Thursday, January 7, 2010

Anwar : Penyokong Pakatan tidak dilarang sertai demo

Jan 7, 10 10:54am

Para penyokong Pakatan Rakyat yang ingin menyertai demonstrasi membantah penggunaan nama Allah pada penerbitan Kristian tidak dilarang berbuat demikian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas perhimpunan besar-besaran esok anjuran banyak NGO Melayu dan Islam, pemimpin PKR itu bagaimanapun berkata beliau tidak menggalakkan mereka berbuat demikian.



PKR mengambil sikap menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hujung bulan lalu yang membenarkan Herald The Catholic Weekly berbuat demikian.

Mantan timbalan perdana menteri itu turut mempertikaikan sikap pilih kasih kerajaan yang tidak mengambil tindakan terhadap perhimpunan membantah keputusan mahkamah tersebut.


[Berita penuh menyusul]

Anwar mohon tuntutan qazaf tidak dilengahkan lagi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini pagi ini untuk mendapat perintah terhadap Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (KPS) supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan di atas kesalahan jenayah qazaf.

Selain Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsudin Husin yang dinamakan sebagai responden pertama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Min dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga.




“Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan di atas kesalahan jenayah qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997,” ujarnya dalam kenyataan media selepas memfailkan permohonan itu dan berharap tuntutan qazaf itu tidak dilengahkan lagi.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah Jawi dan menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Menurutnya, permohonan itu adalah lanjutan daripada qazaf beliau bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi terhadap Mohd Saiful yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya beliau telah melakukan perbuatan liwat ke atas Saiful pada 26 Jun 2008.

“Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada Jawi kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.

“Dalam bulan Ogos 2009, saya mendapat maklumat pihak Jawi telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan mahkamah terhadap Mohd Saiful,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, kesemua surat-surat peguam syarienya yang bertanyakan mengenai status laporan qazaf beliau tidak dijawab KPS.

Oleh itu, beliau agak terkejut apabila menteri berkenaan telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan qazaf terhadap Mohd Saiful hendaklah menunggu perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

“Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah kanun jenayah yang digunakan di mahkamah sivil,” ujarnya.

Justeru, beliau memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana ia mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan qazaf.

Tambahnya, mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan responden-responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Wilayah Persekutuan.

“Sebagai seorang Islam, saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh hukum syarak,” tegasnya.

Kemalangan : Nizar ditahan di Hospital Raja Perempuan Bainun

Harakahdaily

IPOH, 7 Jan : Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang ditahan di Wad 8C Hospital Raja Perempuan Bainun setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di hadapan Hotel Cassuarina, di sini pagi ini.

Menurut pembantu peribadinya, Amran Harun, semasa kejadian, Nizar yang memandu sendiri cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Katanya, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu hanya mengalami luka-luka di bahagian siku kanan walaupun kenderaannya rosak teruk.

Sementara itu, Berita Harian Online melaporkan Nizar cedera selepas kereta dipandunya terbalik dengan empat tayar ke atas akibat kemalangan jalan raya di Ipoh pada 9.30 pagi tadi dan kini dirawat di Hospital Ipoh.


Penggunaan kalimah Allah ditangguh



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Jan : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah membenarkan akhbar mingguan Katolik Herald,The Catholic Weekly, menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan mereka.

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berkenaan berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang mewakili KDN berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menghina keputusan mahkamah dengan membuat kenyataan di luar mahkamah berhubung isu berkenaan sehinggalah ianya diputuskan di Mahkamah Rayuan.

"Saya minta peguam-peguam supaya tidak menentang permohonan KDN (menangguhkan keputusan mahkamah) demi kepentingan negara. Saya juga telah meminta Hakim mendengar kes ini secepat mungkin dan Hakim sendiri berkata beliau akan memberikan keputusan secepat mungkin," katanya kepada pemberita.

Isnin lalu, KDN mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lepas bahawa berdasarkan Perkara 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Sementara itu, permohonan beberapa Majlis Agama Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta badan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) untuk mencelah dalam kes ini tidak diluluskan mahkamah.

ehsan : tvpas09