SHAH ALAM 9 MEI : Tindakan utusan Malaysia melaporkan dakwaan blog pro Umno-Barisan Nasional kononnya satu majlis anjuran DAP yang dihadiri oleh paderi telah mendoakan Malaysia menjadi sebuah negara Kristian dan perdana menteri bakal dilantik dari kalangan penganut agama itu, dibidas masyarakat di negeri ini.
Menolak sama sekali berita berunsur fitnah itu, seorang nazir masjid, Haji Badaruddin Haji Dawam berkata, laporan seperti itu yang tidak diketahui keabsahannya hanya bertujuan membakar naluri masyarakat Melayu di negara ini dan menimbulkan syak wasangka kepada kaum lain di negara ini.
Laporan berkenaan katanya, jelas satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang ditolak oleh rakyat, sebaliknya menimbulkan kebencian pula kepada akhbar kawalan Umno itu.
Rata-rata rakyat kata Badaruddin sudah celik dengan isu seperti ini dan tidak mudah diperkotak-katikkan.
"Kerajaan Umno-BN mulai tersepit apabila pengundi cina mula berpaling kepada Pakatan Rakyat, jadi mereka melihat hanya isu sebegini mampu membantu mereka supaya PAS tinggalkan Pakatan Rakyat dan turut serta dengan BN, isu ini jelas sengaja diketengahkan yang bermotifkan politik untuk menarik balik sokongan Melayu khususnya PAS kepada BN," katanya kepada Tv Selangor.
Walaupun muka depan Utusan Sabtu lalu mengundang reaksi dangkal menteri yang seolah-olah memperakukan laporan akhbar berkenaan, namun rakyat lantang berhujah, ia adalah politik jijik yang mudah dibaca.
Seorang Pengurus Syarikat, Hasmeon Mat Arbak sebaliknya menggesa ketua pengarang utusan Malaysia bertanggungjawab atas laporan akhbar berkenaan kerana menyiarkan berita bersifat perkauman melampau.
"Utusan sepatutnya bertindak lebih profesional dalam mencedok berita-berita yang sensitif sebegini dan ketua pengarang Utusan perlu bertanggungjawab kerana ia melibatkan sensitiviti perkauman yang agak berat," ujar beliau.
Sementara ahli perniagaan, Ahmad Zakaria Talib pula berpendapat Utusan kini sedang berusaha keras merealisasikan hasrat Umno-Barisan Nasional untuk meraih sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Ahmad turut kesal dengan corak politik Umno yang menggunakan media untuk menyerang dan memburukkan imej Pakatan Rakyat dengan isu-isu sensitif terutama sekali agama.
"Mereka menyiarkan propaganda ini seolah-olah Malaysia ini akan di Kristian kan yang mana ia jelas agenda Umno-BN mencipta pelbagai isu untuk melemahkan Pakatan Rakyat,"katanya.
Malah kekebalan Utusan Malaysia dalam melaporkan apa jua bentuk berita meskipun ia bercorak fitnah mahupun berbaur hasutan katanya dijayakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memayungi akhbar berkenaan.
"Ini merupakan sikap talam dua muka yang sengaja dicipta BN supaya mereka terus berkuasa dalam menyebarkan isu-isu dan agenda yang tidak sahih serta memastikan tiada tindakan ke atas media milik mereka,"katanya.
TVSelangor09
No comments:
Post a Comment