Saturday, June 4, 2011

Mat Sabu : Perwakilan berani, saya akan penuhi harapan rakyat ke atas PAS

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Mohamad Sabu yang memenangi jawatan timbalan presiden PAS berkata, beliau akan membantu parti itu memenuhi keperluan orang ramai dan bukan Melayu, yang menurut beliau meletakkan harapan tinggi ke atas komponen Pakatan Rakyat (PR).

Dalam reaksi pertama selepas diumumkan sebagai orang nombor dua parti Islam itu, Mohamad berkata, survival mana-mana parti politik akan ditentukan oleh sokongan undi orang ramai dalam pilihan raya.

Oleh itu anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, PAS perlu memainkan peranan menyeluruh untuk memenuhi keperluan ahli-ahli parti dan juga masyarakat umum bukan ahli PAS.

“Jadi, saya akan menggunakan kedudukan (sebagai timbalan presiden) untuk memenuhi harapan orang ramai dan bukan Melayu ke atas PAS,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi ini.

Mohamad, 56, yang mesra dikenali “Mat Sabu” menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan ibrahim Tuan Man.

Ini kali kedua Mohamad bertanding jawatan timbalan presiden.

Mohamad Sabu (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS. — Foto oleh Choo Choy May
 Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang turut mengatasi Datuk Paduka Husam Musa.

Kali ini Husam dipilih semula sebagai naib presiden.

Pun begitu, tegas Mohamad, kemenangan beliau tidak akan membawa perubahan ke atas dasar PAS yang sudah pun ditetapkan kecuali pendekatan-pendekatan yang perlu dan akan diambil untuk menterjemahkan prinsip perjuangan parti itu.

“Cuma gerak kerja sahaja akan diubah (untuk menghadapi situasi semasa),” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau menang kerana sokongan besar perwakilan daripada kalangan profesional, Mohamad berkata, “saya tidak tahu, sebab saya belum buat analisis lagi.”

Beliau sekali lagi menekankan bahawa tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS memandangkan sudah ada peranan yang jelas antara sayap eksekutif dan ulama dalam PAS.

Dalam temu bual khas disiarkan The Malaysian Insider semalam, Mohamad berkata, konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu.

Mohamad berpendapat bahawa konsep kepimpinan ulama telah menjadi kekeliruan di kalangan ahli menyebabkan golongan profesional sukar mendapat tempat dalam jawatan tertinggi parti itu.

“Bagi saya presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin tiada masalah baik ulama atau profesional.

“Majlis Ulama ini yang perlu ditekankan bukan jawatan eksekutif, ia perlu dipertingkatkan dalam organisasi ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat banyak ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini dan ia menimbulkan sedikit kekeliruan,” katanya.

“Namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS,” kata beliau.

Dalam reaksi hari ini, beliau juga yakin bahawa keputusan pemilihan, yang berlangsung semalam dan diumumkan pagi ini, tidak akan menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin dalam PAS.

“Saya yakin perpaduan akan kukuh untuk membawa PAS ke depan,” katanya sambil menambah, perwakilan telah membuat keputusan yang berani.

Mengenai kekalahan Nasharudin, Mohamad berkata, “saya tidak komen.”

Bagaimanapun Mohamad secara berseloroh berkata, beliau “bernasib baik” kerana menang di sebalik liputan media yang positif dan negatif.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan kepada wartawan yang memberikan liputan media yang positif dan negatif,” katanya lagi.


Oleh G Manimaran dan Latifah Kasmuri TMI

No comments:

Post a Comment