Saturday, June 4, 2011

Saya bernasib baik menang Timbalan Presiden – Mat Sabu

Beliau berkata pemilihannya bagaimanapun tidak membawa sebarang kesan terhadap dasar atau arah tuju parti, malah berazam akan terus membantu Presiden PAS.
Laporan Muktamar PAS Tahunan ke 57
GOMBAK : Timbalan Presiden PAS yang baru dipilh Mohamad Sabu menganggap kemenangannya dalam pemilihan kali ini sebagai satu nasib yang baik, selain mendapat sokongan daripada akar umbi.

Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertandingan tiga penjuru antara dirinya dengan mengalahkan penyandang selama dua penggal berturut-turut Nasharuddin Mat Isa serta bekas Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat hanya bertanding untuk memecahkan undi.

Beliau berjaya memperoleh 420 undi manakala Nasharudin dengan 224 undi dan Tuan Ibrahim pula mendapat 399 undi.

Mat Sabu berkata pemilihannya bagaimanapun tidak membawa sebarang kesan terhadap dasar atau arah tuju parti, malah berazam akan terus membantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertingkatkan gerak kerja bagi mendapatkan sokongan orang ramai dan bukan Melayu menuju pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Terima kasih kepada perwakilan dan wartawan yang menyiarkan tulisan yang positif mahupun negatif terhadap saya.

“Tak banyak momentum baru mahu pun pemahaman ‘abc’ yang akan diperjuangkan tetapi barangkali usaha untuk menarik orang ramai mencapai matlamat negara berkebajikan.

“Saya akan memainkan peranan membantu Presiden dalam hal ini,” katanya yang turut memuji keberanian PAS mengadakan pemilihan sebelum PRU13 berbanding parti politik yang lain.

Beliau sekali lagi menekankan bahawa tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS memandangkan sudah ada peranan yang jelas antara sayap eksekutif dan ulama dalam PAS.

“Ulama’ masih menguasai sepenuhnya kepimpinan parti terutamanya dalam Majlis Syura dan Dewan Ulama.

“PAS tak seperti Umno dengan meletakkan golongan ulama’ dalam bentuk biro, tetapi dalam Majlis Syura yang mengawal dasar dan disiplin parti,” katanya.


Jamilah Kamarudin FMT

No comments:

Post a Comment