Saturday, June 4, 2011

Mohd Sabu : Akar tunjang yang menjalar merata

KUALA LUMPUR, 4 Jun : Penulis dan pemimpin veteran PAS, Subky Latif (gambar) menyifatkan Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi 'akar ini akar tunjang yang menjalar merata'.

"Ulama tak menang kerana tidak ada yang sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan...tetapi Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata," kata Subky.

Beliau mengulas kemenangan Mohamad dalam pertandingan jawatan timbalan presiden PAS hari ini.

Mohamad menang apabila mendapat 420 undi berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa (224).

Mohamad memecah rekod kepimpinan PAS apabila menjadi timbalan presiden pertama dari kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS pada tahun 1983.

Subky adalah antara pemimpin PAS yang yakin, PAS perlu dipimpin oleh ulama. Dalam pemilihan 2009 lalu, Subky antara pemimpin PAS yang bercakap agar perwakilan memilih timbalan presiden di kalangan ulama.

"Saya berpendapat, Mohamad perlu diletakkan di situ sebagai pemimpin PAS bukan untuk sementara sahaja misalnya untuk hadapi pilihan raya tetapi sampai bila-bila.

"Jangan pula tahun depan ada usaha untuk menukar beliau pula. Biarlah sampai rotan yang dicari benar-benar ditemui barulah ditukar," kata beliau penuh kiasan.

Untuk menstabilkan kedudukan beliau dalam hiraki kepimpinan PAS, Subky menasihatkan agar Mohamad Sabu melantik ramai ulama di sekeliling beliau untuk menjadi penasihat-penasihatnya.

"Dia jangan pula jadi macam sesetengah kerajaan, tidak dengar cakap mufti, sesetengah kerajaan ambil mufti tetapi mufti yang dengar nasihat kerajaan," katanya.


Harakahdaily

No comments:

Post a Comment