Wednesday, May 4, 2011

DUN Terengganu bergegar isu royalti minyak

Adun Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut berkata, isu tersebut masih belum diselesaikan sejak 12 tahun lalu.
PETALING JAYA : Wakil-wakil rakyat PAS akan menggegarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu apabila Dun mula bersidang minggu depan ekoran kegagalan kerajaan Persekutuan membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut, isu tersebut masih belum diselesaikan sejak 12 tahun lalu.

“Isu ini merugikan rakyat Terengganu kerana berbilion ringgit royalti minyak terlepas begitu sahaja. Rakyat mahu hak Terengganu dikembalikan seperti asal iaitu lima peratus hasil minyak diberikan kepada mereka.

“Apa yang berlaku hari ini wang royalti telah ditukar nama kepada dana khas kerajaan persekutuan tetapi jumlahnya bergantung kepada projek,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri ketika dihubungi hari ini.

Pembayaran royalti minyak kepada Terengganu dihentikan apabila PAS memenangi pilihan raya umum 1999 ekoran permintaan pemimpin Umno negeri.

Menurut Abdul Wahid, semasa Barisan Nasional memerintah bayaran royalti minyak dibayar dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan September. Kerajaan pusat menghentikan bayaran pada tahun 2000 selepas membayar royalti pada bulan Mac tahun tersebut.

“Pada pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu bulan Januari 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak (timbalan perdana menteri ketika itu) berjanji akan menyelesaikannya.

“Bagaimanapun, hingga hari ini keadaan sama sahaja dan tidak nampak tanda-tanda akan berakhir,” katanya.

Sidang Dun Terengganu akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei ini.

Muda Mohd. Noor FMT

No comments:

Post a Comment