Wednesday, May 4, 2011

PR rapatkan saf untuk sebar Buku Jingga

PETALING JAYA 3 MEI : Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi setiap dua minggu bagi memastikan mesej Buku Jingga sampai ke akar umbi di samping menangani isu-isu berbangkit.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mesyuarat itu juga akan memerinchi persiapan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

“Fokus diberikan kepada Buku Jingga dalam menangani beberapa isu rakyat. Ini penting memandangkan Pakatan merupakan pilihan alternatif untuk rakyat akibat kegagalan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun memerintah,” katanya.

Sementara itu Anwar menambah, walaupun terdapat kekangan dari segi kebebasan media, namun respon yang diberikan oleh rakyat terhadap Buku Jingga adalah baik.

“Penerangan ini diterima baik dan berkesan berhubung penjelasan Buku Jingga. Oleh keran itu jentera kerajaan dikerahkan, tidak menjawab buku jingga sebaliknya memfitnah pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara. Di beberapa kawasan di Johor polis diperalatkan dan melarang sebarang bentuk ceramah,” katanya.

Buku Jingga menyenaraikan pelan tindakan Pakatan Rakyat jika berjaya menawan Putrajaya pada PRU akan datang. Ini termasuk melaksanakan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial.

Ia termasuk :

1. Tol Jalan Percuma - Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

2. Lebih subsidi untuk rakyat - Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

3. Lebih imbuhan - Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.

4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

5. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

6. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

7. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.

8. Mereformasikan insititusi SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

9. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Ditulis oleh ZeanaAima tvsnews

No comments:

Post a Comment