Friday, December 11, 2009

Iltizam jejak Nazim dan Deepak

Hafiz Yatim & Salhan K Ahmad
Dis 11, 09 6:45pm


kemaskini 7.21pm Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong tidak pula berciciran - akhirnya adik perdana menteri yang dikaitkan dengan penarikan akuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasubramaniam, ditemui tanpa diduga hari ini setelah dua minggu berusaha menjejakinya.

Berkat iltizam untuk mengesahkan dakwaan serius bekas anggota polis Cawangan Khas itu, Malaysiakini terserempak Datuk Mohamed Nazim Razak di Masjid Negara selepas solat Jumaat tadi.

"Tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap," katanya sewaktu ditemui selepas melangkah dari pusara bapanya Tun Razak Hussein, di pinggir masjid itu, untuk beredar.

Balasubramaniam mendakwa beliau bertemu dengan Mohamed Nazim, bersama isterinya yang sedang sarat hamil, pada malam sebelum menafikan akuan pertamanya bahawa Datuk Seri Najib Razak, waktu itu timbalan perdana menteri, mempunyai hubungan intim dengan Altantuya Shaariibuu. Najib telah menafikannya.

Pertemuan itu didakwa berlaku di kompleks membeli-belah The Curve, Damansara - yang diatur oleh seorang ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishan - selepas Balasubramaniam mendedahkan akuan awalnya di ibu pejabat PKR, 3 Julai tahun lalu.

Dalam wawancara yang diterbitkan di internet, Mohamed Nazim didakwa mengugut Balasubramaniam tentang keselamatan anggota-anggota keluarganya.

Usaha menjejak Mohamed Nazim bermula sewaktu kehangatan isu tersebut diperkatakan di Internet, khususnya melalui soal jawab wawancara Balasubramaniam di Malaysia Today dan rakaman videonya di Youtube.

Berdasarkan maklumat umum melalui carian di Google, pejabat Mohamed Nazim berjaya dikesan di Bangunan AMDB, berhampiran sebuah hotel terkenal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Pejabat tersebut dikunjungi pada 26 November, selepas cubaan untuk menghubungi Mohamed Nazim melalui telefon di pejabatnya tidak berjaya beberapa hari sebelumnya.

Pada kira-kira jam 11 pagi, Malaysiakini singgah di pejabat urusan firma arkitek dan disambut oleh seorang setiausahanya, kelihatan hujung 20-an, yang berjaya dihubungi sebelumnya.

Setiausaha tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Jeannie, berkata anak keempat Razak itu bagaimanapun tidak berada di pejabatnya di tingkat 15 bangunan tersebut.

Gadis itu kemudian meminta soalan-soalan dikemukakan kepadanya untuk disampaikan kepada ketuanya.

Soalan-soalan tersebut dihantar melalui emel telefon bimbit dan wartawan kemudiannya menunggu di ruang menyambut tetamu firma arkitek tersebut hampir setengah jam sebelum ditemui oleh seorang pengurus pejabat.

Wanita tersebut menerangkan, Mohamed Nazim berada di luar negara setelah dijelaskan hasrat untuk menemuramah adik perdana menteri.

Permintaan untuk mendapatkan nombor telefon bimbit Mohamed Nazim juga tidak dipenuhi, kerana menurutnya, maklumat itu milik peribadi dan tidak harus diberikan tanpa kebenaran.

Cubaan beberapa kali untuk menetapkan temujanji dengan Mohamed Nazim melalui kakitangan pejabatnya sepanjang minggu lalu juga menemui jalan buntu, namun setiausahanya itu berkata Mohamed Nazim akan kembali ke tanah air minggu ini.

Selain Mohamed Nazim, Malaysiakini semalam turut menjejaki Deepak di pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin dan juga di kedai permaidaninya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di pejabat tersebut, seorang wanita menemui Malaysiakini di aras dua bangunan empat tingkat Carpet Raya Sdn Bhd dan meminta supaya menunggu sementara beliau mendapatkan setiausaha Deepak.

Seorang wanita muncul kira-kira lima minit kemudian dan menjelaskan Deepak tidak berada di situ dan meminta wartawan beredar segera.

Beliau, yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, kemudiannya meminta Malaysiakini beredar segera dan mengiringi sehingga ke luar bangunan tersebut.

Alasannya, mereka sedang menunggu kedatangan seorang tetamu.

Setelah gagal di Jalan Chan Sow Lin, Malaysiakini ke kedainya di hujung kanan Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang terkenal dengan gedung membeli-belah, ke arah Dataran Merdeka.

Setelah memasuki kedai tiga pintu tersebut, wartawan berjaya menemui ibu Deepak, yang mahu dikenali sebagai Puan Jai, bersama lima pembantunya.

Setelah memperkenalkan diri dan menjelaskan tujuan kedatangan ke kedai tersebut, Puan Jai kemudiannya membuat dua panggilan melalui telefon bimbit.

Perbualan itu di depan Malaysiakini, bagaimanapun ia tidak dapat difahami kerana dipercayai beliau menggunakan bahasa Hindi.

Ditanya kemudian, wanita dalam usia 50-an itu kemudiannya berkata Deepak tidak berada di dalam negara, begitu juga Dinesh, adik bongsu daripada tiga beradik.

Puan Jai juga enggan memberikan nombor telefon bimbit kedua-dua anaknya itu ketika diminta, tetapi hanya memberikan nombor telefon kedai berkenaan.

Beliau menyarankan kepada Malaysiakini agar berkunjung semula minggu depan.

Tambahnya, beliau tidak mengetahui sekiranya Deepak atau Dinesh pernah mempunyai hubungan baik dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

"Saya tidak pernah menemuinya," katanya lagi, dalam bahasa Inggeris, ketika ditanya sama ada Rosmah pernah mengunjungi kedai tersebut.


malaysiakini


Royalti Minyak : Najib Derhaka Wasiat Bapanya

Seorang anak yang baik akan menyelesaikan segala hutang piutang dan janji arwah bapanya kepada sesiapa sahaja dengan harapan bapanya akan mendapat keredhaan Allah.

Namun Najib tidak bertindak demikian, malah memungkiri wasiat yang telah dipersetujui di zaman pemerintahan bapanya.

Inilah contoh anak derhaka yang juga zalim kepada rakyat demi kepentingan politiknya.



dari Hrkh Idris Ahmad

Pada 1975, ketika Allahyarham Tun Abd Razak bin Hussein Al-Haj masih menjadi Perdana Menteri satu perjanjian telah ditandatangani oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubungan dengan sumber minyak Kelantan.

Menurut terma perjanjian itu, Kelantan diberikan royalti sebanyak 5 peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun untuk hasil minyak yang ditemui di kawasan pantai dan pesisirnya.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Kelantan mula mengeluarkan minyak sejak 2004 dan Laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, menyebut bahawa anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan adalah RM2.5 bilion setahun.

Berdasarkan laporan itu kerajaan negeri Kelantan mengutus surat rasmi menuntut sebanyak RM1 bilion dari Kerajaan Persekutuan bagi jumlah royalti dan kerugian yang tidak pernah dibayar sejak 2004.

Tuntutan royalti minyak kelantan ini turut disokong oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan dari Umno, Datuk Md Alwi Che Mat pada julai lalu dan berharap agar Kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti dan dokumen-dokumen berkaitan untuk menuntutnya.

Malangnya, Dato' Seri Najib anak kepada Tun Razak menderhakai perjanjian yang buat di zaman pemerintahan ayahnya dan enggan membayar royalti seperti yang telah dipersetujui sebagai respon kepada kekalahan teruk BN di Kelantan pada PRU Mac 2008.

Tindakan beliau jelas mengkhianati amanah perjuangan ayah beliau yang pastinya tidak akan tenang dalam kubur dengan kezaliman yang dilakukan pada hari ini terhadap rakyat Kelantan.

Seorang anak yang baik akan menyelesaikan segala hutang piutang dan janji arwah bapanya kepada sesiapa sahaja dengan harapan bapanya akan mendapat keredhaan Allah.

Namun Najib tidak bertindak demikian, malah memungkiri wasiat yang telah dipersetujui di zaman pemerintahan bapanya.

Inilah contoh anak derhaka yang juga zalim kepada rakyat demi kepentingan politiknya. Idea wang ehsan ditimbulkan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat sebagai menunjukan sikap bermuka-muka beliau, walhal rakyat lebih jelas dengan isi perjanjian Petronas-Kelantan 1975.

Idea wang ehsan ini bermula dizaman Tok Guru Najib iaitu Tun Mahathir yang ketika itu tertekan dengan kemenangan mengejut PAS di Terengganu.

Bagi membalas tindakan rakyat Terengganu yang menolak Kerajaan BN, maka Mahathir menarik balik wang royalti minyak Terengganu dan mengantikannya dengan wang ehsan.

Maka bermulalah sejarah wang ehsan iaitu satu pakej yang dibuat oleh BN khusus untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Parti bukan BN.

Keadaan ini berbeza dengan negeri Sabah yang diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dari tahun 1985-1994.

Walaupun ketika itu Sabah tidak dikuasai BN, namun royalti minyak tetap diberikan bukannya wang ehsan.

Maka jelaslah bahawa BN yang kini dipimpin Najib sengaja untuk menzalimi rakyat Kelantan dan menderhakai wasiat bapanya.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Anwar disenarai antara '100 pemikir terbaik dunia'

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Dis : Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disenaraikan sebagai '100 Pemikir Terbaik Dunia' iaitu menduduki tempat ke 32 bersama para pemikir dunia yang lain.

Anwar disenarai oleh majalah 'Foreign Policy' yang berpusat di Washington dalam edisi Disembernya baru-baru ini.

Turut tersenarai adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (ke-2), Perdana Menteri Britain, Gordon Brown (ke-74) dan Hillary Rodham Clinton (ke-6).

Anwar adalah satu satu dari 10 pemikir yang beragama Islam yang disenaraikan oleh majalah itu.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz disenaraikan dalam '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 kategori, antara lain kategori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.




Nik Aziz : Naik mas kahwin tambah anak dara tua

“Sayapun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu,”


KOTA BARU, Dis 11 — Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kadar mas kahwin dinaikkan kerana ialah boleh mengundang kepada ramai gadis menjadi anak dara tua.

“Kita tidak bercadang menaikkan kadar mas kahwin di Kelantan dan mahu mengekalkan peraturan sedia ada,” kata beliau selepas menyampaikan kuliah Jumaat di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300 berkuat kuasa Jan 1 depan.

Dipetik Bernama, Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah lama mengamalkan langkah tidak mengambil berat mengenai mas kahwin termasuk yang membabitkan perkahwinan anak-anaknya sendiri.

“Sayapun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu,” katanya.

Menurutnya langkah mengenakan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi lebih bersifat riak dan menunjuk-nunjuk.

Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan tidak menetapkan jumlah tertentu berhubung kadar mas kahwin bagi pasangan yang ingin berumah tangga di negeri itu.

Semalam Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata mulai bulan depan kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.

Beliau berkata kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

“Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda.

“Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status,” katanya.

themalaysianinsider

PKFZ : OC Phang charged with CBT, claims trial

In the first indictments over the Port Klang Free Zone (PKFZ) project, former Port Klang Authority (PKA) general manager OC Phang and two others were charged with criminal breach of trust (CBT) and making false claims in the Klang Sessions Court today.





malaysiakini