KUALA LUMPUR (SH) – Pas menjangka pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas Hari Raya Aidilfitri bulan September ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi berkata, Pas telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan sekitar bulan Oktober atau November depan.
"Kami sudah diberitahu supaya membuat persiapan menghadapi pilihan raya ini termasuk persediaan sekitar April dan Julai tahun depan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak.
“Pada 1 hingga 3 Oktober depan kami akan mengadakan program ‘Ijtima Tarbawi’ (perkampungan tarbiah) Pemuda di perkarangan Masjid Rusila, Marang Terengganu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Pas di sini semalam.
Menurutnya, seramai lapan ribu orang bakal hadir dalam program tersebut yang turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh ulama Islam lain.
“Selain itu, pertemuan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 23 Ogos ini turut diadakan untuk membincangkan kewajaran pelajar terlibat dalam politik.
“Kita akan menyatakan pandangan kewajaran siswa terlibat dalam politik berdasarkan pengetahuan dan kematangan fikiran pelajar ini dan sebahagiannya adalah pemilih dalam pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, pelancaran kempen pengumpulan tandatangan bantah saman ekor akan diadakan di Bazar Ramadan Keramat pada 23 Ogos ini.
“Kita akan kumpul sekurang-kurangnya sebanyak satu juta tandatangan sehingga selepas Aidilfitri depan sebelum diserahkan kepada kerajaan.
“Pelaksanaan kempen ini turut dilancarkan ke seluruh negara bagi membantah saman ekor yang dirasai kebanyakan masyarakat kita ekoran perkara ini,” katanya.