Saturday, June 4, 2011

Pimpinan ulama ditegur, perlu terbuka terima pandangan

Konsep pimpinan ulama perlu berlapang dada menerima pandangan berbeza, kata perwakilan PAS Perak.
Laporan Muktamar Tahunan PAS ke 57

GOMBAK : Pimpinan ulama perlu lebih terbuka dan bersedia menerima pandangan berbeza daripada anggota parti agar angin perubahan wujud dalam PAS.

Perwakilan PAS Perak Muhaimin Sulam berkata kepimpinan ulama yang berusia lebih dua dekad itu turut diingatkan agar lebih serius dalam memimpin bukan sahaja kepada parti malah kepada rakyat.

“Konsep pimpinan ulama perlu berlapang dada menerima pandangan berbeza. Kelahiran pimpinan ulama tercetus pada tahun 1982 ekoran dua faktor iaitu pertama fungsi Islam seperti yang dikatakan Pak Yusof Rawa dalam ucapannya sebelum ini mengenai ke arah pembebasan parti.

“Kedua lebih kepada dalam parti iaitu kepimpinan sedia ada tidak berupaya. Maka berlaku kecenderungan proses menukar,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar disini hari ini.

Menurut Muhaimin, PAS bukan sahaja memerlukan perubahan luaran tetapi kepada tajdid (perubahan) dalaman yang lebih dinamik untuk mendekatkan parti kepada rakyat lebih-lebih lagi pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan kelak.

PAS katanya perlu menjadi sebuah parti yang digeruni dan lebih kontemporari tanpa meninggalkan asas perjuangan.

“Pemimpin perlu serius kepada responsif perubahan. Jangan tenggelam dengan rasionaliti sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Cabaran kita hari ini tidak tertumpu untuk berdepan Umno sahaja, tetapi kepada usaha meyakinkan orang Melayu bahawa kita mampu memimpin,” katanya.

Sementara itu, Muhaimin turut memberi saranan agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat terus meningkatkan kualiti urus tadbir bagi membela rakyat.

Walaupun Pakatan menang empat negeri (Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan) namun itu bukan kayu ukur untuk bersikap selesa.

Menurut Muhaimin, Pakatan perlu bersiap siaga untuk pilihan raya akan datang dengan lebih mendekatkan diri kepada rakyat.

“Tahun ini menuju ulangtahun PAS ke-60, maka lebih 10 dekad PAS melalui onak duri melalui proses demokrasi pilihan raya. Adakah kita (Pakatan) bersedia untuk menguasai Putrajaya?,” soalnya.

“Fokus pimpinan kini perlu kepada pilihan raya iaitu dari segi proses pengundian dan undang-undang pilihan raya,” katanya.


Fazy Sahir FMT

No comments:

Post a Comment