Monday, November 9, 2009

Pesuruhjaya PAS Selangor boleh dilucut jawatan jika didapati bersalah

"Tindakan yang boleh kita ambil ialah sama ada kita gantung keahlian, kita gugurkan keahlian ataupun kita akan gugurkan jawatannya... itu adalah mengikut peraturan dalam parti,"

“Dan saya nak tegaskan bukan Hassan Ali sahaja, ada beberapa orang lagi yang turut disiasat,"



Isnin November 9, 2009
dari mStar Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA : Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali bakal berhadapan dengan tindakan digugurkan daripada jawatannya itu jika beliau didapati bersalah melanggar perlembagaan parti.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada mStar Online.

"Tindakan yang boleh kita ambil ialah sama ada kita gantung keahlian, kita gugurkan keahlian ataupun kita akan gugurkan jawatannya... itu adalah mengikut peraturan dalam parti," katanya.

Beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Hassan dan beberapa pemimpin PAS negeri itu minggu lalu dan kini siasatan sudahpun dimulakan.

“Dan saya nak tegaskan bukan Hassan Ali sahaja, ada beberapa orang lagi yang turut disiasat," katanya tanpa mahu menyebut lain-lain nama pemimpin PAS Selangor yang turut disiasat.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa mereka yang disiasat itu akan dibicarakan seadil-adilnya mengikut saluran dan peraturan parti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya keatas beberapa pemimpin PAS Selangor.

Ditanya sama ada memang terdapat kes terhadap Hassan, Tuan Ibrahim berkata: "Pertuduhan ada, tapi hanya diperingkat ini ialah pertuduhan. Jadi kita beri masa kepada dia untuk buktikan bahawa apa yang dituduh itu tak betul...lepas tu kita akan teliti, kalau ada kes kita akan panggil dia."

Naib Presiden PAS itu enggan mengulas lanjut kepada soalan sama ada siasatan itu turut melibatkan pemimpin tertinggi lain di peringkat negeri Selangor.

"Saya ingat nanti sampai masa anda akan tahu juga bila tindakan akan kita buat," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, pihak yang disiasat itu perlu mengemukakan penjelasan secara bertulis termasuk mengemukakan dokumen-dokumen sokongan dalam masa 14 hari selepas menerima surat tunjuk sebab.

"Mereka akan kemukakan secara bertulis dalam bentuk dokumen,” ujar Tuan Ibrahim lagi.



Bai'ah talak : PAS Pusat sedang siasat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov : PAS sedang menyiasat amalan bai'ah yang dibuat oleh sesetengah pihak dalam parti itu kerana tidak pernah ada sebarang arahan rasmi dari PAS Pusat untuk berbuat demikian.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan itu," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengarahkan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS untuk menyiasat perkara itu.


Mustafa membuat kenyataan ini bagi mengulas laporan media sejak kebelakangan ini yang mendakwa PAS mewajibkan para calonnya untuk berbai'ah (ikrar) untuk taat setia kepada parti.

Antaranya dilaporkan, calon PAS berbai'ah jika beliau menyeleweng dan mengkhianati PAS, maka terjatuhlah talak ke atas isterinya.

Ia dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Laporan ini pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Menurut laporan, PAS menjadikan bai'ah sebegini untuk memastikan tidak ada calon atau wakil rakyatnya yang mengkhianati PAS dengan cara berpaling tadah dan menyokong parti lawan.

Sehingga kini, terbukti tidak ada satupun wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti itu dengan menyokong parti lawan.

AMK demo desak Badrul letak jawatan

dari Mkini Salhan K Ahmad
Nov 9, 09 11:23am


Kira-kira 30 penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Angkatan Muda PKR Selangor berdemonstrasi di hadapan bangunan SUK bagi mendesak ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletak jawatan.

Di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mula bersidang hari ini, Badrul Hisham kelihatan duduk di belakang ADUN Barisan Nasional (BN).

Kumpulan tersebut berhimpun kira-kira setengah jam sejak jam 9.45 pagi ini untuk menyerahkan memorandum dan surat kepada Badrul Hisham.

Bagaimanapun, kerana tidak dapat menemui Badrul Hisham yang sedang berada dalam Dewan, maka mereka menyerahkannya kepada seorang pembantu khas speaker DUN Heng Yong Seng.

Mereka yang berhimpun secara aman, melaungkan slogan antara lain "Badrul tak tahu malu," dan "Badrul letak jawatan," dan "Badrul sila keluar."


Ketua AMK PKR Selangor, Khairul Anwar berkata Badrul Hisham, yang didakwanya berpaling tadah kepada Umno bulan lalu, perlu meletak jawatan segera supaya pilihan raya baru dapat diadakan.

Katanya, Badrul perlu meletak jawatan kerana mendakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sejak dipilih dalam pilihan raya umum 2008.

Bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Khairul berkata ADUN Pelabuhan Klang itu juga telah beberapa kali tidak hadir sidang DUN.

Tambahnya, Badrul juga didapati tidak menghadiri mana-mana program anjuran PKR, manakala peruntukan untuk DUN tersebut juga didakwa "telah dihabiskan dengan cara meragukan."

Ditanya ketika sidang media ringkas selepas itu, Khairul berkata AMK Selangor akan terus mengadakan siri bantahan dan demonstrasi sekiranya Badrul tetap enggan meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Beliau yang kali terakhir bertemu Badrul kira-kira enam bulan lalu, berkata AMK "tidak akan berkompromi lagi" dengan Badrul.

Katanya, pergerakan tersebut bersama pemimpin-pemimpin tertinggi parti cuba "membantu" wakil rakyat tersebut selama ini, namun gagal.

Dalam surat yang dihantar kepada Badrul pula, Khairul berkata prestasi perkhidmatan wakil rakyat tersebut terus mengecewakan, walau telah diberi peluang memperbaiki keadaan.

"Sewajarnya di atas kegagalan saudara ini maka adalah perlu klerusi DUN Pelabuhan Klang dikosongkan segera untuk memberi laluan kepada wakil rakyat yang baru," katanya.

Sementara itu, Badrul Hisham dilhat beredar dari DUN pada kira-kira jam 12 tengahari.

ADUN Pelabuhan Klang itu juga enggan menjawab soalan pemberita, kecuali menjawab 'sebab keluar parti sudah cakap, tak payah ulas lagi'.


Jangan tertipu lakonan Umno BN

"Kerja buat Umno dan BN tetap macam dulu rakus dan ego dalam pentadbiran maka jangan anggap mereka sudah sedar.

"Ia cuma lakonan untuk menarik hati pengundi bila menang nanti rakyat diketapikan seperti dulu, "


kenyataan DSAI dipetik dari Hrkh


Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 9 Nov: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat agar tidak tertipu perwatakan baik yang cuba dilakonkan kerajaan Umno BN.

Berucap ketika memberi ucaptama di Konvensyen PKR Negeri Pulau Pinang di Dewan Tunku, Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) semalam, Anwar menasihatkan rakyat untuk melihat secara menyeluruh apakah benar Umno sedang berubah sedangkan tindakan mereka tidak menunjukkan kebenaran itu.

"Apakah usaha memberi wang ehsan kepada Kerajaan Kelantan membuktikan BN telah berubah untuk menjadi kerajaan yang berhemah dan kembali kepada ketuanan rakyat.

Tidak sama sekali kerana sepatutnya bukan wang ehsan tetapi royalti sebagaimana yang dituntut oleh kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, " ujarnya.

Ujarnya lagi, apakah sudah sudah cukup kerajaan melepaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukan Najib telah sedar kesilapan lampau.

Jesteru itu, rakyat harus peka kezaliman BN yang terus menaikan harga barangan, menangkap peserta himpunan aman, menuduh dan merancang kompirasi menjatuhkan seseorang, menggalakan perasuah, penipuan, penyelewengan, sistem kehakiman masih gagal dipulihkan serta demokrasi menjadi kuku besi merampas kerajaan yang ditentukan oleh rakyat.

Bagi PKR proganda yang ditaburkan oleh BN itu semuanya bermatlamat menyelamatkan pengaruh mereka yang semakin karam biarpun media pro kerajaan mengambarkan Umno dan BN kembali dilandasan perjuangan sebenar.

"Kerja buat Umno dan BN tetap macam dulu rakus dan ego dalam pentadbiran maka jangan anggap mereka sudah sedar.

"Ia cuma lakonan untuk menarik hati pengundi bila menang nanti rakyat diketapikan seperti dulu, " terang beliau diiringan tepukan gemuruh hadirin.

Kini, kerajaan BN terus merangka strategi melaga-lagakan kepimpinan dalaman parti serta Pakatan Rakyat supaya rakyat memandang sinis kepimpinan kerajaan alternatif yang dapat melakukan lebih baik termasuk belanjawan yang lebih efesyen berbanding BN yang tidak memijak dibumi nyata.

Biar pun PKR tercemar dengan adegan 'katak' di negeri Selangor dan Perak namun ia sebagai pengajaran untuk melakukan pemilihan calon pada pilihanraya akan datang.

Golongan tersebut sebenarnya tiada perjuangan sebaliknya mementingkan diri tanpa menyedari kemenangan mereka terhasil daripada rakyat yang menolak BN.

"Memandangkan BN dalam keadaan kelam kabut membuatkan mereka cuba merangka strateji memusnahkan Pakatan Rakyat dengan menciptakan berbagai isu atau melagakan kepimpinan parti sendiri supaya wujud percakaran yang boleh mencetuskan pergolakan, " ujar Ketua Pembangkang itu lagi.

Bagi menjayakan hasrat parti dan Pakatan Rakyat sambung Dato' Seri Anwar, displin dan kecekalan dalam mengharungi perjuangan amat penting kerana tanpa semangat yang tinggi seseorang itu mudah jatuh dan tenggelam di lautan luas walhal kapal yang dinaiki selamat dan tidak bocor seperti bahtera Umno dan BN.

Menyentuh mengenai kononya Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak mengutamakan orang melayu beliau mengatakan, isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana Umno lebih dahulu berkuasa di sini apa yang parti itu buat untuk orang-orang melayu melainkan perjuangan peribadi memperkayakan kepimpinan.

"Rakyat miskin terus menderita, papa dan kedana semasa diperintah oleh BN tetapi ia tidak difokuskan sebaliknya bila Pakatan Rakyat menang di Pulau Pinang hasil penolakan rakyat semua isu itu kembali menghiasi dada akhbar melayu.

Cadangan-cadangan untuk memperkuatkan ekonomi melayu diabaikan dan dipandang sinis bila dikemukakan, " katanya.

Kovensyen yang bertemakan 'Menggilap Harapan Raykat' itu turut melibatkan beberapa orang pemidato seperti pengarah Pemantapan Politik dan Keanggotaan merangkap Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Johari Abdul dengan tajuk 'Menuju Putrajaya', Pengarah Strategi PKR Pusat, Tian Chua ' Analisa Isu Politik Semasa' dan Setiausaha PKR Pusat, Dato' Salehudin Hashim dengan tajuk ' Keberkesanan Organisasi Parti'.

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Nov : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.


"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.


Ucap Tama Presiden - Seminar Memperkasakan PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menyampaikan ucapannya dalam Seminar Memperkasakan Parti yang diadakan di Dewan Dato' Fadzil Noor, di Taman Melewar.







ehsan : tvpas09

PAS lebih kuat dan akan perkuatkan Pakatan Rakyat

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov : Selepas seminar berakhir, PAS yakin parti itu akan semakin kuat dan bertekad akan lebih proaktif dalam memperkukuhkan parti dan juga Pakatan Rakyat

PAS memandang serius dan akan mengambil tindakan segera di peringkat dalaman parti terhadap lima resolusi yang dicapai dalam seminar pemerkasaan parti yang diadakan siang tadi.

Seminar politik memperkasakan PAS yang dihadiri oleh peserta daripada seluruh negara siang tadi meluluskan lima rosolusi hasil perbahasan daripada perwakilan dari setiap negeri, sayap-sayap parti serta kelab penyokong PAS.




Resolusi pertama adalah, PAS secara lebih proaktif akan memperkukuh Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

PAS melalui Dewan Pemuda dan Nisa' juga akan berusaha menarik kembali sokongan pengundi muda yang dilihat sedikit terjejas disebabkan beberapa faktor agar memberi undi mereka kepada PAS.

Selain itu, PAS juga mahu bertindak lebih agresif untuk mengaktifkan kelab penyokong PAS di setiap kawasan terutama di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Islam yang ramai.

Rosolusi keempat pula, PAS bersetuju untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi selain menguatkan parti di peringkat akar umbi.

Manakala resolusi kelima adalah menyediakan satu pelan tindakan untuk menguatkan parti antaranya memperkasakan kempen nasional iaitu PAS For All.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan seminar sehari itu sebagai berjaya apabila seluruh perwakilan menggunakan kesempatan yang ada untuk melontarkan pandangan dan kritikan untuk meningkatkan prestasi parti.

Bercakap dalam sidang media selepas selesai seminar berkenaan, Abdul Hadi turut berkata, seminar yang diadakan itu membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang terbuka dan demokratik apabila membenarkan segala kritikan dilontarkan.

"Alhamdulillah kita telah berjaya mengadakan satu seminar menghimpunkan jentera parti yang datang dari seluruh negara kerana keterbukaan PAS secara demokratik.

"Bukan sahaja membenarkan dalaman parti untuk mengkritik secara membina bahkan kita menerima teguran dari tokoh luar yang bukan dari kalangan kita.

"Hari ini kita telah menunjukkan jiwa yang sangat besar apabila perwakilan dari seluruh negara telah berjaya melakukan perbincangan secara terkawal,"katanya kepada lebih 50 wakil media yang hadir.

Hadi turut mengulangi pendiriannya untuk memperkukuh kedudukan parti bersama Pakatan Rakyat bagi menghadapi segala cabaran yang akan datang.

"Kita (PAS) konsisten dan teguh dengan pakatan rakyat dan kita anggap ini adalah bahtera baru yang kita bina dan perlu diperkukuhkan lagi bagi membuat perubahan dalam sistem demokrasi negara kita," tegasnya.

Abdul Hadi juga menekankan, tiada sebab untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gembur pihak tertentu.

"Tidak ada sebab untuk kita tinggalkan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Menyentuh mengenai kritikan yang dibuat oleh tokoh akademik terhadap kepimpinan beliau, beliau berkata kritikan tersebut merupakan perkara biasa dan diterimanya baik.

"Kita dengar kritikan tu secara biasa. Kita matang dengan kritikan. Kritikan ini ada yang benar, ada yang tak benar.Yang benar kita ambil, yang tak benar kita jawab," ujarnya.

Seminar yang dihadiri lebih 1,000 peserta dari seluruh negara itu mengundang dua tokoh akademik sebagai ahli panel iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah serta Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti.

Harakahdaily

Ramal PRU-13 2010, PAS rangka pelan kemenangan

PETALING JAYA, Nov 8 — PAS sudah turun padang untuk memulakan segera usaha merangka pelan tindakan kemenangan dengan meramalkan kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan diadakan tahun depan.

Malah, PAS juga mahu menyediakan pelan tindakan kemenangan itu untuk dibentangkan bersama pada konvensyen khas Pakatan Rakyat dijadual bulan depan, kata ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Selaras dengan resolusi semalam, kami akan menyediakan pelan tindakan kemenangan. Secara mental kami juga hendak membuat persiapan menjelang konvensyen Pakatan Rakyat.

“Usaha ini juga akan diberi penekanan oleh Pakatan Rakyat dengan menyediakan pelan tindakan lebih besar tetapi PAS juga mahu membuat rangka persediaan ke arah itu,” kata bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS ini ketika mengulas hasil seminar politik parti itu semalam.


PAS juga dijangka akan mengadakan “retreat” jawatankuasa pusat awal tahun depan bagi membincangkan resolusi seminar politik semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu, pelan tindakan itu akan memfokus dua sasaran iaitu mengekalkan penyokong tegar dari kalangan pengundi beragama Islam dan menarik sokongan bukan Islam dengan memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS.

Seminar politik semalam meluluskan lima resolusi iaitu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan mempertingkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, meningkatkan sokongan bukan Islam dengan menubuhkan sayap Kelab Penyokong PAS dan memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti peringkat akar umbi di seluruh negara.

Dua resolusi lain ialah menarik sokongan golongan muda terhadap PAS dan menyediakan pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional bertemakan PAS Untuk Semua.

PAS mengadakan seminar politik bagi mengantikan Muktamar Agung Khas (EGM) yang disyorkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam usaha mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Salah satu hasil kajian pemerhati politik yang dibentangkan semalam menunjukkan sokongan golongan muda terhadap PAS kini semakin merosot.

Laporan itu memetik kajian pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang mendapati 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran PAS sangat baik ketika pilihan raya umum ke-12, kini berubah pantas.

Kajian itu juga menyebut perubahan ketara berlaku di kalangan golongan yang berusia 21 hingga 30 tahun dan golongan pertengahan antara 31 dan 40 tahun.

Ketika ditanya apakah PAS meramalkan kemungkinan PRU Ke-13 akan diadakan tahun depan, DZulkefly tidak menolak kemungkinan itu.

“Ya... jika gagasan 1 Malaysia yang digerakkan oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) berjalan dengan baik. Malah, Najib juga mengatakan bahawa sokongan orang-orang India sudah mula kembali (kepada Barisan Nasional). Begitu juga sokongan orang Cina dan orang Melayu.

“Cuma satu perkara yang menghalang ialah soal ekonomi,” kata beliau sambil menambah, Najib selaku Pengerusi BN akan memerlukan mandat sendiri untuk menerajui kerajaan.

Mandat semasa akan berakhir April 2013.

Najib yang baru sahaja membentangkan cadangan Belanjawan 2010 akan mengemukakan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) tahun depan.

Dalam pada itu, Nik Aziz yang dipetik Bernama berkata, cadangan beliau untuk mengadakan EGM adalah bagi menyampaikan mesej bahawa sokongan terhadap parti itu kini semakin berkurangan.

Beliau berkata, walaupun diganti dengan seminar tetapi matlamat asal untuk menyampaikan mesej itu kepada anggota parti sudah tercapai dan kini terserah kepada mereka untuk menentukannya.

“Itulah sebabnya, saya nak gerakkan supaya diadakan EGM atau seminar kerana kedua-dua itu telah cukup untuk disampaikan kepada anggota.

“Bagi saya EGM tak apa, seminar tak apa, (yang penting) mesej saya telah sampai, terpulang kepada ahli-ahli untuk menggunakannya atau tidak,” kata beliau di Kota Bahru.

themalaysianinsider

Lebih 1,000 berseminar tentukan halatuju PAS


Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR, 7 Nov : Lebih 1,000 pemimpin PAS dari seluruh negara berhimpun di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini bagi menyertai seminar memperkasakan parti Islam itu.

Mereka akan mendengar Ucap Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bakal membicarakan halatuju PAS dan usaha parti itu untuk mempertingkatkan lagi komitmennya dengan Pakatan Rakyat.


Seminar ini diadakan ekoran tulisan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempertikaikan beberapa pendekatan pimpinan utama PAS sehingga mencadangkan agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula mereka.

Nik Aziz akan memberikan ucapan penutup di seminar yang bakal menentukan sikap para pemimpin PAS di semua peringkat itu.

Di tengah-tengah seminar, semua peserta akan mendengar pandangan secara langsung dari orang yang mencetuskan konflik ini iaitu Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau akan bersama dengan seorang lagi pengulas politik, Dr Abu Hassan Hasbullah yang dijangka akan juga memberikan pandangan-pandangan panas dari luar PAS.

Kedua-duanya akan disertai sama oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS yang sedang mendisiplinkan para pimpinan dan ahli PAS.

Apakah yang akan diucapkan Abdul Hadi dan apakah serangan baru Abdul Aziz Bari dan Abu Hassan Hasbulah bakal menjadi tumpuan hari ini.

Para pemerhati akan melihat apa pula reaksi para pemimpin PAS dari semua peringkat terhadap kenyataan-kenyataan mereka bertiga.

"Ini adalah satu lambang keterbukaan PAS dan PAS mahu ianya diselesaikan secara terbuka dan telus. Sebab itu kita bukakan semua peringkat seminar ini kepada pemerhati dan wartawan," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

"Saya yakin, PAS perlu menyelesaikan apapun masalahnya secara berorganisasi dan bukan menyapu segala masalah ke bawah permaidani," ulas Dr Mujahid Yusof, pemegang PhD yang kajiannya adalah tentang organisasi PAS.

Seminar ini adalah yang pertama dibuat oleh PAS untuk membincangkan secara berdepan selepas konflik yang berlaku sejak pilihan raya 2008 lalu tidak selesai dengan tuntas.

Ia sentiasa timbul walaupun cuba diselesaikan dengan cara tradisional iaitu melalui perbincangan secara tertutup dan melalui kenyataan akhbar.

Harakahdaily