PETALING JAYA, 3 Mei – Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet bayangan yang dibentuk DAP di Sarawak masih belum muktamad.
Sebaliknya Anwar berkata, ia masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat Sarawak.
“Muafakat ini akan diteruskan melalui rundingan yang akan dibuat di peringkat negeri (Sarawak), senarai itu akan dibincangkan dengan semangat kerjasama seperti barisan kepimpinan Pakatan Rakyat pusat.
“Ia akan dibincangkan, ia masih belum muktamad lagi dan itu hanya cadangan DAP sahaja,” katanya pada sidang media di sini.
Tambah Anwar, wakil PAS juga akan berada dalam senarai Kabinet bayangan itu walaupun parti Islam tersebut tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak, 16 April lalu.
“Kita akan lantik wakil PAS walaupun PAS tidak menang kerusi tapi ini adalah semangat kerjasama yang adil,” katanya.
Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun parti Islam itu tewas di Sarawak, namun perubahan sudah mula berlaku yang mana rakyat negeri itu sudah mula menerima kehadiran parti itu.
“Ini sudah terbukti di Sarawak yang mana pengundi Cina sudah undi kita,” katanya.
Pada pilihan raya negeri Sarawak, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan dua pertiga apabila memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 yang dipertandingkan.
Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi, sementara Bebas berjaya memenangi satu kerusi.
DAP berjaya memenangi 12 kerusi DUN dan PKR tiga kerusi manakala PAS tidak berjaya memenangi sebarang kerusi.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, pembangkang Sarawak yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek Wong Ho Leng telah membentuk 16 individu bagi menggantikan pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Zulaikha Zulkifli TMI
No comments:
Post a Comment