Friday, July 9, 2010

PAS terus benci BN

KOTA BHARU (SH) - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan menanam sikap kebencian terhadap menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam siri ceramah dan lawatan ke semua tempat di negeri ini.

Tindakan itu sebagai reaksi balas keputusan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan hak royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan,

“Di dunia saya kempen habis-habisan memburuk-burukkan menteri yang khianat kepada rakyat Kelantan yang tidak beri royalti petroleum, ini kerja fasiq dan maksiat merampas harta orang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Armalah Darul Naim Kelantan, di sini semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membawa kes itu ke mahkamah kerana keengganan Kerajaan Pusat memberi hak kepada Kelantan sebagaimana yang dituntut.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia untuk menjadi saksi kepada kes berkenaan memandangkan beliau orang yang bertanggungjawab kepada isu itu ketika menjadi Pengerusi Petronas.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menyeru kepada golongan ibu tunggal mendoakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein membuka pintu hati mereka supaya hak rakyat Kelantan itu dikembalikan.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz kesal dengan sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan enggan menerima konsep Islam walaupun ia sudah dibicangkan semasa penubuhan gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

“Sebelum masuk Pakatan Rakyat (PR) kami sudah bincang, dasar kami Islam, oleh yang demikian kami hormat DAP dan dia kena hormat Pas pada mula-mula nak buat Pakatan Rakyat dulu, kenapa timbul balik perkara ini,” katanya.

Dalam perkemba- ngan lain, Nik Abdul Aziz mendakwa pertubuhan Al-Arqam dan UMNO sama-sama sesat dalam membawa fahaman Islam di negara ini.

“Al-Arqam dan UMNO serupa je sama sesat. Dia (UMNO) lawan Pas dalam pilihan raya. Puak-puak (mereka ini) ni mengarut,” katanya mengulas tindakan Pas Johor membuat laporan polis pada 5 Julai lalu terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.