Sunday, December 6, 2009

3 lagi siswa ke mahkamah, kes 'puaka' UM

Abdul Rahim Sabri
Dis 6, 09 4:20pm


Tiga mahasiswa yang menjadi suspek berhubung kes menconteng perkataan "bini puaka" dan percubaan membakar di sebuah dewan kuliah di Universiti Malaya (UM) dijangka akan dituduh di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur esok.

Ketiga-tiga suspek itu - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - tersebut diminta hadir ke mahkamah tersebut jam 8 pagi.

Shazni Munir, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, dan Muhammad Aizat ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin mengesahkan perkara tersebut.

Tambahnya, beliau dihubungi oleh pegawai penyiasat kes itu Inspektor Mohd Najeeb Mohd Esam kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu.

Dua lagi suspek diminta hadir ke mahkamah tersebut, di kompleks mahkamah Jalan Duta, pada waktu yang sama.

Shazni Munir, pelajar tahun akhir Akademi Pengajian Islam (API), telah berbincang dengan peguamnya dan dinasihati hadir esok.

Dua lagi pelajar API yang telah dituduh - Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - akan bicarakan di mahkamah tersebut mengikut seksyen-seksyen 427 dan 436 Kanun Keseksaan.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen dituduh bawah Seksyen 427 bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.


Selain menconteng "C4", "pembunuh Altantuya" dan "bini puaka", mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor dalam satu kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin, 24 Jun lalu.

Kedua-dua pelajar itu juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen dihadapkan didakwa di mahkamah tersebut pada 30 Jun lalu, dan kes tersebut disebut pada 13 Julai lalu.

Sewaktu sebutan kes, Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan esok hingga 11 Disember ini untuk perbicaraan dua pelajar UM yang dituduh menconteng, menceroboh dan cubaan membakar di sebuah dewan kuliah API.

Tiga lagi suspek kes yang sama ditahan berasingan selepas pertuduhan terhadap Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

Shazni Munir, Muhammad Aizat dan Muhammad Saufi masing-masing ditangkap pada 17 Julai, 12 Ogos dan 19 November lalu.


Nik Aziz: Umno dalam keadaan 'lemas'

Abdul Rahim Sabri
Dis 6, 09 12:54pm


Ahli dan penyokong PAS yang penuh sesak membanjiri Dewan Ustaz Fadhil Noor, di Markas PAS di Taman Melewar malam tadi beramai-ramai menyatakan sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus memimpin Kelantan.

Sebelum menteri besar itu menyampaikan ucapan, pengerusi majlis, Tarmizi Mat Jam meminta lebih 1,000 hadirin supaya bangun dan dewan tersebut bergema beberapa kali dengan laungan"Kita Sokong Tok Guru Nik Aziz" dan "Sokong Tok Guru" dan diiringi laungan takbir sebanyak tiga kali.

Tarmizi yang juga naib yang dipertua PAS Batu mengetuai acara tersebut pada kira-kira jam 11 malam sebelum Nik Aziz menyampaikan ucapan bersempena menyambut perayaaan jubli perak PAS kawasan tersebut.

Laungan itu berlangsung selama lima mini, yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat antaranya, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohamed Hanipa Maidin; yang dipertua PAS Batu, Ishak Surin; ahli parlimen Batu, Tian Chua; pengerusi Kelab Penyokong PAS India, Balasubramaniam serta bekas pemimpin PAS Hassan Shukri dan Subky Latif.

Tarmizi berkata, ia sebagai kesinambungan kepada sokongan rakyat Kelantan yang ditunjukkan kepada Nik Aziz Jumaat lalu.

Beliau berkata, pada mulanya pihaknya bercadang mengedarkan lilitan kepala kepada hadirin - seperti yang dilakukan oleh penyokong menteri besar di Kelantan, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, hasrat tersebut tidak kesampaian ekoran kesuntukan masa untuk menyiapkan lilitan tersebut.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya Kelantan dilihat tersenyum dan gembira dan kemudiannya kelihatan bersemangat untuk menyampaikan ceramahnya.

Semangat berucap

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan Umno kini berada dalam keadaan "lemas" dalam usaha mereka untuk merampas semula Kelantan dari PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Katanya, walaupun menyedari mereka berada dalam keadaan begitu, Umno masih "meraung-raung" dengan pelbagai cara bagi mencapai cita-cita mereka mengambil semula negeri itu.

"Oleh kerana mereka dalam keadaan lemas, mereka meraung-raung bermacam-macam, termasuk tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Dia (Umno) tengok saya berserban, tidak pandai memerintah negeri dan saya pakai jubah tak tahu apa-apa pun. Jadi tuduhan itu macam-macam. Dia tahu bahawa dia sedang lemas.

"MCA (sekarang) kacau bilau sedangkan MCA jadi tongkat (BN) sebelah kanan. MIC, jadi tongkat kiri, kini jadi kacau bilau. Oleh kerana tak tahu nak buat apa, mereka lempar tuduhan kepada saya," kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengulas mengenai situasi politik terkini yang hadapinya termasuk demonstrasi yang dianjurkan oleh Umno minggu lalu yang mendesak beliau melepaskan jawatan berhubung isu doanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Umno lemas'

Dalam ceramahnya malam tadi itu, Nik Aziz berkata Umno kini berada dalam keadaan 'lemas' dengan memberikan beberapa situasi dalam politik parti itu, antaranya Umno Terengganu berpecah kepada dua kumpulan dan krisis di Perak di mana berlakunya usaha perebutan merampas kerusi speaker DUN.

Mursyidul am PAS itu juga mengumpamakan Umno sebagai seorang 'datuk yang cuba memujuk cucunya yang tidak mahu berhenti menangis setiap pagi'.

"Oleh kerana mahu cucunya senyap (dan) tidak menangis, dia kata, burung, burung, Nik Aziz, Nik Aziz," katanya, yang membuatkan kira-kira 1,000 hadirin ketawa dan memberi tepukan .

Menurut Nik Aziz, Umno juga berada dalam keadaan terdesak apabila mereka membuat rayuan menangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong.

"Kota Siputeh itu kawasan dia. (Ia) telah dikosongkan oleh speaker dan mahkamah bersetuju (bahawa) speaker ada kuasa penuh (untuk isytihar kerusi itu kosong).

"Speaker itu umpama pengadil dalam perlawanan bola sepak. Kalau (keputusan) pengadil boleh dibantah lagi, tak main bola lah, kita panggil berlaga betih lah," kata Nik Aziz yang mencuit hati para hadirin.

"Keputusan speaker kita nak tolak macam mana, dia raja. Dalam DUN dan parlimen, speaker adalah raja. Dalam padang bola pengadil jadi raja. Begitu logiknya," tambahnya.

Program BTN

Menurut pesuruhjaya PAS Kelantan itu, Umno juga kini berada dalam keadaan 'lemas' apabila terdapat pendedahan yang mendakwa program anjuran Biro Tatanegara (BTN) mempunyai unsur perkauman.

"Kerja dia bertahun-tahun, hilang sekelip mata kerana rahsia BTN ini bukan untuk menyelamatkan negara tapi nak kata orang Melayu (untuk orang) Melayu dan orang Cina (untuk orang) Cina," katanya.

Setakat ini, kerajaan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang mengarahkan pegawai dan kakitangannya supaya tidak menghadiri kursus anjuran biro tersebut.

Mengulas isu doanya supaya Allah membetulkan pandangan Najib yang juga presiden Umno berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan, Nik Aziz berkata, adalah untuk menjadi tugas orang yang dizalimi berdoa kepada Allah agar mendapat haknya kembali.

"Buat apa perkara yang jahat atas muka dunia, musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Ya Allah tolong lah orang jahat, mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," katanya,

Bahkan, kata Nik Aziz, doa orang kafir yang dizalimi mustajab disisi Allah SWT.


malaysiakini

Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi

Dzulfikar Mashoor

GOMBAK, 6 Dis : Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All.


Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.

Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz

"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."

"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."

Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.

Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.

Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.

Harakahdaily

Batu api dalam isu doa bala

“Tidak perlu saya sebut akhbar mana, tak habis-habis kerjanya untuk laga-lagakan orang.”
“Maknanya kaedah diguna dalam menghadapi musuh berkesan. Dan demonstrasi yang mereka buat itu buktinya mereka terasa. Itulah maknanya peluru politik kita kena sasaran (musuh). “Kalau tak terasa masakan nak kalut ribut begitu,”



dari themalaysianinsider Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Dis 5 — “Tidak perlu saya sebut akhbar mana, tak habis-habis kerjanya untuk laga-lagakan orang.”

Demikian kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyeru penyokongnya supaya tidak membaca akhbar yang suka melaporkan berita berunsur provokasi berniat untuk melagakan individu tertentu.

Beliau membuat seruan itu ekoran rasa kecewanya apabila isu doa kemusnahan yang dieksploitasi pihak tertentu sebelum ini dimanipulasikan lantaran laporannya tidak diberi secara menyeluruh.

Baru-baru ini Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bertubi-tubi diasak parti lawannya berhubung isu doa kemusnahan dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Umno bagi menuntut royalti minyak.

Namun pada masa sama beliau mengungkapkan perasaan bangga apabila tindakannya itu menyebabkan pihak musuhnya rasa terancam sekali gus pemimpinya juga turut terasa.

“Maknanya kaedah diguna dalam menghadapi musuh berkesan. Dan demonstrasi yang mereka buat itu buktinya mereka terasa. Itulah maknanya peluru politik kita kena sasaran (musuh).

“Kalau tak terasa masakan nak kalut ribut begitu,” katanya pada satu majlis perjumpaan dengan Dewan Pemuda PAS di kediaman rasminya sambil merujuk tindakan kumpulan bergelar Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk Kota Darul Naim Selasa lalu.

Demonstrasi tersebut disertai tidak sampai 200 anggota seperti mana dilaporkan sehingga 1000 peserta.

Nik Aziz merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong PAS yang turut berada di hadapan Kota Darul Naim ketika demonstrasi sedang berlangsung seterusnya memberi sokongan kepadanya tanpa berbelah bagi.

Semasa demonstrasi tersebut berlangsung hampir 500 penyokong PAS turut hadir di kawasan persekitarannya untuk melihat suasana sebenar dan tidak fanatik untuk cuba mencetuskan situasi negatif.