Saturday, June 4, 2011

Siapa berkuasa dalam PAS – Erdogan atau ulama?

Kemenangan kumpulan Erdogan mengesahkan tanggapan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berpengaruh menentukan kepimpinan PAS.
ANALYSIS
Laporan Muktamar Tahunan PAS ke 57
GOMBAK : Apakah pengaruh kumpulan ulama yang sekian lama kukuh bertapak dalam PAS sedang menuju pengakhirannya? Keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS yang diumumkan hari ini menunjukkan kumpulan Erdogan menguasai jawatan-jawatan penting dalam parti.

Jawatan nombor dua parti dimenangi Mohamad Sabu. Kemenangan ini menebus kekalahannya kepada Nasharuddin Mat Isa pada pemilihan tahun 2009.

Kemenangan itu tidak mengejutkan memandangkan popularitinya di merata peringkat dalam PAS menenggelamkan dua pencabarnya – Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tetapi yang mengejutkan ialah kemenangan 100% kumpulan Erdogan bagi jawatan naib presiden. Ketiga-tiga mereka – Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub – adalah penyokong kumpulan Erdogan.

Kemenangan kumpulan Erdogan mengesahkan tanggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpengaruh menentukan kepimpinan PAS.

Kini kumpulan ulama yang diketuai Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mendapat perbahasan hangat dari kumpulan Erdogan dalam membuat keputusan penting.

Yang pasti pintu rundingan kerajaan perpaduan tertutup rapat. Walaupun Hadi menegaskan tiada kerjasama dengan Umno, ramai yang masih sangsi dan ragu.

Barang diingat ia bukan bermakna sangat mudah bagi kumpulan Erdogan untuk bermaharaja lela dalam PAS. Tidak mudah untuk mengetepikan pengaruh Hadi.

Hadi tokoh tradisional PAS yang sangat masak dengan sepak terajang politik disokong penuh oleh Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS. Kebetulan mereka senegeri iaitu dari Terengganu walaupun Ketua Pemuda membina karier politik di Pahang.

Kedua-dua sayap itu telah berikar menyokong kepimpinan ulama dalam PAS.

Kalau dilihat dari senarai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja lebih separuh dari 18 merupakan kumpulan yang menyokong Erdogan. Ini dapat menambahkan lagi pertembungan sengit antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Wakil Kedah dalam perbahasan ucapan dasar Presiden pagi tadi telah menyuarakan kebimbangan Hadi tidak dapat berfungsi sepenuhnya dalam parti. Ini pernah berlaku semasa kepimpinan PAS era Yusof Rawa selepas mengambil alih dari Datuk Asri Muda pada 1983.

Sekolah pondok

Bagi golongan ulama terutama lepasan sekolah pondok mungkin sedang mencongak nasib mereka dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Kini sudah semakin jelas kelihatan golongan itu semakin terpinggir dari arus kepimpinan perdana PAS. Apatah lagi mereka yang tidak mempunyai kerjaya besar seperti golongan profesional.

Sudah kedengaran golongan ulama ini mula merasa bimbang hala tuju dan nasib parti dalam masa-masa mendatang. Keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak semuanya menguntungkan parti itu.

Beberapa keputusan dan tindakan PAS ditolak mentah-mentah oleh komponen Pakatan Rakyat – DAP dan PKR. Contoh terbaik ialah isu arak di Selangor yang segera dibantah keras oleh DAP menyebabkan PAS terpaksa mengalah.

Ini terjadi kerana keterbukaan dasar Pakatan Rakyat. Mahu tidak mahu PAS terpaksa akur dengan perjanjian polisi bersama Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui mereka.

Cuma orang Melayu yang selama ini menjadi tonggak kekuatan PAS sangat khuatir parti Islam akan kehilangan denyut nadi perjuangan mereka dek kerana pemimpin mereka terpaksa mengikut telunjuk orang lain yang tiada kena mengena dengan PAS.

Barangkali ketika ini pemimpin ulama PAS boleh mengawal hala tuju parti tetapi tiada siapa yang tahu dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

Inilah mangsa kepada keterbukaan PAS. Golongan Erdogan yang baru setahun jagung bertapak dalam parti sudah mendapat semuanya.

Tidak mustahil mereka akan menguasai parti dalam sedkit masa lagi.

Mampukah Hadi dan beberapa kerat ulama parti memastikan golongan ini kekal berkuasa dalam PAS? Isyarat sudah muncul di depan mata bahawa PAS tidak selama-lamanya menjadi milik mutlak golongan ulama.

Kini terpulang kepada Hadi untuk memastikan kumpulan Erdogan berjalan seiring dengan hala tuju PAS yang telah dibina sekian lama.

PAS memang memerlukan kumpulan Erdogan yang bijak pandai untuk menjadikan parti bersifat nasional.

Tetapi Erdogan yang dipacu dari luar parti akan menjadi kepimpinanan ulama PAS tidak lebih seperti patung sahaja. Tepuk dada tanya selera.


Muda Mohd. Noor FMT

No comments:

Post a Comment