Taib umum terus terajui kepimpinan BN
KUCHING, 25 Sept — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan secara rasmi kesediaannya untuk terus menerajui kepimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak dan kerajaan negeri.
Pengumuman tersebut sekaligus menepis spekulasi yang timbul berkaitan dengan kedudukannya berikutan kenyataannya dibuat pada 24 Ogos lalu menyatakan beliau bersedia berundur.
Taib (gambar) yang merupakan Ketua Menteri paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac 1981 itu berkata walaupun ada di kalangan keluarganya tidak bersetuju namun oleh kerana khidmatnya masih diperlukan rakyat akhirnya mereka memahami keputusannya.
“Mereka sekeluarga bersetuju (agar saya) tidak menghampakan harapan rakyat Sarawak,” katanya di Hangar Hornbill Skyway di sini hari ini.
“Bagi saya sendiri walau apa pun terjadi saya akan terus menolong negeri Sarawak,” katanya di hadapan lebih 7,000 orang yang terdiri daripada menteri kabinet negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), penyokong parti komponen BN Sarawak dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Pemimpin yang berusia 74 pada tahun itu bagaimanapun enggan menyatakan berapa lama beliau akan terus menerajui tampuk pemerintahan negeri namun berkata proses pembentukan satu pasukan bagi menerajui kepimpinan akan datang kini sedang dilakukan.
Taib berkata, sudah sampai masa penyokong dan anggota parti komponen BN Sarawak untuk menangkis dakyah palsu pembangkang yang hanya tahu mengkritik segala usaha yang dibuat oleh kerajaan.
Beliau memberi jaminan akan meneruskan visi kerajaan negeri untuk menjadikan negeri Sarawak sebagai antara negeri termaju menjelang 2020.
Pada 24 Ogos, Taib dipetik sebagai berkata yang beliau masih belum memutuskan untuk bertanding dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-10 yang tempoh penggal berakhir pada Julai tahun depan.
Taib sebelum ini ialah ADUN Asajaya sebelum bertukar ke kawasan DUN Balingian pada 2001. — Bernama