HULU LANGAT 8 MEI : Perdana Menteri, Najib Razak disifatkan sebagai cetek ilmu pengetahuan mengenai prinsip demokrasi yang diamalkan Malaysia sekian lama.
Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata demikian mengulas gesaan Najib kepada UMNO Selangor agar menggunakan segala 'senjata' bagi merampas kembali Selangor dari pentadbiran Pakatan Rakyat.
Beliau menegaskan Najib harus akur dan menghormati pilihan rakyat yang memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke- 12 lalu.
" Yang buat kenyataan ini presiden UMNO, maknanya dia (Najib) tidak faham apa maksud demokrasi, maknanya dia tidak faham hak rakyat untuk memilih, yang dia tahu menggunakan apa juga senjata yang ada. Ini ayat Perdana Menteri, amat bahaya kalau ada Ketua Negara yang tidak faham demokrasi," tegas Azmin.
Beliau berkata demikian di hadapan penduduk kawasan Hulu Langat dalam Program Ceramah Perdana yang diadakan di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Kajang malam tadi.
Azmin berkata Najib harus menerima hakikat bahawa rakyat kini semakin celik politik dan tidak mudah dimanipulasi kerajaan pemerintah pimpinannya.
"Terimalah hakikat, ini keputusan rakyat. Kita menawarkan program, agenda kita, biar rakyat memilih dalam keadaan kita tidak ada media cetak atau elektronik tapi rakyat masih berupaya membuat pilihan," katanya lagi.
Azmin berkata dalam menangkis serangan yang dilancarkan UMNO BN, Pakatan Rakyat tetap komited mahu melaksanakan sistem yang adil dan menjaga kebajikan rakyat.
"Kita nak pertahankan sistem yang adil, yang kita telah saksikan dalam tempoh yang paling singkat 3 tahun jauh lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan oleh UMNO selama 50 tahun pentadbiran mereka," katanya lagi.
Ditulis oleh ZeanaAima tvsnews
No comments:
Post a Comment