Sunday, May 8, 2011

Pakatan Rakyat memperkasakan Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin mempertegaskan bahawa kami bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah meletakkan asas yang sama dalam menerajui politik negara sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam (2009) dan diperkukuhkan menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang (2010) iaitu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini. Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah.

Kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan UMNO yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun ini. Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat, melemahkan jati diri orang melayu
beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang melayu beragama Islam dalam negara kita ini.

Apa lagi yang boleh diharapkan dari UMNO, kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional. Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Ahad, 4 Jamadil Akhir 1432 / 8 Mei 2011

BO

No comments:

Post a Comment