Khas kepada Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang dan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Jelas Aminah panggilan berbaur ugutan tersebut dibuat oleh seorang lelaki yang tidak di kenali.

"Lelaki itu telefon dan maki hamun, kalau berani telefonlah menggunakan telefon yang boleh Kak Min hubungi semula.

"Ini dia guna telefon awam...pengecut," katanya.

Ditanya sama ada pihak polis memberi perlindungan kepada beliau dan keluarga selepas membuat laporan berhubung keselamatannya, Aminah berkata: "Ada...polis ada datang."



mStarOnline

ADUN BEBAS TERIMA RM3 JUTA DARIPADA NAJIB

Salah seorang bekas exco Pakatan Rakyat yang menjadi ADUN Bebas di dakwa telah menerima habuan sebanyak RM3 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak kerana keluar daripada Parti Keadilan Rakyat dan menyokong Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye ketika mendedahkan perkara tersebut semasa berucap di Bukit Mertajam semalam berkata bekas exco itu telah menceritakan mengenai bayaran yang diterima beliau kepada seorang kawan yang dipercayai.

Malah Dr Lee berkata bekas exco tersebut juga merungut mengenai cara pembayaran kepada dibuat kerana Najib hanya membayar beliau secara ansuran dwi bulanan sebanyak RM100,000.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata rasuah sebanyak RM3 juta tersebut diberi atas pesefahaman tuduhan rasuah terhadap bekas ecxo itu akan digugurkan sekiranya menyokong Umno dan BN.

"Kita akan tunggu dan lihat sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Kita akan ketahui daripada apa yang bakal berlaku apabila mereka ke mahkamah sekali lagi (sama ada tuduhan digugurkan)," kata beliau pada satu majlis makan malam semalam.

Dr Lee berkata lagi beberapa badan bukan kerajaan Melayu telah mendedahkan informasi tersebut minggu lepas dan mendesak supaya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

"Saya yakin beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan," jelas beliau.

Februari lalu dua exco Pakatan Rakyat, Jamaluddin Mat Radzi dan Kapt. (B) Mohd Osman Mohd Jailu meninggalkan PKR untuk menjadi ADUN Bebas yang pro-BN bersama-sama ADUN Jelapang daripada DAP, Hee Yit Fong.

Tindakan mereka bertiga telah mencetuskan kemelut politik terburuk dalam sejarah moden negeri Perak yang masih berterusan sehingga kini.

Jamaluddin, Mohd Osman dan tiga orang lagi di dakwa secara perseorangan atau bersama berhubung 16 tuduhan rasuah berkaitan sebuah projek perumahan seluas 36 hektar berharga RM180 juta di bandar Sri Iskandar.

Tiga tertuduh yang lain ialah Ketua PKR Bahagian Parit dan bekas ADUN Bota Usaili Alias, Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan dan juruteknik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Ruslan Sahat.

Kelima-lima tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.

Lima daripada tuduhan tersebut membabitkan rasuah antara RM400 dan RM10,000, dan tuntutan saguhati seks melalui seorang bernama Mohamad Imran Abdullah, sebagai habuan meluluskan sebuah projek bangunan di Sri Iskandar.

Dua tuduhan lagi bersabit dakwaan menerima rasuah RM2,000 dan tuntutan saguhati seks melalui Mohamad Imran sementara Ruslan dituduh bersabit tujuh kes rasuah melibatkan wang dan seks.

Kesemua kesalahan itu di dakwa berlaku pada 14 Ogos tahun lalu di Apartmen Sri Sayang Apartment dui Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Pada kempen pilihan raya kecil Penanti di Kubang Ulu semalam Speaker V. Sivakumar menimbulkan kemusykilan berhubung kelewatan mendengar kes kelima-lima tertuduh sejak kes disebut pada September 2008.

Beliau juga secara sinis menyentuh kes sivil yang difailkan oleh beliau dan juga Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin yang cepat didengar oleh mahkamah.

"Mengapa berhubung kes kami amat cepat macam keretapi ekspres tetapi kes rasuah membabitkan dua exco tersebut masih belum lagi didengar sehingga sekarang?

"Kes mereka disebut tahun lepas, lama sebelum kami memfailkan kes kami. Ini sungguh aneh," tanya Sivakumar dihadapan lebih 1,000 penduduk.

TVAntara

Penanti : Sepanduk Menghasut, Bencikan Pakatan Rakyat Ditemui

Tiga sepanduk dijumpai di beberapa persimpangan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti semalam dipercayai dipasang untuk mecetuskan kebencian dan menghasut rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengarah Pilihan raya Kecil N12, Zainol Abidin Saad ketika memberitahu Harakahdaily semalam menyifatkan, tindakan itu sengaja dilaksanakan oleh pembangkang negeri ini semata-mata mahu mengganggu gugat perjalanan pilihan raya kecil yang diadakan pada 31 Mei ini.

Menurutnya, tiga sepanduk bertulisan 'Orang Cina Sokong Dr Mansor kerana KeADILan dan PAS Alat Orang Cina', Jangan Undi KeADILan untuk selamatkan Pulau Pinang Daripada Cina' dan 'Anwar Guna Azizah Untuk Depan. Guna Saiful dan Azizan untuk belakang' sudah diturunkan oleh jentera parti.

Bagi parti pembangkang di negeri itu perkataan tersebut kononnya dapat mengurangkan peratus keluar mengundi sekaligus boleh mengalahkan calon Pakatan Rakyat yang bertekad mengisi kekosongan kerusi Dun Penanti dan Timbalan Ketua Menteri 1.

"Kita tahu ia adalah usaha pembangkang Pulau Pinang yang sengaja mahu memastikan kekalahan Dr Mansor pada pilihan raya kecil itu, " ujarnya.

Dua sepanduk dijumpai di persimpanga Berapit manakala selebihnya di Mengkuang dan Sungai Lembu.

Menurut beliau, pembangkang sengaja ingin mencetuskan pergaduhan sesama Pakatan Rakyat kerana bagi mereka jika wujud bibit perpecahan nescaya Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng akan jatuh ke tangan Umno dan BN kembali.

Oleh itu katanya, rakyat di Penanti diingatkan jangan sekali-kali menyokong parti perkauman yang sempit sebaliknya memberi peluang untuk Pakatan Rakyat meneruskan agenda pembangunan ekonomi negeri.

HarakahDaily

Minum Kopi Percuma Di Wisma DAP, Program Satu Hari Warna Hitam

Program satu hari warna hitam yang dilancarkan oleh penganjur Program Puasa Sunat dan Mogok Lapar akan memberikan minuman kopi percuma kepada orang ramai dari pagi sehingga ke petang hari ini.

Minuman itu hanya boleh didapati di Restoran Nasi Kandar Istana dilantai bawah Wisma DAP, Ipoh Perak yang telah dilancarkan malam tadi dalam satu program ceramah di bangunan itu.

Demikian pengumuman yang dinyatakan oleh Adun Titi Serong Drs Idham Khalil Lim di dalam blognya hari ini.

" Program ceramah di Wisma DAP sempena Program Puasa Sunat dan Mogok lapar mendapat sambutan luarbiasa penyokong Pakatan Rakyat pelbagai bangsa sehingga kehadiran tidak dapat ditampung oleh ruangan wisma yang agak kecil menyebabkan melimpah sehingga kebawah.

Dalam pada itu katanya Setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menyalahkan pihak keselamatan yang tidak membenarkan program tersebut di tempat terbuka namun hanya dapat dilaksanakan dengan aman ditempat yang sempit itu.

Barisan penceramah yang menyampaikan ucapannya pada malam tadi adalah beliau sendiri termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Khoo Ham, dan ADUN Teja, Chan Lih Kang sementara Bekas Penolong Setiausaha Dewan Negara Salleh Bakar menyampaikan bacaan sajak di program itu.

Pada kesempatan yang sama Kit Siang telah menyampaikan jambangan bunga kepada dua wira Perak yang telah ditahan reman tiga hari di Selangor kerana menghadiri upacara memasang lilin minggu lepas.

HarakahDaily

MASIH ADA TANGAN-TANGAN YANG MEMARAKKAN API PERKAUMAN SETIAP KALI PILIHANRAYA

ANGKARA SIAPA DI BELAKANG TABIR?

Dua Pemidang ini dijumpai oleh Kontijen AMK Pahang yang meronda di sekitar JDM Mengkuang. Pemidang pertama ditemui di Simpang Institut Tengku Bainun dan yang kedua ditemui di Simpang Tiga Mengkuang.

Ketua Kontijen AMK Pahang yang diketuai Sdr Kamarul Hatta, Timbalan Ketua AMK Pahang, Sdr Arman Rashid, Ketua Penerangan AMK Pahang dan Sdr Saiful Adli Sahidan, AMK Bentong meronda seluruh kawasan JDM Mengkuang menemui Pemidang-Pemidang tersebut dan mereka telah berhubung dengan saya untuk tindakan setersnya. Saya pinta mereka tanggalkan poster itu dan laporkan kepada Markas Pusat di Yayasan Aman.

Sdr. Nor Azman Hashim, Pengarah Strategik PKR Johor yang bertugas di Markas JDM 4, Mengkuang Semarak menyatakan bahawa UMNO berada di Penanti walaupun mereka tidak bertanding, dan gerakan mereka diterjemahkan melalui poster-poster dan gerak kerja secara tidak langsung. Berhubung Pemidang 1, jelas menunjukkan permainan api perkauman yang sangat bersifat prejudis kepada kaum Cina. Pihak yang berkenaan jika didakwa mesti diambil tindakan keras di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan rasa tidak selesa diantara kaum di Pulau Pinang khususnya di Penanti.

Sdr. Hatta, Ketua Kontijen AMK Pahang berpandangan bahawa beliau tidak menjangka perkara-perkara begini boleh berlaku di Penanti dan menganggap perkara begini terakhir berlakunya di PRK Bukit Gantang.

Puan Dasimah Zainuddin, Ketua Wanita Bentong merangkap Pengarah Pilihanraya Wanita PKR Pahang yang bertugas di Markas Mengkuang Semarak amat sedih dengan sikap pihak lawan yang begitu jijik dan berkata perkara ini sebagai tragedi sedih kerana ada puak-puak didalam pilihanraya ini menghina kaum wanita.

Puan Hendon Jaafar, Bendahari PKR Bahagian Kuala Krau menyatakan perbuatan ini mencerminkan bahawa puak-puak yang menentang PKR ini sebagai sangat terdesak. Beliau tidak yakin bahawa perkara ini dilakukan semata-mata oleh calon-calon Bebas dan yakin ada tangan-tangan lain yang berdiri dibelakang tabir.

Sdr Arman Rashid, Ketua Penerangan AMK Pahang menganggap poster-poster itu adalah perkara yang jijik dan biadap dan menunjukkan bahawa mereka kini sudah ketandusan idea untuk memenangi hati rakyat supaya terus menyokong mereka sedangkan rakyat kini telah lebih terbuka khusus didalam isu perhubungan kaum. Yang peliknya Perdana Menteri Malaysia melaungkan 1Malaysia yang ingin menggambarkan semua kaum adalah satu bangsa Malaysia tetapi laungan dan slogan serta bicara tidak selari dengan tindakan. Kita yakin kalau UMNO masih begini, UMNO membawa mereka kearah kehancuran dan rakyat akan menghukum mereka didalam Pilihanraya Umum akan datang.

Puan Zaleha Babjan selaku Ketua Bilik Gerakan JDM 4 Mengkuang Semarak menyatakan bahawa Pemidang ini merendahkan martabat wanita dan beliau menyeru semua wanita di DUN Penanti mengundi calon PKR, Dr Mansor Othman. Selepas pentadbiran PR di Pulau Pinang, masalah perkauman tidak timbul lagi kerana Kerajaan Negeri memberikan khidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum. Saya mencabar sesiapa yang mengeluarkan poster ini sila tampil kedepan.

Sdr Zabidi Abas, Ketua AMK Negeri Johor yang bertugas di JDM 4 berkata: Pada pandangan saya Pemidang tersebut berniat jahat dan merupakan fitnah terbesar terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim, isu ini sudah lapuk dan tidak dapat mempengaruhi pengundi di DUN Penanti. Mengenai Pemidang perkauman itu jelas menunjukkan bahawa ianya ditaja oleh tangan yang lain yang menaja calon Bebas.

Puan Fairouze Harun, Exco Wanita Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Exco Wanita PKR Pusat yang menjadi Penyelaras JDM 4, Mengkuang Semarak menyatakan bahawa Pemidang ini sangat tidak bersopan. Manakala Puan Zainab (Kak Zah) Timbalan Ketua Wanita PKR Bentong: ” Ayat ini dari manusa yang rendah moral “.

Puan Siti Sabariah binti Haji Arshad berkata: Orang yang buat Pemidang bukan sahaja tidak bermoral tetapi singkat pemikirannya. Ingat - Memfitnah itu adalah lebih dahsyat dari membunuh.

Sdr Saiful Adli, AMK Bentong: “Ini adalah sikap kurang ajar mereka itu.”

Sdr Adnan Abu, Ahli AMK Johor: “Tindakan manusia kurang berakal”

Dimana-mana Pilihanraya Kecil yang sebelum ini diadakan berbagai-bagai Pemidang busuk dan jijik seumpama ini telah direntang oleh pihak-pihak tertentu untuk menentang calon-calon PR. Ia berlaku di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Pihak-pihak itu adalah pengecut dan tidak berani bersemuka. Dan di Penanti ini, walaupun mereka tidak bertanding, mereka berkempen secara aktif di belakang tabir, dan yang peliknya semua Pemidang-Pemidang ini diletak berhampiran dengan poster-poster seorang daripada calon Bebas itu. Adakah calon Bebas itu ditaja oleh mereka?

PerakExpress

Kak Min Ronggeng Penglipur Lara

Azmin gelar calon bebas ' Minah Ronggeng '

Calon bebas, Aminah Abdullah yang mendakwa ditawarkan sogokan oleh PKR supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti, mendapat gelaran 'Minah Ronggeng' daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Berucap dalam ceramah di Penanti malam tadi, Azmin berkata, tuduhan Aminah itu tidak berasas sama sekali dan mahu beliau (Aminah) 'mencerminkan' dirinya terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan liar terhadap bekas rakan-rakannya.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak mempermain-mainkan Aminah dan berulangkali memanggilnya ‘Minah Ronggeng', kerana mendakwa PKR menawarkan jawatan timbalan ketua menteri (TKM) jika beliau (Aminah) memenangi pilihanraya kecil itu.

"Mengapa PKR mahu menawarkan kepada seorang seperti Minah Ronggeng jawatan TKM? Mengapa kita hendak tawarkan kepadanya sedangkan kita ada seorang bekas profesor sebagai calon kita?" soalnya.

Oleh itu, katanya, 'Minah Ronggeng' tersebut perlu mencerminkan mukanya terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan tidak masuk akal seperti itu.

Kira-kira 1,000 orang penduduk di Kubang Ulu menghadiri ceramah tersebut.

Pilihanraya kecil Penanti Ahad depan menyaksikan pertandingan antara calon PKR yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dari PKR dan tiga calon bebas - Aminah, Nai Khan Ari Nai Keow Kamarul Ramizu Idris.

Sebelum ini, Aminah mendakwa dua pemimpin PKR - anggota Majlis Tertinggi, Cheah Kah Peng dan timbalan ketua PKR bahagian Batu Kawan, Peter Lim - cuba menyogoknya RM80,000 dan menawarkan jawatan yang dipertua sebuah majlis perbandaran, jika beliau (Aminah) menarik diri daripada bertanding.

Beliau juga mendakwa, kedua-dua pemimpin PKR itu menawarkan jawatan TKM jika beliau (Aminah) tetap bertanding dan memenangi pilihanraya kecil tersebut.

Aminah juga telah memberi bukti dalam bentuk foto dan rakaman audio kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menyokongnya laporannya.

malaysiakini

Raja Petra Bikin Najib, Rosmah Tak Senang Duduk

SEBENTAR tadi penulis bersama beberapa orang rakan menunaikan solat zohor di Masjid Pakistan dekat Chow Kit. Seusai solat, kami menuju ke warung Pakistan dalam kawasan masjid untuk menikmati capati, gulai kambing dan teh kapala.

Sedang enak menikmati juadah, seorang rakan memecah bicara,"Eh kau orang tengok tu, apa pasal Raja Petra ada kat sini, bukan ke dia kat Brisbane (Australia)?

"Hairan aku, kenapa dia sorang-sorang, tak nampak Kak Marina pun (Marina Lee Abdullah, isteri Raja Petra)," sambungnya lagi.

Kami masing-masing terdiam dan terpaku seketika, terus berhenti mengunyah makanan. Masing-masing menoleh kepada sosok yang dimaksudkan oleh rakan tadi.

Seorang lelaki mirip Raja Petra, bercermin mata, berbaju putih pagoda dengan seluar jeans biru. Mundar mandir di kawasan masjid, seolah-olah sedang menunggu seseorang ataupun mencari sesuatu.

Melihat sekali imbas, wajahnya hampir serupa dengan Raja Petra, tetapi lelaki itu berjambang dan agak tinggi sedikit berbanding Raja Petra.

"Eh..bukan Raja Petra lah..aku selalu jumpa dia, mana dia ada jambang," kata seorang rakan.

"Mana tau kalau-kalau dia nak elak polis, dia pakai jambang. Tapi setahu aku tak pernah pulak aku tengok Raja Petra pegang tasbih sambil berjalan-jalan dalam kawasan masjid macam tu," kata rakan lain.

"Kan polis Malaysia terbaik di dunia (the best in the world seperti kata blogger penarik beca), tak kan tak tahu Raja Petra ada kat mana," kata rakan saya.

Lelaki tersebut agaknya sedar tingkah lakunya diperkatakan, lalu berhenti seketika memandang kami. Kami buat-buat tidak memandang beliau, kami terus mengalihkan perbualan ke topik lain, sambil menikmati capati berlauk kambing.

Tiba-tiba seorang pekerja di warung tersebut menyapa lelaki berkenaan, bercakaplah mereka dalam bahasa Urdu (Pakistan) yang tidak kami fahami, kecuali sepatah dua 'acca', 'nehi' seperti dalam filem Hindustan.

"Bukan Raja Petra lah, bila pulak Raja Petra cakap Urdu," kata seorang rakan sambil ketawa.

Kami berempat turut ketawa besar. Ketawa kerana sensitiviti seorang rakan yang begitu mengikuti perkembangan Raja Petra yang sedang dicari polis sekarang ini.

Seperti laporan media, penulis blog terkenal Raja Petra Kamaruddin dilaporkan berada di Brisbane, Australia, menerima satu lagi waran tangkap setelah tidak hadir perbicaraan kes fitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur juga mengeluarkan arahan tunjuk sebab kepada isteri beliau Marina Lee Abdullah yang bertindak sebagai penjamin pengendali Malaysia Today.

Marina dilaporkan bersama suaminya ke luar negara, satu tindakan yang dipercayai untuk melarikan diri daripada perbicaraan yang disifatkan oleh penulis itu sebagai tidak adil.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan tarikh baru, 2 Julai untuk sebutan kes tersebut yang sepatutnya didengar minggu ini.

Pada 23 April, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra kerana gagal menghadiri perbicaraan kes menghasut.

Bagi penulis, persoalannya di sini, sebenarnya yang dibicarakan bukan soal Raja Petra. Persoalan yang besar ialah kebenaran atau kewujudan hubungan, yang mengaitkan Rosmah dan PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibu serta Abdul Razak Baginda seperti didakwa Raja Petra.

Apa pun dakwaan yang bakal dihadapi Raja Petra, beliau berjaya membuat Najib serta Rosmah terkial-kial untuk menepis hubungan dengan Altantuya dan Razak

Penulis tidak berhasrat membicarakan soal kaitan keduanya dengan kes, kerana ia sudah berada dalam kuasa perundangan. Tak pasal-pasal nanti dituduh menghina mahkamah pula.

Persoalan di mana Raja Petra berada, juga bukan persoalan yang harus dibincangkan di sini.

Persoalan yang bermain di fikiran rakan-rakan dan rakyat, ialah bagaimana Raja Petra mampu menggegarkan negara, sehingga mampu membuatkan orang yang paling berkuasa tidak senang duduk.

Suatu ketika Raja Petra diundang untuk berbicara dengan karyawan Harakah, diajukan persoalan kepada beliau, bagaimana tentang penapisan atau lontaran sesuatu isu yang kontroversial oleh laman web malaysiatoday.

Raja Petra memberikan respon yang mudah. Katanya beliau ibarat seorang perajurit yang menggunakan machine gun M16 bukan senapang patah.

"Saya menembak mereka (musuh) dengan berpuluh-puluh peluru. Saya tidak berasa bimbang tembakan saya tidak mengena sasaran, kerana saya tahu, satu dua peluru akan pasti menembusi musuh sehingga mereka cedera atau tewas," katanya sambil menghurai analogi.

Raja Petra seorang yang berani berhadapan dengan risiko. Beliau merupakan seorang penulis dan pejuang yang gigih.

Sama ada beliau ditangkap atau didakwa bukan kehendak kita menentukannya. Bersalah atau tidak Raja Petra menurut undang-undang Malaysia juga barangkali persoalan yang bakal menjadi pertikaian.

Hakikat yang terjadi daripada kes sebegini membuktikan bahawa, Raja Petra berjaya mengugat kepimpinan Umno-Barisan Nasional dengan dakwaan-dakwaan beliau yang konsisten dalam laman webnya.

Semoga Raja Petra terus kuat dan dilindungi Yang Maha Kuasa.

HarakahDaily

"UMNO BACUL TAK BERANI MASUK BERDEPAN DENGAN RAKYAT DALAM PILIHANRAYA", NAIB PRESIDEN PKR AZMIN ALI

AZMIN CABAR NAJIB BUBAR DUN PERAK

Naib Presiden Keadilan Azmin Ali mencabar Perdana Menteri Najib Razak untuk menyokong supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan jika beliau ikhlas mengutamakan rakyat sebagaimana slogan 1 Malaysia yang dicanang olehnya.




klip video ehsan : greenboc

Krisis Perak boleh di selesai dalam sehari - V Sivakumar

Krisis perlembagan yang berlaku di Perak yang telah memasuki empat bulan boleh di selesaikan dalam masa satu hari sekiranya BN bebar-benar mahu menyelesaikannya secara ikhlas dan terbuka.

“Kalau BN benar-benar mahu selesaikan kemelut perlembagaan yang telah menjadi haru biru itu di Perak amat mudah hanya membubarkan Dun dan akhir sekali adakan pilihanraya kecil hanya dalam satu hari maka semua krisis itu dengan sendirinya dapat diatasi.

“Tidak ada jalan lagi selain memberikan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam masa sehari sahaja, betul atau tidak …..,”kata Speaker Dun Perak V Sivakumar yang kemudiannya disambut oleh lebih seribu hadirin yang memberikan jawapan ..”Betul” terhadap persoalan yang dikemukakann beliau.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata sidang Dun 7 Mei lalu sememangnya dirancang dengan penuh teliti bertujuan untuk menjadikan sidang dun menjadi kelam kabut yang akhirnya bagi membolehkan Timbalan Speaker mempengerusikan Dun.

“Timbalan Speaker tidak boleh atau dibenarkan untuk menggantikan speaker selagi saya (Speaker) masih ada didalam dewan. Beliau hanya boleh mengantikan speaker apabila speaker tiada atau setelah mendapat kebenaran dari speaker.

“Jadi sidang dun pada 7 Mei Itu tidak sah dan speaker yang baru dilantik juga tidak sah dan saya telahpun mencabarnya di mahkamah,” jelas Sivakumar lagi ketika menyempaikan ceramah sempena kempen pilihanraya kecil Penanti Di Kubang Ulu malam tadi.

Menurut beliau lagi BN tidak mahu dan akan menggunakan pelbagai alasan untuk tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil di Perak kerana takut dengan penolakan rakyat pelbagai kaum yang menolak parti mereka.

“BN sekarang hanya bergantung pada mahkamah, polis dan istana untuk mendapat kuasa. Mahkamah telah mereka kuasai, polis pula terpaksa menjalankan tugas-tugas politik bukannya untuk menolong rakyat dan istana pula dijadikan alasan oleh BN untuk meletakkan kesalahan oleh mereka berhubung isu Perak.

‘Sebab itu di Penanti, kita mahu seluruh rakyat memberi sokongan padu bagi memastikan bukan sahaja menang tetapi dengan majoroti yang lebih tinggi supaya ini akan memberi masej kepada BN bahawa rakyat sudah tidak lagi bersama mereka,” kata beliau yang diberi tepukan gemuruh oleh hadirin.

Suara KeAdilan

"UMNO tak ada rasa dah, halal haram, tak ada rasa dah", Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

UMNO Dan Barisan Nasional ‘Peragut Keadilan’,Lumpuh Dan Sakit Tenat’

Fahaman UMNO yang berkata ugama suku dan politik suku adalah satu kecelakaan kepada pemikiran Islam seluruh dunia.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dengan mengatakan demikian UMNO telah mengajar ‘ilmu sesat’ kepada manusia sebagaimana ajaran sesat ‘Ayah Pin’.

Beliau berkata, titik persamaan perjuangan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Katanya, samada UMNO berlawan atau tidak dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kerja melaksanakan keadilan sebagaimana kehendak Allah mesti ditunaikan.

“Samada UMNO lawan atau tak lawan, kewajipan kita, kerja kita ialah mejalankan (keadilan sebagaimana) kehendak Allah Ta’ala, dengan PKR pun tak bercanggah, dengan DAP pun tak bercanggah,

“parti mana, manusia mana (yang) hendak kepada kezaliman lawan keadilan,”ujarnya dalam ceramah pilihanraya kecil DUN Penanti, disini semalam.

Katanya, dalam krisis politik yang berlaku di negeri Perak, UMNO telah melakukan kezaliman dengan meragut kemenangan rakyat.

“Dengan apa yang berlaku di Perak, adil ke?,

“kita buat (masuk) pilihanraya, menang Pakatan Rakyat, mari hamba Allah UMNO ragut kemenangan yang diberi oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat,”katanya dengan memberi misalan masalah yang dilakukan oleh UMNO umpama jeyah ragut yang menjadi-jadi kini.

Selain tidak melakukan keadilan, katanya, UMNO turut melakukan kezaliman dengan mengamalkan rasuah.

Katanya, di negeri Kelantan pada penggal lalu, UMNO cuba menjatuhkan kerajaan Kelamtan dengan menawarkan rasuah kepada beberapa ADUN Kelantan.

Wabak rasuah terlalu parah dalam UMNO sehingga, katanya, UMNO pernah cuba merasuah seorang ADUN Kelantan dengan menawarkan rasuah seanyak RM5 juta dalam masjid.

Oleh itu katanya, UMNO kini sudah benar-benar sakit, hilang ‘deria rasa’ dan tidak dapat membezakan diantara yang halal dan haram

“Boleh dalam masjid, kerana tak ada mukanya UMNO, boleh nak beri rasuah dalam masjid, artinya UMNO ni sudah tidak ada (deria) rasa dah,

“kalau kita orang sihat, kulit kita kita (boleh) ras, kalau nyamuk hinggap kita terasa, lalat hinggap kita terasa, UMNO tak ada rasa dah, UMNO tak ada rasa dah, halal haram, tak ada rasa dah,
“dia sakit betul dah, lumpuh dah,”jelasnya.

BuletinOnline

Pemuda PAS Perak Dakwa Harussani Boneka Umno, Desak Letak Jawatan

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendesak Mufti Perak, Harussani Zakaria supaya meletakkan jawatan berikutan kenyataan beliau dalam sebuah majalah yang disifatkan sebagai berbaur perkauman dan tidak sensitif terhadap perasaan golongan bukan Islam di negara ini.

Mufti yang dilihat sebagai pro-Umno itu dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam satu temubual yang disiarkan dalam majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Mei 2009 THN 7 Keluaran 82.

Dalam temubual tersebut, Harussani didakwa cuba membangkitkan api perkauman di antara kaum di Perak dan Malaysia amnya.

Dalam temuramah itu beliau berkata,"Kalau kita mengasihi orang kafir itu haram. Kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi kita tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir. Kenapa kita lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang Islam? Orang Islam kita sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula."

"Macam kes Elizabeth Wong memang dia jelas buat maksiat. Kenapa Ketua Muslimat PAS peluk sampai menangis, dan macam mana Nik Aziz (MB Kelantan) boleh menyokong isu ini. Sedangkan kita tahu mereka tidak akan sokong Islam. Tengok saja Ketua DAP kata: "langkah mayat saya dulu," ketika beliau ditanya apakah penyelesaian terbaik antara Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan "Menteri Besar Mahkamah", Dr Zambry Abd Kadir.

"Rata-rata kenyataannya bersifat "racist" dan tidak memikirkan perasaan rakan-rakan bukan Islam. DPPN Pk ingin menegaskan bahawa Perlembagaan Malaysia jelas menerangkan Islam adalah agama rasmi dan agama lain bebas untuk diamalkan. Begitu juga hak kaum-kaum lain untuk hidup saksama dinegara tercinta ini," kata Setiausaha DPPN Pk, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataan media beliau yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu juga menyatakan DPPN Pk kesal dengan tindak-tanduk Mufti Perak yang kelihatan selesa menjadi boneka dan talian hayat UMNO Perak kerana sering mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Sifat kepura-puraan Dato’ Seri Mufti Perak sangat dangkal dan menyedihkan rakyat dan umat Islam Perak dan Malaysia amnya.

"Dengan itu DPPN Pk mencabar Dato’ Seri Mufti Perak untuk meletakkan jawatannya dan secara ‘gentleman ilmu’ bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya di Perak mewakili Umno-BN jika benar-benar mahu melihat Islam tertunggak di Perak. Hentikan kenyataan-kenyataan berlapik yang membela Umno-BN," tegas Dr Raja Ahmad lagi.

TVAntara

UMNO Tetap Berkempen Walau Tidak Bertanding di Penanti - Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata apabila selesai sahaja pilihanraya kecil DUN Penanti, orang Penanti dan Permatang Pauh akan berduyun-duyun turun untuk pilihanraya kecil Manik Urai, Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam ceramah pilihanraya di Guar Jering, Gura Perahu dekat sini, semalam.

Beliau menasihatkan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam PRK Manik Urai.

Ia adalah kerana, menurutnya, ekonomi Malaysia sudah disahkan mengalami kemelesetan dengan pembangunan negatif, tolak satu.

“Hari ini ada berita, ekonomi Malaysia sudah mengalami kemelesetan selepas puluhan tahun, maknanya tidak ada pembangunan, pembangunan (ekonomi) tolak (negatif),

“bukan pembangunan tambah, dia jadi turun, bila turun tolak 1 ( - 1), maka dia jadi zaman meleset,”jelasnya.

Katanya walaupun UMNO/BN pada zahirnya tidak bertanding, namun sebenarnya parti itu bertanding kerana media pro-UMNO berkempen untuk calon bebas.

UMNO juga katanya, menjalankan kempen supaya orang ramai tidak keluar mengundi pada 31hb supaya peratus keluar mengundi akan turun meleset.

“Walaupun UMNO tidak bertanding, kempen dalam media cukup kuat, ada kempen supaya jangan keluar mengundi, (dia kata) dah menang dah,

“dan kali ini walaupun UMNO tak bertanding, siap sedia bas, untuk pergi ke Padang Besar, saya cadangkan naik bas tersebut selepas mengundi pada 31 hb,”katanya.

Katanya dengan pendidikan, pengalaman, tokoh dan akhlak calon PKR, akan dapat membantu dan meningkatkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Justeru beliau menyeru supaya seluruh rakyat Penanti menunjukkan kekuatan untuk memilih calon Pakatan Rakyat Professor Madya Dr. Mansor Othman.

BuletinOnline

Kempen Puasa Sunat/Mogok Lapar Diperluas Seluruh Perak Mulai 1 Jun

Pakatan Rakyat Perak akan membawa kempen puasa sunat dan mogak lapar yang dilancarnya 26 Mei lalu ke tahap yang lebih tinggi dan dinamik apabila kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri akan mengambil bahagian dalam kempen tersebut secara berterusan mulai 1 Jun depan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Misbahul Misbah Masduki berkata kempen tersebut akan disebarluaskan kepada semua kawasan DUN Perak bagi mendesak pembubaran Dewan.

Ditanya sama ada kempen puasa sunat dan mogok lalapr yang dilancarkan oleh Nizar Jamaluddin semalam di Wisma DAP Ipoh mampu memberi tekanan kepada kerajaan negeri "Menteri Besar Mahkamah", Dr Zambry Abd Kadir, Misbahul menjawab tersebut bertujuan menyampaikan mesej kepada rakyat.

"Memang kepada kerajaan kudeta ini kempen ini mungkin tidak ada kesan kerana kerajaan ini sememangnya tidak peduli kepada rakyat. Yang penting dalam kempen ini ialah kejayaan kita membawa mesej perjuangan kepada rakyat. Itu yang lebih penting. Perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk rakyat," kata beliau yang baru sahaja memenangi jawatan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Pusat tanpa bertanding.

Misbahul berkata semua parti-parti politik dalam gagasan Pakatan Rakyat Perak telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan sudah bersedia untuk melancarkan pada peringkat DUN masing-masing.

"Program di setiap DUN akan bermula pada pukul 6 petang dan disusuli dengan berbuka puasa dan solat maghrib diikuti pula dengan ceramah. Ini akan menjadi teras kepada kempen kita untuk tempoh seterusnya," kata Misbahul lagi.

TvAntara