Thursday, June 11, 2009

Siasat SIS Dahulu Sebelum Diharamkan - Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertikaikan tindakan Pas mendesak kerajaan mengharamkan pertubuhan Sister In Islam (SIS) tanpa melakukan penyiasatan dan penelitian yang terperinci.

Menurutnya, Pas sepatutnya mengikut proses yang adil tanpa melibatkan pengaruh pihak tertentu dan bukannya berdasarkan beberapa laporan sahaja sekiranya ingin mengambil tindakan terhadap SIS ataupun mana-mana pertubuhan sekalipun.

“Perlu diingatkan di sini bahawa mereka (Pas) hendaklah mengemukakan tuduhan yang jelas dan juga peluang untuk SIS membela diri.

“Setelah gagal untuk membela diri barulah tindakan dikenakan termasuk mengharamkan pertubuhan tersebut setelah diteliti oleh pihak yang pakar dan adil,” katanya pada sidang media ketika melawat ibu pejabat Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Dr Asri turut mengingatkan pertubuhan terutamanya parti politik tidak menggunakan sentimen agama untuk kepentingan masing-masing.

“Bahaya jika menjadikan agama sebagai kayu pemukul dan jangan sesekali gunakan isu Islam sebagai alat untuk menghukum orang lain,” katanya.

Menurutnya lagi, pengharaman SIS oleh Pas juga seolah-olah menggambarkan parti tersebut mempunyai pandangan sempit dan tertutup jika agama dipolitikkan.:

“Jangan sampai orang berfikir jika agama dipolitikkan, semua kebebasan bersuara tidak akan dibenarkan sama sekali. Saya bimbang dan bukan bermaksud untuk mencampuri urusan Pas, tapi ia perlu diuruskan dengan berhati-hati,” katanya.

Selain itu, Dr Asri turut mencadangkan Pas agar mengadakan satu dialog bersama-sama SIS untuk menyelesaikan perselisihan yang terjadi antara mereka.

“Mereka terutamanya Pas hendaklah wujudkan satu dialog dengan SIS dan mendengar hujah mereka malah menjawab hujah tersebut, perkara ini boleh dibuat,” katanya.

Isu ini tercetus apabila perwakilan pada Muktamar Pas baru-baru ini mencadangkan usul dan diterima sebulat suara agar mengharamkan SIS kerana bertentangan dengan Islam. :

Sehubungan itu, pelbagai pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa parti politik mengecam Pas kerana melanggar prinsip demokrasi negara.

SinarHarian

No comments:

Post a Comment