KUALA LUMPUR, 3 Jun — Calon-calon kerusi jawatan naib presiden PAS sambil melihat peluang untuk menawan kerusi itu seimbang kali ini mengetengahkan misi mereka mengenai masa depan parti itu dan Pakatan Rakyat. Berikut adalah komen sebahagian calon naib presiden termasuk dua penyandangnya:
Umur: 52 tahun
Jawatan: Exco Kerajaan Negeri Kelantan
Wakil rakyat: Adun Pachor
Tiga perkara paling penting mesti dilakukan PAS dalam suasana politik masa kini dan bagaimana Datuk dapat membantu PAS mencapai tiga perkara ini?
AMAR: Yang pertama PAS mesti memperkukuhkan parti untuk merealisasikan hasrat untuk menggantikan Umno dengan memenangi sokongan orang Melayu, kedua PAS perlu mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah parti politik Islam dan ketiga PAS perlu mengukuhkan kedudukan dalam Pakatan Rakyat. Untuk memastikan itu, saya akan membantu presiden dan timbalan presiden dan mungkin boleh memberikan pandangan bagaimana untuk memenangi hati pengundi Melayu, walaupun undi bukan Melayu juga penting tapi undi Melayu tidak boleh diketepikan.
Sekiranya dipilih dalam jawatan ini sekali lagi, apa yang Datuk akan lakukan?
AMAR: Perkara pertama yang akan saya lakukan adalah merapatkan semula saf parti sebab selepas pertandingan walaupun kita bertanding cara berkeluarga tapi mesti ada perasaan yang terguris.
Melihat saingan sengit dalam jawatan ini, bagaimana anda melihat peluang untuk menang dan mengapa perwakilan mesti memilih Datuk berbanding calon-calon lain?
AMAR: Secara umum kalau dibandingkan dengan calon lain, peluang untuk menang hampir sama sebab masing-masing ada kelebihan tersendiri dan bagi saya berbanding pemilihan 2009 peluang saya lebih baik kali ini. Mungkin saya boleh manfaatkan pengalaman dan kejayaan saya sebagai Exco di Kelantan untuk meningkatkan sokongan masyarakat kepada parti.
Apa yang perlu dilakukan parti untuk terus kekal releven dalam arena politik sekarang? Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk parti membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?
AMAR: Yang pertama PAS mesti mengukuhkan kefahaman ahli kepada dasar perjuangan parti sebab kita tidak nafikan ada ahli yang kurang memahami matlamat dan perjuangan parti. Ini yang perlu dilakukan dahulu. Jika ini berjaya dilakukan, matlamat menawan Putrajaya bersama Pakatan Rakyat akan berjaya.
Pada pandangan Datuk, hala tuju PAS selepas ini?
AMAR: Ia bergantung kepada siapa yang akan jadi pemimpin, kalau perwakilan buat pilihan tepat saya percaya PAS akan melangkah lebih maju ke hadapan.
---
Umur: 54 tahun
Jawatan dalam parti: AJK kerja PAS pusat
Wakil rakyat: Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang
Tiga perkara paling penting mesti dilakukan PAS dalam suasana politik masa kini dan bagaimana Datuk dapat membantu PAS mencapai tiga perkara ini?
NIZAR: Yang pertama adalah untuk memastikan bahawa Pakatan Rakyat boleh menggantikan Umno-BN, itu yang saya tunjukkan sebagai calon naib presiden. Yang kedua, PAS perlu meyakinkan rakyat bahawa negara ini perlukan perubahan dalam semua aspek dan yang ketiga bagaimana Pakatan Rakyat boleh selamatkan negara serta mengagihkan segala kebaikan dan hasilnya kepada rakyat. Sekiranya saya dipilih bagi saya tiga perkara penting yang perlu diketengahkan adalah yang pertama PAS perlu bergerak ke hadapan dalam semua aspek termasuk dari sisi PAS dari pandangan luar serta peranan PAS dalam Pakatan Rakyat. Yang kedua, PAS perlu melakukan lebih banyak perubahan besar dalam barisan kepimpinan yang mana PAS perlu lebih terbuka untuk mendapatkan sokongan orang bukan Islam dan kita sudah mempunyai Kelab (Dewan) Penyokong PAS. Oleh itu, peranan ini bagi saya perlu diperluaskan kerana orang bukan Islam telah memberikan kepercayaan kepada kita. Dan ketiga, saya akan pastikan bagaimana PAS boleh menggembleng kerjasama dengan bukan Islam yang jadi ahli kita.
Sekiranya dipilih dalam jawatan ini, apa yang akan Datuk akan lakukan?
NIZAR: Perkara pertama yang akan saya lakukan adalah menyatakan sokongan yang kuat kepada presiden dan timbalan presiden selain itu saya akan meyakinkan bahawa keputusan yang dibuat adalah satu tindakan yang berani. Selain itu, saya juga akan meyakinkan rakyat Perak bahawa rampasan kuasa yang berlaku (pada 2009) memerlukan satu pembelaan dan sebagai naib presiden, saya akan lakukan ke arah itu.
Melihat saingan sengit dalam jawatan ini, bagaimana Datuk melihat peluang utk menang dan mengapa perwakilan mesti memilih anda berbanding calon-calon lain?
NIZAR: Saya nampak ini satu peluang baik dalam suasana politik sekarang dan perubahan-perubahan yang telah berlaku dalam parti. Saya tidak katakan saya yakin, tapi dalam enam calon itu, masing-masing ada peluang dan dalam konteks pemilihan konvensional untuk ulama dan profesional yang mana ia diagihkan mengikut petempatan geografi seseorang calon, ada wakil dari utara, Pantai Timur dan selatan. Selain itu, ini kali pertama PAS buat pemilihan dalam konteks bersepakat dalam Pakatan Rakyat dan perwakilan akan lebih melihat kepada suasana perubahan besar yang berlaku dalam atau luar negara. Sebab itu saya harap perwakilan akan beri peluang kepada saya dengan mengambil kira perubahan-perubahan yang berlaku dan ini akan beri kesan kepada trend pemilihan nanti.
Apa jaminan Datuk kepada parti sekiranya menang?
NIZAR: Saya rasa sebenarnya serangan Umno setakat ini adalah serangan yang berbentuk biasa yang selalu mereka buat dan ia dibuat dengan berpaksikan perkauman. Jadi serangan seperti ini tidak perlu ditangkis sangat sebab perwakilan tidak akan termakan dengan suntikan Umno ini dan serangan yang dibuat ini tidak betul jadi saya tidak runsing dengan serangan seperti ini.
Apa yang perlu dilakukan parti untuk terus kekal releven dalam arena politik sekarang? Apakan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk parti membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?
NIZAR: Bagi meyakinkan bahawa PAS ke hadapan dan dapat bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat maka saya akan menggandakan paksi kepimpinan PAS bukan sahaja di peringkat negeri tapi pusat. Ini adalah untuk memastikan rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat berkemampuan untuk memastikan perjalanan PAS dapat menyumbang kekuatan kepada Pakatan Rakyat. Bagi memastikan ia tercapai sudah tentu PAS akan memainkan peranan yang lebih ke hadapan selain menjayakan apa yang telah dicapai bersama Pakatan Rakyat yang sudah termaktub dalam Buku Jingga, ini yang harus kita tekankan.
Bagaimana Datuk melihat prestasi dan sumbangan parti selama ini? Bagaimana dengan barisan kepimpinan sekarang? Adakah anda berpuas hati?
NIZAR: Saya rasakan bahawa perjalanan parti adalah untuk memastikan kita boleh bergerak beriringan dalam Pakatan Rakyat dan dalam memastikan perkara itu peranan Kelab Penyokong PAS perlu diperluaskan dan ini kita perlu berikan ruang yang cukup luas kepada mereka supaya peranan mereka dalam parti dapat dimatfaat sebaik mungkin. Peranan Kelab Penyokong PAS dalam parti perlu diperluaskan, kerana dasar yang diperjuangkan PAS selama ini harus dilonjakkan bukan sahaja boleh menyelamatkan PAS tapi juga Pakatan Rakyat. Kita perlu memberi ruang kepada Kelab Penyokong untuk membawa PAS lebih jauh ke depan. Sokongan orang bukan Islam kepada kita adalah satu petanda yang cukup tinggi nilainya dan ia tidak boleh dipandang ringan.
---
Umur: 50
Jawatan dalam parti: Naib Presiden PAS
Wakil rakyat: Ahli Parlimen Kubang Kerian
Tiga perkara paling penting mesti dilakukan PAS dalam suasana politik masa kini dan bagaimana YB dapat membantu PAS mencapai tiga perkara ini?
SALAHUDDIN: Yang pertama, kita mesti menjelaskan hala tuju kita terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, kita juga perlu melakukan pendekatan yang lebih efektif khususnya dalam isu pengundi-pengundi Melayu dan kita juga perlu menampilan barisan kepimpinan parti yang bukan sahaja boleh memimpin parti tapi mampu untuk mentadbir negara bersama Pakatan Rakyat. Dalam perkara ini, saya boleh memainkan peranan untuk menjadi ‘diplomat’ dalam membawa PAS ke peringkat yang lebih meyakinkan kerana kita kini berada di tahap untuk menjadi sebuah organisasi yang boleh mengambil alih tugas Umno-BN.
Sekiranya dipilih (sekali lagi), apa yang YB akan lakukan?
SALAHUDDIN: Saya perlu bekerja dengan lebih kuat untuk membantu rakan-rakan lain terutamanya presiden dalam membawa imej PAS ke satu tahap yang lebih meyakinkan kerana hari ini masyarakat sedang menunggu peranan yang lebih efektif yang boleh ditonjolkan pemimpin kita.
Melihat saingan sengit dalam jawatan ini, bagaimana anda melihat peluang untuk kekalkan jawatan?
SALAHUDDIN: Saya dengan rendah diri menerima pencalonan ini, persaingan kali ini paling sengit kerana calon-calon yang dikemukakan adalah hebat dalam sejarah PAS, bukan calang-calang tokoh yang bertanding, kalau boleh saya ibaratkan diri saya sedang bermain badminton dan berlawan dengan Lin Dan. Soal peluang itu saya serahkan kepada perwakilan dan sekiranya saya kalah saya berpuas hati.
Apa yang perlu dilakukan parti untuk terus kekal releven dalam arena politik sekarang? Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk parti membantu Pakatan Rakyat menawan Putrajaya?
SALAHUDDIN: Saya yakin PAS akan tetap utuh atas dasar, prinsip dan perjuangan iaitu Islam, cuma PAS perlu lebih berani melakukan perubahan, gunakan pendekatan baru yang lebih efektif, proaktif dan inovatif.
Bagaimana YB melihat prestasi dan sumbangan parti selama ini? Bagaimana dengan barisan kepimpinan sekarang?
SALAHUDDIN: Kita masih tidak berpuas hati dengan pencapaian kita, perjalanan masih jauh dan kita harus lebih fokus untuk menyelesaikan kelemahan kita agar kita mampu memperkuatkan parti selain menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit. Selain itu, kita juga harus mendapatkan sokongan bukan Melayu, sekarang kita sudah diterima tapi pengaruh ini harus dikembangkan lagi.
---
Umur: 54
Jawatan dalam parti: Naib Presiden PAS
Wakil rakyat: Ahli Parlimen Pokok Sena
Tiga perkara paling penting mesti dilakukan PAS dalam suasana politik masa kini dan bagaimana Datuk dapat membantu PAS mencapai tiga perkara ini?
MAHFUZ: Tiga perkara penting itu adalah PAS perlu memastikan dan memperkukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat terutamanya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. Kedua memastikan PAS boleh mencapai kemenangan lebih baik selepas 2008, selain meneruskan keseimbangan pencapaian dalam Pakatan Rakyat bersama rakan komponen lain. Kita juga harus mempunyai misi untuk menguasai politik Melayu yang mana kita mesti memastikan dapat menggantikan tempat Umno, bukan hanya menguasai hati tapi pemikiran orang Melayu. Kita mahu mereka fikir kalau tiada Umno tiada masalah, ini yang harus dicapai PAS. Untuk memastikan ia tercapai, semua barisan kepimpinan dan kekuatan jentera PAS perlu diperkukuhkan, ini yang perlu ditekankan.
Sekiranya dipilih dalam jawatan ini sekali lagi, apa yang Datuk akan lakukan?
MAHFUZ: Saya mengakui masih belum berpuas hati, saya melihat sumbangan saya selama satu penggal ini masih terlalu kecil untuk mengubah corak dan gaya PAS dalam merencanakan masa depan yang lebih baik. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan, satu penggal masih belum cukup tapi sekiranya saya tidak terpilih, saya akan terus memastikan perubahan akan terus berlaku dalam PAS.
Melihat saingan sengit dalam jawatan ini, bagaimana Datuk melihat peluang untuk menang dan mengapa perwakilan mesti memilih Datuk berbanding calon-calon lain?
MAHFUZ: Memang saingan kali ini sangat sengit sebab yang bertanding adalah calon-calon ‘heavyweight’ dan peluang untuk menang berbeza dengan pemilihan 2009 kerana calon-calon yang bertanding kali ini bukan calang-calang orang. Namun saya sentiasa bersikap objektif, menang kalah itu adat pertandingan dan ia mesti diterima semua orang yang menyertai pertandingan dan saya akan terima keputusan dibuat perwakilan dan saya terima kalau tidak terpilih untuk jawatan itu. Saya percaya perwakilan mempunyai kebijaksanaan untuk membuat penilaian bagi memilih barisan kepimpinan terbaik untuk parti.
Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk parti membantu Pakatan menawan Putrajaya?
MAHFUZ: Pertama kita harus mengelak daripada mencipta situasi yang boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, jangan cetuskan perkara-perkara yang boleh membuat rakyat sangsi dan takut kepada kita. Jadi PAS harus berhati-hati supaya matlamat misi bersama Pakatan Rakyat untuk mengangkat kuasa rakyat ke Putrajaya akan tercapai, selain itu kita jangan terperangkap dengan pelbagai isu terutamanya isu perkauman dan agama yang dibangkitkan Umno.
TMI
No comments:
Post a Comment